Wednesday, April 30, 2008

Kilat dalam kilau, kabus dalam hujan!

(20-11-2007 09:08:29 AM)
KRITIK dan dikritik sudah menjadi kain basahan bagi golongan wartawan. Bila komen, artikel dan bahan yang ditulis diperdebatkan dan menjadi satu bahan diskusi di mana-mana, tidak bermakna apa yang ditulis itu dipersetujui ramai.

Bagi yang berfikiran terbuka, percanggahan pendapat itu sebenarnya adalah satu hikmah. Itu kata wartawan tua. Wartawan alaf baru pula mempunyai persepsi mereka sendiri kerana peredaran waktu dan situasi banyak mempengaruhi cara mereka berfikir.

Selalunya bila sesuatu tulisan itu lain bunyinya, berani menongkah arus dan kritis, ramai yang membuat andaian yang penulis mempunyai agenda tersembunyi. Lebih malang apabila penulis dituduh berniat jahat, hati kuman, berhati hitam, dengki atau ada agenda.

Tidak nafikan memang ujud wartawan yang sebegini tetapi bilangannya amat sedikit.
Bila teguran dibuat untuk kebaikan bersama, berpesan-pesan dan saling ingat mengingati, tujuannya tidak lain sekadar memberi nasihat.

Cukup terkilan bila niat sebenar kita disalahertikan. Dituduh pula sebagai membuat fitnah, konservatif, sudah nyanyok, meroyan dan gila. Siapa yang tidak akan merenyuk rasa?

Situasi begini sudah sinonim dengan penulis tua macam Kakak Tua yang tak sah kalau tak kena umpat keji. Walaupun orang kata dah tak makan saman lagi tapi namapun orang tua, tetap rasa jauh hati dengan penghinaan yang diberi.

Dan bila tangan sudah terikat dan hanya 'dibolehkan' menulis yang molek-molek belaka, terasa pula seperti penulis upahan.

Sampai satu tahap dan ketika, Kakak Tua terdetik untuk menukar profesion jadi 'copy writer' atau penulis iklan sahaja.

Tidak payah susah-susah lagi kupas isu atau menegur secara konstruktif kerana artis-artis kita semuanya hebat-hebat dan tidak jauh dari sifat 'maksum'.

Sebagai satu terapi 'reverse psychology', Kakak Tua cuba 'menghiburkan' diri melihat telatah artis yang suka 'melatah' dan senantiasa fikir mereka di pihak yang 'benar'.

Kelompok artis yang ada imuniti ini langsung tidak boleh dicuit. Bila terbaca apa saja artikel yang tidak berkenan di hati, mulalah tak senang duduk, melenting-lenting macam cacing kepanasan.

Langkah pertama, maki hamun penulis atau terus sahaja berjumpa dengan orang atasan. Kalau hati masih tidak puas, menjana pula pilihan kedua, "I see you in court."
Kalau dah takut dilambung ombak, kenapalah nak buat rumah di tepi pantai?

Dan penulis langsung dipanggil, diberi ingatan jangan sentuh isu artis si polan dan sipolan. Bila profesion rasa tercabar maka berlangsunglah satu pelancaran boikot atau gam pada artis berkenaan. Mulalah satu 'vicious cycle' yang tidak sihat.

Begitulah resamnya bila emosi tidak boleh dikawal maka lumrahnya 'Tepuk berbalas, alang pun berjawab - Jahat dibalas dengan jahat, baik dibalas baik.

Kebanyakan artis-artis kita yang tidak boleh ditegur ini adalah golongan hyper sensitive, berjiwa rapuh dan kurang kental semangatnya. Kalau sensitif bertempat tak apa juga. Ini tak bertempat.

Yang paling malu bila terjerit, terlolong, meracau-racau membuka apa yang terbuku di hati. Kan lebih berhemah, kalau perkara yang dikusut, dilerai dengan baik. Bukan membabi buta mengikut sedap mulut.

Ye lah, orang kata 'Nak pukul anjing, tengok-tengok tuannya dulu.' Bila dah kena 'jatuh hukum' siapa yang rugi? Mulut sahaja cakap tak kisah tapi tercalar jugalah imej yang sekian lama dibina.

Inilah masalah yang dialami oleh artis 'untouchables' dan ada kelangsungan imuniti yang pantang tercuit. Dan lagi tinggi saham mereka, lebih tinggi mereka berangan dan berperasaan yang darjat mereka setaraf golongan bangsawan dan wajib diberi layanan istimewa.

Segala cacat cela terpaksa ditutup dan sipenulis pula terpaksa 'menjual prinsip' untuk menjaga periuk nasi.
Agaknya sebab itulah orang dulu-dulu kata, 'Tidak ada guruh pada orang pekak dan tidak ada kilat pada orang buta' - tidak guna menyindir atau menegur orang yang tidak tahu bahasa atau bodoh.

Buat penat saja, bak kata penulis senior dan sifu Kakak Tua, Ku Seman Ku Hussain, 'buat habis kertas...'

Silap haribulan, penulis yang berani mengulas album, filem, teater atau program yang tidak mencapai piawai akan mendapat salinan 'surat cinta' yang ditujukan khas kepada bos.

Itu belum lagi kena mengadap bila menulis tentang konsert yang kurang dapat sambutan, kisah disebalik resepsi perkahwinan ataupun apa saja laporan yang diklasifikasikan sebagai 'negatif.'

Artis yang begini selalunya takut dengan bayang-bayang sendiri atau ngeri dengan 'dosa semalam' mereka terhidu atau terbongkar oleh penulis.

Bila sudah terdesak mereka akan menggunakan apa saja platform seperti 'Melodi' atau program bual bicara (talk show) untuk meluahkan segala ketidakpuasan hati kerana mendakwa dizalimi.

Memang sukar memberi nasihat kepada golongan artis macam ini kerana mereka ada masalah 'attitude' yang cukup besar, degil dan baut. Memberi teguran kepada mereka ini seperti hendak meluruskan ekor beruk.

Sebab itulah bila hendak menulis pasal artis-artis begini, Kakak Tua terpaksa menulis dengan lebih berhati-hati dan menggunakan bahasa yang sehalus sutera.

Setiap tutur kata disusun dengan rapi dan diselitkan maksud tersirat dalam-dalam bagai 'Kilat dalam kilau, kabus dalam hujan.'

Sekian lama menjadi penulis, jarang sekali terjumpa dengan artis yang berfikiran terbuka. Kalau adapun boleh dibilang dengan jari seperti Herman Tino, Hans Isaac, Syanie Hisham, Hjh Ruhani Rahman, Datuk Jalaluddin Hassan, Nash Lefthanded, Deja Moss, Datuk Siti Nurhaliza, Betty Banafe dan Fauziah Latiff.

Walaupun mereka ini menjalin hubungan yang baik atau mempunyai silaturrahim dengan orang atasan, mereka tidak pernah menyalahgunakan 'kuasa' yang mereka ada untuk menindas wartawan atau mempengaruhi tulisan mereka.

Pernah sekali Kakak Tua menegur Herman Tino. Bila terserempak dengannya, ringkas sahaja dia membalas teguran itu."Abang bersemangat dengan tulisanmu. Tegurlah bukankah itu tugasmu. Abang akan tetap menyanyi kerana itu tugas abang."

Artis yang bersikap seperti Herman sudah hampir pupus. Yang tinggal sekarang rata-rata artis bertelinga nipis yang rasa mereka akan menongkat dunia. Pantang tercuit, tercubit dan terasa dengan bahasa dan label 'hero tua', 'hipokrit' atau apa sahaja teguran....terus 'murka' dan mulalah 'buka silat'.

KAKAK TUA: Keladi muda, muda buahnya. Ikut hati muda, kelahi sudahnya!

0 comments: