Tuesday, April 29, 2008

Kenapa perlu 'tipu' umur?

(02-08-2007 11:15:04 AM)
DALAM banyak-banyak perkara 'sensitif' yang tidak mampu ramai artis wanita berterus terang ialah soal umur. Jarang sekali artis wanita yang berani berkata benar bila tiba soal usia.

Ada saja alasan yang diberi sehinggakan sebagai pemberita, kita jadi malas hendak bertanya lanjut kerana inilah rahsia besar seorang artis.

Bukan saja artis, kebanyakan wanita juga takut mendedahkan usia sebenar mereka. Walaupun pepatah Inggeris ada mengatakan age is just a figure namun ianya sekadar satu ungkapan saja bagi sesetengah orang.

Kakak Tua terpanggil membangkitkan soal usia ini apabila mendengar pengumuman DJ terkenal SinarFM Halim Othman mengucapkan ulang tahun yang ke 40 tahun kepada 'Ratu Rock' Ella semalam, 31 Julai.

Bukan musykil atau tidak percaya tapi rasa-rasa Kakak Tua, usia Ella masuk 39 tahun pada 2005 mengikut banyak keratan akhbar. Banyak laporan mengelirukan tentang usia Ella sebenar. Kakak Tua tidak fikir wartawan mereka-reka usia ini.

Kalau ikut perkiraan yang 'tepat' Ella sepatutnya berada di awal 40 an tetapi sehingga tahun ini, Ella masih berada di takuk 40 tahun. Tak tahulah kalau Ella ikut ilmu hisab 'baru' ataupun gagal dalam perkiraan matematik di sekolah sehinggakan perkara mudah seperti mengira umur yang mudahpun boleh tersilap.

Bukan Kakak Tua hendak menuduh Ella yang dia 'menipu' umur. Mungkin juga salah lapor? Lagipun, penampilan 'remaja' Ella sedikitpun tidak menunjukkan dia sudah berusia.

Memanglah soal usia ini bukan isu besar tetapi sebagai 'penyimpan mohor' besar hal-hal berkaitan dengan artis ini, Kakak Tua dapat meneka kenapa kekeliruan fakta ini berlaku.

Puas Kakak Tua mencari kesahihan angka sebenar usia Ella sepanjang hari namun hasil yang didapati tidak memuaskan.

Yang dijumpa pula adalah fakta lain yang menganggu gugat konsentrasi Kakak Tua. Pasal soal siapa sebenarnya jejaka yang berjaya mencuri hatinya sampai sekarang masih terkunci rapat?

Walaupun pernah dihebohkan satu Malaysia ketika pelancaran album terbaru Ella bertajuk 'Rama-rama' awal tahun ini yang Ella akan mendirikan rumahtangga dengan seseorang jejaka, tapi sampai ke sudah, tidak ada satu makhluk pun yang pernah melihat kelibat jejaka misteri itu.

Perasaan Kakak Tua bercampur baur bila di tengah-tengah menyelesaikan teka-teki pasal umur Ella ini, kes penyanyi yang mencipta nama dengan 'Ella & The Boys' dan kakaknya Jojie, heboh dikatakan dalam internet. Isunya adalah pasal pelanduk dua serupa yang melakukan aksi lucah atas bot. Dan mangsanya adalah Ella.

Hebatnya video klip ini 'dipasarkan' sehingga Ella dan Jojie terpaksa membuat laporan polis. Ramai peminat Ella yang bangun membela penyanyi manja ini dan tidak kurang yang jatuh kasihan dengan nasib yang menimpanya.

Memang tidak bertanggungjawab orang yang menuduh dan memfitnah Ella dan Jojie. Sepatutnya perkara seperti ini disiasat hingga ke akar umbi kerana ianya satu pembohongan dan fitnah yang akan mencemar nama baik Ella dan Jojie. Ianya juga satu tuduhan yang berat menuduh perempuan baik-baik dengan tuduhan begitu.

Dalam pada itu, Kakak Tua teringin sangat nak tahu, agak-agaknya berapakah angka usia Ella yang ditulis di dalam laporan polis itu? Perasaan ingin tahu yang membuak-buak ini bukan pasal apa hanya tidak suka membiarkan mata, telinga dan jejari terkhilaf dengan sesuatu yang palsu.

Bukan sekali dua, artis-artis wanita kita main silap mata bila bicara sola usia. Habis-habis mereka akan minta kita 'memadamkan' saja angka sensitif itu dalam wawancara.

"Tak penting tu....tak payahlah tulis pasal umur," itulah ungkapan yang paling biasa kedengaran. Pelik juga kenapa wanita begitu takut sekali dengan umur yang meningkat. Takkan lah kita hendak menongkat dunia sampai bila-bila. Kesedaran ini bukan boleh dipelajari tapi perlu disedari dengan sendiri.

Setahu Kakak Tua, seniwati yang tidak pernah menipu pasal usia ialah Datuk Sarimah Ahmad, Yusni Jaafar, Yusni Hamid, Julie Sudiro dan beberapa kerat lagi. Mereka memang tidak pandai tipu umur. Biar muka sudah menunjukkan riak-riak kedut yang berbunga, mereka masih mempertahankan usia yang sebenarnya.

Malah mereka bangga kerana sudah begitu lama menjamah asam garam dalam industri hiburan.
Bila kita mula belajar menipu pasal perkara kecil seperti umur, ia akan melarat ke perkara yang lebih besar seperti tidak mengaku membuat pembetulan muka, botoks dan lain-lain lagi. Alah bisa tegal biasa.

Seeloknya kita mengambil iktibar dari perkara yang berlaku di keliling kita. Kakak Tua teringat peristiwa yang berlaku pada seorang penyanyi Zaiton Sameon satu ketika dahulu. Kak Eton terlalu berahsia tentang usianya tetapi bila menemui kemalangan, barulah semua orang tahu berapa angka usianya.

Selalunya 'pembongkaran' tentang umur akan berlaku bila kejadian yang kita tidak sangka-sangka berlaku seperti kemalangan mahupun kematian.

Sedih bila memikirkan kenapa wanita terutama golongan artis terlalu sangat memikirkan 'kilauan' bintang sehingga tergamak menipu soal umur dan perkara-perkara lain. Susah sangat ke hidup menjadi manusia normal?

KAKAK TUA: Selalu ambil gambar untuk melihat proses penuaan saban tahun...

0 comments: