Friday, May 30, 2008

Daun nipah disangka daun labu!


30-05-2008 12:52:33 PM
TIDAK dinafikan golongan artis hypersensitif terutama apabila berbicara pasal kreativiti mereka, tidak kira muzik atau filem.

Sensitiviti mereka boleh sampai ke satu tahap di mana mereka akan bersikap territorial, bermakna orang 'luar' dan yang tidak berkenaan tidak dibenarkan mengusik 'hak' mereka walaupun yang menegur itu tokoh agama.

Pendek kata, mereka disifatkan sebagai the untouchables kerana ada imuniti sehinggakan jarang dapat ditegur.

Kalau setakat wartawan menegur, dikalis sahaja teguran itu. Lagipun, kalangan wartawan cukup dikenali sebagai 'cakap sejengkal dibawa sehasta.' Tapi bila tokoh agama yang disegani menegur, diambil mudah dan didebatkan - itu sudah tidak berhemah namanya.

Pengarah muda Ahmad Idham, yang lahirnya dulu sebagai pelakon tapi kini bergelar pengarah filem (setelah mengarah Jangan Pandang Belakang dan Congkak) antara yang cukup terhiris apabila filem hantu ditegur.

Itupun teguran yang boleh diklasifikasikan sebagai 'peringatan' sahaja, tidak lebih dari itu. Bukannya dikeluarkan kenyataan melarang atau mengharam pun.

Hairan kenapa Idham tersentap bila Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata "Ada antara filem hantu yang tidak menyumbang kepada pembentukan insan, tambahan apabila ditonton oleh kanak-kanak boleh mempengaruhi pemikiran mereka. Kesan buruk filem seram berkait rapat dengan isu penyelewengan akidah jika tidak berhati-hati."

Tidak manis bila teguran disalah anggap seolah-olah ianya satu tuduhan. Janganlah kita bercakap pasal jumud, sempit fikiran dan mempersoalkan betapa tipis intelektualiti seseorang, sedangkan kita yang sebenarnya begitu. Jawapan balas yang berbaur peribadi amat menjengkelkan.

Sebagai orang lama, Kakak Tua tumpang malu kerana keceluparan Idham seolah membayangkan dari daun sudah kita kenal pohonnya.

"Apakah mereka memperkatakan dengan jujur. Bagi saya filem itu tidak memesongkan pemikiran sebaliknya komen-komen begini (tanpa pengkhususan) lebih memesongkan,” tegas Ahmad Idham yang berasakan dirinya betul.

Apabila berbicara dengan orang alim dan yang lebih tua, ikutlah cara dan adab yang betul. Tidak semua yang terlintas di benak harus dizahirkan.

Bak kata orang, 'Dikulum menjadi manikam, diludah menjadi sekam' - Yang tidak elok diperkatakan lebih baik disimpan sahaja kerana ditakuti akan menimbulkan sengketa.

Lagipun, hati orang yang bodoh di mulutnya, mulut orang yang cerdik di hatinya. Hanya orang bodoh saja suka cakap ikut sedap mulutnya sedangkan orang yang pandai berfikir dahulu sebelum berkata-kata....

Keangkuhan kita menerima satu teguran yang positif akan memakan diri satu hari nanti. Apa saja yang berkaitan dengan agama dan hukum yang berkaitan perlu diserahkan pada mereka yang lebih arif.

Jangan kita mendabik dada dan bersikap defensif sehinggakan terlupa tatacara peradaban apabila bercakap dengan ilmuan agama atau ustaz. Tidakkah biadap namanya tu?

Dr Asri antara tokoh agama yang paling liberal dan positif pendekatannya bila menyentuh pasal skop hiburan yang dibolehkan dalam Islam.

Mustahil fikirannya sesempit yang Idham katakan. Memanglah tak salah buat filem seram tapi semua yang dilakukan perlu di dalam ruang litup dan daerah yang dibolehkan, bukan ikut hati dan sesedap rasa. Kalau kita cetek ilmu agama, jangan cuba mendekati isu yang jelas hitam dan putihnya. Little knowledge is bad...it just shows how ignorant you are!

Siapa pula yang menidakkan kewujudan alam ghaib yang disebutkan dalam hadis dan Al- Quran? Sebenarnya Idham terkeliru kerana diri diselimuti emosi melampau untuk menegakkan kebenaran diri sehinggakan tidak dapat bezakan apa yang disampaikan.

Teguran Mufti hanya melahirkan satu kerisauan dan beliau mengingatkan agar garis halus yang BOLEH merosakkan akidah itu tidak dinodai. Itu saja. Jadi tidak perlulah ayat-ayat bongkak seperti..."Jangan kongkong minda kita dan beranggapan fikiran saya terlalu rendah."

Itu semua cakap orang yang bercelaru mindanya sehinggakan mengeluarkan defensive coping sebegitu. Mula-mula, Kakak Tua ingatkan Idham sensitif tentang soal filem seram saja, rupanya istilah perbendaharaan katapun pendiriannya lebih kurang sama.

Baru-baru ini, Idham berkata dia tidak menCIPLAK drama tempatan Ezora dari telenovela The Gardener's Daughter' dan dia cuma MENCEDOK idea sahaja.

Kalau ikut istilah kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kedua-duanya membawa pengertian yang sama.

Cedok bermakna mengambil atau meniru dari karangan atau ciptaan orang lain sedangkan Ciplak adalah meniru atau mengutip karangan orang lain (tanpa izin) atau plagiarisme. Bezanya cuma EJAAN saja. Janganlah daun nipah disangka daun labu...wahai Idham!

KAKAK TUA: Hidup pohon biar berbuah, hidup manusia biar berfaedah

Wednesday, May 21, 2008

Jangan ditentang matahari condong....

21-05-2008 03:08:21 PM
MEMANG benarlah kebosanan sudah mula menjengah di hati kita. Ingatkan, hanya Kakak Tua saja yang merasa begitu rupanya ramai juga yang melalui fasa yang hampir serupa kini.

Bila selalu sangat kita dihidangkan dengan perkara yang sama, berulang-ulang, mulalah jiwa akan memberontak mencari kelainan. Sama seperti paksaan untuk mengundi di program realiti.

Graf semakin menurun kerana peminat mula bosan dan sekaligus bersikap lebih 'bijak'. Mereka tidak termakan lagi dengan pujukan dan 'umpan' yang selalu diberi.

Mereka sudah pandai membuat pilihan. Mereka hanya inginkan hiburan di hujung minggu secara percuma tanpa perlu mengeluarkan belanja. Pihak stesen TV kena akur dengan ini.

Walau siapapun barisan pelajar musim ini, tangan bagai terantai dan jari tidak mahu lagi menjadi juri menentukan siapa yang akan bergelar Juara AF6. Mungkin banyak keberangkalian yang diambilkira.
Belum tentu siapa yang berkenan di hati akan menjadi Juara. Duit habis, hati sakit, jadi buat apa bersusah payah pening kepala untuk membuat penentuan dan perhitungan. Kalau ada rezeki, adalah.

Terbaca pula di akhbar pagi tadi tentang peratusan penonton Melayu di Astro yang meningkat tetapi tidak seiring pula dengan peratusan AF6 yang menjunam musim ini.

Bukan salah sesiapa apabila trend menonton berubah mendadak begitu. Agaknya sikap ramai penonton AF6 kali ini memang begitu.

Jangan salahkan pengacara baru atau pengkritik yang 'mundane' mahupun tahap pelajar yang tidak memberangsangkan. Faktor kemorosotan disebabkan kebosanan sebenarnya. Orang sudah mula jemu, jelak dan inginkan sesuatu, lain dari yang lain.

Format 'basi', klise dan biasa-biasa tidak boleh diterima lagi. Kehangatan sesuatu program jarang dapat bertahan lama. Lama kelamaan, akan sampai satu peringkat 'plato' kerana sudah begitu lumrah alam. Dan fitrah manusia pula akan senantiasa melakukan sesuatu yang diingini. Selagi tidak dapat apa yang dikehendakki, selagi itulah akan terus mengejar impian.

Mungkin sudah boleh mengagak trend sebegini maka artis hebat seperti Faizal Tahir tetap kekal dengan aksi 'Superman' nya yang sinonim dengan mulut 'terlopong' dan jari simbol 'rock.'

Agaknya untuk mencari sebuah kelainan. Begitu juga penyanyi Elyana yang selamba dengan aksi spontan 'berkaki ayam'. Ramai lagi artis yang cuba mencari kelainan dalam menghidupkan identiti mereka. Adakala menjadi, ada kalanya memakan diri.

Kakak Tua berkenan juga melihat sikap Elyana yang manis dan perwatakan menarik. Walaupun dibidas berkali-kali, Ely begitu yakin dengan penampilannya untuk berkaki ayam. Begitu juga dengan Azwan Ali terkenal dengan cermin mata besarnya sebagai satu identiti.

Kedegilan Faizal dan Elyana untuk terus 'berpegang' kepada identiti masing-masing amat dikagumi. Mungkin ini soal prinsip, mungkin 'imej', mungkin juga ego. Tapi rasanya kalau sudah ditegur, elok sangatlah berubah atau 'berhijrah' untuk kebaikan. Dalam keghairahan menjadi trend-setter, kadang kita terlupa susun kata yang tidak molek boleh mencemar imej kita yang sudah cantik.

Ada pepatah berkata, 'Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh, jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api.'

Sebagai orang yang ada nama, kan elok kalau setiap langkah kita disenangi ramai. Walaupun hati terluka dek teguran, jangan ambil hati sangat. Seseorang manusia harus cukup rendah hati untuk mengakui kesilapannya dan bijak mengambil manfaat daripada kegagalannya dan berani pula untuk membetulkan kesilapannya. Dan orang yang mengikuti emosinya akan hilang adabnya....

Anggap sajalah apa yang telah dilakukan itu satu 'kesilapan'. Kata Confucius, seseorang yang telah melakukan kesilapan dan tidak membetulkan kesilapan itu telah melakukan satu lagi kesilapan. Wallahu'alam.

KAKAK TUA: Jangan ditentang matahari condong, takut terturut jalan tak berintis....

Thursday, May 15, 2008

Rupa boleh diubah, tabiat dibawa mati!

RENDAH gunung tinggi harapan - agaknya begitulah tinggi sekali harapan yang diletakkan oleh setiap peserta program realiti yang ingin memahat nama di persada seni.

Walaupun analogi yang paling tepat untuk menterjemahkan 'tarikh luput' mereka-mereka ini tidak lebih dari jangka hayat semangkuk mi segera - semasa panas cukup berselera dimakan, kalau dah sejuk, tepuk dada tanya selera.

Tapi itu hanya analogi Kakak Tua, mungkin tak sesuai diterima pakai. Jadi, tak payahlah ambil hati kerana tidak semesti semua orang beranggapan begitu.

Berbalik kepada harapan yang tinggi program realiti, kali ini Kakak Tua ingin sangat hendak menyentuh program realiti musim kedua Gang Starz yang diacarakan oleh Faizal Tahir dan Fara Fauzana.

Kemeriahannya lebih terasa musim ini mungkin kerana semua tried and tested formula musim dulu sudah diadaptasi dan diambilkira maka musim terbaru tampak lebih cantik susunan persembahannya.

Yang tidak berapa cantik cuma komen yang dilemparkan oleh juri tetap iaitu komposer Ajai. Baik dari segi sikap mahupun dari apa yang terpacul dari mulut Ajai, seperti tidak berapa elok untuk dicontohi.

Ketika di pusingan prelude minggu lalu bagi memperkenalkan setiap peserta, Ajai telah memberi komen tentang persembahan, lagu pilihan dan harmoni.

Selain dari Ajai yang jadi pengkritik, Kakak Tua perasan Gang Starz musim ini menjemput penyanyi/pelakon Singapura Sheikh Haikel. Haikel pula walau bercakap dalam nada normal dan boleh diterima, komennya tidak banyak membantu.

Tidak sangka pula dalam keghairahan memberi komen bernas, terkeluar perkataan 'pekak' pada satu kumpulan dari Thailand. Janganlah disebabkan mereka tidak faham bahasa kita dan terpaksa pula menggunakan translator, sesedap rasa saja kita mengeluarkan kata.

Siapa yang kena cubit, tentulah merasa sakit. Inikan pula dihina 'pekak'. Kalaulah kumpulan Thailand faham apa yang dicakap, tentu sedih hati mereka.

Sungguh tidak manis perkataan yang digunakan kerana walaupun untuk bergurau senda, tidak kena dengan tempat dan situasinya. Sudahlah kumpulan itu terpingga-pingga tidak faham bahasa, ditambah pula dengan keadaan keliling yang begitu asing, memang tidak wajar sungguh kita sebagai tuan rumah bersikap begitu.

Tahun ini pula merupakan kali pertama dua negara jiran, Filipina dan Thailand turut serta. Seeloknya kita lebih berhemah dan jangan sampai menjatuhkan airmuka tetamu. Menjadi pengkritik bukan bermakna kita diberi lesen besar untuk rembat saja apa yang tidak berkenan di depan mata.

Tutur kata perlu dijaga, ilmu di dada diturunkan sebaik mungkin dan jangan sesekali bersikap menghukum dan merendahkan seolah 'aku lebih hebat.'

Ada segelintir pengkritik atau juri yang mempunyai perangai sedemikian kerana sudah tabiat semulajadi - 'Tak air talang dipancung, tak emas bungkal diasah" main belasah saja dan tak segan-segan melakukan dan mengeluarkan kata pedas asalkan maksud mereka tercapai.

Saban waktu kita disajikan dengan kebiasaan begini oleh pengkritik popular seperti Adlin Aman Ramlie, Ogy Ahmad Daud, Paul Moss. Cakap pedas, pedih dan sampai ke tulang hitam. Yang terbaru masuk pakatan ini adalah Azmeer dan Ajai kot.

Kebiasaan atau norma begini sudah menjadi tabiat pengkritik yang 'disegani' ini. Perbuatan yang 'telah berurat berakar', tak mungkin berubah lagi. Walau ditegur sekalipun, tidak mungkin berubah kerana sudah jadi air mandi....

Tapi alangkah manisnya kalau ayat yang dipakai lunak didengar walau sarat dalam sindiran. Tidak perlu menggunakan ayat kasar dan biadap kerana itu bukan pekerti kita.

Kata orang, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Bangsa kita bukankah terkenal dengan keindahan bahasa, maka kenapa tidak perkasakan ia. Kenapa dicemari dengan bahasa yang kurang manis kerana yang malu kita juga.

Antara negara serumpun, sememang tuturkata yang diucapkan oleh negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, lembut gigi dari lidah.

KAKAK TUA: Rupa boleh diubah, tabiat dibawa mati!

Wednesday, May 7, 2008

Mencabut ubi, harus dengan akar-akarnya!

(07-05-2008 02:39:34 PM)
KITA kena pandai menilai cakap orang. Jangan ikut perasaan bila tengah kecewa atau marah.

Bila orang tua atau yang lebih arif daripada kita menegur, janganlah kita angkuh dan cepat bertindak dengan memberi kenyataan balas.

Kemungkinan besar, banyak kebenaran yang boleh didapati dari sebuah teguran dan nasihat. Jangan bersikap 'defensive' tak tentu pasal. Dengar dulu apa yang hendak disampaikan....

Lagipun, nasihat yang baik-baik kalau ditasak selalu akan termasuk juga....'Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diperkatakan.'

Bila kita ditegur 'bertudung tapi macam tidak bertudung,' 'bersuami tapi macam orang bujang' atau 'bersifat kebudak-budakan kerana meminati Superman', terima dulu komen itu. Fikirkan kebenaran di sebalik kata yang pedih itu.

Lagi tinggi kedudukan kita, lagi ramai mata yang memandang. Lagi banyak 'cacat cela' yang dapat dilihat. Dari pakaian, tutur kata dan cara membawa diri semuanya akan diperhatikan.

Tengok saja Datuk Siti Nurhaliza. Belum bertudung, ramai yang mengesyorkan dia bertudung mengotakan janji yang pernah dibuat sebelum ini, yakni untuk bertudung.

Sekembalinya dari Mekah, ramai yang menantikan saat Siti bertukar imej ke Muslimah. Kini bila Siti bertudung, ada lagi yang tidak puas hati kerana cara pemakaian tudungnya yang tidak "sempurna" dan "ideal".

Terpulang pada Siti untuk mentarbiyahkan dirinya sama ada ikut cakap orang ramai, ikut hukum menutup aurat yang ideal atau ikut kata hati.

Nasib baiklah, Siti orangnya tidak cepat melatah. Sama ada dia terima sepenuhnya kritikan atau komen, hanya masa saja yang akan menentukan.

Sebagai wakil orang marhaen, pesanan Kakak Tua, apabila kita mendongak awan di langit, sesekali jangan lupa rumput di bumi.'

Kadangkala perasaan sayang boleh bertukar rupa kerana sikap artis itu sendiri. Suara yang sedap bak buluh perindu sekalipun tapi kalau sikap menjengkelkan, akan disedari juga satu hari.

Dalam kes Faizal Tahir Vs Mufti Perlis, Kakak Tua faham sangat kekecewaan penyanyi berimej 'Superman' itu yang terpaksa menghadapi kesukaran bertubi.tubi, lepas satu..satu.

Selama ini Kakak Tua selalu menyokong Faizal dari insiden berbuka baju hinggalah ke 'pengharaman' persembahan di Jom Heboh Perlis.

Walaupun Faizal kata dia terima teguran dengan hati terbuka namun bila dia mengeluarkan kenyataan yang dia tidak akan berubah kerana 'saya bukan hipokrit', hati tua ini terus berubah sayangnya dan terpaku cuba mencari 'di mana silapnya'.

Faizal tidak mahu mengubah imejnya kerana tidak mahu hipokrit Rasanya terlalu awal untuk sesiapapun kata yang kita tidak mahu berubah.

Tambahan pula apabila perbuatan yang 'tidak disenangi' sudah ditegur. Jelas sekali apabila kita milik umum, bukan semua orang suka apa yang kita pertontonkan, Faizal kena terima hakikat ini.

Jangan sebab ramai yang tampil (rata-rata artis yang seangkatan dan satu fahaman dengan Faizal) memberi sokongan ketika 'krisis' ribut dalam cawan dengan Mufti Perlis, Faizal terlepas pandang isu sebenarnya.

Suara yang baik, bakat yang besar harus diiringi dengan sikap yang molek. Tak rugi kalau kita merendah diri dan tolak tepi ego kita.

Faizal cukup bernasib baik kerana walaupun 'dihukum,' ramai yang bangun membelanya.

Contoh terbaik dalam AIM15 baru-baru ini. Bukan saja dua pengacara Afdlin dan Adibah Nor menyindir dan menyatakan 'protes,' pihak penganjur AIM15 seolah 'memberi restu' dengan menerbangkan 'Superman' Faizal untuk mulakan acara malam itu.

Ketika Adibah Nor melaungkan "Lepas ini semua orang akan kenal Faizal..." - hadirin bertepuk riang, memberi tanda setuju sindiran tajam yang ditujukan khas untuk MB Perlis yang pernah buat kenyataan tidak kenal akan Faizal.

Penghargaan empat trofi di malam AIM 15 seolah memujuk dan mengubat Faizal dan sekaligus menobatkan dia di persada seni.

Faizal harus ingat, yang menegur itu tokoh agama. Bila tiba soal agama, kadang kala kita boleh kompromi tapi selalunya tidak. Yang tidak manis ditegur, yang elok pula dibuat bandingan.

Orang terpelajar macam Faizal, kena tahu menilai intan, kaca dan permata.
Betullah kata Mufti, yang 'dok tunjuk-tunjuk jari lagu tu buat apa...'

Teguran yang dibuat oleh Mufti hendaklah diteruskan pada artis-artis lain juga umpama 'Mencabut ubi, harus dengan akar-akarnya' kerana kalau hendak membasmi 'kemungkaran' hendaknya sampai ke tuntas.

KAKAK TUA: Masak sangat perangai dan telatah artis - 'Dangkal telah keseberangan, dalam telah keajukan.'

Friday, May 2, 2008

Jangan ingat P.Ramlee maksum!

(02-05-2008 06:01:55 PM)
SUKAR untuk sebilangan besar dari kita menerima kenyataan bahawa seseorang yang kita sayang dan sanjungi ada kelemahan diri.

Bagi peminat fanatik atau yang taksub tentu saja tidak dapat menerima kenyataan bahawa idola kesayangan ramai seperti Mawi, Datuk Siti Nurhaliza, Sudirman Hj Arshad mahupun seniman aguing P.Ramlee ada kelemahan mereka tersendiri.

Baru-baru ini, Kakak Tua diberi kesempatan menjenguk pelancaran buku 'Filem-filem P.Ramlee' yang diusahakan bersama oleh wartawan veteran Mustafa AR dan seniman Datuk Aziz Sattar yang berlangsung di Saloma Bistro.

Kakak Tua menulis dengan tujuan sebagai pengantara kedua penulis buku 'Filem-filem P.Ramlee.' Bak kata orang, 'Hujung jari sambungan lidah' - untuk menerangkan apa yang tidak dapat dijelaskan oleh mereka....

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat itu, kesimpulannya konsep penerbitan buku itu sendiri harus dipuji kerana ianya berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini.

Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan yang pernah mengenali P.Ramlee ini, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar.

20 tahun bukan masa yang sedikit untuk menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan seniman agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat.

Namun di sebalik kehebatan buku yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 buah filem P.Ramlee, ada paparan kisah menarik bagaimana P.Ramlee mencedok idea dari filem luar untuk dimuatkan dalam buku ini.

Ramai yang kepingin tahu filem apa yang memberi inspirasi dan dorongan pada P.Ramlee? Pengalaman menarik insan seni unik yang membawa nama Putih Ramlee ini perlu dikongsi bersama....

Tapi sebelum itu, sikap prejudis kena tolak tepi dulu.

Jangan ada secalitpun rasa kecewa jika diberitahu bayangan filem Kurosawa ada di dalam filem Semerah Padi, begitu juga adegan lucu P Ramlee, Aziz dan S Shamsuddin mengekori Rose Yatimah dalam Pendekar Bujang Lapok ditiru dari CID lakonan Dev Anand dan Shakila.

Dan babak Aziz Sattar bersama S Shamsuddin membahagi-bahagikan duit yang dicuri dalam filem Nujum Pak Belalang itu sebenarnya diambil dari filem Inggeris Tom Thumb yang diarahkan oleh George Pal.

Aziz Sattar yang juga rakan baik P.Ramlee berkata, walaupun Ramlee menciplak filem orang lain ini tidak bermaksud dia kekurangan kreativiti.

Jangan dilihat negatifnya tapi seharusnya dilihat dari perspektif kebijaksanaannya menokok tambah supaya karyanya nampak 'baru' dan lain dari yang lain.

Lagipun, bukankah 'Imitation is the greatest form of flattery' kata pepatah Inggeris?

Kesahihan yang diutarakan dalam buku ini tidak perlulah kita sangsikan kerana 'Bukan air muara yang ditimba, sudah disauk dari hulunya.' Memang benar dan yakin perkara yang tercatat dalam buku.
Masalahnya, berapa ramai di antara kita yang boleh menerima hakikat ini? Kita perlu senantiasa ingat, P.Ramlee bukan maksum seperti para Rasul dan Nabi maka kesimpulannya kita perlu terima karya P.Ramlee seadanya dan secara 'total'. Bukan separuh-separuh...

Tidak perlu dikontroversikan penemuan baru ini kerana 'kejutan' realiti terbaru ini hanyalah satu 'eye opener.'

Seharusnya kita tukar 'mind set' kita terutama orang Melayu. Cuba diasingkan atau dibezakan antara kelebihan dan kelemahan seseorang, tidak kiralah samada orang itu tokoh politik, artis atau orang biasa macam Pak Lah, Anwar Ibrahim, Tun Mahathir, Faizal Tahir, Mawi, Siti atau Mufti sekalipun.

Lebih terpuji dan berhemah seandainya sifat baik atau kelebihan seseorang itu kita ambil dan dahulukan dan yang buruk ditolak tepi dan 'dilupakan'.

Tidak perlu taksub bila kita terlalu suka pada seseorang, sehingga tidak nampak langsung kelemahan atau keburukan orang itu.

Jangan pula bila sudah diberitahu kelemahan seseorang kita pula dicap sebagai 'busuk hati', 'tidak kenang budi' dan ada agenda jahat untuk menjatuhkan seseorang itu.

Menyatakan fakta tentang 'kelemahan' dan memburukkan personaliti seseorang adalah dua perkara yang berbeza. Yang penting apakah niat kita sebenarnya?

Dalam soal buku 'Filem-Filem P.Ramlee', point yang P.Ramlee menciplak/mencedok atau plagarise karya orang lain adalah satu lagi fakta sejarah agar dapat dijadikan rujukan pada generasi muda.

Tentu ramai bijak pandai di luar sana maklum sangat bakat dan bakti yang ditinggalkan oleh P.Ramlee tidak mungkin tergugat dengan penemuan baru ini.

Fakta yang mengatakan beliau pernah menciplak idea orang lain hanya satu lagi 'benchmark' dalam kecermelangan karya seniman agung ini.

Jadi tak payahlah kita membuntukan fikiran kita. Terimalah segalanya dengan hati terbuka....
KAKAK TUA: Yang hampa biar terbang, yang bernas biar tinggal!

Anjing menggonggong, khalifah berlalu!

(23-04-2008 10:24:33 AM)
BILA hati sudah suka, semuanya indah belaka. Sampaikan wang ringgit tidak berkira. Begitu juga bila hati sudah berpaling tadah, tiada lagi harum bau bunga. Yang ditinggalkan hanyalah mala layu dan kumbang malang.

Keindahan semalam terus terpadam dari memori. Bukan sahaja kenangan manis yang akan mengetuk pintu hati, yang pahit akan terpalit dan cakap-cakap kurang manis akan menggugat ketenangan pasangan yang sudah tidak sehaluan lagi.

Orang seni memang mendahului bab 'suka berbohong kerana hendak menjaga privasi' ini. Jarang sekali yang ingin berterus terang pasal kisah percintaan mereka. Bila sudah sampai terbau telur tembelang, barulah hendak berterus terang.

Kononnya terpaksa berahsia, takut perhubungan tak jadi. Macam-macam alasan yang diberi tetapi niatnya sama saja untuk berbohong. Ada yang kata, mereka terpaksa cakap berlapik takut hajat tidak kesampaian.

Maklumlah orang yang dihajati bukan calang-calang orang. Datuk Siti Nurhaliza-Datuk K pernah melalui episod ini dan akhirnya semua pihak 'berkompromi' dan tidak lagi mengungkit kisah lama mereka.

Itu belum lagi bab orang media dicap sebagai 'pembuat fitnah' kerana melapor kisah cinta mereka. Kesian wartawan. Orang di luar sana pula jarang yang berfikiran, masakan ada asap kalau tak ada apinya?

Begitulah cara orang seni berfikir. Tambah-tambah artis muda yang panjang akal mereka bila bab berahsia ini. Pasangan Romeo-Juliet seperti Mila-Ebi, Mawi-Ekin, Jehan-Jue, Fahrin-Linda dan ramai lagi begitu handal dengan permainan sandiwara dan 'sorong tarik' ini.

Yang peliknya bila kisah 'eksklusif' dibongkar dan didedahkan, mereka pura-pura berasa 'lega' kononnya perhubungan mereka sudah boleh diterima oleh peminat.

Kakak Tua memang akur dengan kemampuan dan kekuatan 'fan base' Mawi. Memang maha hebat MawiFC kerana walaupun akur populariti Mawi dalam keadaan geraf menurun tapi disebabkan sokongan padu, Mawi tetap layak untuk menerima hadiah keretanya yang kelima dalan Anugerah Bintang Popular baru-baru ini.

Namun sekuat mana sekalipun sokongan peminat Mawi, rasanya peminat Mawi tidaklah sefanatik peminat superstar Jackie Chan sampai sanggup bunuh diri bila tahu Jackie Chan hendak kahwin. Jadi di mana logiknya hendak berahsia atau bercakap bohong?

Hidup isteri dan satu-satu anak lelaki Jackie Chan tidak begitu diberi pendedahan di Hong Kong kerana takut ada cubaan bunuh diri oleh peminatnya. Ianya pernah terjadi beberapa kali.

Dek sayangkan peminat Jackie sanggup 'berbohong' di awal kariernya dan berkorban sehingga tidak langsung membuat kenyataan tentang isterinya.

Begitu hebat sekali penangan dan pengaruh Jackie Chan. Rasanya peminat Mawi, kalaupun tidak dapat menerima pilihan hatinya Ekin tidak mungkin bertindak sesadis itu sehingga sanggup bunuh diri.

Paling kuat pun Mawi hanya akan menerima padah, tidak akan dinobatkan lagi sebagai Raja SMS atau bukan pilihan Artis Popular. Dan penjualan albumpun akan merosot. Itu saja.

Mawi, Siti, Mas Idayu, Mila dan ramai lagi artis pernah membuat kenyataan menafikan yang mereka sedang bercinta dengan pasangan masing-masing. Kesalahan mereka cepat betul dimaafkan oleh peminat mereka.

Mungkin sikap taksub semulajadi atau tidak kisah, namun peminat di Malaysia harus dipuji kerana cukup berhemah. Sehinggakan amat jarang disebut-sebut lagi kesilapan idola mereka walaupun mereka ditipu hidup-hidup.

Sejujurnya, peminat hanya ingin melihat idola mereka bahagia sedangkan si idola hanya memerlukan peminat sementara diperlukan saja.

Selebriti kita bijak mengeksploitasikan keadaan, peminat, media dan menyesuaikan diri dengan suasana yang ada. Bila bintang mereka sudah tidak secerah mana, baru lah nak tengok-tengokkan rumput di bumi. Kalau tidak tu, asyik mendongak langit saja.

Topik artis suka berahsia ini cukup menarik untuk dikupas dengan lebih mendalam lagi kerana banyak contoh-contoh tidak baik yang boleh dikongsi bersama.

Ianya juga merangkumi sifat 'siakap senohong' dan tidak amanah yang ada pada diri masing-masing.

Kalau Kakak Tua keterlaluan mencuit kisah ini, mungkin ramai lagi yang akan tersentap dan terluka. Cukuplah setakat ini.

Rasanya, tak berapa molek mencari 'musuh' di usia senja begini. Hanya sekadar teguran saja. Lagipun bila 'Anjing menggonggong, khalifah berlalu', takkan kita yang tua nak perhatikan saja.

Setakat memberi nasihat saja, itupun kalau nak terima. Buat apalah beriya-iya 'getikkan puru di bibir', buat menyusahkan diri saja.

Kadang kala, diam membisu lebih baik bila berhadapan dengan isu 'sensitif' ini. Juga bila terpaksa menjadi 'juri' bila dua pihak tidak bertegur sapa atau bermusuh seperti yang sedang dihadapi oleh Azwan Ali-Ifa Raziah.

Apa saja yang dilaporkan sebenarnya bertitik tolak pada mereka berdua juga. Terlanjur bercakaran, ingat-ingat pesan orang tua - 'Tidak ada umpat yang membunuh, tidak ada puji yang mengenjang.'
Usia juga tidak mengikut kalendar. Bila-bila saja kita akan dijemputNya. Buat apalah memanjang kisah yang remeh. Wallahu'alam!

KAKAK TUA: Datang tak berjemput, pulang tidak berantar...

Rasa air ke air, rasa minyak ke minyak!

(18-04-2008 12:21:56 PM)
AGAKNYA sudah resam, 'Adat orang muda menanggung rindu, adat orang tua macam Kakak Tua ni menahan ragam.' Ada-ada saja gelagat orang muda yang menarik perhatian mata dan hati tua ini.

Bila saja terbaca kisah pasangan Mabuk Kecubung, Jehan-Jue putus cinta, bagaikan putus kata hendak mulakan bicara.

Kebetulan pula ketemu dengan Jehan Miskin baru-baru ini, lemah saja permintaan Jehan. Pintanya, jangan ditanya kenapa mereka berpisah.

"I want to jaga her maruah. It's not fair to talk bad about her...".

Mulia sungguh hati Jehan. Walaupun melalui kesukaran yang maha hebat bak 'Angin yang berputar dan ombak yang bersabung,' bila cinta Laila-Majnun ini putus di tengah jalan, keduanya makan hati sampai membawa diri berkelana entah ke mana-mana.

Air mata jatuh ke perut dan patah selera untuk cuba melupakan episod sedih, masa silam, masa bahagia.

Kisah aktor kacak macam Jehan Miskin dan aktres cantik putih gebu macam Jue sebenarnya begitu klise untuk diperkatakan.

Mana tidaknya, bila bercinta, semua tak ingat orang keliling. Ke hulu ke hilir bak belangkas - 'Racun diminum haram tak mabuk.'

Tapi bila sudah bercerai kasih, tiba-tiba hati jadi lebih cekal. Satu pergi sepuluh datang. Baik Jehan mahupun Jue, dua-dua tak putus asa untuk bercinta lagi.

Agaknya baru sekarang tersedar, dunia ini tak selebar daun kelor pun, jadi buat apalah nak 'frust'. Banyak lagi ikan di dalam air dan bunga pun bukan sekuntum.

Sebenarnya, wajah jelita dan paras yang cantik mahupun tampan tidak menjanjikan apa-apa pun. Tidak semesti buah yang cantik, di dalamnya manis. Ada yang berulat dan ada yang mengkal.

Walaupun sudah bergelar artis, kualiti di dalam diri seseorang itu yang menjadikan seseorang itu hebat.

Ada yang datang dengan pakej, ada yang tidak. Kalau cantik persis bidadari sekalipun tapi kalau tidak ada ilmu, bakat dan budi bahasa seperti hampas kelapa, tidak guna juga.

Bila sentuh soal paras rupa teringat Kakak Tua perihal wajah rupawan kakak Datuk Siti Nurhaliza, Saida yang beraksi di dalam Konsert AF6 saban minggu.

Ibu pada empat orang anak ini cukup ayu dan genit orangnya. Gerak lakunya molek dipandang mata. Jauh beza susuk tubuh Saida dengan adiknya yang tersohor itu.

Kedua beradik ini sama jelitanya tetapi di dalam kategori yang berlainan. Siti pula setelah berkahwin dengan suami yang hartawan tak ubah seperti 'Rumah besar perabung perak', mana pergi dimuliakan orang sehinggakan bahang kemasyurannya terasa sampai ke akademi.

Mungkin ada yang dah perasan, sehingga ke penghujung konsert ke 4, bakat yang ada pada Saida, peserta yang 'malu-malu kucing' ini bak sejemput nasi saja.

Untungnya, pertalian darah dengan penyanyi No 1 negara dan berbekal wajah comel membuat dia terus berada di dalam akademi. Kehadiran Saida terus diperkatakan kerana suaranya yang kurang merdu itu.

Dan bila pengaruh dan hubungan ukhuwah antara adik ternama dengan rakan-rakan artis yang menjadi juri AF6, maka verdict atau komen yang diberi sekadar 'mulut manis' dan menjaga hati.

Semua ayat pedas dan pedih disusun dan diolah dengan sebegitu rupa sehingga kedengaran yang manis-manis saja. Ini tidak adil bagi pelajar-pelajar lain, yang lebih berbakat dan tidak ada 'connection'.

Berita dari akademi sering diterima, begitu juga diari akademi selalu juga ditonton.Baik guru mahupun juri seolah memendam saja apa yang terbuku di dalam hati mereka. Hendak berterus terang, salah. Terus-terus membisu, tak boleh juga.

Semua bagaikan sudah maklum dan harus terima, bakat ala kadar Saida mampu membawanya ke final, mungkin. Tapi percayalah, 'Bukan air muara yang ditimba, sudah disauk dari hulunya.'

Kesahihan cerita bakat Saida yang tidak seberapa ini sudah diketahui umum. Tidak cukup mengabur mata dan solekan ayu di wajah lesu, langsung tidak bermaya dan beremosi. Mungkin juga menanggung rindu pada anak dan suami tercinta.

Justeru suara biasa yang kedengaran terasa lebih hambar apabila dibandingkan dengan yang lain, terpaksa diterima jua kerana kasihankan Saida yang terpisah dengan keluarga.

Inilah yang dikatakan 'Rupa seperti pulut, bila dimasak berderai.' Penampilan yang manis ayu bak puteri jelita tapi bila bernyanyi, suara yang diharap merdu bak buluh perindu kerana dipilih antara beribu, jauh tersasar.

Sayang sekali, pakej yang ada pada Saida hanya mampu memikat segelintir orang untuk terus terpaku dan terpana dengan apa yang dimiliki.

Kakak Tua harap teguran ini dapat diterima dengan hati terbuka oleh keluarga Siti terutama Rozie, Ayie dan yang berkenaan. Maklum sajalah, akhir-akhir ini bukan semua boleh menerima persepsi sebegini.

Walau apapun reaksi mereka, diri ini redha saja. Bukannya tak sedar, perhubungan ramai artis dengan Kakak Tua kebelakangan ini ibarat 'Rekah tidak, rekat pukah.'

Semuanya kerana teguran, jadi hubungan pun agak longgar, akrab tidak, bermusuhpun tidak.

Tapi mungkin juga sudah rezeki menanti Saida di akademi. Ya lah, rezeki musang tak akan dapat ke helang...

KAKAK TUA: Sedar diri dagang piatu, sebab itu selalu pandai bawa diri kerana "Rasa air ke air, rasa minyak ke minyak!"

Awal dibuat, akhir diingat!

(09-04-2008 11:50:41 AM)
RASA termengkelan di hati dan bertambah keliru bila ramai orang seolah membiarkan saja kekeliruan tentang hukum agama berlaku.

Kalau sudah keliru satu hal, dibuat pula interpretasi sendiri tentang hukum hakam, yang mana begitu jelas sekali definisinya, dari aspek betul atau salah.

Setakat menjatuhkan bibir atas dan bawah memang mudah. Jangan pandai cakap saja kalau tidak diiringi dengan perbuatan kerana perlakuan itu tidak ubah seperti haiwan yang pandai berkata-kata.

Ramai orang tahu kedudukan kaum khunsa, pondan dan Mak Nyah dalam Islam. Seperti rekod rosak, apabila sering diingatkan jangan kita ikut jejak umat Nabi Luth kerana Allah melaknati kaum itu dan Nabi Muhammad SAW juga tidak mengaku umat.

Namun, semakin ditasak ke telinga, semakin menjadi-jadi dan membiak kaum songsang ini di dalam industri kita.

Begitu ketara sekali pertumbuhan umat ini terutama di dalam industri hiburan secara sedar atau tidak. Tapi kita hanya membiarkan saja kemungkaran demi kemungkaran berlaku di depan mata kerana kita lemah dan tidak kisah.

Biarpun, yang sesat dan mungkar itu orang Melayu dan artis Melayu. Malah bagaikan satu kebanggaan pula bila berada dalam kelompok 'ekslusif' begini.

Ramai yang tahu ke ujudan kelab 'gay' tapi tidak perlulah jaga tepi kain orang, katanya. Nafsu nafsi. Nau'uzubillah.

Ketika orang berseloroh menggunakan dialog 'Anak siapalah ni?' - Kakak Tua tidak rasa lucunya cuma akui kesan dialognya yang agak dalam kerana sesuai sangat ditujukan pada mereka yang tersesat jalan ini.

Mana tidaknya, anak siapakah yang berani menodai agama sendiri dan membelakangkan hukum Islam. Berapa kerat yang berhati walang mendengar cakap-cakap lepas kaum 'lembut' tentang agama?

Baik program Melodi yang hangat dengan gosip murahan dalam kain dan fitnah sampai kepada bual bicara AC Di Sini ke program realiti Akademi Fantasia, 'juadah' tersaji ini adalah santapan enak untuk wartawan tapi jarang yang jadikannya modal. Mungkin juga takut dipulau nanti!

Jadi, bila pelawak Dee mempertahankan cara pakaian wanitanya betul dan berani pula memberi dalil...'Kalau tuhan marah, tentu tuhan telah melaknat saya' - berdesing telinga Kakak Tua.

Tergamakkah kita mengheret Tuhan ke satu kancah yang kita sendiri cipta? Inilah yang Kakak Tua panggil defensive coping. Terang-terang dah bersalah, diam sajalah.

Sudahlah pakai baju perempuan, peradapan dan kondisi menyerupai perempuan, jelas sekali salah dan berdosa. Kalau masih hendak pakai juga, sendiri tanggunglah. Jangan bagi dalil bodoh yang tidak masuk akal. Hairan juga ya, bila 'udang tidak tahu di bongkoknya.'

Mungkin iramanya tidak sama tapi genrenya tidak jauh beza, bila di luar sana genius Matematik Sufiah Yusof mengaku tidak menyesal memilih bidang pelacuran sebagai profesionnya.

Kalau Sufiah sanggup meletakkan keadaannya seperti 'Sumur di tepi jalan, siapa haus boleh minum', siapalah kita untuk melarangnya?

Bak kata orang, 'Awal dibuat, akhir diingat' dan begitulah 'bernas'nya fikiran mereka yang telah Tuhan sempitkan akalnya dan menzahirkan sesuatu dari dalam hati. Rasa pedih cuping telinga bila agama dipersendakan.

Spesies begini berada di mana-mana. Ibarat 'Ular bukan, ikan pun bukan', jadi kita sendiri susah hendak mengkategorikan mereka.

Mungkin juga sekerat ular, sekerat belut. Bukan sahaja mereka keliru tetapi mereka mengelirukan orang ramai.

Yang pasti apa yang telah diucapkan cukup 'menghiris' hati kita sebagai orang Islam.

Benarlah kata arwah ayah, 'Kalau jenis tebu, takkan pahit rasanya.'

Lantas ingatan Kakak Tua terus pada filem Isi Neraka, tahun 1962 di mana hero watak jahat Almarhum Salleh Kamil berlakon sebagai Wira mengerang kesakitan ditelan bumi! Kalau tidak silap, dialog yang diucapkan setelah dia terajang ibunya yang sedang sembahyang ialah "Siapa Tuhan?"

Kebencian yang dicetuskan setelah filem ini disiarkan cukup hebat. Dan arwah Salleh Kamil juga khabarnya berasakan derita dan penyakit angin ahmar yang dihadapinya merupakan bala yang didatangkan oleh Allah SWT selepas mengutarakan dialog 'mungkar' itu dalam filem Isi Neraka tersebut.

Namun arwah bersyukur kerana diberi kesempatan bertaubat.

Kalau orang Melayu megah buat kesimpulan sendiri tentang hukum agama seperti tidak salah bersentuhan dengan bukan muhrim kalau sedang berlakon, misalnya.

Lain pula halnya dengan beberapa personaliti bukan Melayu yang tiba-tiba mendapat 'hidayah' dan seolah-olah mentarbiyahkan diri mereka berjinak-jinak dengan dunia Islam.

'Sejuk hati' bila penerbit filem Baldev Singh beriya-iya mempertahankan moraliti filem 'Akhirat' yang didakwanya dapat menginsafkan umat Islam walaupun banyak terselit nahu lucah di dalamnya, Datuk Seri Samy Velu pula bercakap soal ikhlas dan penerbit filem jutawan David Teo pula berkata pasal niat, nawaitu dan konsep 'halal'. Begitu juga Hans yang tak lekang dengan 'Insya Allah' di bibirnya...

Gambaran di atas tidak ubah seperti zaman jahiliyah sedang berulang di mana semua orang bebas melakukan dan melahirkan apa saja sesuka hati. Tidak ada sekatan dan larangan. Maka diturunkan Al-Quran dan Nabi SAW kita.

Itu dulu tapi sekarang setelah ada Al-Quran sebagai pedoman, ada lagi orang Islam yang masih 'sesat.'.

Orang yang dilahirkan Islam memberi skop mudah tentang hukum hakam sementara orang bukan Islam pula berlembut hati untuk memenangi umat Islam atas sebab-sebab tertentu, yang mana mereka lebih arif kenapa dan mengapa mereka berbuat demikian.

KAKAK TUA: Janganlah bagai orang berjudi - menang mua, alah hendak berbela!

Apa yang tak kena?

(02-04-2008 12:04:09 PM)
SUDAH dua minggu berturut-turut, konsert AF6 'dibelasah' kerana gagal menyamai piawai yang dibuat sejak 5 musim yang lalu.

Semuanya serba tak kena. Nak katakan pengetuanya kurang dinamik sebelum ini, mustahil. 'Arranger' terbaik dan Pengetua terbaik AF, Ramli M.S sekali lagi berjaya dipikat oleh pihak Astro.

Tenaga pengajar pula terdiri dari tokoh-tokoh hebat di bidang masing-masing, dan bukan sembarangan orang. Kalau dulu guru vokal satu, kini dibantu oleh dua lagi menjadikan jumlahnya 3.

Format kemasukan juga ditukar, memberi kebebasan kepada pelajar yang lebih tua dan berpengalaman. Masih kurang dinamik lagi?

Senang cakap, rasanya yang membuat AF6 'slack' tahun ini adalah kerana pemilihan pelajar yang kurang bermutu dan sikap yang ditampilkan oleh pelajar itu sendiri.

Lebih lama AF ke udara, makin nampak kecacatan dan kelemahan sistem pembelajaran di dalam Akademi. Wang ringgit yang dicurahkan untuk menghidupkan kembali nadi AF6 agar bernyawa bukan sedikit. Tapi masih lagi ada yang tak kena.

Kalau kita cakap secara logik, bagaimana mungkin sesuatu itu akan mencapai mutu yang tinggi sedangkan kualiti yang ditetapkan pada awalnya tidak memberangsangkan. Bakat yang ada pada kesemua 14 pelajar AF6 boleh dipersoalkan.

Adakah orang yang sama membuat pemilihan atau ada kriteria lain yang dicari seperti pelajar yang layak menjadi model, pelakon dan pengacara? Kalau itu yang dicari, memang boleh nampak 'bakat-bakat' ini dalam line-up 14 pelajar tersebut.

Atau mungkin juga pihak penganjur 'terperangkap' dengan kebiasaan yang lampau di mana sekadar tangkap muat saja. Peredaran waktu menunjukkan yang masyarakat menginginkan sesuatu yang baru dan lebih mencabar.

Kalau standard nyanyian biasa-biasa belum mencukupi walaupun pelajarnya mempunyai wajah yang cantik menawan, pun tidak ada gunanya. Itu belum lagi kesadisan teguran juri yang cuba berlagak bistari kerana lebih dulu makan garam.

Kebosanan yang baru menular selama 2 minggu konsert AF6 akan capai kemuncaknya sendainya rating menjunam.

Mungkin atas kebimbangan ini, Pengetua Ramli M.S cuba meyakinkan semua pihak, terutama media, konsert akan mula 'bernyawa' dan 'pulih' pada minggu ketiga.

Sama seperti momentum yang ditunjukkan oleh Konsert AF6, 'kehebatan' Anugerah Bintang Popular (ABP 2007) minggu lalu juga lesu, hambar dan tidak bertenaga.

ABP yang disiarkan minggu lepas sudahpun berlalu namun cakap-cakap belakang semakin rancak diperbualkan.

Serba salah juga hendak persoalkan apa yang tak kena di mata dan yang tak enak didengar. Pertama dek kerana kelantangan dan sikap berani dua pengacara panas dan ganas - Raja Azura dan Ogy Ahmad Daud.

Gandingan dan kegedikan Azura-Ogy bagaikan terlebih sudu dari kuah kerana walaupun pada permulaannya lawak mereka dapat diterima, momentum mereka merosot selepas itu.

Persembahan ABP bagaikan tiada klimaks, hilang punca dan mendatar sepanjang malam. Lawak yang kurang menjadi, hiburan yang tidak menghiburkan dan acara yang membuang masa, semuanya tak kena.

Acara gilang gemilang yang disiarkan secara langsung ke seluruh pelusok negeri melalui siaran TV3 macam kurang perencahnya.

Idea murni saban tahun untuk memartabatkan para artis paling popular sepanjang tahun lepas seperti satu klise pula.

Tapi rasanya melalui kaji selidek yang dijalankan dan prestasi 2 pengacara lincah 'yang lebih menjerit dari lontarkan isi', mungkin memerlukan orientasi baru agar kecemerlangan ABP dapat dikekalkan.

Itupun kalau masih ingin kekalkan 2 orang ini untuk menerajui ABP tahun depan.
Keputusan yang diumumkan juga tidak ada yang luarbiasa.

Ia tidak lebih sebagai bukti bahwa tekaan dan jangkaan kadangkala tepat. Dan ramalan kadangkala tidak dapat mengatasi suratan.

Maka tersenarailah nama-nama yang dijangka akan menang seperti Mawi (Artis Paling Popular), Dynaz (Pelakon TV Wanita Popular) serta Fara Fauzana (Pengacara TV/Radio Popular).

Memang sudah dijangka populariti, waima yang baik mahupun buruk, akan sentiasa mendorong cerita seseorang artis itu dihighlightkan.

Tanya saja Fasha Sandha yang sering mendapat tempias, disindir dan dapat liputan kerana kononnya suka sangat 'mengintai' hak orang. Akhirnya ketika dipanggil mengambil trofi, Fasha seperti orang dalam 'kesedihan' kerana menahan cemuhan ramai.

Begitu juga, hero senior Rosyam Nor yang masih mengekalkan 'keremajaan'nya dengan mendapat gelaran Pelakon Drama TV Popular tanpa bersusah payah.

Ada juga beberapa personaliti yang bersikap seperti kera sumbang bukan kerana kurang popular tetapi 'teringin' sangat hendak popular.

Keceluparan mengheret isu rumahtangga Nora Danish ke medan ABP juga tidak manis. Mengusik dan membuka aib banyak bezanya.

Jangan dicurah asid di tempat yang luka, kelak banyak hati yang akan terasa. Lainlah kalau sengaja mencari musuh. Lagipun kan lidah tidak bertulang?

Tambahan pula medan hiburan milik artis. Bila yang dihina artis, yang menghina juga artis, kita wartawan hanya boleh tersenyum sinis memerhati...Wallahualam!

KAKAK TUA: Seeloknya, 'Yang hampa biar terbang, yang bernas biar tinggal dan Yang tak berguna biarlah hilang, dan yang baik-baik biarlah tinggal.'

Hujan panas permainan hari...

(13-03-2008 12:55:59 PM)
HUJAN panas permainan hari, susah senang permainan hidup. Begitulah selalunya kehidupan manusia ada kalanya senang dan ada kalanya susah.

Kisah Awie yang akhirnya mendapat hak penjagaan kedua anak perempuannya setelah berhempas pulas membawa kes itu ke mahkamah paling menusuk naluri keibuan Kakak Tua pada pagi hari ini.

Bukan apa, memandangkan 'kekalutan' kes ini menurut turutannya elok juga dibuat renungan bersama.

Setelah berbulan terpaksa membuka aib dan pekung di dada akhbar tiba-tiba semuanya boleh diselesai dengan mudah sekali apabila dibawa berunding.

Seandainya perkara ini difikir dengan lebih rasional sebelum dibawa ke mahkamah alangkah moleknya.

Tidak perlu mencuci daki di tengah laman. Itulah yang dikata orang tua-tua, 'Akal tak sekali datang, fikiran tak sekali tiba.'

Begitupun keputusannya dibuat setelah Arni Nazira sendiri mengalah dan mengangkat bendera putih.

Rasanya Kes Awie-Arni berebut anak di meja pengadilan dapat dielakkan seandainya kedua-dua bersepakat dan mengenepikan soal ego masing-masing demi kepentingan bersama.

Yang peliknya, keputusan pengadilan perlu diputuskan oleh orang tengah atau lebih tepat 'orang luar' seperti hakim, peguam dan saksi-saksi.

Itu belum lagi mengambil kira, golongan orang-orang luar di sana yang dengan rela hati bertindak sebagai hakim dan peguam tidak bertauliah, memberi pandangan dan pendirian masing-masing.

Mungkin senarionya tidak sama tapi 'moral of the story' tetap sama dengan apa yang sedang dilalui oleh pasangan 'pengantin baru' Lisdawati-Fauzi Nawawi di mana persoalan kesetiaan suami menjadi tanda soal dan si isteri pula diduga untuk melahirkan cinta tanpa cemburu bagi menjawab segala 'pertuduhan.'

Walaupun 'cool' dalam keterpaksaan, Lisda tampil membela diri pihak suami. Namun jawapan yang diberi lebih banyak membawa persoalan 'kenapa dan mengapa'. Kan kah lebih manis seandainya Lisda berdiam diri saja dan tidak bersuara?

Mungkin keadaan dirinya bak 'Membelah kepayang muda, dimakan mabuk, dicampak sayang' tapi TIDAK semua pertuduhan perlu dijawab.

Jika kita arif dengan permainan media, kita sudah tentu tahu apa yang akan disensasikan dengan 'fakta' yang lahir dari mulut sendiri dan akhirnya akan jadi senjata makan tuan.

Memanglah 'Hujan berpohon, panas berasal' tapi dalam isu rumahtangga rasanya tidak perlu orang luar ambil tahu.

Dan apabila kita tampil dengan hujah-hujah membela diri, 'kelemahan diri' akan tampak lebih ketara apabila ianya sering dimainkan dan disebut-sebut di dada akhbar ibarat 'hilang sepuh nampak senam' - jahat sahaja yang kelihatan.

Manis jauh sekali. Sebagai 'subjek' kita pula menjadi 'mangsa' dan akhirnya terpaksa menjeruk hati.

Pengajaran dan pengalaman silam banyak mengajar Kakak Tua untuk bertindak secara logika, berhemah dan sempurna. Dan 'silence is golden' dalam banyak keadaan.

Sebagai wartawan, Kakak Tua tahu sesuatu berita yang terjadi secara tiba-tiba akan panas dan dipanaskan lagi -'Hinggap bak langau, titik bak hujan,' maka berduyun-duyunlah wartawan yang akan mencari dan mengorek bahan berita.

Tapi bila difikirkan balik, berapa kerat yang ingin tahu kebenaran dan kesahihan sesuatu berita itu?

Lebih parah kredibiliti sesuatu berita itu apabila seseorang wartawan tersilap membuat perhitungan dan 'bet on the wrong horse' maka berita-berita susulan pula akan menjadi bahan fitnah.

Tanpa disedari, sikap prejudis akan menguasai diri kerana ingin membenarkan berita yang salah itu. Itulah sebenarnya permainan media.

Yang sering mendapat tempat adalah berita yang paling negatif. Selalunya, apabila dua pihak berbalah, yang lebih 'popular' dan lebih mesra dengan pihak media akan mendapat pembelaan sewajarnya.

Dan yang kurang popular terpaksa akur menerima kekalahan dengan penyesalan (mungkin juga dendam) yang berpanjangan.

Tapi sedarkah kita, realiti kebenaran bukan di tangan sesiapa (jarang sekali di tangan pihak media) kerana hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Orang jahat ini mempunyai banyak wajah dan 'hitam gagak tiada siapa yang mencelupnya' - percayalah.

Kesimpulannya, tidak perlulah kita mendabik dada berkata 'Akulah yang benar' atau 'Akulah yang teraniya' atau membuka 1001 keaiban pihak lawan.

Berdiam diri adalah senjata yang paling efektif diwasa ini dan dengan kesabaran kebenaran akan tampil juga menghadirkan wajahnya dalam berbagai bentuk. Wallahualam!

KAKAK TUA: Selalunya sudah habis akal, baru tawakal!

Kisah Nabil yang unik!

(06-03-2008 12:16:33 PM)
MACAM ada satu tarikan apabila Kakak Tua mula-mula menonton program Raja Lawak musim kedua terutama bila terpandang wajah Nabil yang kelakar itu. Itupun selepas tiga minggu berlangsung, barulah kesempatan itu datang.

Ketika mula-mula melihat Nabil, pemuda berusia 25 tahun yang tampil dengan lawak selambanya, hati ini sudah mula mengagak inilah bakal Juara 'Raja Lawak' kerana 'X-Factor' yang dimilikinya.

Cara spontan dan lawak Nabil tidak menjemukanBukan saja paras rupa yang unik dengan telinga jenis lebar dan ketinggian yang melangkaui mata tapi cara spontan dan idea lawak yang dilontarkan Nabil tidak menjemukan.

Begitu juga dengan standard yang dicipta oleh Nabil sendiri, rasanya jauh dari peserta-peserta lain.

Inilah agaknya yang disebut karisma, 'aura' atau kehebatan tersendiri yang ada pada Nabil. Bekas 'Mat Despatch' ini bukan saja pandai berbahasa Inggeris, bijak mengambil hati penonton segenap lapisan dengan jenaka lucunya tetapi perwatakannya setakat ini masih sesedap mata memandang.

Tak tahulah kalau satu hari nanti semuanya akan berubah di mana apabila populariti yang dikejar di depan mata, hatipun mula jemu dengan permainan cerita dari media. Harap-harap tidak jadi begitu.

Segala yang terbuku di hati bagaikan terzahir bila Pengacara Nombor Satu Malaysia, Aznil Nawawi memberikan 'endorsementnya' minggu lepas.

Sekaligus mengangkat martabat peserta dari Seremban, Negeri Sembilan ini sebagai Raja Lawak yang ditunggu-tunggu selama ini. Jarang sekali Aznil akan memuji melangit.

Selalunya komennya tepat dan berbisa. Tentu sekali bakat yang ada pada Nabil cukup istimewa dan mujurlah ada platform Raja Lawak.

Antara ramai peserta yang bertanding sesama Nabil, yang paling ketara graf 'menurun' ialah Pak Tam. Ramai yang jemu melihat Pak Tam bagai rekod rosak setiap minggu. lebih malang apabila dia ditertawakan dan bukan lawaknya.

Kakak Tua sendiri makin rimas dengan lawak-lawak tak menjadi dari Pak Tam sehinggakan timbul rasa kasihan. Yang peliknya SMS yang Pak Tam dapat cukup hebat sehingga melayakkan dirinya hingga ke pusingan ke 9 minggu ini.

Rupa-rupanya, Pak Tam ini adalah ahli perniagaan atau 'butcher' yang agak berjaya di Australia dan Brunei.

Maka tidak hairanlah kiriman SMSnya cukup lebat mengalahkan peserta lain. Melainkan Nabil yang masih utuh tidak tergugat dengan pesaing yang lain.

Seperti Pak Tam, kumpulan XN3, Shah, Cham (kadang kala sahaja) begitu bersungguh-sungguh untuk membuat lawak 'try very hard to be funny' tapi sayang tidak menjadi. Sepatutnya di peringkat saringan lagi, bakat-bakat yang dipilih seharusnya sudah ada kekuatan tersendiri.

Bila bakat-bakat Raja Lawak yang kurang menonjol ini dihadapkan kepada barisan juri yang 'agak lemah' seperti Enot dan Harun Salim Bachik, maka jadilah kesimpulan seperti 'the blind leading the blind."

Melainkan Zaibo yang selalu memberi pandangan tanpa prejudis, jujur dan penuh 'substance' atau ilmiah, Enot dan Harun Salim (selaku Ketua Juri) cuma mengulangi saja apa yang Zaibo sampaikan.

Pelawak jemputan seperti Fauziah Nawi, Aznil Hj Nawawi dan Mamat Khalid juga banyak membantu memberi tips-tips. Musim kedua Raja Lawak juga lebih fokus pada 'syllabus'nya dan peserta-peserta diberi banyak panduan.

Raja Lawak musim ini akan tamat pada Jumaat depan dan Nabil bersama dua lagi peserta yang bernasib baik akan beradu persembahan di pentas Dewan Sivik Petaling Jaya jam 9 malam.

Kalau ikut dari sumber yang Kakak Tua dengar, kalah atau menang pihak Astro sudah membuat perancangan untuk menggilap bakat 'luar biasa' Nabil.

Ramai sudah mula membuat tempahan untuk melihat Nabil beraksi minggu depan termasuk makcik-makcik kampung di Negeri Sembilan termasuk dari Siliau dan Rantau. Begitu juga ada dua tiga tokoh korporat mengintai Nabil untuk 'booking' nya di majlis mereka nanti.

Betullah kata Aznil, pencarian Malaysia sudah terjawab dan di harap tuah akan bersama Nabil. Dan kereta Nissan Latio Sedan 1.8 Auto Premium akan dibawa pulang ke Seremban!.

KAKAK TUA: Tuah ayam nampak di kaki, tuah Nabil siapa tahu!

Putih dikejar, hitam tak dapat!

(27-02-2008 01:11:55 PM)
KEINGINAN hati manusia tidak ada batasnya, baka kata orang tua 'Nafsu tidak bertepi.' Memang susah hendak puaskan hati manusia.'

Perasaan inginkan lebih dari apa yang ada selalu menjadikan jiwa kita senantiasa bergelora dengan keinginan, kedudukan, kemasyuran dan darjat.

Istilah mudahnya, "tidak pernah cukup". Kalau sudah berada, hendak kaya lagi, Kalau dah sempurna nak cantik lagi dan kalau sudah terkenal, nak popular lagi.
Tiada kesudahan apa yang dikejar kerana semuanya bersifat sementara.

Baik dari segi rupa paras ataupun aspek material, manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada.
Tengok saja apabila ditanya tentang album, lakonan atau persembahan, jarang sekali yang berpuas hati dengan prestasi yang mereka tunjukkan.

"Tiada titik nokhtah. Kalau sudah puas hati, kita tidak akan rasa tercabar untuk memberi yang lebih baik lagi!" - Ramai artis yang dipetik berkata begini apabila dibual bicara.

Mungkin kepuasan hati begitu subjektif untuk dikupas. Anak sungai lagikan berubah, inikan pula hati manusia dan 'Neraca palingan bungkal, hati palingan Tuhan' kerana pendirian manusia akan senantiasa berubah dan tidak ikut musim.

Barangkali juga, piawai yang dicipta oleh mereka-mereka ini begitu tinggi sehingga tidak pernah puas dengan apa yang dihasilkan.

Sebenarnya semua ini memerlukan kita mentarbiyah diri agar dapat menundukkan nafsu kita supaya berasa cukup dengan apa yang ada. Pendek kata, sifat kesyukuran perlu dipupuk.

Bersyukur dengan anugerah yang sedikit agar nikmat itu akan ditambah. Seandainya tidak, memang bukan bahagian kita di dunia ini.

Program realiti yang berlambak berada di pasaran sedikit banyak menguji ketahanan beberapa orang artis yang sudahpun menempa nama untuk turut serta.

Dengan alasan ingin meihat sejauh mana kemampuan masing-masing artis-artis ini masuk bertanding.

Semangat ingin bersaing dan melihat sejauh mana mereka boleh pergi mendorong artis-artis ini untuk turut serta. Maka tiadalah istilah serik di dalam kamus hidup mereka. Percaturan yang menanti di hadapan tidak siapa yang dapat menduga.

Rasanya, kalau nama sebesar Dayang Nurfaizah masih juga teringin nak memasuki One In A Million atau IKON, memang tidak berbaloi.

Alasan yang diberi memang tidak ada logikanya. Setakat ingin bertaruh adakah kemampuan suara kita bernilai 1 juta rasanya tidak berbaloi.

Bayangkan segala kudrat yang telah dicurahkan selama ini hilang begitu saja apabila diisytiharkan 'kalah' di tangan pencabar mentah seperti Suki dan Faizal Tahir.

Lihat saja pelawak Helmi Gimmik yang terang-terang 'dibelasah' oleh para juri profesional apabila masuk bertanding dalam Raja Lawak.

Habis semua kredibilitinya dan apa juga bakat yang ada langsung tidak diambilkira apabila dia hakimi oleh jutaan penonton dalam khidmat SMS.

Dan akhirnya Helmi 'ditolak' keluar. Sedangkan realitinya, Helmi adalah pelawak versatile yang cukup popular dan disenangi di kalangan tokoh korporat dan cukup berjaya sekali.

Inilah masalahnya apabila 'Ada sampan hendak berenang,' 'Ada tangga nak panjat tiang' dan dah 'Ada sirih hendak makan sepah'.

Mungkinkah perkara yang sama akan berulang lagi pada penyanyi rakaman Nur Shahila dan Siti Sarah yang memasuki OIAM musim kedua di mana keputusannya akan diketahui lusa ini. Intan Sarafina, walaupun sudah mempunyai beberapa album, awal-awal lagi sudah terkeluar.

Apakah nasibnya lebih baik selepas menampilkan kembali kemahirannya di pentas OIAM. Rasanya tidak.

Bagi stesen TV yang memberi laluan kepada artis-artis ini untuk 'mengasah' semula bakat mereka tentu selesa dengan kehadiran bintang-bintang yang sudah popular ini.

Formula atau trend memasukkan artis yang sudah sedia ada nama, rasanya sedikit sebanyak, dapat melariskan program realiti tersebut dengan menaikkan rating.

Kesudahannya, 'Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa'. Begitulah selalunya. Mujurlah nama Dayang Nurfaizah lebih besar dari program OIAM itu sendiri.
Disebabkan itu, kesan 'negatif' kekalahan tidak terpalit padanya. Berlainan pula halnya dengan Helmi Gimmik dan Intan Sarafina.

Diharap jangan terasa dengan pandangan peribadi Kakak Tua ini. Lebih elok 'Sepahit-pahit mambu, kelatnya menjadi ubat' dari 'Sebangsa rotan airnya pahit' - Kata-kata nasihat yang pedas tapi bermanafaat itu lebih baik dari pujian-pujian yang mulia tapi kurang faedah.

KAKAK TUA: Syukur dengan apa yang ada...'Apa kurang pada belida, sisik ada tulang pun ada!'

Melilit dulu baru memanjat!

(21-02-2008 12:48:00 PM)
BERAPA kerat antara kita yang cuba mengamalkan sikap seperti 'Jauhari yang mengenal manikam'?

Seperti jauhari yang begitu arif tentang mutu permata manikam, begitulah kehidupan seharian kita yang seharusnya bijak memilih antara yang tulin dan palsu.

Tambahan pula bila kita bergaul seharian dengan golongan yang suka bersikap lain di mulut lain di hati, terutamanya golongan artis.

Sifat jauhari mengenal manikam perlu diamalkan oleh golongan media khasnya, supaya mudah menjalankan tugas.

Tak payah susah-susah nak soal siasat atau selidik tentang ketulenan subjek yang kita tulis sebab naluri kita sendiri akan automatik dapat kesan samada seseorang itu berkata benar.

Kebiasaannya, 'Manusia tahan kias, binatang tahan palu', jadi seperti biasa, Kakak Tua akan berkiaslah hari ini.

Teringat Kakak Tua filem Indonesia Kiamat Sudah Dekat di mana diselitkan bagaimana hendak menguasai ilmu ikhlas. Bunyinya saja yang lain tetapi dari segi prinsip lebih kurang sama.

Lagi lama kita menjalani kehidupan di dalam industri hiburan, lagi terserlah sifat kepura-puraan orang-orang di keliling kita sehinggakan akan ada satu ketika kita sendiri akan hanyut oleh arus palsu ini. Nauzubillah!

Bagi pengamal budaya hipokrit ini agak sukar hendak meninggalkannya kerana sudah sebati dalam jiwa dan agak sukar pula bagi kita mengenal pasti sifat azali mereka.

Apa yang dituturkan dihadapan kita dan apa yang berlaku di belakang tabir adalah dua dunia dan cerita yang berbeza.

Tanpa malu dan segan, artis yang belum pun kenal erti kehidupan dan masih setahun jagung ini berani pula mencabar penulis sambil berkata, "Siapa yang fitnah, tolong tunjukkan bukti!"

Antara yang paling lantang menyuarakan ketidakpuasan hati dewasa ini artis jelita Fasha Sandha yang sering digosipkan dengan ramai lelaki tampan dan berpengaruh, tidak kira yang sudah berkahwin atau tidak.

Maka menyingalah Fasha meluahkan isi perutnya sehingga memberi kenyataan mencabar orang yang fitnahnya.

Keadaan Fasha tidak ubah seperti melompati pagar tiga hasta - nak lompat rendah, nak langkah tinggi, semuanya serba salah. Kasihan Fasha, hendak diam tak betah, nak bersuara takut orang tak percaya. Macam orang tenggelam puncalah.

Dari nada kenyataan yang dikeluarkan, Kakak Tua dapat mengagak betapa tertekannya jiwa Fasha ketika ini untuk menepis segala tohmahan.

Bila difikirkan balik, kita sendiri kena menjalani kehidupan dan secara tidak langsung menangkis segala tohmahan, dan tidak seperti yang dicemuh itu. Seandainya perlakuan kita selari dengan apa yang ditulis, maka 'azab'lah jadinya.

Dan bila di mulut berkata itu berita fitnah, hendaklah cerita yang menyusul di belakangnya bersifat sedemikian dan bukan sebaliknya. Bila kita berada di tempat dan khalayak yang mencurigakan, alih-alih keluar cerita yang tidak enak, siapa yang harus dipersalahkan?

Kalau perlakuan kita asyik berkepit, bergayut siang malam seperti belangkas tetapi yang terpacul di mulut, kami hanya berkawan, bukankah itu juga boleh mendatangkan gosip fitnah?

Lainlah seperti pasangan popular Fahrin-Linda Onn dan Khai-Rosma, pakai sedondon dan berendut manis bagai gula Jawa, ke sana sini berdua saja tapi masih enggan mengaku mereka ada menyimpan hati.

Sejarah banyak menyimpan kisah yang boleh dijadikan tauladan. Bila sudah berdua, tidak mahu mengaku, bila terang-terang sudah beranak juga enggan mengaku. Tapi bila anak sudah besar, tiba-tiba buat pengakuan, itu anak saya. Pelik sungguh!

Untuk artis muda seperti Fasha yang ibarat 'Masih berbau pupuk jerangau' kerana kurang pengalaman, belajarlah dari mereka-mereka yang lebih terdahulu makan garam.

Ini kerana 'Sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari.' Bila sudah jadi buluh, jangankan nasihat atau teguran, apa saja kiasanpun tidak akan berbekas. Nasihat yang elok ambillah dengan hati yang terbuka.'

Jangan menunjukkan keegoaan kerana kita tidak tahu bila kita akan jatuh dan meniti zaman kemalapan. Ketika itu nanti 'Manikam sudah menjadi sekam' - semuanya tidak berharga dan berguna lagi.

KAKAK TUA: Terpaksa menerima hakikat - Mara hinggap mara terbang, mara bergesel sambil lalu, enggang lalu ranting patah!

Lain diniat lain ditakdir, lain diacah lain yang jadi!

(13-02-2008 12:12:49 PM)
TIDAK ada siapa yang dapat menduga suratan hari esok. Sering kali kita mendengar keluhan 'Bukan salah ibu mengandung' bila seseorang itu ditimpa mala petaka yang biasanya berpunca dari kesilapan dan kealpaan sendiri. Juga bila didatangi kemelut yang tidak terduga.

Tanyalah Wan Norazlin, Rosnah Mat Aris, M.Rajoli, Azean Irdawaty, Fazura, Yusni Jaafar, Faizal Tahir mahupun Jamal Abdillah (sekadar memberi beberapa nama), mereka sendiri pun tidak dapat mengagak begini kesudahan nasib mereka.

Tercari-cari akan hikmah atas bencana atau dugaan yang menimpa. Punca dan hikmah hanya Allah jua yang mengetahui. Syukur dan redha bagi mereka yang beriman.

Sesalan tidak dapat mententeramkan jiwa seandainya kita tidak mengambil iktibar dari setiap kejadian yang menimpa diri.

Apabila diri tersepit, terkapai-kapai menghadapi dugaan demi dugaan atas sikap atau keterlanjuran sendiri, tanpa disedari itulah sebenarnya hikmah yang tersirat. Meskipun kita dicemuh dan dihina atas apa jua alasan, yang penting kita perlu menginsaf dan muhasabah diri.

Siapapun jua tidak mampu melawan takdir kerana Allah saja yang Maha Mengetahui apa yang tersirat di sebalik kehidupan seseorang.

Masa kan kita lebih arif tentang hikmah di sebalik perkahwinan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza yang bersuamikan duda Datuk K, Ning Baizura pula pilihan duda berbangsa Inggeris dan bila mana pelakon Ziela Jalil yang memegang gelaran isteri kedua kini berstatus balu.

Dapatkah kita selami hari esok sedangkan terlalu jauh dari jangkauan minda kita yang dhaif? Segarnya kita di hari ini dengan kesihatan yang diberi tidak menjanjikan sebuah kebahagiaan selamanya. Seorang demi seorang diduga dengan kesakitan.

Cuma cara dan masa saja berbeza. Bila direntap segala nikmat dari tubuh, itulah 'nikmat' yang tersembunyi kerana di waktu itu, kita menjadi manusia kudus yang mengharapkan keampunan dariNya.

Itulah permainan takdir. Cukup 'berat' untuk diketepikan begitu saja kerana yang menentukan segala hanya Dia.

Kita sendiri tidak tahu bagaimana untung nasib kita esok dan lusa. Hari ini disanjung, besok disisih. Hari ini sihat, besok sakit. Hari ini kaya, besok miskin. Hari ini bebas, besok merengkok di dalam penjara. Hari ini popular, besok dilupa. Tiada satu jua yang kekal dan hakiki.

Wajah yang jelita semakin pudar (tanpa manipulasi botoks dan kolagen), usia meningkat naik saban hari (kalau ikut perhitungan sebenar) dan titik noktah sebuah hayat juga semakin hampir (tiada kalendar khas untuk perkiraan ini).

Maka seeloknya kita beringat dan berpesan-pesan. Bila tiba masanya tidak ada apa yang dapat melengahkan apa yang sudah dijanjikan dan kita harus redha.

Hidup ini bagai satu sandiwara, kadang gembira kadang duka. Hanya orang yang biasa berada di kancah begini akan senantiasa sedar akan siksa yang menanti.

Dan apabila sakit dan dugaan datang menghimpit dan menyapa, silih berganti bagai malam dan siang, tiada yang dapat membantu kecuali doa dan Allah jua.

Satu demi satu artis veteran kita 'dihisab' dan mendapat kifarah (pengampun dosa) di dunia, di depan mata. Tergenang airmata, terkalang di hati melihat betapa siksanya mereka bertarung dengan segala penyakit yang datang dariNya jua.

Yang terbaru Pak Hamid Gurkha masuk hospital kerana menghidap denggi. Tunggu saja giliran siapa pula esoknya. Setiap seorang tidak akan terlepas dari diduga, baik artis mahupun golongan marhain seperti Kakak Tua. Cepat dan lambat saja.

Tentu saja ingatan tulus begini dapat dirasai oleh orang yang paling gembira hari ini, pengacara popular Azwan Hj Ali yang akan menyambut hari lahirnya yang ke 42 malam nanti di Polo Club, Palace of The Golden Horses.

Ketika undangan dilayangkan melalui SMS, ingatan Kakak Tua terus melayang jauh teringat masa riang artis-artis yang kini sedang diuji dengan begitu hebat sekali, baik dengan penyakit mahupun dengan dugaan lain.

Azwan sendiri masih melalui fasa perit dan getir kerana berselisih pendapat dengan kaum wartawan. Episod yang sedang dilaluinya sedikit sebanyak sudah tentu mengajarnya tentang erti sebuah kehidupan.

Teringat Kakak Tua sepotong ayat dari arwah ayah apabila kita dianiaya. "Biar orang buat kita, jangan kita buat orang." Mungkin juga dari susun ayat, tutur kata kita, banyak sudah disalah tafsirkan dan diinterpretasikan sebagai negatif.

Begitulah selalunya yang terjadi apabila ada perbalahan antara dua pihak. Kemelut bertambah kusut apabila tidak ada yang ingin 'mendengar' dan bersikap prejudis dan buruk sangka.

Sengketa dapat didamaikan jika semua isi perut diluahkan. Jangan ada syak wasangka, atau simpan didalam hati kerana bila dendam mula bersarang, akibatnya 'Lain luka lain menyiuk, lain sakit lain mengaduh.' Kesudahannya tidak berapa elok.

Selalunya, masalah yang melibatkan prejudis dan buruk sangka ini susah dileraikan kerana hati dan perasaan manusia begitu kronik dan 'complicated'. Fitrah manusia suka berfikiran negatif dan berburuk sangka, tidakkah begitu?.

Sikap begini tidak banyak membantu permasalahan yang berlaku di keliling kita. Alih-alih, tanpa usul periksa dan mengetahui perkara sebenar, ramai akan buat spekulasi sendiri tentang kisah di sebalik sesuatu peristiwa.

Maka jadilah 'Lain yang bengkak lain yang bernanah; lain yang untut lain pula yang mengisut.'
Dan ketentuan Tuhan pula akan membawa kisah lain. Walau apapun spekulasi dan sangkaan kita, Allah jua yang menentukan segala.

Sudahnya, 'Lain yang dihajat lain yang jadi kerana niat tidak dapat mengatasi takdir maka jadilah 'lain diacah lain yang jadi'.

Selagi lidah kita tidak bertulang dan terbiasa bercakap berputar-belit maka akan timbullah masalah yang berhubung kait dengan perasaan.

Tidak ramai yang bisa berbicara dari hati. Selalunya, lain di mulut lain di hati. Lain biduk lain digalang, lain ditanya lain dijawab.

Punca perlakuan begini kerana sifat murni untuk menjaga hati atau mungkin juga terbiasa dengan sikap memberi minyak pada api kemarahan yang sedang menjulang. Wallahualam!

KAKAK TUA: Lain dulang lain kakinya, lain orang lain hatinya.

Jangan zalim bila menjatuhkan hukuman!

(24-01-2008 10:32:13 AM)
WALAUPUN bagi Kakak Tua perlakuan Faizal Tahir alias Superman membuka baju dan menconteng huruf S, simbolik initial Superman dan Smallville bukan satu 'jenayah' berat, ramai yang beranggapan sebaliknya.

Mungkin bagi mereka, Faizal telah melakukan sesuatu yang 'menyalahi' kebiasaan bak kata orang, 'Menumbuk di periuk, bertanak di lesung' - lain iramanya.

Yang dibuat lain, yang diharap lain dan kesudahan peristiwa itu telah memalitkan satu lagi sejarah buat OIAM dan semua artis agar menjadikannya satu tauladan.

Tapi hairan sekali kenapa begitu berat hukuman yang dijatuhkan pada Faizal. Seolah-olah sudah tidak ada lagi pengampunan buat ketika ini. Dari hukuman tiga bulan tidak boleh beraksi di pentas live, digugurkan dalam AJL hinggalah ke penahanan royalti Faizal.

Dan Faizal juga dikenakan hukum melakukan kerja sosial atau khidmat masyarakat selama 6 bulan.

Kenapa begitu cepat sekali memberi tindak balas ekstrim? Tidak ada lagi ke jalan perundingan. Bukan sedikit orang yang tertanya-tanya bagaimana pula salah laku artis perempuan yang membogelkan diri dengan rela dan membuat laporan kononnya gambarnya disuperimpose.

Artis-artis perempuan tidak pula diambil tindakan bila berkelakuan tidak senonoh sehingga mereka langsung tidak tercalit perasaan malu, malah berasa megah lagi.

Kesian Faizal. Kalau langit hendak menimpa bumi, masakan boleh ditahan dengan telunjuk?

Pada Faizal, Kakak Tua berpesan, lepas ni pandai-pandailah membawa diri. Kalau kita pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang.Yang baik jadikan tauladan, yang tak elok jadikan sempadan.

Jangan ditentang matahari condong, takut terturut jalan tak berintis.Beringat-ingatlah selalu, jangan terpedaya dengan kehebatan diri dan mencari kemarahan orang lagi.
Bagi 'penyimpan mohor' pula, seharusnya dititip pesanan agar senantiasa bersikap adil.

Janganlah semut di seberang nampak, tapi gajah yang tergolek-golek depan CCTV langsung tak dikalis. Seeloknya kita memahat didalam baris dan berkata dalam pusaka. Ikutlah aturan yang betul bukan ikut sesuka hati dan nafsu amarah saja bila menjatuhkan hukum.

Tak payahlah dicari-cari lagi kesalahan Faizal dan terus-menerus mengaitkannya dengan apa saja hukuman yang terlintas difikiran. Itu zalim namanya. Sebaik-baiknya bila seseorang sudah mengaku melakukan kesilapan, kita buka saja lembaran baru.

Walaupun sering kali kita dikejutkan dengan berita-berita artis yang tak makan saman dan tak serik-serik melakukan salah laku. Balik-balik muka yang sama saja yang membuat silap. Buat silap, minta maaf, lepas tu buat lagi. Lama-lama kitapun naik meluat juga.

Nasib Faizal mungkin tidak sebaik Jamal, Saleem dan ramai lagi artis yang selalu saja diberi 'lesen besar' dan imuniti untuk buat salah dan semua orang sedia memaafkan.

Faizal artis berbakat besar yang disebut-sebut sebagai pelapis yang mempunyai masa depan cerah.

Impian Faizal masih lagi tidak kesampaian. Angan-angannya untuk menjadi Superman di atas pentas tidak direstui. Lantas dia dihukum.

Memanglah pelik dan sedikit lucu melihat gelagat insan bernama Faizal Tahir ini. Tapi menghukumnya dengan berbagai cara sungguh tidak adil.

Kelebihan ikan adalah radai, kelebihan manusia pula akal dan tiap-tiap manusia ada kelebihannya. Faizal yang hanya sempat menunjukkan kelebihannya 'membuka baju' dan menggelunsur, sudah dijatuhkan hukum.

Seharusnya apa saja kreativiti Faizal perlu dirujuk pada orang yang lebih arif agar ianya dapat disalurkan dengan cara lebih sempurna.

Stesen 8TV tidak seharusnya membunuh terus kreativitinya dengan cara begini. Kalau sayang 'anak' sekalipun dan ingin memberi pengajaran, janganlah sampai 'overboard'!

KAKAK TUA: Paling tidak suka bila 'kata yang benar ditidakkan, rahmat Tuhan dilarikan'.

Kenapa kecoh bila Faizal Tahir buka baju?

(15-01-2008 01:24:20 PM)
SEJAK akhir-akhir ini subjek yang dipilih oleh Kakak Tua sering mendapat perhatian pemerhati 'misteri'. Ada saja yang tidak kena pada dasarnya. Kononnya, pilihan subjek terlalu sensitif dan peribadi.

Apakan daya, bubu duduk, jiwaku hilang - tidak terdaya melawan kehendak orang yang lebih berkuasa kerana diri ini hanya mentimun. Kena hempap pula buah durian Siam, tergolek-goleklah kita ke tepi tidak ke tengah pun tidak.

Namun jelas topik yang ingin Kakak Tua sentuh kali ini tidak kurang menariknya.

Walaupun akan ada suara sumbang yang akan memberi teguran seperti selalu dan akan mengingati Kakak Tua agar, "Buka mata pasang telinga, tutup mulut simpan di hati", maaf kerana rasanya tidak mampu diketepikan begitu saja.

Ini kerana ia melibatkan penyanyi kesayangan Kakak Tua, Faizal Tahir yang buat aksi tanggal baju ketika konsert TV8 baru-baru ini sehinggakan pihak TV stesen mengadakan sidang akhbar pagi ini untuk menjelaskan kenapa dan mengapa Faizal bertindak sedemikian.

Rasa-rasanya tentu Faizal akan memohon maaf kerana "keterlanjuran' perbuatan menanggal baju. Tapi perlukah meminta maaf kalau perlakuan itu sebenarnya didorong oleh satu aestitika dalaman yang Faizal sendiri susah hendak terangkan.

Maknanya, segalanya telah dirancang sehingga ke titisan dakwat merah berbentuk S yang terpampang menghiasi dada Faizal.

Bagi mereka yang berfikiran terbuka, tidak ada salahnya perlakuan Faizal ini. Kira perbuatannya menghargai peminat sama seperti di barat. Namun bagi mereka yang berfikiran 'jumud', sudah tentu Faizal dicemuh dan diselar.

Sudah dua kali Faizal membuat ekspresi diri yang mengejutkan. Nak kata gimik, tak juga. Yang pasti apa yang dilakukan oleh Faizal baik kali ini adalah yang paling berani dan sememangnya menarik minat peminat dan wartawan untuk menjadikan dia satu 'case study'.

Kali pertama Faizal menunjukkan 'keghairahannya' di atas pentas setelah teruja apabila namanya diumumkan sebagai finalis AJL. Gimiknya menggelungsur di atas pentas dek kerana terlalu gembira mengundang kontroversi yang bukan sedikit sehingga mendapat teguran dari ayahandanya sendiri.

Apakah perlakuan Faizal menggelunsur dan membuka baju satu kesalahan? Kalau ditanya pada Kakak Tua yang sanggup menjadi 'peguambela' tanpa diupah ini, "No hal. Janji tak kacau orang. Itu cara Faizal mengekspresi diri. Lain orang lain caranya."

Ada tu sampai pejam-pejam mata. Penyanyi Didi Kempot dari Indonesia baru-baru ini mengipas-ngipaskan tangannya untuk mendapat penghayatan, David Arumugam pula sehingga kini mesti pekena Carlsberg kalau tak, tak sah. Ada yang lebih ekstrim, guna syabu dan pil ecstacy. Jadi kalau Faizal buka baju, itu masih boleh diterima hukum akal Kakak Tua.

Memanglah pendapat kontroversi ini akan mengundang pelbagai reaksi tapi itulah yang terbuku di dalam hati ini. Lagipun, peminat macam Kakak Tua, tentu saja 'bias' dan akan tetap menyebelahi Faizal selagi tidak membuat sesuatu yang lebih ekstrim.

Sebenarnya, Kakak Tua suka sangat melihat Faizal beraksi sedemikian. Ianya melihat satu kejujuran yang belum pernah dizahirkan sebelum ini oleh mana-mana artis. Artis yang berani macam Faizal boleh dibilang dengan jari.

Tak salah kalau Faizal ikhlas ingin berkongsi dan mempamerkan kegembiraannya di pentas yang bernama konsert. Mungkin juga laungan yang diterima bagaikan satu suntikan semangat untuk Faizal berkelakuan sedikit 'luar biasa.'

Kalau adapun, silap Faizal cuma tidak tahu hendak mengawal diri agar tidak 'keterlaluan' mengekspresi diri.

Tapi kalau ditanya secara peribadi, rasanya ok saja Faizal berkelakuan begitu. Ada orang kata tak sopan, tak manis. Ada juga benarnya. Macam orang makan berdirilah. Nampak tak manis tapi tidak menjadi satu kesalahan, cuma kelihatan kurang elok. Itu saja...

Kalau dalam konteks kesalahan jalanraya, tak kena denda pun. Hanya diberi amaran saja. Graviti perlakuan Faizal tidak mengundang apa-apa bahaya pada si pelaku dan si penonton. Cuma dari konteks adat permasyarakatan orang timur, kurang manis, 'kurang adab'.

Bila sudah menjadi hak masyarakat, yang membuat ketentuan apa yang patut dan tak patut dilakukan ialah masyarakat. Dalam hal ini, Faizal terpaksa berkelakuan seperti yang dituntut dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kanun masyarakat.

Tapi bila fikir balik, tidak ada apa yang dapat menidakkan sokongan padu pada artis yang bersuara semerdu Faizal. Tengok saja artis yang pernah buat salah laku sebelum ini seperti Jamal Abdillah, Awie, Saleem, Amy Search. Bakat mereka melangkaui 'resume' mereka.

Buatlah apa saja tak tercemar pun kerana yang dilihat 'bukan hitam kulit tapi tulang putih yang di dalam.'

KAKAK TUA: Kesian Faizal, terpaksa mengadap media lagi kerana 'angin tak dapat ditangkap, asap tak dapat digenggam'!