Friday, April 25, 2008

Afundi Gang Starz!

(04-04-2007 01:39:18 PM)
WALAUPUN baru, program realiti untuk mencari kumpulan nyanyian terbaik Gang Starz anjuran TV3 sudahpun menunjukkan taringnya.

Kalau nak ikut rating peribadi Kakak Tua, Gang Starz lebih popular ke mana-mana kalau hendak dibandingkan dengan Akademi Fantasia 5 (AF5) di saat ini. Tambahan pula Gang Starz memenuhi citarasa dan lebih dinamik pengisiannya.

Tanpa perlu menyediakan sebuah akademi dan tenaga pengajar mahupun Pengetua yang perlu diberi gaji, Gang Starz dapat menonjolkan diri dan mengatasi AF5 dalam aspek bakat peserta.

Yang lebih membanggakan, untuk pertama kalinya program realiti ini diperkenalkan untuk mencungkil bakat kumpulan berpotensi di rantau ini termasuk dari negara jiran, Indonesia dan Singapura.

Apa yang Kakak Tua ingin kongsi di sini bukan setakat potensi kumpulan yang bertanding tapi lebih kepada hakikat yang cuba dipaparkan oleh program baru ini. Maaf ini hanya satu pandangan peribadi Kakak Tua sahaja. Bagi sesiapa yang tidak setuju, tidak mengapa.

Bagi sesiapa yang masih tidak boleh menerima kenyataan bahawa penyanyi dari seberang lebih baik silalah menonton Gang Starz.

Jawapannya ada di sini. Bukan setakat pemilihan lagu, persembahan, attitude mahupun solidariti sesama sendiri dalam kerja berpasukan, semuanya dapat dilihat secara positif di kalangan kumpulan dari Indonesia.

Rasanya ramai lagi di kalangan kita yang masih sangsi kemampuan penyanyi dari seberang.
Adakah mereka sengaja menidakkan realiti kenyataan ini atau minda mereka sudah diprogramkan sebegitu maka sampai saat ini, mereka-mereka ini masih tidak boleh menerima kenyataan kehebatan kumpulan dari Indonesia.

Berlainan sekali dengan AF5, peserta dari Gang Starz tidak dapat banyak bimbingan dan pakaianpun tidak ditaja. Begitu juga dengan arah tuju sesuatu persembahan, hanya tips sahaja diberikan.

Namun tanpa panduan terperinci, hampir kesemua peserta terpaksa mencari arah tuju dan terkial-kial mempamerkan persembahan yang cemerlang.

Bagi semua kumpulan dari Indonesia, mereka tidak ada masalah untuk melakukannya seperti The Lima, Piyanka, G18 dan Mendua. Disebabkan kecemerlangan inilah, rekod peribadi Kakak Tua mencatitkan yang mereka sedang mendahului program Gang Starz di saat ini.

Bukan sahaja kebolehan atau bakat yang mereka ada begitu meyakinkan, kesemua kumpulan Indonesia ini mempunyai semangat juang yang cukup kuat jika dibandingkan dengan kumpulan tempatan kita.

Kebolehan peserta Indonesia cukup menyerlah saban minggu terutama sekali The Lima, kumpulan yang terdiri dari tiga orang anak muda dari Bandung ini.

Bukan sahaja mereka dapat memberikan nafas baru kepada apa saja lagu yang dibawa mereka, baik Dealova mahupun Menceceh Bujang Lapok atau lagu dangdut, hampir kesemua orang yang menyaksikan persembahan mereka termasuk juri akan kagum dengan bakat yang mereka ada.

Begitu juga dengan Mendua, Pianka dan G18, kesemua mereka mempunyai pakej yang boleh dibanggakan termasuk attitude yang bagus. Kasihan pula tengok kumpulan kita seperti Equal Star, Luscious, Infinatez, Flava, Collabra8, CJP, Demolition Squad dan 1st Edition yang tercungap-cungap untuk menandingi kumpulan dari seberang ini.

Jika kumpulan tempatan diberi teguran pasal vokal, harmoni, pitching dan pemilihan lagu, rata-rata kumpulan dari Indonesia hampir tiada cacat celanya.

Sehinggakan bukan sekali juri profesional Vernon Kedit, Maple Loo dan Arab membuat komen seperti...."Mendua, awak tidak payah masuk pertandingan" atau "The Lima, pilihan lagu awak selalu tepat, well done!" atau "Persembahan awak secukup rasa dan awak ada X-Factor" dan Arab pula seperti memberi restu pada kehadiran The Lima...."Rakyat jelata akan sayang pada kumpulan awak."

Sungguh memberangsangkan setiap komen yang diberikan tapi itulah kenyataannya. Setiap minggu, kumpulan Indonesia melihatkan peningkatan yang membanggakan dan mereka akan senantiasa menang sorak. Tidak perlu kita mencemburui mereka kerana realitinya mereka hebat.

Kita perlu banyak belajar dari mereka. Kalau kumpulan amateur dari sana sebegini hebatnya, bayangkan artis mereka yang sudah terlebih dahulu mencipta nama.

Tidak keterlaluan jika Kakak Tua buat kesimpulan, artis suam-suam kuku mereka pun lebih handal dari artis kita yang sedia ada. Ini bukan sikap mendewakan artis seberang tapi atas kesedaran bahawa yang berbakat tetap berbakat.

Di sebuah kepulauan yang mempunyai jutaan umat, tentu sahaja artis mereka lebih ramai dan pilihan rakyat lebih selektif. Ibarat 'survival of the fittest", yang ada bakat sekelumit tidak akan berani mencuba nasib. Berbeza di sini.

Prioriti kita menobatkan artis itu sendiri sudah salah sejak dari awal lagi. Dan kita tidka pernah serik mengulangi kesilapan kita ini. Lihat sajalah Dafi AF5 yang kononnya penggoda wanita dan sering mendapat undian tertinggi SMS.

Kita perlu tanamkan kesedaran siapa kita dan siapa lawan kita sebelum kita hendak beradu nasib dalam satu-satu pertandingan. Semangat juang kena tebal, jati diri kena kuat dan jangan sekali menanam perasaan dengki dalam diri.

Sekiranya bakat tu masih lemah, ibarat telor setengah masak bak kata Ogy Ahmad Daud sepatah, janganlah cepat kita melatah dan menobatkan sebagai juara sebab yang malu kita juga.

Kalau kita tabalkan juga Juara berdasarkan rupa paras yang elok tapi bakat tak seberapa, itu maknanya kita menzalimi diri kita kerana tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Kita kena peka, cerdik dan membuat perhitungan yang betul dalam memilih juara. Lihat sahaja semua Bintang RTM yang dicungkil.

Semuanya berbakat dan mempunyai jangka hayat yang lama. Juara realiti program kita lain pula ceritanya...Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
KAKAK TUA: Sukar memilih Juara program realiti

0 comments: