Tuesday, April 29, 2008

Populariti Mawi terus 'dipertikaikan'?

(06-08-2007 10:11:04 AM)
Bukan sedikit yang telah cop Kakak Tua ni 'peguambela' Mawi. Hakikat sebenarnya jauh panggang dari api. Tapi kalau kata Kakak Tua sedikit bias, begitulah hati yang tidak pandai menipu ini.

Timbul kesedaran dan terpanggil untuk menjelaskan keadaan sebenarnya apabila artis kesayangan dan idola rakyat Malaysia ini seringkali difitnah dan dicerca. Di sinilah sifat belas Kakak Tua tidak dapat dibendung lagi.

Mulalah ke depan untuk 'membela' walaupun tidak dipanggil secara rasmi. Yang kerap mendapat pembelaan adalah Mawi, Siti, Mawi, Siti, Mawi dan Mawi dan Mawi - itupun secara kebetulan saja.

Bukan tidak sedar yang Mawi agak berubah sejak kebelakangan ini atau ada sindrom 'dua darjat' yang memisahkan jurang antara Kakak Tua dan Mawi yang semakin ketara. Kakak Tua tidak ambil pusing sangat kerana sebagai orang tua, adatlah kita yang selalu kena beralah. Yang muda seperti Mawi, belum ada lagi kesedaran ke arah itu.

Terkini berita yang sampai ke pengetahuan Kakak Tua, ramai anti-Mawi yang mempersoalkan populariti Mawi yang kononnya sudah merundum atau sedang menuju ke arah itu. Bertambah kuat cakap-cakap kedai kopi ini apabila Mawi hanya mendapat empat pencalonan cuma di Anugerah ERA pada tahun ini berbanding dengan tujuh pencalonan tahun lepas.

Pemergian Mawi ke London pada awal September ini pula untuk satu persembahan dinner show anjuran Persatuan Peniaga Melayu Malaysia di London, dengan kerjasama Travellyne & Tours Sdn Bhd dan Mawi World Sdn Bhd, disalah erti sebagai sudah 'tidak laku' lagi di Malaysia.

Meskipun ini cuma cakap 'sedap mulut' tapi hati Kakak Tua sudah rasa meluap-luap sehingga terpaksa singsing lengan dan buka air-cond full-blast. Walaupun semua itu hanya satu pandangan jumud yang tidak patut dilayan, 'darah muda' Kakak Tua tidak mampu memendamkan isu ini begitu saja.

Pandangan negatif macam ni seeloknya jangan dilayan kerana minda kita juga yang akan sakit dan hati pula akan dinodai titik hitam. Tak baik buruk sangka atau prasangka. Tambahan pula bila perkhabaran itu tidak jelas kesahihannya.

Kesian Mawi. Kalau ia pun dia sedang meniti 'zaman kejatuhan'nya tidak perlulah kita bersorak riang. Lagipun, apabila 'kebencian' atau 'jemu' sudah membunga di hati, adat-adatlah. Tidak perlulah fizikal orang itupun menjadi bahan caci cerca dan umpat keji.

Namun, sudah menjadi lumrah orang kita dan mentaliti kaum kita yang tidak pandai menjinak hati yang benci dan marah. Diungkit segala peristiwa silam dan tergamak tepuk tangan biarpun 'berita baik' yang ingin sangat didengar belum tentu kebenarannya.

Memang ada segelintir golongan anti-Mawi yang sifatnya seperti 'bersumur ditepi rawa', seakan menunggu saja kejatuhan anak Felda Taib Andak ini. Bukannya Kakak Tua tidak pernah menegur Mawi dengan teguran marah-marah sayang dan cubit-cubit manja apabila namanya terseret dalam kes dadah baru-baru ini tapi semua itu sekadar ingatan saja.

Jangan terkhilaf dan salah sangka antara teguran ikhlas dan ungkapan tersirat padan muka apabila populariti Mawi tidak segah dulu - dua pandangan berbeza. Jangan pula kita megah jadi orang zalim hanya kerana turut kata hati, meminta sesuatu yang buruk menimpa saudara kita Mawi.

Laut pun ada pasang surutnya. Begitulah juga dengan populariti. Tidak mustahil Mawi akan mengalami zaman suramnya. Tapi tak payahlah hendak berkokok macam ayam jantan walaupun siang masih awal lagi.

Yang Mawi pula, ingat-ingat lah sebelum terlambat. Ambil iktibar dan muhasabah diri. Seandainya ter'jatuh' satu hari nanti seperti yang tersurat, belajarlah dari sejarah. Ingatlah haiwan sekecil semutpun akan meniti apabila kita rebah ke bumi. Jadi bersedialah menyiapkan diri agar kita tidak terlalu kecewa apabila zaman 'kejatuhan' menyapa kita.

Kalau dulu kita kata, bukan senang jadi Siti Nurhaliza, kini tiba giliran Mawi pula. Dari Ina Naim hinggalah ke Ikin, siapa saja pilihan hati Mawi bukan semua yang akan berkenan.Baguslah, Mawi sudah pandai memilih jalan tengah dengan tidak membelakangkan peminat, ibu, pihak media dan kekasih hati.

Namun, seandainya Mawi sudah 'tersasar', kejutkanlah dia dari lena. Kalau dia sudah terdampar jauh, sedarkan dia dari lamunannya. Jangan sesekali kita menyimpan niat untuk melihat kemusnahannya kerana kita harus berpesan untuk kebaikan dan memadamkan kejelekan Mawi.

Walaupun banyak dakwaan disangkal, Kakak Tua terpaksa bersetuju tentang satu dakwaan ini iaiatu Mawi adalah anak emas Maestro. Samalah seperti Jamal Abdillah anak emas Datuk Ahmad Nawab, Nani anak emas Yasmin Ahmad, Maya Karin anak emas Shuhaimi Baba dan Datuk Siti Nurhaliza anak emas SRC Records satu masa dulu.

Bukan senang nak jadi anak emas. Tentulah ada sifat-sifat terpuji dan disenangi menyebabkan mereka ini jadi anak emas selain membawa laba yang menguntungkan dan menjadi 'gold mine' pada syarikat rakaman.

Dengar kata ramai juga 'adik beradik' Mawi kat Maestro tu makan hati dengan status anak emas yang dimilikki Mawi. Sampaikan ada di antara mereka merendah diri hingga ke tahap membahasakan diri mereka 'anak tiri', anak pungut dan anak angkat.

Yang si'ayah,' Freddie Fernandez pula, janganlah buat-buat tak dengar rintihan anak-anak tu. Walaupun hakikatnya anak emas tidak mungkin sama nasib dengan anak tiri, kadang-kadang anak emaspun boleh lupa diri. Sebagai bapa, kita kena berlaku adil. Sungguhpun, kasih sayang pada Mawi, 'sudah terang lagi bersuluh', jangan sampai 'anak-anak pungut' yang lain bawa diri.

Kakak Tua masih tidak dapat lupa nasib yang menimpa Amirul. Apa khabar agaknya Mirrul, budak comel dari Kuching, Sarawak ini yang membawa diri setelah 'digugurkan'dari Maestro kerana tidak dapat membawa pulangan yang sepatutnya. Tragis sungguh nasib Amirul, habis madu sepah dibuang!

KAKAK TUA: Hanya ada 'tinta emas' saja.....

0 comments: