Tuesday, April 29, 2008

Kisah siDajal dengan produser budiman

(15-06-2007 02:34:27 PM)
Mukaddimah cerita di pagi Jumaat ini adalah tentang rasa cinta pada pemimpin kita dalam konteks industri hiburan. Yang membuat Kakak Tua tertarik berceritakan hal ini ialah kerana kisah ini berlaku di depan mata dan terlalu sinis senarionya.

Kisah seorang produser muda budiman dalam satu produksi besar yang sedang terlibat dalam menjana program gah dan hebat.

Produser "gentleman" yang mempunyai imej pemimpin yang gemar bermusyawarah, tidak diktatorial ini mengepalai satu kelompok yang terdiri dari team produksi, komposer, pemain muzik dan pengurus media dan ramai lagi yang bekerja sebagai satu pasukan.

Pendek kata, pasukannya melebihi 20 orang.Yang lebih menyentuh hati apabila Kakak Tua melihat retak-retak sedih di wajahnya tapi tidak mampu dizahirkannya sehingga dia sanggup ketepikan maruah diri dan meminta maaf walaupun terang-terang dia tidak bersalah demi melindungi anak-anak buahnya yang lain.

Produser ini sebenarnya adalah harimau bertaring yang sudah lama jinak dan kini lebih kepada seekor anak kucing yang boleh dibelai-belai. Mungkin sebab itulah juga dia diperkotak katikkan di dalam mesyuarat itu.

Produser profesional ini diperlekehkan oleh anasir yang terlalu sikit sumbangannya dalam pasukan itu dan istilah paling sesuai bagi mereka ini adalah ‘si Dajal’. Dalam kabilah yang sama, dajal-dajal ini nampak saja seperti sekutu yang intim, realitinya ‘telunjuk lurus kelingking berkait.’

Ketika mesyuarat berlangsung, semakin ketara iras-iras syak wasangka dalam hati mereka. Hakikinya mereka tidak pentingpun dalam produksi itu, sepatutnya mereka ini sudah lama patut dihumban dalam recycle bin tapi sikap berhemah produser berkenaan, mereka masih di situ.

Impak negatif yang dibawa dalam menghasut setiap minda cukup tragis sekali. Sehinggakan produser yang selalu bersangka baik ini dikritik, diaib, dihamun dan diperkecilkan sumbangannya seolah-olah tidak punya maruah diri.

Namun setelah penjelasan panjang lebar dibuat oleh produser yang mempunyai ketokohan politik ini, barulah masing-masing tersedar ‘keikhlasan’ dan fungsi masing-masing.

Yang membuat tuduhan melulu barulah tersipu-sipu memberi alasan dangkal sekadar menutup kelemahan sendiri, yang bersikap beralah pun ada kerana sudah terbiasa diperlakukan sedemikian, yang menjerit pula sebab terasa dirinya hebat dan perlu memberi penjelasan tentang superioritynya.

Tapi yang terluka adalah produser yang berhemah itu. Sepatah katanya yang membuat Kakak Tua terkedu ialah...”Apa yang saya tidak lakukan dalam mesyuarat post mortem tadi seperti menjerit atau meninggikan suara akan meninggalkan kesan kepada mereka yang melakukannya. Hari ini baru saya tahu keikhlasan masing-masing. Biarlah Allah menentukan segalanya.”

Kakak Tua, yang tahu sangat kedudukan sebenar situasi kenapa ombak kecil di dalam cawan itu melanda, hanya mampu tersenyum hiba kerana fakta kebenaran yang dikatakan oleh produser dinamik dan kreatif itu telah membuka mata dajal yang suka membuat onar dan menabur fitnah itu.

Kesimpulan yang dapat diambil ialah tidak semesti apa yang disampaikan oleh orang ketiga itu sahih beritanya walaupun orang itu nampak lebih ramai, berkuasa dan berpengaruh. Sebagai orang yang bertanggungjawab, kita perlu menyiasat kesahihan berita dari beberapa sudut.

Maksud yang tersirat di sebalik sesuatu kejadian, paling bahaya di interpretasikan. Pengajaran yang cukup bermakna pada semua yang hadir dalam mesyuarat itu ialah kepercayaan masing-masing kepada produser itu senipis kulit bawang.

Masing-masing tidak pernah menanam semangat sayangkan pemimpin, sekaligus nakhoda kapal produksi yang menelan belanja jutaan ringgit itu. Sepatutnya biarlah kepakarannya menentukan hala tuju produksi tersebut tanpa kita berperanan seperti tikus membaikki labu.

Rasa sayang pada produser itu terlalu rapuh dan mudah goyah. Justru infiltrasi yang dilakukan ibarat anasir subversif yang berjaya menyerap masuk ke dalam benteng yang sepatutnya kuat tapi lampung sebenarnya.

Sikap anak buah produser atau anggota produksi sendiri yang tidak sayangkan pemimpin menjadikan punca kejadian itu berlaku. Bila tidak sayang, tidak akan lahirlah perasaan setiakasih dan hormat. Maka masing-masing melakukan tugas yang diberi sekadar satu tanggungjawab yang mengharapkan imbuhan.

Imbuhan yang dinilai dengan wang ringgit ini lah yang banyak merosakkan ‘akidah’ kita tentang tanggungjawab sebenar. Bukan semua perkara boleh dibeli dengan wang ringgit seperti kesetiaan dan rasa hormat.

Apa yang terjadi pada produser tersebut telah banyak berlaku pada pemimpin-pemimpin dalam persatuan hiburan kita.

Banyak aspek dalam industri hiburan kita telah lama dipolitikkan. Para artis kini sudah berfikiran seperti ahli politik dan memang ada sesetengah matlamat perjuangan persatuan artis yang semakin terpesong kerana keghairahan berfikiran politik sebegini apabila nilai wang mempengaruhi matlamat sebenar perjuangan.

Tapi Kakak Tua masih hormat segelintir pemimpin artis kita seperti Freddie Fernandez, Aziz Bakar, Ruhani Rahman dan Mustaffa Maarof yang bekerja terus tanpa mempedulikan bahang politik dalaman yang sedang mereka hadapi.

Cakaplah apa saja tentang mereka, mereka tetap bersikap profesional kerana mereka tahu hakikat sebuah perjuangan ialah pengorbanan. Kadangkala kita terpaksa menjadi sebatang lilin menerangi orang lain.

Sikap sayangkan pemimpin ini nampak mudah tapi sebenarnya ia lebih dalam maknanya. Kakak Tua akui memang ada permainan wayang sesetengah pemimpin yang bersikap seperti dalang atau memain watak tertentu seperti Hang Jebat atau Hang Tuah. Tapi ini isu lama.

Di harap bila produksi itu mula bersiaran di kaca TV tidak lama lagi dan beroleh kejayaan, barulah semua yang terlibat tahu samada apa yang Kakak Tua laporkan ini adalah sekadar satu sandiwara, main wayang atau renungan di pagi Jumaat.

KAKAK TUA: Sudah lama belajar berkompromi dengan orang yang kurang cerdik.

0 comments: