Wednesday, June 25, 2008

Siapa yang kena cubit, dialah yang terasa sakit!

25-06-2008 10:22:27 AM
KISAH cinta 'tragis' paling meruntun perasaan kalau kita ni jenis yang sentimental. Lihat saja di layar perak, watak yang paling mudah kita hayati ialah Laila & Majnun atau Romeo & Juliet.

Tapi itu cerita di layar perak. Kalau dalam kehidupan seharian, banyak juga babak asmara begini yang berlaku di hadapan mata dan diberi tempat penting di ruangan gosip dan berita.

Tambah menarik bila pelakunya adalah pasangan popular seperti DJ Era Linda Onn dan pelakon Fahrin Ahmad.

Pasangan ini sering digosipkan ada hubungan cinta. Terlalu kerap penafian yang dibuat dan kebenaran dikaliskan oleh Linda Onn sehingga naik muak orang membaca. Tetapi baru-baru ini, tak ada angin, tak ada ribut, pasangan ini memberi komentar berlainan apabila ditanya kenapa hubungan mereka tidak semesra dulu lagi.

Linda kata dia hanya berkawan dan tidak pernah pun bercinta dengan Fahrin manakala Fahrin pula berkata dia tidak pandai berdolak-dalik.

Maksud cakap mereka membuat kita terpinga-pinga. Ingatkan orang politik saja yang pandai pusing-pusing cakap. Rupa-rupanya, insan seni lebih bijak lagi bermain dengan kata-kata.
Tiada maknanya pakaian sedondon yang sering dikenakan bersama. Begitu juga telatah bagaikan merpati dua sejoli terbang ke sana ke mari berdua-duaan hanya satu mainan seloka semata.

Mungkinkah selama ini, mata kita terkilau dek kemesraan yang 'dibuat-buat' atau kita yang 'bersalah' kerana mengharapkan sesuatu dari permainan perasaan mereka berdua.

Tafsiran yang dapat dibuat berbagai-bagai terpulang kepada kebijaksanaan kita membaca bahasa tubuh kedua mereka.

Bagi pihak media pula, cukup sekadar menghimpun dan mengamati kata-kata Linda & Fahrin.
Mungkin juga media tersilap membuat interpretasi sendiri apabila melihat kebahagiaan kedua mereka yang melebihi teman biasa. Sudahnya, semua orang terkhilaf.

Kakak Tua teringin hendak tahu misteri cinta apakah ini. Sungguh mengasyikkan dan membuat hati tua ini teringin sekali berkongsi rahsia.

Tak mungkin Linda cuba bermain sandiwara walaupun dia pernah berlakon filem Gila Bola. Dan mustahil pula Fahrin yang 'hidung tak mancung pipi tersorong-sorong' kerana selama ini, rentak gaya keduanya tidak pernah pun sumbang. Pendek kata, Linda dan Fahrin laksana garam dan asam, amat cocok sekali.

Tapi bila kedua mereka membuat kenyataan berbeza tentang satu perhubungan, kita pula yang jadi keliru. Hanya mereka berdua sahaja yang tahu apa yang mereka lalui bersama. Bak kata orang tua, 'Ketika ada sama dimakan, waktu tak ada sama ditahan.'

Kita hanya dapat meneka apa yang tersirat di sebalik nada sinis dan bersahaja kenyataan mereka di akhbar. Tapi Kakak Tua yang tahu sedikit sebanyak tentang tenung makrifat percaya Fahrin lebih merasakan kepedihan di atas 'perpisahan' ini.

Dari riak muka, kesungguhan serta keikhlasannya mengeluarkan isi hati sudah dapat dijangka betapa saratnya beban cinta tidak kesampaian yang sedang ditanggungnya. Itu belum lagi sentuh bab 'air muka'nya yang dipermainkan.

Mendung saja muka Fahrin, bagaikan hangus tidak berapi, karam tidak berair. Berlainan pula dengan wanita kental dan berhati waja Linda Onn yang selamba dan begitu yakin bahawa mereka hanya berkawan dan tidak lebih dari itu. Susah juga hendak menyingkap kisah benar pasangan ini apabila irama hati tidak senada lagi.

Harap-harap Fahrin janganlah terlalu berduka cita kerana kehilangan akan diganti. Hanya masa yang akan mengubat hati yang rawan.

Lagipun, bila sudah diberitahu yang kita ni bertepuk sebelah tangan, sebagai lelaki kita perlu ada harga diri. Jangan sampai orang kata, 'Bintang di langit dapat dibilang, arang di muka tidaklah sedar.' Pandai-pandailah muhasabah diri.

KAKAK TUA: Bunga yang harum itu ada juga durinya!

Thursday, June 19, 2008

Andai kasih sudah berubah


KISAH artis cerai berai bukan sesuatu yang patut disensasikan. Malah, kalau ikutkan tata cara yang betul seharusnya tidak perlu dihebohkan langsung.
Sementelah sudah heboh diperkatakan, terpaksalah beberapa artis melakonkan babak sandiwara seolah-olah tiada apa yang berlaku. Itu antara dilema artis kita.
Kejadian sebegini mengingatkan Kakak Tua pada sepotong ayat yang pernah dititipkan oleh Almarhum ayahanda. Kata arwah ayah, 'Dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal yang belayar di lautan. Telah banyak kapal yang karam didalamnya tapi andai muatan kita adalah iman dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.'

Mengenangkan bukan sedikit barisan artis jelita yang sedang menunggu giliran untuk 'dijatuhkan hukum' di Mahkamah Syariah, datanglah belas hati ini. Wajah jelita bermandikan kisah duka, tercalit malu bukan kepalang kerana idola ribuan peminat yang sedang menunggu hukuman. Jarang sekali yang baik diceritakan bila kisah cerai terburai di dada akhbar...
Nama pun penceraian. Karam di hati siapa yang tahu.....

Namun apapun masalah yang dihadapi dalam rumahtangga, yang penting adalah kejujuran kerana apabila kita hidup tanpa kejujuran, hidup kita akan senantiasa menjadi mainan orang.

Begitu juga sehebat mana sekalipun kita sebagai individu, kita perlu ikhlas menjadi diri sendiri.

Walaupun status selebriti atau artis popular menjangkaui gemerlapan nama kemasyuran, seandainya kita tidak jujur mengharungi perjalanan hidup ini, kita akan sesat jalan.

Jujur dan ikhlaslah apabila berbicara. Janganlah asyik hendak bersandiwara dan main wayang. Tidak ada titik nokhtah seandainya berlakun tanpa tuan direktor.

Yang paling molek, sebagai orang surat khabar kita sepatutnya memberi ruang pada mereka yang berada di ambang perceraian ini. Ruang untuk mereka 'bertenang' dan memikirkan semula saat-saat manis. Jangan dirobek lagi jiwa-jiwa yang sedang kacau ini.

Seandainya terlangsung dan tersadung bercakap pasal 'rumahtangga yang tidak sihat' seperti yang dilakukan oleh bintang jelita Norish Karman dalam Melodi Ahad lepas, seharusnya lebih berhati-hati dan jujur bila meluahkan rasa di khalayak.

Terpaku melihat bibir mungil Norish berbicara soal rumahtangganya yang dikatakan sedang genting. Norish tampil agak meyakinkan pada mulanya. Namun lama kelamaan, dek terlalu teruja atau kurang cekap mengendalikan susunan ayat, artis jelita dari Singapura ini terbabas.

Dalam dia cuba mempertahankan yang dia masih tinggal sebumbung dengan suaminya, tiba-tiba terpesong skripnya yang kurang sempurna.

Penafian yang dibuat menimbulkan lebih banyak tanda tanya. Kalau masih tinggal sebumbung dan masih ada suami, masakan pengganti nama sang suami 'tanyalah pihak sana.' Begitulah cara minda tua ini berfikir dan menganalisa senario rumahtangga yang berantakan ini.

Semakin keliru hendak mentafsirkan kesahihan berita. Betulkah Norish Karman artis yang dimaksudkan sedang menuntut harta sepencarian yang agak lumayan itu? Seandainya ditayang balik, mungkin Norish sendiri akan tersenyum mendengar hujah pembelaannya yang kurang kukuh itu. Dan di situlah perangkap samar yang terkena Norish.

Aktres berbakat besar yang mula mendapat tempat setelah menunjukkan lakonan hebat dalam drama 'Syurga Di Pintu Neraka' ini seperti kalah dalam percaturan sendiri.

Bukan saja Norish, siapa saja yang di ambang yang sama tentu buntu fikiran. Bagi Kakak Tualah, kita sepatutnya lebih bijak menangani isu-isu yang melibatkan hal dalam kain ini.

Tak payah dilayan soalan-soalan yang akan memakan diri kelak yang malu diri kita sendiri juga. Mereka yang pernah berada dalam situasi yang sama seperti penyanyi Nash-Sosilawati, Beego-Intan, Awie-Arni (sekadar contoh) tentu sudah serik bukan kepalang.

Kalau pun perlu diperjelaskan, cakaplah dengan berhemah dan jujur serta tulus. Hendak cakap berlapik pun jangan sampai pecah tembelang. Nanti orang kata artis kita tidak habis-habis main bersandiwara baik di kaca TV mahupun di luar.

KAKAK TUA: Hidup tak selalunya indah. Keindahan datang dengan kejujuran!

Condong yang akan menimpa

TIDAK dapat dibayangkan apa yang terlintas di benak pelakon Anak Pontianak, Zarina An-Julie Fahizul ketika merakamkan foto seksi peribadi, sekaligus mengaibkan diri sendiri.
Dan apakah perbuatan yang tidak bermoral itu boleh disifatkan sebagai 'cuai.' Cuai adalah istilah yang digunakan oleh pelakon jelita berusia 21 tahun ini bagi menggambarkan situasinya ketika foto itu dirakamkan.

Dapatkah kita terima alasan yang foto itu dirakam untuk tatapan peribadi saja dan tidak lebih dari itu. Kononnya, seseorang telah mencurinya dari komputer ribanya dengan niat untuk memalukan dirinya.

Kakak Tua amat simpati dengan Zarina An-Julie kerana angkara sendiri, terjerat dalam situasi yang memalukan. Itu belum lagi disentuh soal maruah keluarga dan diri sendiri sebagai anak gadis.

Walau apapun, sungguh mustahil dan tidak dapat diterima akal bila Zarina mangatakan dia tidak tahu perbuatan ITU akan mengundang binasa bak condong yang akan menimpa.
Budak kecilpun tahu membezakan yang baik dan buruk, masakan sudah besar panjang tidak boleh.

Luluhnya hati ibu ayah bila anak menconteng arang di muka. Apapun alasan yang tidak masuk akal diberi sekalipun, ianya tidak akan mengubah apa yang sudah berlaku. Untuk membasuh percikan mala di muka keluarga mengambil masa yang lama. Itupun belum tentu akan terpadam sejarah silam aktres jelita ini. Akan terpalit jua cerita pekung ini sehingga ke anak cucu.

Gadis yang diburu sensasi dan kontroversi ini tetap diselar, dikritik hebat sungguhpun sudah mengakui kesilapan sendiri. Tambahan pula gambarnya tersebar luar, tanpa batasan, di internet. Itupun kata An-Julie, parti yang dihadirinya bukan parti liar seperti didakwa di Port Dickson. Mungkin juga hanya temasya muda mudi alaf baru yang alpa tentang masyarakat sekeliling dan batas hukum hakam....

Setelah memohon maaf. sangatlah wajar kita membuka lembaran baru dan memberi kemaafan itu namun masih ada yang terbuku di hati Kakak Tua tentang kenyataan yang diberi. Namun semua ini sekadar renungan bersama saja untuk mencari punca.

Ketika kali pertama gambarnya tersebar, disalahkan teknologi 'super impose.' Selang beberapa lama, timbul pula gambar panas yang terbaru ini. An-Julie sanggup memberi alasan bodoh seperti "kecuaian, di luar kawalan dan tidak sedar perkara ini salah kerana ianya hanya untuk tatapan peribadi."

Katanya lagi, "Semua koleksi peribadi saya simpan dalam komputer riba dan silap saya suka meletakkan komputer itu merata-rata. Malangnya, ada orang sengaja mengambil kesempatan dengan menyebarkan gambar itu di internet. Biar Tuhan membalas perbuatannya. Mungkin niatnya mahu memalukan saya."

Cukuplah rasanya, lafaz kata 'saya bersalah.' Tak payah membuat dalih dan alasan kerana akan terserlah lagi keterlanjuran baik dari tutur kata mahupun perbuatan. Yang jelas, kita sendiri akan menanggung malu.

Ingatlah keaiban yang turut membabitkan orang tua. Kakak Tua percaya, ini adalah antara ribuan kes 'bukan salah ibu mengandung' dan keterlanjuran ini juga kerana mengikut bisikan hati muda. Terkenang kata-kata Datuk Daud Kilau ketika difitmah membuat onar dengan lelaki remaja.

"Jika diambil satu lautan untuk menghilangkan arang di muka saya, nescaya tidak mampu menghilangkannya. Begitulah aibnya saya," kata penyanyi veteran yang masih mengekalkan geleknya itu.

Sedari kecil walau apa jua latar belakang kita, ibu bapa mengajar yang mana baik, yang mana buruk. Hanya kekerapan dan keberkesanan pelajaran ini sahaja yang akan membezakan kita.

Seandainya 'the sense of right and wrong' ini tidak diterapkan dengan cara berkesan dan efektif sedari kecil maka akan berlakulah lagi peristiwa sebegini rupa. Ramai lagi An-Julie, Sufiah dan perlakuan curang akan muncul dan si pembuatnya akan tersadung memberi 1001 alasan dangkal untuk meloloskan diri dari 'dijatuhkan hukum.'

Yang layak menghukum hanya Allah yang satu. Mungkin teguran tidak akan meninggalkan kesan apa-apa. Tapi harap-harap An-Julie akan insaf dan tidak mengulangi lagi perbuatan lampau. Cukuplah melakonkan watak 'Anak Pontianak' di kaca TV. Jangan sampai badi Anak Pontianak mengikut sampai bila-bila.

Takut nanti orang lari bukan kerana wajah yang menggerunkan atau seram tapi kerana takut dengan perlakuan 'seram' An-Julie. Wallahualam.


KAKAK TUA: Rosak badan karena penyakit, rosak bangsa karena laku.