Tuesday, April 29, 2008

Bila wartawan jadi tetamu tak diundang...

(13-08-2007 02:14:17 PM)
BUKAN main sedih lagi malah hiba bila terdengar kisah wartawan yang tersentap bila tidak diundang ke majlis Pelakon Harapan Wanita FFM20, Natasha Hudson baru-baru ini.

Tambahan pula bila kisah kedatangan wartawan yang umpama 'hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong' menghiasi dada akhbar dan menjadi tajuk utama pula pada hari itu.

Ini bukan kali pertama seorang artis tidak sudi menjemput wartawan untuk meraikan majlis perkahwinan mereka. Tidak silap Kakak Tua, dulu ketika Ziana Zain berkahwin, masalah dan senario yang sama juga berlaku.

Kalau hendak berbaik sangka, bak kata adinda Kakak Tua, Dalilah Ibrahim, "bukan murah kalau nak cater untuk ramai orang. Kalau dah jemput satu atau dua wartawan, alang-alang kena jemput semua. Untuk hi-tea saja yang santapannya ala-ala Inggeris seperti kek dan scones, lebih kurang RM170 satu kepala. Dah jemput takkan tak bagi makan? Jadi bayangkanlah..."

Itu rasional Dalilah yang terkenal dengan kelogikan fikirannya. Berkata pula sahabat baik Kakak Tua, KibDahlan yang warak orangnya, "Kalau orang dah tak jemput, tidak wajib kita pergi. Kenapa hendak memberatkan undangan macam tu? Jemput atas orang, jadi tak payahlah kecil hati..."

Bagi Kakak Tua pula, sedikitpun tidak meninggalkan kesan kerana tidak mendapat kad undangan perkahwinan Natasha, Ziana mahupun Datuk Siti Nurhaliza atau bintang besar seperti Mawi sekalipun kerana rasionalnya ialah siapalah kita ini di mata orang-orang yang glamor dan 'tinggi darjat'nya.

Lagipun bila kita menaruh harapan pada artis atau VIP, kesudahannya kita juga akan kecewa. Seeloknya kita menganggap mereka ini sebagai subjek atau bahan kerja kita sahaja.

Jika perlu untuk membuat liputan sekalipun kerana terdesak, terpaksa dan tuntutan kerja, pandai-pandailah mencari angle agar tahap profesionalisma kita akan tetap terpelihara.

Jangan sesekali menunjukkan kita terlalu mengharap dan menagih apa-apa layanan istimewa dari mereka. Maklum sajalah apabila penulisan kita membawa maksud yang mereka lebih superior dari mata pena kita, ianya akan menimbulkan masalah. Sewajarnya kita tidak ambil pusing hal remeh-temeh begini.

Cubalah gunakan hukum akal agar ianya mendahului sentimen emosi kerana tidak mustahil pihak media yang rasa terpinggir akan tahu mencari jalan keluar untuk meletakkan kehebatan mata pena di tempat selayaknya.

Jangan jadikan kisah tidak diundang ke majlis perkahwinan tajuk utama. Kepuasannya milik Natasha juga dan malunya ditanggung oleh orang media akhirnya.

Di sinilah kita perlu berfikir secara rasional. Tenang-tenang saja menghadapi keangkuhan artis sebegini. Kemana akan dibawa kehebatan, keangkuhan dan ketinggian darjat kerana semua itu milikNya. Jadi perlu apa fikirkan sikap yang jengkel itu kerana yang nampak 'murah' pihak media.

Alangkah cantiknya seandainya berita Natasha Hudson berkahwin tidak dilapor langsung seolah-olah ianya 'tidak pernah' berlaku. Atau sekiranya perlu dilaporkan, diberi liputan yang ala-kadar. Ini hanya alternatif yang boleh diambil dan pernah diambil oleh Kakak Tua sendiri.

Kalaupun tidak diundang sekalipun, elok sangatlah. Kakak Tua bukan sekali dua tidak diundang ke majlis perkahwinan artis. Masa muda-muda dulu Kakak Tua pernah menjeruk hati juga tapi bila usia meningkat, semua itu tidak meninggalkan bekas langsung.

Mustahil kita masih tidak tahu dunia artis penuh kepalsuan dan kepura-puraan. Jangan pula sebagai orang yang mewarisi akal sempurna, wartawan mengambil sikap yang sama seperti mereka. Kakak Tua sudah cukup masak dengan perlakuan hampir setiap artis - baik yang muda mahupun yang tua.

Kasihan ada, meluat pun ada bila tengok perangai dan sikap yang dipamerkan. Tambahan pula kalau yang sudah tua dan telah makan lebih banyak garam dari nasi.

Teringat pesanan sahabat baik Kakak Tua, arwah Mustafa Nor yang penuh berhemah ketika penyesalan bersarang di hati,"There is a thin line between your profession and prostitution, so be very careful...." (Ada garis halus yang memisahkan profesion anda dengan pelacuran, jadi berhati-hati...)

Semakin lama berada di dalam kancah industri ini, semakin terasa kebenaran kata-kata Mustafa Nor. Sepatutnya, wartawan tidak tersinggung dan ambil hati sikap dan kelemahan mahupun kekurangan yang ditunjukkan oleh artis-artis yang 'rendah akhlak'nya.

Ini kerana profesion kita lebih tinggi darjatnya kalau hendak dibandingkan dengan mereka.

Siapa lagi yang akan mengangkat darjat profesion kita sebagai wartawan hiburan jika tidak kita sendiri, jadi fikirkanlah?

Kalau perlu, anggap saja profesion kita macam seorang doktor yang merawat pesakit. Tak kan pula sebagai doktor, kita hendak mengadu masalah pesakit kita walaupun mereka banyak kerenah. Dah tahu mereka sakit, bagi sajalah rawatan. Kalau tidak puas hati, suruh saja mereka pergi jumpa 'doktor' lain atau kita merawat 'pesakit' lain pula.

Tapi masalahnya berapa ramai 'orang sakit' yang tidak mengaku mereka sakit terutama yang sakit mental? Inilah dugaan yang paling besar perlu dihadapi oleh wartawan setiap masa termasuk Kakak Tua sendiri.

KAKAK TUA: Selalu berdoa agar dijauhkan dari artis yang ada penyakit hati.

0 comments: