Tuesday, April 29, 2008

Petua menjadi 'sahabat' artis

(29-08-2007 11:48:42 AM)
BUKAN tak bangga bila mendapat undangan untuk meraikan ulang tahun pertama perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya minggu lepas.

Namun, kebanggan itu seperti selalu, akan lenyap begitu saja, apabila fikiran rasional datang menguasai diri.

Bila fikirkan balik, apalah yang hendak dibanggakan sangat walaupun undangan itu kononnya untuk 'kelompok ekslusif dan tertentu' saja tapi bila sampai ke majlis, hanya kekecewaan yang bersarang di hati. Ini kerana tetamu yang datang adalah di luar jangkauan kita.

Disebabkan sering 'tertipu' dengan janji dan 'terjerat' dengan situasi dan andaian sedemikian, maka Kakak Tua jarang melayan undangan begini.

Alhamdulillah, minda dan kaki Kakak Tua sudah lama merdeka dan tidak pernah membiarkan acara artis ini menghimpit dan menipu perasaan untuk menganggap kita ini 'istimewa' dan penting pada mereka.

Mungkin sebab sikap beginilah, Kakak Tua jarang turun padang, 'mencemar duli' untuk memeriahkan apa jua acara, melainkan terpaksa. Kalau sudah sahih dan yakin tiada yang 'tersinggung' dengan kehadiran wartawan tua macam Kakak Tua, barulah sanggup tunjuk muka.

Maklumlah, namapun orang tua bila datang majlis ada saja hendak ditegur dan dilapor.....
Tapi yang paling ditakuti, bila kehadiran dan pemberian diungkit. Berapa kali wartawan sendiri terpaksa tebal muka melaporkan insiden artis mengadu domba, mengungkit makan minum yang telah diberi.

Semua yang terhidang disebut satu persatu walaupun peristiwa itu sudah lama berlaku dan apa yang dimakan sudahpun menjadi darah daging.

Lebih malu apabila nama kita dijejes seolah-olah kita tidak ada maruah diri, hanya kerana sesuap nasi atau menonton wayang percuma misalnya. Harga diri wartawan lebih dari itu....
Sikap berhati-hati ini sudah lama menjadi perisai diri tambahan pula kalau ada artis yang ingin menghulurkan salam persahabatan.

Mungkin ramai yang teruja untuk berkawan dengan artis. Percayalah, dari pengalaman ada banyak buruk pada baiknya. Kawan baik Kakak Tua, Xaurus dari Pulau Pinang masih tidak dapat melupakan 'mimpi ngeri' berkawan dengan artis walaupun peristiwa itu sudah dimamah memori sepi.

Setelah beberapa kali terkeliru dan terkhilaf membuat perhitungan dan hampir hilang pertimbangan, akhirnya hati akan sakit dan kecewa.

Kalau adapun yang 'berjaya' menawan hati, itupun setelah melalui beberapa 'ujian 'seperti penyanyi kacukan Arab-Indonesia Betty Banafe, Deja Moss, Ibnor Riza, Syanie, Zaibo, Nash, Syazliana dan penerbit Ruhani Rahman yang selalu membuat diri rasa dihargai sebagai sahabat, kakak mahupun teman untuk meluahkan perasaan.

Ramai lagi yang cuba menghulurkan salam persahabatan tetapi kesudian mereka selalunya tidak lama, sama macam embun pagi. Tekanan populariti dan juga desakan kerja membuat pilihan berkawan dengan artis sebagai pilihan terakhir dan BUKAN satu kemestian.

Tekanannya lebih berpihak pada wartawan dari artis itu sendiri kerana tangan terikat, mulut TERPAKSA dikunci dan minda PERLU ditutup bila melihat kawan artis kita membuat salah laku.....itulah dugaan pahit yang terpaksa ditelan kerana begitulah sepatutnya adat berkawan.

Tidak boleh mengkhianati sebuah persahabatan (Ini perlu dibaca dalam konteks profesionalisma).

Disebabkan kepercayaan ini juga ramai wartawan terdorong melunaskan kerja menurut perspektif yang tidak begitu profesional.

Tetapi sejauh mana ketelusan sesebuah persahabatan itu?

Adakah harganya dinilai dari buah tangan, cenderamata atau panjangnya artikel yang dibuat atau berlandaskan silaturrahim yang benar-benar ikhlas?

Kelompok yang disebut di atas merupakan artis 'normal' di mana kayu ukurannya adalah sikap semulajadi, keperibadian dan ketulusan mereka bila berkawan tanpa ada syarat dan condition.

Rasanya, kelompok di atas hampir pupus kerana kesudian berkawan benar-benar datang dari naluri ingin berkawan dan bukan untuk mendapat liputan. Kejujuran inilah yang jarang dimiliki oleh artis lain yang mendambakan special treatment apabila sudah menjalin sebuah persahabatan dengan wartawan.

Sebenarnya, bersahabat dengan golongan artis ibarat kilauan pelangi yang tidak begitu 'real' dan disebabkan kita 'orang biasa' perasaan kita akan cepat terasa dan terusik apabila ada badai yang melanda.

Pengalaman berpuluh tahun membuat Kakak Tua tawar hati, mengambil sikap berpijak pada bumi nyata dan selalu cermin muka dan muhasabah diri. Bak kata orang, selalu fikir kita duduk tak sama rendah, berdiri tak sama tinggi. Itu belum diukur dari cara hidup kita yang sememangnya 'macam langit dengan bumi'.

Siapalah diri kita kalau hendak dibandingkan dengan mereka yang senantiasa diselubungi dengan kilauan dan percikan glamor? Jauh sekali untuk bersama-sama mengharungi apa saja populariti dan keistimewaan yang mereka dapat. Bak kata orang tua-tua, enggang dengan pipit manakan sama - tidak layak terbang bersama.

Janganlah sesekali kita terperasan yang kita ini penting pada mereka. Realitinya walaupun kita saling memerlukan kerana kerjaya masing-masing, nilai dan kepentingan sesuatu persahabatan itu tidak mungkin sama.

Indah khabar dari rupa, begitulah persahabatan yang terjalin kerana tidak selalunya semanis yang diimpikan dan kenyataannya adalah jauh panggang dari api.

Jangan terpana dengan perhatian yang diberi kerana dunia kita jauh berbeza.

Sebagai orang lama, Kakak Tua ingin turunkan beberapa petua, adab dan PROTOKOL agar mereka yang meneruskan tradisi bidang wartawan tidak membuat kesilapan yang sama dan tidak kecewa dengan persahabatan 'jujur' dan setia yang dihulurkan:

1) Wartawan BUKAN artis, jadi jangan perasan kalau kita juga diberi perhatian yang sama apabila berada dalam kelompok mereka.

2) Jangan TAKSUB bila bersama dengan artis kerana ianya akan memakan diri bila kita melihat sikap sebenar mereka di sebalik tabir dan kilauan populariti.

3) Masih boleh menulis dengan BEBAS dan membedakan antara yang benar dan salah walaupun mereka kawan kita.

4) Jangan anggap diri kita ISTIMEWA atau ada hak istimewa seperti artis kerana mereka hanya perlukan kita selagi 'berguna'.

5) Tidak perlu TUKAR cara hidup atau meniru life style artis kerana yang susah dan 'sakit' nanti adalah kita juga.

Cukuplah sekadar lima petua saja kerana yang selebihnya kita sendiri dapat merasakannya apabila melalui proses mengenali hati budi masing-masing. Dan prosesnya pula tidak sama di antara satu sama lain.

Mungkin juga Kakak Tua yang paling malang dan bodoh kerana tidak berjaya membaca riak dan hati budi ramai artis sehingga selalu terjebak di dalam kancah dan kemelut yang melibatkan artis.

Atas pilihan sendiri juga, Kakak Tua rela meminggir diri dari menghadirkan diri di acara glamor dan popular agar pandangan yang diberi lebih praktikal dan mata pena 'lebih tajam.'

KAKAK TUA: Kasihan melihat sebilangan wartawan yang masih belum Merdeka dan duduk di bawah telunjuk artis!

0 comments: