Tuesday, April 29, 2008

'Eksploitasi' dua penyanyi cilik MyStarz, LG

(22-08-2007 09:27:22 AM)
BANYAK perkara yang menarik perhatian Kakak Tua ketika menyaksikan konsert MyStarz, LG minggu lepas.

Antaranya ketika pengacara Naz tersasul menyebut 'Datuk Sili' apabila memperkenalkan Datuk Siti Nurhaliza, tangisan penyanyi cilik Emeer ketika ditegur oleh komposer Azmeer dan 'kerakusan' kritikan Azmeer.

Banyak-banyak perkataan, Naz boleh tersasul nama Siti. Isu tersasul ini perlu ditekankan mengenangkan betapa 'serius' ketersasulan yang telah dibuat itu. Kalau perkataan biasa tak apa lah juga. Ini tersebut 'Sili' yang bunyinya seakan 'Silly' yang membawa maksud 'bodoh.'

Betul lah kata pepatah Inggeris, "A slip of the tongue is no fault of the mind." Agaknya itulah yang berlaku ketika Naz begitu teruja memperkenalkan Siti. Walaupun Naz cepat cover-up dengan berkata dia terpaku melihat kecantikan Siti namun kita tahu ucapan itu hanya sekadar menyedapkan hati.

Naz sepatutnya tidak ambil mudah kesilapan ini. Nasib baiklah Siti jenis yang tidak ambil hati, kalau artis lain tak tahulah....

Kedua episod 'menyayat hati' dan tangisan hiba seorang kanak-kanak cilik bernama Emeer.

Sampai bengkak mata Emeer menangis sejurus Azmeer memberi kritikan yang TIDAK MEMBINA itu. Budak comel yang mempunyai bakat cemerlang dan diakui oleh banyak pihak termasuk pihak Istana Pahang tiba-tiba dikritik kerana mempunyai 'suara kenak-anakan?'

Perasaan Emeer bergolak sebegitu rupa kerana kelancangan mulut Azmeer yang memberi komen syok sendirinya. Azmeer yang bersikap 'Mat Over' sepanjang konsert berlangsung menampakkan dirinya 'begitu hebat' sebagai komposer berpengalaman. Seolah-olah apa yang dicakapkan itu semuanya bernas dan boleh masuk akal....

Kata-kata "Kau tak boleh lawan abang Ijam atau suara budak yang azan kat surau rumah abang pun sama keanak-anakkan.... betul-betul out of context." Seharusnya Pengetua dan tenaga pengajarlah yang patut diberitahu kerana mereka lebih arif ke mana hendak dibawa bakat Emeer itu.

Terkilan sungguh sikap Azmeer sebagai juri yang diundang untuk kali keduanya bagi menunjukkan ilmu penjuriannya. Komennya bukan saja bias tapi kasar dan tidak molek ditujukan kepada seorang budak sehingga Emeer menangis teresak-esak di belakang pentas.

Tapi yang bagusnya pula, pandangan one-track minded Azmeer terhadap bakat Emeer memberi implikasi negatif kepada Azmeer sendiri.

Komen Azmeer juga turut membuat juri seterusnya Siti terbantut untuk memberikan pendapatnya.

Bak kata Patrick Teoh sepatah, kenapa tidak eksploit dua perkara yang Emeer ada iaitu "Stage presence dan energy." Memang tepat kata Patrick, pemilihan lagu Emeer SALAH. Bagi Kakak Tua pula, ianya tidak sesuai, tangkap muat, cuai atau ada strategi tertentu?

Pemilihan lagu yang tidak bijak dan teramatlah tidak kena dengan vocal range Emeer seperti Dealova adalah seperti memasang jerangkap samar. Kebetulan pula Emeer kurang sihat pada hari itu maka persembahan Emeer 'below par.'

Komen Azmeer yang tidak kena gaya dan tempatnya memberi tekanan yang bukan sedikit kepada budak berusia 12 tahun itu. Kesihatan yang tidak memuaskan ditambah dengan pilihan lagu yang salah membuat persembahan Emeer sungguh tidak bertenaga sekali. Tidak seperti persembahannya di konsert yang lepas-lepas.

Tidak salah kalau membuat rumusan yang semua ini seolah-olah dirancang. Kenapa perlu bagi lagu sedemikian sedangkan sudah tahu kemampuan Emeer?

Bukan saja frust melihat 'kekalahan' Emeer, ramai yang kecewa mendengar kejutan yang kedua penyanyi cilik - Emeer dan Racel tersingkir hari itu. Bayangkan dengan sekelip mata saja, dua penyeri program MyStarz, LG terkeluar.

Bukan satu andaian tetapi realiti di mana ramai yang menonton program ini semata-mata untuk melihat Emeer dan Rachel beraksi. Juga untuk menyaksikan kehebatan bakat mereka dan melihat ketrampilan imej mereka pada setiap episod.
Tapi itulah 'mimpi ngeri' yang dijanjikan oleh MyStarz, LG untuk dua kanak-kanak berbakat ini. Harapan untuk melihat dua permata ini digilap akan tinggal harapan sahaja kerana kelemahan sistem penjurian ilham pemikir baru program ini.

Penyanyi cilik Sabah, Rachel pula disuruh menyanyikan lagu Material Girl dalam bahasa Melayu. Sudahlah bunyinya janggal, kelincahan Rachel pula bagai dibuat-buat kerana rasa tidak selesa dengan lagu ini.

Sesiapa saja yang mendengar Rachel sebelum ini dan membandingkan nyanyiannya dalam episod kali ini sudah dapat mengagak yang pemilihan lagu ini juga satu kesilapan besar. Apa sebenarnya tujuan memberi lagu 'bodoh' (senikata Melayu pula) pada gadis cilik yang berbakat besar seperti Rachel?

Di awal kemunculannya Rachel telah membuat ramai terpegun dengan lagu Kris Dayanti yang dibawanya sehingga dua penerbit album dari syarikat antarabangsa melamarnya.

Yang Emeer pula pernah membuat persembahan di bawah Orkestra Indonesia bersama-sama penyanyi Kris Dayanti dan Datuk Siti Nurhaliza di atas undangan Istana Pahang dan membuat puluhan ribu terpegun dengan persembahannya.

Kalau ukuran kehebatan Rachel dan Emeer ini masih tidak dapat meyakinkan para juri, maka makin terserlah lah kepincangan seluruh perjalanan sistem pembelajaran di MyStarz, LG.

Kesilapan-kesilapan beginilah yang 'menguntungkan' pesaing terdekat Emeer dan Rachel sehingga kesemua mereka berada di dalam keadaan selamat, iaitu pusingan final. Adakah 'kesilapan' pemilihan lagu ini dirancang?

Namun, hakikat yang perlu diterima oleh semua Emeer dan Rachel adalah permata yang perlu digilap dan tarikan utama MyStarz, LG. Nak harapkan yang lain belum tentu program suam-suam kuku ini akan maintain prestasinya seperti sekarang.

Yang sedihnya, setelah berhempas pulas setiap minggu tiba-tiba saja undian kedua mereka merosot dan tersingkir. Agak terkejut juga kenapa pilihan SMS begitu mendadak menjunam?

Seakan satu eksploitasi membiarkan kedua penyanyi kecil ini berada di dalam MyStraz, LG sekian lama. Bila sudah sampai penghujung, mereka 'diketepikan' dan 'tersingkir'?

Hari Ahad ini, Rachel dan Emeer akan berentap dengan tujuh orang pelajar lain dalam pusingan 'wild card' pula.

Harapan melihat kedua mereka mara ke final agak tipis. Ini kerana firasat Kakak Tua mengatakan yang Emeer dan Rachel sekadar memenuhi kuota untuk pusingan 'wild card' sahaja kerana yang akan dipilih bukan mereka.

Mungkin sudah ada calon favourite yang akan diketengahkan. Teori kedua Kakak Tua pula, kemungkinan besar juga sebagai 'menebus dosa' pada Emeer dan Rachel, hanya seorang saja antara kedua ini yang akan dipilih.

Kakak Tua tidak mahu membuat rumusan seperti tekaan pengacara Azwan Ali yang tanpa segan silu dan bangganya membahasakan dirinya 'Mak Esah' membuat andaian nujum Pak Belalang kononnya Badri atau Ijam akan terkeluar minggu lalu.

Confident sungguh 'Mak Esah' sampaikan Kakak Tua dengar jadi malu. Akhirnya apa yang dijangka tidak terjadi. Tapi mustahil 'Mak Esah' akan rasa malu kerana ramalan merapunya itu....

Ketika program Reflex di ntv7 pula sejurus setelah MyStarz, LG berakhir, bapa Emeer, Bakri tidak bersetuju Emeer tersingkir kerana pemilihan lagu yang silap seperti kata Patrick.
Bakri cuba menjaga hati dan berlapik cakap dengan berkata sebagai penyanyi, Emeer kena bersedia menyanyikan apa jenis lagu sekalipun. Rasanya itu semua cakap hendak ambil hati.

Hakikatnya berapa ramai penyanyi yang akan menyanyi lagu yang mereka suka? Dan Emeer walaupun kanak-kanak tidak terkecuali. Ramai yang terlupa bahawa tujuan asal MyStarz, LG bukan untuk mencungkil penyanyi versatile.

Masalah paling ketara program ini ialah formatnya yang bermacam ragam tak ubah seperti caca marba. Lagu-lagu yang diberi kepada sesetengah pelajar pula seperti sudah dirancang.

Hanya Emeer, Rachel dan beberapa pelajar sahaja tidak dibenarkan memilih lagu. Ini saja sudah cukup untuk membuat rumusan ada konspirasi untuk memilih pelajar favourit yang sudah dijamin tempatnya di pusingan akhir. Maka sebab itulah ada beberapa pelajar dengan mudah mendapat lagu-lagu yang memang makanan mereka.

Contohnya penyanyi kesukaan ramai Badri yang sudah tiga minggu mendapat gelaran "persembahan terbaik". Bak kata juri tetap Patrick Teoh sepatah, "since the rest are so bad this week, you are the best among the worst..."

Dengan komen yang langsung tidak memberangsangkan itu, Badri masih layak mendapat persembahan terbaik minggu ini.

Bila sebut pasal Patrick Teoh, Kakak Tua paling suka cara juri tetap ini memberi komennya - paling konsisten, tidak bias, telus, adil dan ikhlas. Belum pernah lagi komen Patrick tidak tepat dan tidak dapat diterima kerana mungkin apa yang dikatakan datang dari hati dan tanpa ada kepentingan.

Patrick sendiri mengaku yang dia mempunyai 'favourites' namun itu tidak mengaburi matanya apabila memberi komen. Berlainan sekali dengan Siti yang cuba menjaga hati setiap pelajar dan memberi komen feel good.

Untuk pertama kalinya juga di saat-saat program MyStarz, LG akan menemui penghujungnya, pembuka konsert minggu lepas begitu bertenaga dan menghiburkan sekali.

Kesemua pelajar dilihat memberi persembahan yang begitu bertenaga dengan bermain alat-alat muzik sebagai pembuka tirai. Itulah klimaks yang ditunggu-tunggu oleh Kakak Tua selama ini.

Setelah teraba-raba selama berminggu-minggu akhirnya dapat juga mereka hit the right note. Itulah hasil kerja keras pengarah muzik Aubrey Suwito dan kesemua pemuzik yang bekerja keras memastikan konsert berjaya.

MyStarz, LG juga cuba menonjolkan kelainan di mana lagu tema Gemuruh yang dinyanyikan oleh Faizal One In A Million tiba-tiba kedengaran dalam bahasa Inggeris? Mungkinkah penukaran ini bertujuan untuk memberi acuan baru kepada program yang pernah diasaskan oleh penerbit asal, Jafni Abu Bakar atau Mat Jepp?

Walau apapun pembaruan atau kejutan yang akan diambil oleh MyStarz, LG selepas ini, program ini tidak mampu dan sudah jauh ketinggalan dengan program realiti lain.

Kakak Tua kasihan melihat kedua belas pelajar yang cukup besar bakat mereka ini seperti berada di dalam program yang salah.....right people in the wrong crowd.

Namun, di sebalik kekalutan dan kepincangan program ini, Aubrey masih gagah memberi corak dan hala tuju kepada kesemua pelajar walaupun dalam keadaan terdesak dan kesuntukan masa....

KAKAK TUA: Sudahlah 'Tiang Seri' dirobohkan, 'Penyeri' program Emeer dan Rachel pula dikeluarkan, apakah agaknya kesudahan MyStarz, LG ni?

Kekasihku 'Syabu!'

(20-08-2007 10:13:36 AM)
ANTARA ramai-ramai penyanyi, Jamal Abdillah paling berani membuat pengakuan. Apa tidaknya terkejut jugalah apabila tanpa paksaan, Jamal membuat pendedahan yang Syabu adalah 'kekasihnya.'

Terus saja ingatan Kakak Tua terkenang bait-bait putis puisi 'Kekasih' yang cukup menusuk kalbu.

Siapa yang berjiwa romantik tentu akan teringat setiap patah rangkap puisi nukilan Sasterawan Negara Usman Awang atau Tongkat Warant ini?

Begitu syahdu kata cinta untuk kekasih tersayang. Rasanya belum ada lagi puisi untuk Sang Kekasih yang sehebat ini - itulah khazanah unik peninggalan sasterawan terbilang.

Tapi sayang sekali, mana mungkin Jamal layak menyanyikan puisi sehebat itu kerana kekasihnya adalah dadah merbahaya bernama Cik Syabu. Itupun setelah 'putus cinta' dengan heroin yang terjalin selama 6 tahun.

Oleh kerana kekasihnya Syabu maka tidak sesuailah kata puitis ....Akan kupintal buih-buih, menjadi tali mengikatmu. Akan kuanyam gelombang-gelombang menjadi hamparan ranjang tidurmu.... dilafazkan oleh Jamal.

Sebagai rakan baik, hati Kakak Tua cukup tersentuh mendengar keluhan dan rintihan Jamal yang tidak mampu dan tidak dapat meninggalkan 'kekasih'nya. Hebat sungguh penangan 'kekasih' Jamal sehingga penyanyi bersuara emas ini boleh mengaku kalah, tersungkur dan mengangkat bendera putih.

Ice atau Syabu, dadah tiruan yang sering disebut 'designer drug' ini. pernah digunakan oleh Adolf Hitler sehingga diktator gila ini mengorbankan askar-askarnya kerana berasa dirinya lebih berkuasa dari Tuhan.

Dadah ini juga ujud pada zaman peperangan kedua dan digunakan oleh fighter pilots dan askar-askar yang hendak berperang supaya mereka tidak payah tidur, lebih agresif dan tidak gentar di medan perang.

Begitu jugalah permainan emosi yang dirangsang oleh Syabu untuk penyanyi kesayangan kita. Kalau ikutkan hati Kakak Tua, kasihan pun ada, marahpun ya. Apa tidaknya 'kekasih' yang didambakan oleh Jamal yang memudaratkan minda, badan dan seluruh hidupnya.

Tepat sangatlah panggilan 'kekasih' itu. Faham-faham sajalah kalau mulut sudah kata kekasih, jiwa dan raga kita serahkan. Begitulah agaknya asyik masyuknya percintaan Jamal sehingga tidak dapat membezakan apa yang baik dan buruk dan yang untung dan rugi.

Bila sudah berkasih begitu lama, bayangkanlah bagaimana hendak berpisah pula. Sudah memadu kasih bertahun-tahun dan erat pula perhubungan yang terjalin dan sudah menjadi darah daging, tiba-tiba hendak ucap selamat tinggal.

Memanglah sakit hendak putus kasih. Mustahil untuk meninggalkan daerah 'tempat jatuh lagi dikenang itu' secara total.

Tapi itulah kekuatan mental dan semangat yang perlu ada pada setiap penagih seperti Jamal. Ketagihan yang telah merosakkan keluarga, kerjaya dan perhubungan suami isteri perlu ditangani.Tiada siapa yang dapat membantu kecuali iltizam diri sendiri.

Cuba tanya Ustaz Akhil Rawa yang berjaya mengatasi masalah kemelut berkasih dengan dadah. Kini dia bersih dan sudah kembali ke pangkuan masyarakat dan keluarga setelah sesat di pangkal jalan bertahun lamanya.

Jauh tersasar ustaz rocker kita yang handsome ini pada satu masa dulu sehingga kemungkaran hampir menyesatkannya sehinggalah kesedaran seolah berada di dalam alam kubur datang mengetuk pintu hati.

Itulah hidayah yang diberikan olehNya. Bukan Jamal seorang yang mengalami dilema begini. Ramai lagi golongan artis seperti Yassin dan Saleem tahu sangat jiwa kacau yang dihadapi oleh Jamal.

Kisah bercinta dengan 'kekasih' misteri tidak kisahlah siapapun nama mereka....heroin, ganja, grass atau miss ice, sukar dipantau kerana mereka 'memadu' kasih jauh dari pandangan mata umum.

Yang si artis tengah kemaruk ni pula, tidak serik-serik untuk menagih dan akan tetap dengan tabiat buruk sampailah kisah hebat terjerat dengan 'cinta merbahaya' ini diketahui dan terdedah di mahkamah, itupun setelah didakwa.

Masa itu, hilang segala malu dan maruah diri dan kesalahan yang difikir kecil itu akan terpalit dalam memori sampai bila-bila.

Tapi selagi Tuhan membuka pintu hidayah buat mereka ini, selama itulah pekerjaan yang sia-sia ini akan tetap terbongkar dengan apa cara sekalipun.

Yang paling kasihan ialah ahli keluarga yang turut terheret sama. Bayangkan betapa malunya mereka terpaksa menanggung aib bersama-sama kerana sebagai artis semua ini menjadi fakta sejarah.

Nasib baiklah pihak PENGASIH masih sudi memulihkan Jamal kerana kalau ikutkan, track record Jamal jenis 'hard core' dan susah hendak pulih.

Kalau Hitler menggunakan syabu untuk berjaga dan mengatur strategi peperangan, kononnya Jamal menggunakan untuk menambah tenaga...

Seperti luahan Jamal dalam wawancara khas Isu Semasa: Pengakuan Eksklusif Jamal dan Saleem? yang disiarkan secara langsung menerusi TV1..Pada mulanya saya fikir syabu bukan dadah dan sekadar menambah tenaga dan boleh membantu persembahan saya agar lebih hebat di pentas.

Tak boleh bayangkan bagaimana teruknya kesan syabu itu. Saya hampir gila sehingga pernah bercakap dengan dinding..."

Begitu sekali kesyahduan halusinasi Jamal sehingga sanggup bercakap dengan dinding. Itu belum lagi disentuh perangai agresif, pemarah, resah dan tidak tenang Jamal selama menjadi penagih 'Kekasih'nya itu.

Tapi semua itu sikit pun tidak menyesakkan fikiran Kakak Tua jika dibandingkan dengan kebimbangan kesan jangka panjang yang akan menimpa Jamal seperti kerosakan saraf otak, angin ahmar (strok), gangguan mental atau lebih tragis kematian.....

Di harap kesedaran Jamal kali ini akan berpanjangan dan dapat menerima 'putus sudah kasih sayang' dengan Syabu.

Namun lumrah manusia semuanya sama. Kesan kesedaran dan rasa malu atau aib selalunya tidak lama. Apabila perasaan itu sudah sampai kemuncaknya, ia akan menurun pula ke satu tahap plato (mendatar) di mana akan tiba perasaan tidak bersalah kerana sudah lali dan terbiasa.

Dek kerana kekerapan ditimpa masalah yang sama, maka perasaan bersalah ini tidak akan bersarang lagi di hati.

Malah, senario kes dadah di Malaysia terutama yang melibatkan artis sudah sampai tahap complacent. Kes dadah atau salah laku lain sudah dianggap 'kes biasa' dan tidak ada apa yang patut dimalukan kerana sinonim dengan artis.

Begitu jugalah salah laku seperti minum arak, berjudi, berkhalwat, hidup serumah tanpa ikatan dan perlakuan gay atau homoseksual mahupun lesbian. Semua ini sudah di kategorikan sebagai cara hidup dan trend akhir zaman masyarakat artis yang mana walaupun di tahap melampau dan memalukan, ianya masih boleh diterima acceptable.

Tiada 'kuasa' yang dapat melarang mereka melayari kehidupan bebas zaman jahiliyah ini kerana masyarakat termasuk sebilangan besar wartawan hiburan membenarkan mereka mencemar cara hidup sopan masyarakat Melayu, Islam dan Timur.

Alah bisa tegal biasa. Perkara yang sering kita lihat terpampang di depan mata seperti pasangan gay, lelaki lembut, perempuan tomboy sudah jadi pandangan yang biasa dan normal mengikut kehidupan seharian golongan artis kita. Kalau tidak masakan kita tidak mampu menegur pengacara lembut yang terang-terang menodai kesusilaan berpakaian cara lelaki.

Kita sendiri bagai merestui artis lelaki lembut berpakaian ala perempuan dengan cermin mata besar, tas tangan, lip gloss dan aksi tangan patah yang memualkan.

Sudahlah perlakuan itu memalukan, pihak stesen TV perdana pula dengan megahnya memberi liputan besar-besaran perihal artis lelaki yang dikategorikan lelaki cantik ini. Perbuatan yang sepatutnya buat kita malu sudah jadi satu kemegahan pula.

Hairan betul Kakak Tua memikirkan betapa jumud pemikiran kita yang membiarkan saja perkara yang salah, mungkar dan songsang ini berterusan dan berleluasa.

Bukankah kita diajar untuk membetulkan kemungkaran dengan apa cara sekalipun. Kalau tak mampu menegur dengan perbuatan dan lidah, dengan hatipun jadi walaupun itu selemah-lemah iman.

KAKAK TUA: Hati yang mati tidak akan menghidupkan hati mati yang lain.....

Antara impian dan angan-angan!

(16-08-2007 03:04:45 PM)
SELAIN kisah dicuit oleh adinda kesayangan, Hartati di Harian Metro baru-baru ini, Kakak Tua terkesan juga mengikuti cerita keghairahan Pian Cecupak menukar bentuk muka dalam mengejar angan-angan Mat Jeninnya.

Begitu juga dengan impian hero nombor 1 Malaysia Rosyam Nor yang beriya-iya cuba mengekalkan 'keremajaannya' dan rasa tercabar bila digelar hero tua. Bilalah agaknya Rosyam akan mengakui masa gemilangnya sudah berlalu atau setidak-tidaknya memberi laluan pada hero muda yang lebih tampan dan berbakat?

Pesanan Kakak Tua, sebelum kita 'dipaksa' meninggalkan takhta kita, eloklah kita buat persediaan untuk pergi cara terhormat dan penuh maruah.

Dan bila semakin ramai artis senja fobia untuk mengaku usia sebenar, semuanya mengingatkan Kakak Tua yang antara impian dan angan-angan sebenarnya jauh sekali.

Sesuatu impian itu tidak semudah itu untuk digapai. Waktu dan ketikanya kenalah tepat. Begitu juga dengan angan-angan. Semestinya angan-angan itu hanya sekadar pengisian sewaktu muda saja.
Bila dah tua tak payah lagi pasang angan-angan, lebih buruk bila aspirasi itu hanya akan menyusah dan menyesakkan kita saja. Lagipun Nabi junjungan ada berpesan, seburuk-buruk manusia adalah mereka yang panjang angan-angannya.

Kalau artis muda asyik berangan, hendak kahwin dengan jutawan Arab atau VIP manis juga bunyinya. Tapi bila artis tua berangan, lain jadinya. Itu yang orang gelar kita tidak sedar diri kerana hendak berlagak muda seperti 'tua-tua keladi.'

Tapi ada juga artis kita yang bersifat 'tua-tua asam, makin tua selera makin tajam.' Mujurlah Kakak Tua ni sekadar 'tua-tua telur ayam' saja. Sebab itulah sebelum lebih ramai lagi mengutuk Kakak Tua, siang-siang lagi Kakak Tua yang insaf dengan keburukan paras rupa yang serba kekurangan membahasakan diri....'Kakak Yang Tua.'

Pada artis yang sudah senja atau melewati waktu Isyak, belajarlah menerima hakikat yang usia muda tidak akan kembali lagi. Jadi tak payahlah kita kejar angan-angan kerana usaha begitu umpama mengejar pelangi petang, semakin dikejar semakin jauh.

Ada perkara bila kita lakukan ketika usia muda nampak cantik tapi bila dah tua nampak buruk. Seeloknya apa saja yang kita lakukan, biarlah seimbang dan selari dengan usia kita. Dan semoleknya sebagai artis, kita berpegang pada janji.

Mungkin sebab itu juga ramai yang rasa 'tertipu' bila penyanyi kesayangan Datuk Siti Nurhaliza tampil lebih seksi dan menggiurkan selepas berumahtangga kerana realitinya dia pernah berjanji pada peminat akan bertudung selepas berkahwin. Segala gerak-gerinya diteropong dan langkahnya senantiasa diperhati. Yang tidak manis dan kurang sopan lebih diberi penekanan.

Begitu juga dengan niat Mawi yang akan mencari pasangan Muslimah setelah meninggalkan Ina Naim dan ada beberapa orang artis lain pernah berjanji tidak akan menyanyi lagi setelah mencapai impian. Tapi janji tinggal janji kerana yang dikejar adalah kemasyuran yang bukan hakiki.

Penghibur terkenal Anita Sarawak yang sudah di ambang sore puas mengikuti peredaran zaman untuk tampil bergaya dan hebat.

Berapa kali warna rambutnya ditukar dan distailkan agar dia boleh maintain muda. Kakak Tua pasti Anita akur yang usia akan tetap mengejarnya walaupun puas dia cuba 'melupakan' angka yang digeruni itu. Dan akhirnya, Anita menerima hakikat warna hitam yang asli adalah warna yang secucuk dengannya pada usia begini.

Tak manis rasanya bila sudah tua, terpaksa dan memaksa diri kelihatan muda dengan menggunakan alasan pakai botoks dan cucuk vitamin semata-mata hendak mengekang muda dan mengekalkan keremajaan.

Putaran alam lumrahnya sudah begitu. Yang muda akan jadi tua dan yang tua akan beredar pergi. Tak mungkin putaran ini akan berhenti begitu saja.

Bila kita cuba ubah hukum ini maka akan jadilah perkara-perkara ganjil yang tidak pernah terbayang sebelum ini seperti kejadian muka, hidung dan anggota badan lain berubah sifat dan zat.

Paras wajah yang dicipta secantik-cantik kejadian oleh yang Esa tiba-tiba nampak ganjil, lucu dan seram. Yang paling ngeri apabila kejadian Allah diubah, hasilnya nampak cacat dan paling haru semua wajah nampak sama saja macam robot rosak. Bolehkah pengklonan yang dilakukan oleh manusia mengatasi maha pencipta?

Sewajarnya artis kita baik muda mahupun yang tua mengambil pengajaran dari ini dan jangan hidup dalam kepuraan (don't live in denial).

Berapa ramai artis kita yang cuba melawan hukum alam dan menongkah arus kerana takut akan kehilangan glamor dan mata pencarian pada usia melewati senja.

Kesudahannya kita akan lihat ramai artis yang dah tua memakai rambut palsu, celup rambut dan baju ketat untuk 'memegang' watak yang lebih muda. Dan dalam terpaksa kerana desakan hidup, artis yang tidak 'mahu berpijak di bumi yang nyata' pula terpaksa memegang watak ibu atau makcik sedangkan jiwa tak sudi.

Pengalaman kita sepatunya mampu mengajar kita bersiap sedia menghadapi usia tua. Masa Kakak Tua muda-muda dulu, arwah ibu ada pesan berpakaian ikut usia jangan nanti bila sudah tua baru nak merasa seperti orang muda.

Berlainan di negeri Barat di mana bila usia artisnya meningkat sahamnya turut meningkat seperti yang berlaku dengan artis mereka contohnya Ella Fitzgerald yang meninggal pada tahun 1996. Ella merupakan penyanyi kesayangan biduanita Saloma dan nilai komersialnya tetap naik sehinggalah dia mati.

Namun di sini senarionya agak berbeza, semakin tua seorang artis itu, semakin turun susut nilainya. Selalunya, nilai komersial artis kita akan meningkat setelah artis itu sudah tiada seperti P.Ramlee, Saloma, Sudirman Hj Arshad dan ramai lagi.

Lain pula hanya dengan golongan akademik dan profesional seperti guru, doktor, peguam dan penulis di mana semakin banyak pengalaman yang ditimba yakni semakin tua, nilai komersialnya lebih tinggi. Justru old is gold. Ini kerana profesion jenis ini menggunakan otak dan bukan kecantikan fizikal.

Profesion begini jauh nilai 'komersialnya' jika hendak dibandingkan dengan profesion artis kerana ianya berkait dengan market value dan demand atau permintaan semasa.

Profesion pemuzik, komposer mahupun penggubah lagu juga senasib dengan golongan artis. Kalau muzik yang dicanang tidak ada demand, maka ianya akan ditolak dan tidak laku.

Untungnya ilmu mereka yang berada dalam profesion akademik tidak akan berubah. Semakin tinggi ilmu mereka semakin mahal nilai dan market value. Semua perbandingan ini memberi gambaran yang dunia seni kita sebenarnya tidaklah seglamor mana.

Bukannya hendak menidakkan pengiktirafan kepada warga seni tetapi rasanya tidak adil bila keringat dan sumbangan golongan akademik yang disebut di atas, terutama pendidik jarang mendapat pengiktirafan seperti golongan artis.

Berapa kerat guru atau ustaz yang mendapat pengiktirafan Datuk kalau hendak dibandingkan?
KAKAK TUA: Tidak pernah termimpi mendapat Anugerah!

'Separuh Masa' lagu dua alam atau untuk yang curang?

(13-08-2007 02:28:38 PM)
MUNGKIN tidak sehebat kontroversi yang dicetus oleh lagu 'Negarakuku' versi Namewee, pelajar Malaysia di Taiwan yang sedang hangat dikecam sekarang.

Namun, lagu baru kumpulan The Lima yang bertajuk 'Separuh Masa' juga tidak kurang rancak diperkatakan sejak beberapa hari ini.

Syabas diucapkan kepada komposer Edry KRU kerana berjaya menambah khazanah koleksi lagu Melayu yang unik lagi original.

Kakak Tua tumpang 'bangga' kerana bertambah lagi lagu kontroversi Melayu apabila Edry dengan selambanya mencipta lagu 'Separuh Masa' untuk Juara Gangstarz yang berasal dari Indonesia ini.

Jangan dipertikaikan 'kehebatan' lagu ini kerana ianya setanding dan seangkatan dengan lagu-lagu kita yang terlebih dahulu menempa 'kejayaan' kerana membuat pembaharuan, sekaligus memberi 'Impak Maksima' pada industri muzik kita yang lazimnya sopan dan santun.

Dalam keadaan industri muzik yang semakin tenat dan penjualan album yang teramatlah lembap, strategi begini adalah satu alternatif berani dan mampu mendorong orang ramai untuk membeli album.

Rasionalnya, seandai lagu ini 'berjaya' dibawa ke perbincangan di peringkat Parlimen dan diperbahaskan oleh Yang Berhormat yang kekeringan modal, lagi bagus dan cerah lagi masa depan lagu ini.

Senario dan situasi macam ini pernah dicetuskan oleh lagu 'Seksis' milik Anita Sarawak, "Papa Jahat' ilham Cat Farish dan beberapa lagu lain.

Harap-harap 'Separuh Masa' tidak akan digam pula kerana sayang kalau ilham sebegini kreatif dan berpotensi luas tidak dapat dinikmati oleh ramai orang.

Lagipun, 'Separuh Masa' cukup berbeza pukulannya dari lagu-lagu lain. Bukan saja liriknya berani dan sensasi tetapi lebih luas skopnya kerana berjaya menjangkau dan menambat hati berbagai golongan baik lelaki, perempuan mahupun kaum lembut, pondan atau khunsa.

Sekali dengar, interpretasi pertama mengenai lirik lagu ini, agak menarik kerana ia menjurus dan membawa maksud pasal cinta curang antara dua orang yang telah berpunya tanpa perlu berselindung. Sempoi dan bersahaja perkataan yang dipilih, tidak perlu ada kiasan, terus saja.....straight to the point.

Intipati 'cinta terlarang' atau 'Part-Time Lover' dalam lagu ini yang diinspirasikan oleh komposer berbakat besar Edry Halim memberi satu tafsiran baru dan membawa makna tersendiri bagi mereka yang berada dalam situasi yang serupa seperti yang tertera dalam bait-bait ayatnya....Kuhanyalah kekasih separuh masa. Separuh lagi cinta untuk dia, Janganlah kau meminta lebih daripada itu.

Kuhanyalah kekasih separuh masa, Dari Isnin sampai Jumaat sahaja,Janganlah pula kau mengharap, Berdampingan selalu denganku...Kita sudah sama setuju, Berjumpa hanya bila perlu kerana kita sudah punya teman istimewa.

Namun ada satu lagu interpretasi yang tidak kurang menariknya dan boleh diterima pakai. Menurut pemahaman golongan yang terlalu taksub dengan setiap perincian sukukata lagu ini pula, membuat rumusan kononnya lirik 'Separuh Masa' ini mensasarkan kepada golongan 'dua alam' atau dalam erti kata lain pasangan gay.

Setelah diamati lirik lagu ini untuk kedua kalinya, seperti ada kebenaran interpretasi kedua ini. Namun, kalaulah benar sekalipun, tidak 'salah' rasanya kerana kaum ini juga seperti manusia normal biasa ingin diiktiraf kewujudan mereka seperti yang selalu dapat kita lihat dalam banyak drama dan rancangan hiburan kita.

Kesimpulannya, lirik 'Separuh Masa' berada di dalam kategorinya tersendiri dan berjaya membuka minda kita untuk berfikir. Pengertian yang berbeza-beza ini juga seakan satu kejayaan dan 'pengiktirafan' agar kita keluar dari pemikiran kita yang 'sempit' dan jumud, agar membicarakan kisah cinta dua alam ini dengan fikiran yang lebih terbuka.

Sememangnya kewujudan umat saki baki Nabi Luth ini dalam habitat industri hiburan tidak dapat dinafikan. Bertambah meriah industri kita apabila diserikan dengan golongan 'lembut', mak nyah, gay mahupun bi-seksual yang naluri mereka tersongsang dan tersepit di antara wanita dan lelaki ini.

Sebenarnya, pembiakan mereka yang begitu ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan senantiasa berlumba-lumba menonjolkan kehebatan diri agar diterima oleh masyarakat normal dalam keadaan apa sekalipun cukup merimaskan Kakak Tua.

Jangan salah faham, bukan maksud Kakak Tua memandang rendah atau tidak simpati dengan nasib golongan yang 'confused' ini. Bagaimana terbuka sekalipun minda Kakak Tua, mustahil ianya dapat 'menghalalkan' perkara yang telah diharamkan. Yang haram tetap haram, yang munafik tetap munafik kerana itulah hukum yang telah ditetapkan.

Justru, di akhir bait lagu 'Separuh Masa' yang ditokok dengan ayat berbunyi.....Ku akui ada sesuatu antara kita, Tetapi kutahu bukan seperti biasa!, perasaan Kakak Tua bertambah kacau.

Di harap apa yang dalam fikiran tua ini tidak lebih dari 'ribut dalam cawan'. Kalau ikutkan kupasan Kakak Tua yang terperinci, maksudnya lebih dalam dari yang tertera di atas.
Tajuk lagunya saja yang bertajuk 'Separuh Masa' membawa erti yang pelbagai.

Separuh boleh bawa erti 'separuh,' 'setengah' dan 'bahagi dua'. Begitu juga dengan 'masa' yang ketikanya bagaikan bercerita pasal 'kehidupan' dan 'situasi masa.'

Apapun kupasan dan naratif yang diberi, rasanya Edry tentu lebih bijak menangkis persepsi negatif tentang lagu ini seperti yang pernah dilakukan di masa lalu. Tidakpun abang Long @ Norman Halim sendiri sudah siap sedia dengan defense strategynya.....

KAKAK TUA: Tak suka lirik lagu yang 'kosong' mahupun berbelit-belit.

Bila wartawan jadi tetamu tak diundang...

(13-08-2007 02:14:17 PM)
BUKAN main sedih lagi malah hiba bila terdengar kisah wartawan yang tersentap bila tidak diundang ke majlis Pelakon Harapan Wanita FFM20, Natasha Hudson baru-baru ini.

Tambahan pula bila kisah kedatangan wartawan yang umpama 'hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong' menghiasi dada akhbar dan menjadi tajuk utama pula pada hari itu.

Ini bukan kali pertama seorang artis tidak sudi menjemput wartawan untuk meraikan majlis perkahwinan mereka. Tidak silap Kakak Tua, dulu ketika Ziana Zain berkahwin, masalah dan senario yang sama juga berlaku.

Kalau hendak berbaik sangka, bak kata adinda Kakak Tua, Dalilah Ibrahim, "bukan murah kalau nak cater untuk ramai orang. Kalau dah jemput satu atau dua wartawan, alang-alang kena jemput semua. Untuk hi-tea saja yang santapannya ala-ala Inggeris seperti kek dan scones, lebih kurang RM170 satu kepala. Dah jemput takkan tak bagi makan? Jadi bayangkanlah..."

Itu rasional Dalilah yang terkenal dengan kelogikan fikirannya. Berkata pula sahabat baik Kakak Tua, KibDahlan yang warak orangnya, "Kalau orang dah tak jemput, tidak wajib kita pergi. Kenapa hendak memberatkan undangan macam tu? Jemput atas orang, jadi tak payahlah kecil hati..."

Bagi Kakak Tua pula, sedikitpun tidak meninggalkan kesan kerana tidak mendapat kad undangan perkahwinan Natasha, Ziana mahupun Datuk Siti Nurhaliza atau bintang besar seperti Mawi sekalipun kerana rasionalnya ialah siapalah kita ini di mata orang-orang yang glamor dan 'tinggi darjat'nya.

Lagipun bila kita menaruh harapan pada artis atau VIP, kesudahannya kita juga akan kecewa. Seeloknya kita menganggap mereka ini sebagai subjek atau bahan kerja kita sahaja.

Jika perlu untuk membuat liputan sekalipun kerana terdesak, terpaksa dan tuntutan kerja, pandai-pandailah mencari angle agar tahap profesionalisma kita akan tetap terpelihara.

Jangan sesekali menunjukkan kita terlalu mengharap dan menagih apa-apa layanan istimewa dari mereka. Maklum sajalah apabila penulisan kita membawa maksud yang mereka lebih superior dari mata pena kita, ianya akan menimbulkan masalah. Sewajarnya kita tidak ambil pusing hal remeh-temeh begini.

Cubalah gunakan hukum akal agar ianya mendahului sentimen emosi kerana tidak mustahil pihak media yang rasa terpinggir akan tahu mencari jalan keluar untuk meletakkan kehebatan mata pena di tempat selayaknya.

Jangan jadikan kisah tidak diundang ke majlis perkahwinan tajuk utama. Kepuasannya milik Natasha juga dan malunya ditanggung oleh orang media akhirnya.

Di sinilah kita perlu berfikir secara rasional. Tenang-tenang saja menghadapi keangkuhan artis sebegini. Kemana akan dibawa kehebatan, keangkuhan dan ketinggian darjat kerana semua itu milikNya. Jadi perlu apa fikirkan sikap yang jengkel itu kerana yang nampak 'murah' pihak media.

Alangkah cantiknya seandainya berita Natasha Hudson berkahwin tidak dilapor langsung seolah-olah ianya 'tidak pernah' berlaku. Atau sekiranya perlu dilaporkan, diberi liputan yang ala-kadar. Ini hanya alternatif yang boleh diambil dan pernah diambil oleh Kakak Tua sendiri.

Kalaupun tidak diundang sekalipun, elok sangatlah. Kakak Tua bukan sekali dua tidak diundang ke majlis perkahwinan artis. Masa muda-muda dulu Kakak Tua pernah menjeruk hati juga tapi bila usia meningkat, semua itu tidak meninggalkan bekas langsung.

Mustahil kita masih tidak tahu dunia artis penuh kepalsuan dan kepura-puraan. Jangan pula sebagai orang yang mewarisi akal sempurna, wartawan mengambil sikap yang sama seperti mereka. Kakak Tua sudah cukup masak dengan perlakuan hampir setiap artis - baik yang muda mahupun yang tua.

Kasihan ada, meluat pun ada bila tengok perangai dan sikap yang dipamerkan. Tambahan pula kalau yang sudah tua dan telah makan lebih banyak garam dari nasi.

Teringat pesanan sahabat baik Kakak Tua, arwah Mustafa Nor yang penuh berhemah ketika penyesalan bersarang di hati,"There is a thin line between your profession and prostitution, so be very careful...." (Ada garis halus yang memisahkan profesion anda dengan pelacuran, jadi berhati-hati...)

Semakin lama berada di dalam kancah industri ini, semakin terasa kebenaran kata-kata Mustafa Nor. Sepatutnya, wartawan tidak tersinggung dan ambil hati sikap dan kelemahan mahupun kekurangan yang ditunjukkan oleh artis-artis yang 'rendah akhlak'nya.

Ini kerana profesion kita lebih tinggi darjatnya kalau hendak dibandingkan dengan mereka.

Siapa lagi yang akan mengangkat darjat profesion kita sebagai wartawan hiburan jika tidak kita sendiri, jadi fikirkanlah?

Kalau perlu, anggap saja profesion kita macam seorang doktor yang merawat pesakit. Tak kan pula sebagai doktor, kita hendak mengadu masalah pesakit kita walaupun mereka banyak kerenah. Dah tahu mereka sakit, bagi sajalah rawatan. Kalau tidak puas hati, suruh saja mereka pergi jumpa 'doktor' lain atau kita merawat 'pesakit' lain pula.

Tapi masalahnya berapa ramai 'orang sakit' yang tidak mengaku mereka sakit terutama yang sakit mental? Inilah dugaan yang paling besar perlu dihadapi oleh wartawan setiap masa termasuk Kakak Tua sendiri.

KAKAK TUA: Selalu berdoa agar dijauhkan dari artis yang ada penyakit hati.

Farihin Vs 'MyStarz, LG'

(10-08-2007 07:16:35 PM)
NAK kata 'kontroversi', tak kemana pun isu panas yang direka atau dibuat-buat dalam program realiti TV3 terbaru, MyStarz, LG.

Dari cerita flying kick dan pergaduhan hari Jumaat antara Mimi dengan Rubisa hinggalah ke kisah bapa Mimi membuat statement 'keputusan MyStarz, LG 'dirancang' ketika Mimi terkeluar, semuanya mengundang spekulasi negatif.

Ingatkan dah habislah cerita sensasi dalam MyStarz, LG rupa-rupanya drama sebabak ini baru saja bermula. Lagi hebat sinetron yang 'dipentaskan' sejak akhir-akhir ini sehingga terpaksa melibatkan skuad Terjah Melodi untuk membuat program ini lebih panas. Untung-untung naik juga rating program yang semakin suam-suam kuku ni.

Berlainan dengan program realiti lain, nampak gayanya MyStarz, LG lebih memberi 'tumpuan' kepada pengetuanya yang kreatif lagi budiman, Farihin Abdul Fattah dari pelajar-pelajarnya yang 12 orang itu.

Tanpa dirancang atau sememangnya dirancang, tiba-tiba saja nama Farihin lebih popular dan meniti di setiap bibir, baik pelajar mahupun keluarga pelajar yang tersingkir dan di kalangan juri tetap.

Ada saja yang tak kena dengan 'pemerintahan' dan pengelolaan akademi nyanyian milik mutlak Farihin. Nak cakap corak pembelajaran tak boleh kerana Farihin sendiri mengaku dan mengangkat 'bendera putih' kononnya dia tidak pandai mengajar sebab itu "saya perlukan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik, Nan Salleh, Steve Thornton dan pemain muzik lain."

Kononnya, niat murni asal Farihin adalah untuk memberi tumpuan total kepada semua anak muridnya. Tapi tumpuan saja tanpa ada modul khas di mana dan ke mana arah hendak di bawa 12 orang anak-anak jagaannya, tidak boleh juga. Jadilah macam si luncai terjun dengan labu-labunya atau si ketam menyuruh anaknya jalan lurus.

Kesudahannya, anak-anak didik yang semakin cerdik dan waras akal fikiran itu bukan sahaja bangun memberontak tetapi menyoal balik motif si 'Ayah'. Anak-anak yang tidak pernah diajar menderhaka terpaksa bersikap demikian kerana tidak puas hati.

Pihak juripun sama, menyoal kembali apa fungsi tenaga pengajar sehingga pelajar-pelajar masih teraba-raba di dalam gelap, tidak tahu pasal pitching, nahu nyanyian dan tone placement.

Yang dijanji dulu lain, yang didambakan lain dan kesudahannya 'indah khabar dari rupa'. Cuba tanya pelajar-pelajar yang tersingkir seperti Awang, Afif, Rubisa, Mimi dan Andy? Rata-rata naluri mereka sama kerana masih tidak puas dengan apa yang mereka lalui dan pelajari selama ini.

Masih banyak lagi yang ingin dan boleh ditonjolkan oleh mereka tapi tidak kesampaian. Lagu pula ikut kuasa veto tenaga pengajar. Walau jiwa tidak redha tapi kerana terpaksa, mereka perlu menyampaikan lagu yang diberi dengan penuh keyakinan. Namun di pentas konsert, kemua kepincangan dan kelemahan ini jelas ketara.

Tengok saja Andy. Meskipun diberi tag 'You ARE my star tonight' oleh juri yang paling sinis dan vokal, Patrick Teoh, Andy terkeluar juga. Begitu juga dengan Rubisa, tetap malang kerana patah dan lenggok lagu dalam Engkau Laksana Bulan tidak menepati piawai dan standard nyanyi yang betul kata Siti Hajar.

Soalnya siapakah yang mengajar mereka teknik nyanyi dan vokal selama ini? Belumpun sempat Kakak Tua hendak menganalisa apa yang tidak kena, keluar lagi satu statement 'berani' dari pengetua yang perihatin.

"Pelajaran vokal tidak perlu....," kata pengetua yang arif lagi bijaksana itu.
"Kita sudah ada musicians, buat apa ada guru vokal?," soalnya lagi dengan bijak dan tanpa rasa bersalah.

Kakak Tua sedikitpun tidak terkejut dengan keangkuhan dan kelantangan Farihin menyuarakan ketidak rasionalan pemikirannya. Maklumlah sebagai Pengetua bukan sedikit yang perlu dijaga di bawah perintah jajahannya. Tambahan pula, Farihin tidak biasa dengan tugas yang diberi. Jadi nampak sangatlah kejanggalan dan kedengkelan cara dia berfikir.

Namun, ketika diprovoke oleh wartawan Melodi isu yang dibangkit dan komen pedas serta sindiran Patrick Teoh tentang mutu nyanyian pelajar-pelajarnya, tiba-tiba saja nada Farihin bertukar menjadi lain.

Farihin menukar 'strategi' dengan 'merendah diri' dan mengaku kesilapan kononnya segala kelemahan adalah berpunca darinya.
"Takkan saya nak buat semua....," lantas memberi metafora pasal masak ayam.

Bukan senang nak cari orang yang betul-betul ikhlas mengakui kesilapannya. Harap-harap teguran Patrick diterima dengan hati terbuka dan jawapan yang diberi bukan sekadar 'reverse psychology' dari Farihin agar tidak ada lagi yang menegur kesilapannya yang begitu ketara.

Bila difikir balik, agak pelik juga bila setiap pelajar yang terkeluar berkata hal yang sama iaitu "keputusan sudah dirancang dan diatur." Mungkinkah ada kebenarannya?

Namun, kebetulan yang paling hampir adalah kemenangan Penghibur Terbaik milik Badri selama dua minggu berturut-turut. Bukan saja lagu yang diberi memihak pada cara nyanyian Badri yang tidak mempunyai mutu suara sebagus pelajar yang tersingkir.

Tapi dalam banyak hal, pilihan lagu juga banyak membantu Badri menguasai pentas dan memberi persembahan yang memikat. Dengan senyuman dan kenyihan 'melampaui batas', ramai juga yang terpaku dan terpikat dengan aksi Badri yang kelihatan 'over confident' sejak kebelakangan ini.

Mana tidaknya, pemuda yang sudah berumahtangga ini seolah telah mendapat restu dan mandat di mana dia mungkin akan mara hingga ke pusingan terakhir.

Lagi pelik bila dua pelajar cilik, Emeer dan Rachel, juga calon favourite bagai terpinggir dan ketepi dek kerana gelagat yang ditonjolkan oleh pelajar-pelajar dewasa yang lain.

Russell pula kerana tidak mempunyai pakej dan terlebih muatan poketnya yang berat, baka kata Patrick, terpaksa menerima kenyataan yang dia tidak layak ke pusingan seterusnya. Tentu pedih untuk Russell menerima kenyataan ini bila mana sebelum ini telah diberi hak keistimewaan buat sesi jamming dengan bandnya dalam salah satu konsert MyStarz, LG.

Tapi itulah kejutan yang diatur oleh MyStarz, LG. Antara 'anak emas', 'anak pungut', 'anak tiri' dan 'anak didik' semuanya diberi layanan yang 'setara' agar mereka tahu di mana kedudukan setelah tirai MyStarz, LG berlabuh.

Vokal yang baik dan sempurna tidak ada ertinya kerana modul sifar tidak menjanjikan apa-apa pembelajaran yang jitu. Sekadar grooming di Salon dan belajar sedikit pasal nota muzik setakat melepaskan batuk di tangga.

Dua bulan dalam LG House bukan menjadikan pelajar lebih pandai dalam aspek muzik. Sebaliknya pula berlaku, artis-artis MyStarz ini menimba pengajaran tentang kehidupan dan tingkah laku manusia di sekeliling.

Bagus juga sekurang-kurangnya, mereka yang tersingkir ada banyak masa untuk membuka mata dan buat perbandingan apa yang tak kena dan tidak adil. Sudah pandai membuat rumusan dan tidak menerima bulat-bulat apa yang disajikan di depan mata.

Maksud yang tersirat itu harus dikupas kerana realitinya akan menganggu gugat peribadi yang cuba dibentuk.

Jangankan diberi peluang mentelaah dan mendalami sesi vokal secara khusus, pelajar tersingkir seperti menaiki bahtera tanpa nakhoda kerana pengetua terlalu sibuk mengatur strategi untuk membuat kejutan seterusnya.

Suku sakat Munsyi Abdullah yang juga kenalan rapat Kakak Tua dalam MyStarz, LG ada bagi tahu, seperti ada saja yang tidak kena dengan MyStarz, LG mahupun LG House persis Puaka Tebing Biru kerana 'badi' dan 'ketulah' yang terpaksa dilalui.

Senario 'sudah gaharu cendana pula, sudah terang lagi bersuluh' inilah yang buat Kakak Tua malas hendak komen dengan lebih lanjut. Sebabnya, semua penghuni MyStarz, LG sudah lebih maklum salasilah dan susur galur MyStarz dan tahu siapa 'penjajah', siapa yang dijajah dan siapa tawanan dan yang terusir?

Mustahil kalau tidak ada sekelumit rasa bersalah 'menghalau' tuan rumah dari premis ala aksi lanun tanpa rasa berdosa dan belas kasihan.

Kalau asas rumah sudah goyang mustahil rumah dapat berdiri teguh. Kini MyStarz mahupun LG House umpama rumah nenek kebayan yang bila-bila saja akan hanyut ditiup angin.

Yang terkena tempiasnya pelajar-pelajar juga sedangkan si pengetua sibuk mencari 'akal' dan 'helah' membuat PR exercise untuk menutup segala cacat cela dan kekurangan program yang ratingnya semakin lemah dan lesu.

KAKAK TUA: Tunggu masa pelajar-pelajar MyStarz, LG tuntut 'Kemerdekaan!'

Populariti Mawi terus 'dipertikaikan'?

(06-08-2007 10:11:04 AM)
Bukan sedikit yang telah cop Kakak Tua ni 'peguambela' Mawi. Hakikat sebenarnya jauh panggang dari api. Tapi kalau kata Kakak Tua sedikit bias, begitulah hati yang tidak pandai menipu ini.

Timbul kesedaran dan terpanggil untuk menjelaskan keadaan sebenarnya apabila artis kesayangan dan idola rakyat Malaysia ini seringkali difitnah dan dicerca. Di sinilah sifat belas Kakak Tua tidak dapat dibendung lagi.

Mulalah ke depan untuk 'membela' walaupun tidak dipanggil secara rasmi. Yang kerap mendapat pembelaan adalah Mawi, Siti, Mawi, Siti, Mawi dan Mawi dan Mawi - itupun secara kebetulan saja.

Bukan tidak sedar yang Mawi agak berubah sejak kebelakangan ini atau ada sindrom 'dua darjat' yang memisahkan jurang antara Kakak Tua dan Mawi yang semakin ketara. Kakak Tua tidak ambil pusing sangat kerana sebagai orang tua, adatlah kita yang selalu kena beralah. Yang muda seperti Mawi, belum ada lagi kesedaran ke arah itu.

Terkini berita yang sampai ke pengetahuan Kakak Tua, ramai anti-Mawi yang mempersoalkan populariti Mawi yang kononnya sudah merundum atau sedang menuju ke arah itu. Bertambah kuat cakap-cakap kedai kopi ini apabila Mawi hanya mendapat empat pencalonan cuma di Anugerah ERA pada tahun ini berbanding dengan tujuh pencalonan tahun lepas.

Pemergian Mawi ke London pada awal September ini pula untuk satu persembahan dinner show anjuran Persatuan Peniaga Melayu Malaysia di London, dengan kerjasama Travellyne & Tours Sdn Bhd dan Mawi World Sdn Bhd, disalah erti sebagai sudah 'tidak laku' lagi di Malaysia.

Meskipun ini cuma cakap 'sedap mulut' tapi hati Kakak Tua sudah rasa meluap-luap sehingga terpaksa singsing lengan dan buka air-cond full-blast. Walaupun semua itu hanya satu pandangan jumud yang tidak patut dilayan, 'darah muda' Kakak Tua tidak mampu memendamkan isu ini begitu saja.

Pandangan negatif macam ni seeloknya jangan dilayan kerana minda kita juga yang akan sakit dan hati pula akan dinodai titik hitam. Tak baik buruk sangka atau prasangka. Tambahan pula bila perkhabaran itu tidak jelas kesahihannya.

Kesian Mawi. Kalau ia pun dia sedang meniti 'zaman kejatuhan'nya tidak perlulah kita bersorak riang. Lagipun, apabila 'kebencian' atau 'jemu' sudah membunga di hati, adat-adatlah. Tidak perlulah fizikal orang itupun menjadi bahan caci cerca dan umpat keji.

Namun, sudah menjadi lumrah orang kita dan mentaliti kaum kita yang tidak pandai menjinak hati yang benci dan marah. Diungkit segala peristiwa silam dan tergamak tepuk tangan biarpun 'berita baik' yang ingin sangat didengar belum tentu kebenarannya.

Memang ada segelintir golongan anti-Mawi yang sifatnya seperti 'bersumur ditepi rawa', seakan menunggu saja kejatuhan anak Felda Taib Andak ini. Bukannya Kakak Tua tidak pernah menegur Mawi dengan teguran marah-marah sayang dan cubit-cubit manja apabila namanya terseret dalam kes dadah baru-baru ini tapi semua itu sekadar ingatan saja.

Jangan terkhilaf dan salah sangka antara teguran ikhlas dan ungkapan tersirat padan muka apabila populariti Mawi tidak segah dulu - dua pandangan berbeza. Jangan pula kita megah jadi orang zalim hanya kerana turut kata hati, meminta sesuatu yang buruk menimpa saudara kita Mawi.

Laut pun ada pasang surutnya. Begitulah juga dengan populariti. Tidak mustahil Mawi akan mengalami zaman suramnya. Tapi tak payahlah hendak berkokok macam ayam jantan walaupun siang masih awal lagi.

Yang Mawi pula, ingat-ingat lah sebelum terlambat. Ambil iktibar dan muhasabah diri. Seandainya ter'jatuh' satu hari nanti seperti yang tersurat, belajarlah dari sejarah. Ingatlah haiwan sekecil semutpun akan meniti apabila kita rebah ke bumi. Jadi bersedialah menyiapkan diri agar kita tidak terlalu kecewa apabila zaman 'kejatuhan' menyapa kita.

Kalau dulu kita kata, bukan senang jadi Siti Nurhaliza, kini tiba giliran Mawi pula. Dari Ina Naim hinggalah ke Ikin, siapa saja pilihan hati Mawi bukan semua yang akan berkenan.Baguslah, Mawi sudah pandai memilih jalan tengah dengan tidak membelakangkan peminat, ibu, pihak media dan kekasih hati.

Namun, seandainya Mawi sudah 'tersasar', kejutkanlah dia dari lena. Kalau dia sudah terdampar jauh, sedarkan dia dari lamunannya. Jangan sesekali kita menyimpan niat untuk melihat kemusnahannya kerana kita harus berpesan untuk kebaikan dan memadamkan kejelekan Mawi.

Walaupun banyak dakwaan disangkal, Kakak Tua terpaksa bersetuju tentang satu dakwaan ini iaiatu Mawi adalah anak emas Maestro. Samalah seperti Jamal Abdillah anak emas Datuk Ahmad Nawab, Nani anak emas Yasmin Ahmad, Maya Karin anak emas Shuhaimi Baba dan Datuk Siti Nurhaliza anak emas SRC Records satu masa dulu.

Bukan senang nak jadi anak emas. Tentulah ada sifat-sifat terpuji dan disenangi menyebabkan mereka ini jadi anak emas selain membawa laba yang menguntungkan dan menjadi 'gold mine' pada syarikat rakaman.

Dengar kata ramai juga 'adik beradik' Mawi kat Maestro tu makan hati dengan status anak emas yang dimilikki Mawi. Sampaikan ada di antara mereka merendah diri hingga ke tahap membahasakan diri mereka 'anak tiri', anak pungut dan anak angkat.

Yang si'ayah,' Freddie Fernandez pula, janganlah buat-buat tak dengar rintihan anak-anak tu. Walaupun hakikatnya anak emas tidak mungkin sama nasib dengan anak tiri, kadang-kadang anak emaspun boleh lupa diri. Sebagai bapa, kita kena berlaku adil. Sungguhpun, kasih sayang pada Mawi, 'sudah terang lagi bersuluh', jangan sampai 'anak-anak pungut' yang lain bawa diri.

Kakak Tua masih tidak dapat lupa nasib yang menimpa Amirul. Apa khabar agaknya Mirrul, budak comel dari Kuching, Sarawak ini yang membawa diri setelah 'digugurkan'dari Maestro kerana tidak dapat membawa pulangan yang sepatutnya. Tragis sungguh nasib Amirul, habis madu sepah dibuang!

KAKAK TUA: Hanya ada 'tinta emas' saja.....