Wednesday, January 7, 2009

Mengusut mudah, menyelesaikan susah!


Jumaat Disember 5, 2008

KASIH sayang itu bukan paksaan dan seharusnya ia datang dengan sendiri dalam wajah yang manis dan mesra.

Tapi keadaan sudah banyak berubah dan selangkas betik berbuah, begitu cepatlah hati akan berubah.

Bila sayang bertukar jengkel dan kebencian mula menampakkan wajah jeleknya, langkah seterusnya eloklah beredar.

Jangan sampai orang meluat dan terus membenci. Akhirnya kita bermusuhan pula sedangkan satu waktu dulu sama bahagia melayari bahtera.

Perkhabaran buruk rumahtangga Erema-Seri Bayu kini menjadi tatapan umum.
Baik Erema mahupun Seri Bayu, masing-masing memberi versi tersendiri kenapa dan mengapa rumahtangga mereka dilanda musibah. Bila dah merah, kunyit dan kapur saling menyalahkan, itu kan perkara biasa....

Dulu sayang, sekarang tidak. Inilah fitrah hidup berpasangan, tidak ada apa yang hendak dihairankan.

Kasih abadi sampai ke liang lahad dan hanya cangkul dan penggali pemisahnya jarang sekali kedengaran sekarang. Pendek kata tiada apa yang kekal di fana ini.

Dan janganlah mengharapkan keintiman seperti mata hitam dan putih yang tidak boleh bercerai dan berenggang, itu kan dongengan semata, persis hikayat 1001 malam.

Mungkin ramai antara kita tersilap membuat rumusan bila melihat kekusutan rumahtangga mereka berdua. Orang luar hanya boleh buat tafsiran, selebihnya tindak tanduk kita yang akan memberi gambaran tepat siapa kita. Belas, simpati dan perasaan bercampur baur melihat pasangan ini secara zahir.

Kerana fikirkan orang muda selalunya akal tidak panjang dan keputusan dibuat ikut emosi. Dan selalunya buah yang masak ranum manis itu belum tentu manis rasanya. Tambah pula bila kerjaya berkisar di kelab malam, siapa yang tidak akan keliru?

Rupanya, tekaan manusia ini tidak selalunya benar. Mata boleh tersilap pandang dan hati mudah membuat hitungan sebarang.

Bila tuan punya badan menunjukkan belang dan bersikap seperti orang tidak matang sehingga menjerit meraung sedangkan redha dan tawakkal terlebih layak dilakukan dalam keadaan kedhaifan kita apabila diduga olehNya.

Nasib kita tiada siapa yang tahu. Meskipun ke langit kita berjemuran, kalau hari tak panas, tidak juga kering. Begitu juga dengan husnul khatimah seseorang. Kalau baik jalannya, Insya Allah segalanya dipermudahkan.

Kalau sakit berat yang tersurat, anggaplah saja ianya satu kifarah.
Proses penceraian yang dibolehkan berfasakh dan berpisah cara baik seharusnya didahului.

Jangan diberatkan pekerjaan yang ada jalan keluar.
Niat hendak mengajar sekaligus menyeksa batin bukan ajaran Islam. Bercakaran, tendang menendang sehingga melarat ke laporan polis tiada gunanya. Di mana letaknya darjat seorang suami? Hukum apa yang menanti nusyuz sang isteri?
Kadang kala perlakuan buruk kita sendiri, akan memberi gambaran hodoh pada agama dan bangsa kita.
Pesan Kakak Tua pada Seri Bayu, janganlah bersikap sayang-sayang buah kepayang. Erema pula biar tersalah kain, jangan tersalah cakap.

Apapun perbuatan, biar berhemah kerana keluarga kita turut terpalit sama.

KAKAK TUA: Tidak mahu seperti mulut gedembai!

Air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan


Selasa November 4, 2008

Usia semakin memanjat dan masa memadam banyak memori pahit dalam hidup ini. Bila terdengar musibah yang menjengah hidup artis, Kakak Tua tidak mahu turut bersorak kerana 'Ini hari orang, besok mungkin hari kita.' Malang tidak berbau, malapetaka boleh menimpa siapa saja. Nauzubillah.

Tapi sudah resam manusia yang selalu terkhilaf, tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Sebetulnya kita harus bersyukur dengan apa yang ada walaupun sedikit anugerah dilimpahiNya.
Manusia jarang beringat dan selalu tidak puas. Selalunya, sudah ada biduk, serempu (sejenis sampan) pula yang dicari. Dah ada sirih nak makan sepah pula dan dah ada tangga, teringin pula hendak panjat tiang.

Dalam dunia artis, memang kebetulan mungkin terlalu banyak kemungkaran yang berlaku. Terlalu ketara kerana mereka selalu diteropong, makanya nampak sangatlah kejahatan yang dilakukan. Bila sudah terlalu banyak yang buat onar, artis yang baik-baik dan mempunyai rekod bersih boleh dibilang dengan jari.

Bak kata orang tua, 'hilang ikan dalam kerabu' sehingga tiba satu ketika sesuatu kejahatan tidak dipandang serong lagi apabila di sana sini orang melakukannya.

Ada saja kisah artis ambil dadah, merampas suami orang, mengganggu rumahtangga orang, suntik muka, teguk air syaitan, bersekedudukan, berkata dusta sehingga melibatkan maruah keluarga, menipu status dan bermacam lagi onar dan pendustaan yang terang-terang dilakukan.
Walaupun kita wajib menegur kemungkaran di depan mata kerana itu satu tanggungjawab tetapi sebagai orang Islam, kita dilarang membuka aib atau pekung orang.

Melainkan perkara itu terang-terang dilakukan seperti yang pernah dikatakan oleh Mufti Perlis, Dr Asri di dalam kolumnya yang bertajuk 'Bila yang nyata dibiar, yang tersembunyi dicari.'
Beliau menegur sikap orang kita yang suka sangat "mendedahkan perbuatan maksiat tertutup namun membiarkan perbuatan maksiat terbuka" seperti perbuatan penguat kuasa agama yang ada masa dan berusaha pergi mengintip, memecah pintu milik peribadi orang lain pada jam 3 pagi bagi memastikan maksiat wujud ataupun tidak.

Namun dalam masa yang sama tiada 'kudrat' untuk menghentikan suami yang zalim memukul isteri yang sudah berulang kali membuat aduan, tidak cukup masa untuk menyelesaikan kes-kes kezaliman rumah tangga dan seumpamanya, kata Dr Asri lagi.

Ternyata beliau tidak bersetuju dengan pendedahan tangkapan khalwat keatas Norman Hakim dan pelakon baru Memey oleh jabatan agama dan disiarkan secara meluas di muka depan beberapa buah akhbar tempatan baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan itu dianggap sebagai 'promosi maruah' yang ternyata bertentangan dengan ajaran Islam.

"Maksiat yang dibanteras secara keras oleh Islam ialah maksiat yang berlaku secara terbuka kerana ia menggalakkan aktiviti mungkar dan mencemarkan iklim masyarakat Muslim.

"Maksiat yang berlaku secara sembunyi dan hanya membabitkan soal peribadi insan, bukan keselamatan awam, maka ia tidak didedahkan," ulasnya.
Beliau mempersoalkan pelaksanaan maksiat terbuka di mana penguatkuasa tidak mencegah lelaki yang menyerupai wanita dan 'mengiktiraf' drama, pertunjukan dan filem yang terselit 'wanita jadi-jadian' ini.

"Seakan kita ada tiga spesis; saudara, saudari dan 'saudarai'. Inilah maksiat terbuka yang lebih patut dibantah daripada mencari-cari 'kemungkinan' maksiat di belakang pintu yang berkunci," kata Dr Asri.

Ada benarnya kata Dr Asri. Janganlah duri dipertajamkan lagi. Kes yang sedang dihadapi oleh Norman Hakim-Abby Abadi dan Memey ibarat 'Tutup lutut terbuka pusat. Lepas kaki leher terjerat.' Rasanya antara mereka sudahpun merasa azab dan tempiasnya angkara berdusta dan bercakap bohong. Dan kedukaan Abby tentu lebih berpanjangan kerana tiga cahayamata yang berkongsi kasih ikatan yang hampir terlerai.

Begitu juga dengan kemelut yang dihadapi oleh pasangan Aziz M.Osman dan Nor Radhiah.
Kebarangkalian kekusutan terlerai apabila ada tokoh agama yang membuat pengesahan pernikahan mereka. Semoga hikmah di sebalik kejadian akan dapat jadi iktibar untuk kita semua. Dan harap-harap 'Air saja yang besar tapi sampan tidak hanyut.'

Tetapi selalunya dari pengalaman dan pengamatan Kakak Tua, kes yang melibatkan ikatan ukhuwah begini, "Air sama air, sampah ketepi jua." Wallahualam.

KAKAK TUA: Selalu ingat pesan ayah, air setitik jangan dilautkan, tanah sekepal jangan digunungkan.

Sunday, December 28, 2008

Hitam gagak tiada siapa yang mencelupnya!

Ahad Disember 28, 2008

KENAPA agaknya orang tua-tua suka sangat menggunakan simbolik warna hitam dalam bidalan dan kiasan? Selalunya apa saja yang hitam membawa maksud yang negatif. Agaknya sebab itulah gagak itu begitu jelek wajah dan suaranya kerana begitu jugalah sifat dan warna yang melekat padanya.

Kebiasaannya spesis burung gagak dianggap negatif lantas dikaitkan dengan perkara yang tidak elok.

Pantas sekali kalau 'gagak hitam itu tidak ada siapa yang mencelupnya' kerana sememang begitulah asalnya sejak azali - begitulah juga dengan orang yang memilih jalan salah dan membuat jahat atas pilihan sendiri. Tiada siapa yang menyuruh.

Kalau bermukah siang malam dan kemudian ditangkap basah atau khalwat jangan salahkan sesiapa. Begitu juga kalau buat pekerjaan serong dan terkena badi setelah tua, siapa hendak disalahkan?

Sehingga rambut putih pun masih hendak berhambakan duit dan tidak cukup-cukup dengan harta dunia, bila sakit sendiri lah tanggung.

Kalau 'terambil' hak orang tiba-tiba hak kita pula diusik orang lain, jangan pula menuding jari. Tepuk dada tanya selera kerana sepintas itu jalan mudah yang dicari.

Sanggup bersekedudukan dalam zina tapi bila ditanya soal kahwin, kononnya terlalu sibuk dengan karier. Keintiman menjangkau masa bertahun tanpa ada hasrat untuk menghalalkan hubungan.

Nikah secara rahsia di luar kawasan kerana tidak suka diganggu media. Tapi fitrah manusia, akan kembali juga ke pangkuan keluarga. Ketika itu, membatu seribu bahasa.

Agama ditolak tepi, soal adat nombor dua dan keluarga pun ditinggal belakang kerana nafsu muda lebih utama.

Bila isteri sudah bawa perut, baru tersipu-sipu memberi alasan kenapa berahsia selama ini.

Yang berakal tidak akan mudah menjerat diri dengan membuat onar atau mencari dosa atau sengaja meletakkan diri di kancah kebinasaan. Dadah, zina, dusta atau apa saja rupa maksiat akan membuat siapapun hilang seri hidup.

Bila sudah bersekongkol dengan salah, jalan yang terang pun nampak kabur.
Wajah orang berdosa itu tidak akan terhakis dengan ucapan aku insaf sahaja. Ia mesti diriingi dengan perbuatan yang seiring.

Jangan ambil mudah sekatan dan batasan yang dibolehkan. Tambahan bila memegang gelaran artis, kekangan itu lebih kerana banyak mata yang memerhati.
Walaupun atas nama kebebasan diri, bertindik lidah, membuka baju dan memperlihatkan susuk tubuh keterlaluan tetap salah kerana kita perlu jaga tata susila orang Melayu, lebih-lebih lagi sebagai orang Islam.
Kalau tak nak orang cakap, duduk saja bertemankan ungka dan uir-uir di hutan.
Maka sebab itu, ramai yang mencemuh aksi Carburetor Dung yang tunjuk seluar, Faizal Tahir ketika berlagak Superman dan Radhi OAG yang buat persembahan dengan aksi membuka baju dan bersongkok pada konsert Rock The World 8 baru-baru ini.
Semua aksi ini nampak biasa kalau kita di rumah tetapi janggal dan pelik kalau di tempat awam.
Jadi janganlah kita meniru sifat gagak hitam. Pekat birat warna di badan tapi tetap menjerit-jerit tanpa rasa malu. Jadilah seperti merpati putih. Sopan dan manis dipandang, bersuara hanya perlu.

KAKAK TUA: Selalu ingatkan anak-anak jangan merasuk macam polong tak berjinjang.

Wednesday, June 25, 2008

Siapa yang kena cubit, dialah yang terasa sakit!

25-06-2008 10:22:27 AM
KISAH cinta 'tragis' paling meruntun perasaan kalau kita ni jenis yang sentimental. Lihat saja di layar perak, watak yang paling mudah kita hayati ialah Laila & Majnun atau Romeo & Juliet.

Tapi itu cerita di layar perak. Kalau dalam kehidupan seharian, banyak juga babak asmara begini yang berlaku di hadapan mata dan diberi tempat penting di ruangan gosip dan berita.

Tambah menarik bila pelakunya adalah pasangan popular seperti DJ Era Linda Onn dan pelakon Fahrin Ahmad.

Pasangan ini sering digosipkan ada hubungan cinta. Terlalu kerap penafian yang dibuat dan kebenaran dikaliskan oleh Linda Onn sehingga naik muak orang membaca. Tetapi baru-baru ini, tak ada angin, tak ada ribut, pasangan ini memberi komentar berlainan apabila ditanya kenapa hubungan mereka tidak semesra dulu lagi.

Linda kata dia hanya berkawan dan tidak pernah pun bercinta dengan Fahrin manakala Fahrin pula berkata dia tidak pandai berdolak-dalik.

Maksud cakap mereka membuat kita terpinga-pinga. Ingatkan orang politik saja yang pandai pusing-pusing cakap. Rupa-rupanya, insan seni lebih bijak lagi bermain dengan kata-kata.
Tiada maknanya pakaian sedondon yang sering dikenakan bersama. Begitu juga telatah bagaikan merpati dua sejoli terbang ke sana ke mari berdua-duaan hanya satu mainan seloka semata.

Mungkinkah selama ini, mata kita terkilau dek kemesraan yang 'dibuat-buat' atau kita yang 'bersalah' kerana mengharapkan sesuatu dari permainan perasaan mereka berdua.

Tafsiran yang dapat dibuat berbagai-bagai terpulang kepada kebijaksanaan kita membaca bahasa tubuh kedua mereka.

Bagi pihak media pula, cukup sekadar menghimpun dan mengamati kata-kata Linda & Fahrin.
Mungkin juga media tersilap membuat interpretasi sendiri apabila melihat kebahagiaan kedua mereka yang melebihi teman biasa. Sudahnya, semua orang terkhilaf.

Kakak Tua teringin hendak tahu misteri cinta apakah ini. Sungguh mengasyikkan dan membuat hati tua ini teringin sekali berkongsi rahsia.

Tak mungkin Linda cuba bermain sandiwara walaupun dia pernah berlakon filem Gila Bola. Dan mustahil pula Fahrin yang 'hidung tak mancung pipi tersorong-sorong' kerana selama ini, rentak gaya keduanya tidak pernah pun sumbang. Pendek kata, Linda dan Fahrin laksana garam dan asam, amat cocok sekali.

Tapi bila kedua mereka membuat kenyataan berbeza tentang satu perhubungan, kita pula yang jadi keliru. Hanya mereka berdua sahaja yang tahu apa yang mereka lalui bersama. Bak kata orang tua, 'Ketika ada sama dimakan, waktu tak ada sama ditahan.'

Kita hanya dapat meneka apa yang tersirat di sebalik nada sinis dan bersahaja kenyataan mereka di akhbar. Tapi Kakak Tua yang tahu sedikit sebanyak tentang tenung makrifat percaya Fahrin lebih merasakan kepedihan di atas 'perpisahan' ini.

Dari riak muka, kesungguhan serta keikhlasannya mengeluarkan isi hati sudah dapat dijangka betapa saratnya beban cinta tidak kesampaian yang sedang ditanggungnya. Itu belum lagi sentuh bab 'air muka'nya yang dipermainkan.

Mendung saja muka Fahrin, bagaikan hangus tidak berapi, karam tidak berair. Berlainan pula dengan wanita kental dan berhati waja Linda Onn yang selamba dan begitu yakin bahawa mereka hanya berkawan dan tidak lebih dari itu. Susah juga hendak menyingkap kisah benar pasangan ini apabila irama hati tidak senada lagi.

Harap-harap Fahrin janganlah terlalu berduka cita kerana kehilangan akan diganti. Hanya masa yang akan mengubat hati yang rawan.

Lagipun, bila sudah diberitahu yang kita ni bertepuk sebelah tangan, sebagai lelaki kita perlu ada harga diri. Jangan sampai orang kata, 'Bintang di langit dapat dibilang, arang di muka tidaklah sedar.' Pandai-pandailah muhasabah diri.

KAKAK TUA: Bunga yang harum itu ada juga durinya!

Thursday, June 19, 2008

Andai kasih sudah berubah


KISAH artis cerai berai bukan sesuatu yang patut disensasikan. Malah, kalau ikutkan tata cara yang betul seharusnya tidak perlu dihebohkan langsung.
Sementelah sudah heboh diperkatakan, terpaksalah beberapa artis melakonkan babak sandiwara seolah-olah tiada apa yang berlaku. Itu antara dilema artis kita.
Kejadian sebegini mengingatkan Kakak Tua pada sepotong ayat yang pernah dititipkan oleh Almarhum ayahanda. Kata arwah ayah, 'Dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal yang belayar di lautan. Telah banyak kapal yang karam didalamnya tapi andai muatan kita adalah iman dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.'

Mengenangkan bukan sedikit barisan artis jelita yang sedang menunggu giliran untuk 'dijatuhkan hukum' di Mahkamah Syariah, datanglah belas hati ini. Wajah jelita bermandikan kisah duka, tercalit malu bukan kepalang kerana idola ribuan peminat yang sedang menunggu hukuman. Jarang sekali yang baik diceritakan bila kisah cerai terburai di dada akhbar...
Nama pun penceraian. Karam di hati siapa yang tahu.....

Namun apapun masalah yang dihadapi dalam rumahtangga, yang penting adalah kejujuran kerana apabila kita hidup tanpa kejujuran, hidup kita akan senantiasa menjadi mainan orang.

Begitu juga sehebat mana sekalipun kita sebagai individu, kita perlu ikhlas menjadi diri sendiri.

Walaupun status selebriti atau artis popular menjangkaui gemerlapan nama kemasyuran, seandainya kita tidak jujur mengharungi perjalanan hidup ini, kita akan sesat jalan.

Jujur dan ikhlaslah apabila berbicara. Janganlah asyik hendak bersandiwara dan main wayang. Tidak ada titik nokhtah seandainya berlakun tanpa tuan direktor.

Yang paling molek, sebagai orang surat khabar kita sepatutnya memberi ruang pada mereka yang berada di ambang perceraian ini. Ruang untuk mereka 'bertenang' dan memikirkan semula saat-saat manis. Jangan dirobek lagi jiwa-jiwa yang sedang kacau ini.

Seandainya terlangsung dan tersadung bercakap pasal 'rumahtangga yang tidak sihat' seperti yang dilakukan oleh bintang jelita Norish Karman dalam Melodi Ahad lepas, seharusnya lebih berhati-hati dan jujur bila meluahkan rasa di khalayak.

Terpaku melihat bibir mungil Norish berbicara soal rumahtangganya yang dikatakan sedang genting. Norish tampil agak meyakinkan pada mulanya. Namun lama kelamaan, dek terlalu teruja atau kurang cekap mengendalikan susunan ayat, artis jelita dari Singapura ini terbabas.

Dalam dia cuba mempertahankan yang dia masih tinggal sebumbung dengan suaminya, tiba-tiba terpesong skripnya yang kurang sempurna.

Penafian yang dibuat menimbulkan lebih banyak tanda tanya. Kalau masih tinggal sebumbung dan masih ada suami, masakan pengganti nama sang suami 'tanyalah pihak sana.' Begitulah cara minda tua ini berfikir dan menganalisa senario rumahtangga yang berantakan ini.

Semakin keliru hendak mentafsirkan kesahihan berita. Betulkah Norish Karman artis yang dimaksudkan sedang menuntut harta sepencarian yang agak lumayan itu? Seandainya ditayang balik, mungkin Norish sendiri akan tersenyum mendengar hujah pembelaannya yang kurang kukuh itu. Dan di situlah perangkap samar yang terkena Norish.

Aktres berbakat besar yang mula mendapat tempat setelah menunjukkan lakonan hebat dalam drama 'Syurga Di Pintu Neraka' ini seperti kalah dalam percaturan sendiri.

Bukan saja Norish, siapa saja yang di ambang yang sama tentu buntu fikiran. Bagi Kakak Tualah, kita sepatutnya lebih bijak menangani isu-isu yang melibatkan hal dalam kain ini.

Tak payah dilayan soalan-soalan yang akan memakan diri kelak yang malu diri kita sendiri juga. Mereka yang pernah berada dalam situasi yang sama seperti penyanyi Nash-Sosilawati, Beego-Intan, Awie-Arni (sekadar contoh) tentu sudah serik bukan kepalang.

Kalau pun perlu diperjelaskan, cakaplah dengan berhemah dan jujur serta tulus. Hendak cakap berlapik pun jangan sampai pecah tembelang. Nanti orang kata artis kita tidak habis-habis main bersandiwara baik di kaca TV mahupun di luar.

KAKAK TUA: Hidup tak selalunya indah. Keindahan datang dengan kejujuran!

Condong yang akan menimpa

TIDAK dapat dibayangkan apa yang terlintas di benak pelakon Anak Pontianak, Zarina An-Julie Fahizul ketika merakamkan foto seksi peribadi, sekaligus mengaibkan diri sendiri.
Dan apakah perbuatan yang tidak bermoral itu boleh disifatkan sebagai 'cuai.' Cuai adalah istilah yang digunakan oleh pelakon jelita berusia 21 tahun ini bagi menggambarkan situasinya ketika foto itu dirakamkan.

Dapatkah kita terima alasan yang foto itu dirakam untuk tatapan peribadi saja dan tidak lebih dari itu. Kononnya, seseorang telah mencurinya dari komputer ribanya dengan niat untuk memalukan dirinya.

Kakak Tua amat simpati dengan Zarina An-Julie kerana angkara sendiri, terjerat dalam situasi yang memalukan. Itu belum lagi disentuh soal maruah keluarga dan diri sendiri sebagai anak gadis.

Walau apapun, sungguh mustahil dan tidak dapat diterima akal bila Zarina mangatakan dia tidak tahu perbuatan ITU akan mengundang binasa bak condong yang akan menimpa.
Budak kecilpun tahu membezakan yang baik dan buruk, masakan sudah besar panjang tidak boleh.

Luluhnya hati ibu ayah bila anak menconteng arang di muka. Apapun alasan yang tidak masuk akal diberi sekalipun, ianya tidak akan mengubah apa yang sudah berlaku. Untuk membasuh percikan mala di muka keluarga mengambil masa yang lama. Itupun belum tentu akan terpadam sejarah silam aktres jelita ini. Akan terpalit jua cerita pekung ini sehingga ke anak cucu.

Gadis yang diburu sensasi dan kontroversi ini tetap diselar, dikritik hebat sungguhpun sudah mengakui kesilapan sendiri. Tambahan pula gambarnya tersebar luar, tanpa batasan, di internet. Itupun kata An-Julie, parti yang dihadirinya bukan parti liar seperti didakwa di Port Dickson. Mungkin juga hanya temasya muda mudi alaf baru yang alpa tentang masyarakat sekeliling dan batas hukum hakam....

Setelah memohon maaf. sangatlah wajar kita membuka lembaran baru dan memberi kemaafan itu namun masih ada yang terbuku di hati Kakak Tua tentang kenyataan yang diberi. Namun semua ini sekadar renungan bersama saja untuk mencari punca.

Ketika kali pertama gambarnya tersebar, disalahkan teknologi 'super impose.' Selang beberapa lama, timbul pula gambar panas yang terbaru ini. An-Julie sanggup memberi alasan bodoh seperti "kecuaian, di luar kawalan dan tidak sedar perkara ini salah kerana ianya hanya untuk tatapan peribadi."

Katanya lagi, "Semua koleksi peribadi saya simpan dalam komputer riba dan silap saya suka meletakkan komputer itu merata-rata. Malangnya, ada orang sengaja mengambil kesempatan dengan menyebarkan gambar itu di internet. Biar Tuhan membalas perbuatannya. Mungkin niatnya mahu memalukan saya."

Cukuplah rasanya, lafaz kata 'saya bersalah.' Tak payah membuat dalih dan alasan kerana akan terserlah lagi keterlanjuran baik dari tutur kata mahupun perbuatan. Yang jelas, kita sendiri akan menanggung malu.

Ingatlah keaiban yang turut membabitkan orang tua. Kakak Tua percaya, ini adalah antara ribuan kes 'bukan salah ibu mengandung' dan keterlanjuran ini juga kerana mengikut bisikan hati muda. Terkenang kata-kata Datuk Daud Kilau ketika difitmah membuat onar dengan lelaki remaja.

"Jika diambil satu lautan untuk menghilangkan arang di muka saya, nescaya tidak mampu menghilangkannya. Begitulah aibnya saya," kata penyanyi veteran yang masih mengekalkan geleknya itu.

Sedari kecil walau apa jua latar belakang kita, ibu bapa mengajar yang mana baik, yang mana buruk. Hanya kekerapan dan keberkesanan pelajaran ini sahaja yang akan membezakan kita.

Seandainya 'the sense of right and wrong' ini tidak diterapkan dengan cara berkesan dan efektif sedari kecil maka akan berlakulah lagi peristiwa sebegini rupa. Ramai lagi An-Julie, Sufiah dan perlakuan curang akan muncul dan si pembuatnya akan tersadung memberi 1001 alasan dangkal untuk meloloskan diri dari 'dijatuhkan hukum.'

Yang layak menghukum hanya Allah yang satu. Mungkin teguran tidak akan meninggalkan kesan apa-apa. Tapi harap-harap An-Julie akan insaf dan tidak mengulangi lagi perbuatan lampau. Cukuplah melakonkan watak 'Anak Pontianak' di kaca TV. Jangan sampai badi Anak Pontianak mengikut sampai bila-bila.

Takut nanti orang lari bukan kerana wajah yang menggerunkan atau seram tapi kerana takut dengan perlakuan 'seram' An-Julie. Wallahualam.


KAKAK TUA: Rosak badan karena penyakit, rosak bangsa karena laku.

Friday, May 30, 2008

Daun nipah disangka daun labu!


30-05-2008 12:52:33 PM
TIDAK dinafikan golongan artis hypersensitif terutama apabila berbicara pasal kreativiti mereka, tidak kira muzik atau filem.

Sensitiviti mereka boleh sampai ke satu tahap di mana mereka akan bersikap territorial, bermakna orang 'luar' dan yang tidak berkenaan tidak dibenarkan mengusik 'hak' mereka walaupun yang menegur itu tokoh agama.

Pendek kata, mereka disifatkan sebagai the untouchables kerana ada imuniti sehinggakan jarang dapat ditegur.

Kalau setakat wartawan menegur, dikalis sahaja teguran itu. Lagipun, kalangan wartawan cukup dikenali sebagai 'cakap sejengkal dibawa sehasta.' Tapi bila tokoh agama yang disegani menegur, diambil mudah dan didebatkan - itu sudah tidak berhemah namanya.

Pengarah muda Ahmad Idham, yang lahirnya dulu sebagai pelakon tapi kini bergelar pengarah filem (setelah mengarah Jangan Pandang Belakang dan Congkak) antara yang cukup terhiris apabila filem hantu ditegur.

Itupun teguran yang boleh diklasifikasikan sebagai 'peringatan' sahaja, tidak lebih dari itu. Bukannya dikeluarkan kenyataan melarang atau mengharam pun.

Hairan kenapa Idham tersentap bila Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata "Ada antara filem hantu yang tidak menyumbang kepada pembentukan insan, tambahan apabila ditonton oleh kanak-kanak boleh mempengaruhi pemikiran mereka. Kesan buruk filem seram berkait rapat dengan isu penyelewengan akidah jika tidak berhati-hati."

Tidak manis bila teguran disalah anggap seolah-olah ianya satu tuduhan. Janganlah kita bercakap pasal jumud, sempit fikiran dan mempersoalkan betapa tipis intelektualiti seseorang, sedangkan kita yang sebenarnya begitu. Jawapan balas yang berbaur peribadi amat menjengkelkan.

Sebagai orang lama, Kakak Tua tumpang malu kerana keceluparan Idham seolah membayangkan dari daun sudah kita kenal pohonnya.

"Apakah mereka memperkatakan dengan jujur. Bagi saya filem itu tidak memesongkan pemikiran sebaliknya komen-komen begini (tanpa pengkhususan) lebih memesongkan,” tegas Ahmad Idham yang berasakan dirinya betul.

Apabila berbicara dengan orang alim dan yang lebih tua, ikutlah cara dan adab yang betul. Tidak semua yang terlintas di benak harus dizahirkan.

Bak kata orang, 'Dikulum menjadi manikam, diludah menjadi sekam' - Yang tidak elok diperkatakan lebih baik disimpan sahaja kerana ditakuti akan menimbulkan sengketa.

Lagipun, hati orang yang bodoh di mulutnya, mulut orang yang cerdik di hatinya. Hanya orang bodoh saja suka cakap ikut sedap mulutnya sedangkan orang yang pandai berfikir dahulu sebelum berkata-kata....

Keangkuhan kita menerima satu teguran yang positif akan memakan diri satu hari nanti. Apa saja yang berkaitan dengan agama dan hukum yang berkaitan perlu diserahkan pada mereka yang lebih arif.

Jangan kita mendabik dada dan bersikap defensif sehinggakan terlupa tatacara peradaban apabila bercakap dengan ilmuan agama atau ustaz. Tidakkah biadap namanya tu?

Dr Asri antara tokoh agama yang paling liberal dan positif pendekatannya bila menyentuh pasal skop hiburan yang dibolehkan dalam Islam.

Mustahil fikirannya sesempit yang Idham katakan. Memanglah tak salah buat filem seram tapi semua yang dilakukan perlu di dalam ruang litup dan daerah yang dibolehkan, bukan ikut hati dan sesedap rasa. Kalau kita cetek ilmu agama, jangan cuba mendekati isu yang jelas hitam dan putihnya. Little knowledge is bad...it just shows how ignorant you are!

Siapa pula yang menidakkan kewujudan alam ghaib yang disebutkan dalam hadis dan Al- Quran? Sebenarnya Idham terkeliru kerana diri diselimuti emosi melampau untuk menegakkan kebenaran diri sehinggakan tidak dapat bezakan apa yang disampaikan.

Teguran Mufti hanya melahirkan satu kerisauan dan beliau mengingatkan agar garis halus yang BOLEH merosakkan akidah itu tidak dinodai. Itu saja. Jadi tidak perlulah ayat-ayat bongkak seperti..."Jangan kongkong minda kita dan beranggapan fikiran saya terlalu rendah."

Itu semua cakap orang yang bercelaru mindanya sehinggakan mengeluarkan defensive coping sebegitu. Mula-mula, Kakak Tua ingatkan Idham sensitif tentang soal filem seram saja, rupanya istilah perbendaharaan katapun pendiriannya lebih kurang sama.

Baru-baru ini, Idham berkata dia tidak menCIPLAK drama tempatan Ezora dari telenovela The Gardener's Daughter' dan dia cuma MENCEDOK idea sahaja.

Kalau ikut istilah kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kedua-duanya membawa pengertian yang sama.

Cedok bermakna mengambil atau meniru dari karangan atau ciptaan orang lain sedangkan Ciplak adalah meniru atau mengutip karangan orang lain (tanpa izin) atau plagiarisme. Bezanya cuma EJAAN saja. Janganlah daun nipah disangka daun labu...wahai Idham!

KAKAK TUA: Hidup pohon biar berbuah, hidup manusia biar berfaedah