Friday, May 2, 2008

Jangan ingat P.Ramlee maksum!

(02-05-2008 06:01:55 PM)
SUKAR untuk sebilangan besar dari kita menerima kenyataan bahawa seseorang yang kita sayang dan sanjungi ada kelemahan diri.

Bagi peminat fanatik atau yang taksub tentu saja tidak dapat menerima kenyataan bahawa idola kesayangan ramai seperti Mawi, Datuk Siti Nurhaliza, Sudirman Hj Arshad mahupun seniman aguing P.Ramlee ada kelemahan mereka tersendiri.

Baru-baru ini, Kakak Tua diberi kesempatan menjenguk pelancaran buku 'Filem-filem P.Ramlee' yang diusahakan bersama oleh wartawan veteran Mustafa AR dan seniman Datuk Aziz Sattar yang berlangsung di Saloma Bistro.

Kakak Tua menulis dengan tujuan sebagai pengantara kedua penulis buku 'Filem-filem P.Ramlee.' Bak kata orang, 'Hujung jari sambungan lidah' - untuk menerangkan apa yang tidak dapat dijelaskan oleh mereka....

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat itu, kesimpulannya konsep penerbitan buku itu sendiri harus dipuji kerana ianya berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini.

Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan yang pernah mengenali P.Ramlee ini, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar.

20 tahun bukan masa yang sedikit untuk menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan seniman agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat.

Namun di sebalik kehebatan buku yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 buah filem P.Ramlee, ada paparan kisah menarik bagaimana P.Ramlee mencedok idea dari filem luar untuk dimuatkan dalam buku ini.

Ramai yang kepingin tahu filem apa yang memberi inspirasi dan dorongan pada P.Ramlee? Pengalaman menarik insan seni unik yang membawa nama Putih Ramlee ini perlu dikongsi bersama....

Tapi sebelum itu, sikap prejudis kena tolak tepi dulu.

Jangan ada secalitpun rasa kecewa jika diberitahu bayangan filem Kurosawa ada di dalam filem Semerah Padi, begitu juga adegan lucu P Ramlee, Aziz dan S Shamsuddin mengekori Rose Yatimah dalam Pendekar Bujang Lapok ditiru dari CID lakonan Dev Anand dan Shakila.

Dan babak Aziz Sattar bersama S Shamsuddin membahagi-bahagikan duit yang dicuri dalam filem Nujum Pak Belalang itu sebenarnya diambil dari filem Inggeris Tom Thumb yang diarahkan oleh George Pal.

Aziz Sattar yang juga rakan baik P.Ramlee berkata, walaupun Ramlee menciplak filem orang lain ini tidak bermaksud dia kekurangan kreativiti.

Jangan dilihat negatifnya tapi seharusnya dilihat dari perspektif kebijaksanaannya menokok tambah supaya karyanya nampak 'baru' dan lain dari yang lain.

Lagipun, bukankah 'Imitation is the greatest form of flattery' kata pepatah Inggeris?

Kesahihan yang diutarakan dalam buku ini tidak perlulah kita sangsikan kerana 'Bukan air muara yang ditimba, sudah disauk dari hulunya.' Memang benar dan yakin perkara yang tercatat dalam buku.
Masalahnya, berapa ramai di antara kita yang boleh menerima hakikat ini? Kita perlu senantiasa ingat, P.Ramlee bukan maksum seperti para Rasul dan Nabi maka kesimpulannya kita perlu terima karya P.Ramlee seadanya dan secara 'total'. Bukan separuh-separuh...

Tidak perlu dikontroversikan penemuan baru ini kerana 'kejutan' realiti terbaru ini hanyalah satu 'eye opener.'

Seharusnya kita tukar 'mind set' kita terutama orang Melayu. Cuba diasingkan atau dibezakan antara kelebihan dan kelemahan seseorang, tidak kiralah samada orang itu tokoh politik, artis atau orang biasa macam Pak Lah, Anwar Ibrahim, Tun Mahathir, Faizal Tahir, Mawi, Siti atau Mufti sekalipun.

Lebih terpuji dan berhemah seandainya sifat baik atau kelebihan seseorang itu kita ambil dan dahulukan dan yang buruk ditolak tepi dan 'dilupakan'.

Tidak perlu taksub bila kita terlalu suka pada seseorang, sehingga tidak nampak langsung kelemahan atau keburukan orang itu.

Jangan pula bila sudah diberitahu kelemahan seseorang kita pula dicap sebagai 'busuk hati', 'tidak kenang budi' dan ada agenda jahat untuk menjatuhkan seseorang itu.

Menyatakan fakta tentang 'kelemahan' dan memburukkan personaliti seseorang adalah dua perkara yang berbeza. Yang penting apakah niat kita sebenarnya?

Dalam soal buku 'Filem-Filem P.Ramlee', point yang P.Ramlee menciplak/mencedok atau plagarise karya orang lain adalah satu lagi fakta sejarah agar dapat dijadikan rujukan pada generasi muda.

Tentu ramai bijak pandai di luar sana maklum sangat bakat dan bakti yang ditinggalkan oleh P.Ramlee tidak mungkin tergugat dengan penemuan baru ini.

Fakta yang mengatakan beliau pernah menciplak idea orang lain hanya satu lagi 'benchmark' dalam kecermelangan karya seniman agung ini.

Jadi tak payahlah kita membuntukan fikiran kita. Terimalah segalanya dengan hati terbuka....
KAKAK TUA: Yang hampa biar terbang, yang bernas biar tinggal!

5 comments:

Aristocrat said...

i cant read this language, but the pictures are beutiful!

Eden said...

Welcome to blogging world, kak Kakak Tua. When will you personally blog? I will surely link you.

Thanks.

Santeira@ Forum Cari

MUS said...

SESIAPA YANG BERMINAT UNTUK MENDAPATKAN BUKU "FILEM2 P. RAMLEE", SILA HUBUNGI MUS DI TALIAN 013-3 1515 99 ATAU EMAIL KEPADA zaidi_zfr@yahoo.com

MUS said...

UNTUK MEMBELI BUKU "FILEM-FILEM P. RAMLEE" HUBUNGI MUS - 013 3 1515 99. (Penghantaran percuma ke rumah/pejabat bagi peminat P. Ramlee di lembah kelang)

MUS said...

Pelancaran buku Filem-Filem P. Ramlee telah disempurnakan oleh Datuk L. Krishnan pada April 26, 2008 di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, YB Dato' Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib. Majlis pelancaran buku Filem-Filem P. Ramlee turut diserikan dengan kehadiran seniman dan seniwati veteran seperti Neng Yatimah, Mariani, Zaiton, Hashimah Yon, Dayang Sulu, S. Shamsudin, Momok Latif, Kasim Masdor dan ramai lagi.

Jika sebelum ini sumbangan P. Ramlee dalam bidang seni hiburan diabadikan menerusi Pustaka P. Ramlee, Jalan P. Ramlee dan sambutan Hari Memperingati P. Ramlee pada setiap 22 Mac dan 29 Mei anjuran Persatuan Karyawan Malaysia, kini peminat P. Ramlee berpeluang mengenali P. Ramlee dengan lebih mendalam apabila buku berjudul Filem-Filem P. Ramlee diterbitkan.

Dalam buku ini, Mustafar A.R. Dan Aziz Sattar bukan sekadar menyingkap 66 filem arahan dan lakonannya, malah turut mendedahkan segala macam ciplak dan tiru yang terdapat dalam Filem-filem P. Ramlee. Juga terdapat ringkasan cerita, ulasan, kritikan dan penilaian terhadap P. Ramlee sebagai pelakon dan pengarah disamping menyorot di belakang tabir filem-filem beliau.

Tambah menarik, buku yang ditulis oleh Mustafar A. R. dan Datuk Aziz Sattar ini juga memaparkan informasi filem luar negara yang digunakan sebagai bahan rujukan P. Ramlee ketika menghasilkan filemnya.

Buku seperti ini tidak pernah diterbitkan di Malaysia dan bolehlah dianggap sebagai dokumentasi lengkap mengenai Filem-filem P. Ramlee dan sangat bersesuaian dijadikan rujukan terutama dikalangan orang-orang filem, ahli akademik dan mereka yang menyayangi P. Ramlee.

Oleh itu, sekiranya anda meminati Filem-filem P. Ramlee, seharusnya buku Filem-Filem P. Ramlee ini menjadi koleksi peribadi anda yang harus dimiliki.