Friday, April 25, 2008

'Nenek Sihir' Bawang Merah wujud dalam dunia seni!

(29-11-2006 12:07:21 PM)
Alangkah ‘ruginya’ kalau kita bukan di kalangan jutaan penonton yang tercatuk di depan TV apabila siri sinetron Indonesia Bawang Merah Bawang Putih ke udara setiap hari dari Isnin hingga Khamis.

Memang ramai yang tidak mahu ketinggalan mengikuti siri popular ini yang menjangkau rating lebih 3 juta orang itu.‘Hebat’ dan kuat sungguh tarikan cerita ini.

Walaupun kita sudah boleh mengagak kesudahan cerita ini - yang ‘happy ending’ - tapi disebabkan olahan cerita dan kretiviti pengarahnya yang bijak memutar belit dan mengeksploitasikan emosi kita berbulan-bulan lamanya sehingga ramai orang terbawa-bawa dengan perasaan ‘geram’ sikap bawang merah dan ibunya.

Yang hendak disentuh di sini bukan kreativiti tapi hukum logik. Siri yang tidak masuk akal dan berjela-jela dan berbelit-belit jalan ceritanya mengalahkan filem Tamil atau Bollywood langsung tidak dapat diterima oleh hukum akal.

Hanya logik untuk melihat orang jahat dihukum dan orang baik mendapat pembelaan, akan mendorong ramai orang terus setia mengikuti siri ini.Saat-saat jatuh hukum bagi orang-orang jahat ini akan pasti terjadi di akhir cerita cuma kita perlu sabar dan tekun mengikuti drama ini setiap minggu.
Inilah hukum alam dimana penonton kita sedikitpun tidak rasa malu diperbodohkan oleh sang pari-pari (Fairy Pelindung Alya) yang selalu mengingatkan bawang putih agar ingat pada Allah, berdoa agar pembalasan akan menimpa bawang merah dan ibunya.

Macam mana boleh lepas Lembaga Penapisan Filem? Bukankah unsur tahyul tidak dibenarkan...Kakak Tua sendiri pernah menonton tiga episod sinetron ini atas dasar ingin tahu dan ingin melihat sendiri kehebatan sinetron yang meminjam nama filem Melayu ‘Bawang Putih Bawang Merah’ yang diterbitkan pada tahun 1959 oleh Cathay Keris arahan S.Roomai Nor, lakonan Latifah Omar dan Mustapha Maarof itu.

Bukan sahaja tuntutan kerja dan ketidaksesuaian masa sinetron yang ditayangkan dari jam 2.30 petang hingga 3.30 petang itu membuat Kakak Tua tidak berminat mengikutinya tetapi jalan ceritanya yang terlalu panjang mengundang kebosanan.

Namun lanjutan sinetron ini akan tetap sampai ke telinga Kakak Tua kerana Minah Ketot rajin menjadi tukang lapor. Dari Pak Indra meninggal kemudian ‘dihidupkan’ kembali dan dikuasai oleh Mama Rika sehinggalah ibu bawang putih (Alya) tiba-tiba hidup lagi, semuanya membuat Kakak Tua tersenyum sendiri.

Kenapalah orang-orang kita sanggup ditipu hidup-hidup dengan jalan cerita yang tidak masuk akal dan karut marut ini? Mungkin juga elemen fantasi membuat orang kita minat menonton filem genre ini.Walaupun tidak minat, Kakak Tua tetap dapat menilai kekuatan drama ini dan turut kagum dengan kebanyakan karektor yang diujudkan oleh penulis skrip drama ini.

Untuk melihat skop sesuatu perkara, benda atau orang dengan pandangan yang berbeza, kita kena buka minda dan tidak melihatnya dengan fikiran yang sempit dan negatif kerana semua yang buruk, jahat atau apa saja yang mempunyai zat ‘hitam’ itu ada seni dan hikmahnya dan boleh dimanafaatkan.

Begitulah dengan sinetron ini.Yang tak logik itu kita tolak tepi kerana sebolehnya Kakak Tua ingin melihat disebalik pandangan negatif itu melalui karektor-karektor yang diwujudkan. Antaranya ialah watak Benny, pemuda yang bertindik sebelah telinga itu. Benny membantu bawang putih (Alya) dengan niat jahat dan pada waktu yang sama bersekongkol dengan Mama Rika untuk merebut harta Pak Indra dan kemudian mengkhianati Mama Rika untuk membolot harta Pak Indra.

Pendek cerita Benny berjaya membantu Alya memenjarakan Mama Rika sekejap.Watak Mama Rika (ibu bawang merah) dan anaknya bawang merah (Siska) yang tidak habis-habis buat plot jahat tidak ubah seperti syaitan bertopengkan manusia. Karektornya terlalu exaggerated tapi itulah stail sesuatu drama yang perlu ada untuk memikat hati penonton.

Konflik demi konflik perlu diujudkan untuk terus menambat hati penonton. Watak perlu hitam atau putih, tidak boleh diantara hitam atau putih. Kalau perangai baik, perlu ekstrim dan yang jahat pula, terlebih jahatnya.Begitu juga dengan watak Ferdi, jejaka tampan yang menjadi rebutan Siska dan Alya.

Meskipun dia sayang Alya namun campur tangan Mama Rika, Siska dan Nenek Sihir membuat Ferdi ‘kecundang’ beberapa kali. Sikap Ferdi yang terlalu baik sehingga dieksploitasikan oleh mereka yang jahat dan akhirnya Ferdi-Alya jadi renggang.
Berbagai muslihat memaksa Ferdi menikah dengan bawang merah. Begitu juga karektor Nenek Sihir yang persis nenek desa raut wajahnya telah di'make-up' sebagai orang yang betul-betul jahat dan zalim, diwujudkan untuk membantu Mama Rika melawan Peri Pelindung Alya.

Senjata Nenek Sihir adalah sepasang matanya yang tajam, yang boleh memukau dan menundukkan sesiapa saja yang bertentang mata dengannya agar menurut katanya. Dan ingatan Kakak Tua langsung kepada beberapa orang simbol ‘Nenek Sihir’ di dalam dunia seni yang berjaya ‘memukau’ orang untuk melihat di sebalik kebathilan dan kepalsuan?

Seorang kenalan Indonesia memberitahu Kakak Tua, di penghujung cerita nanti akan ada seorang peguam yang akan membantu Alya yang kemudiannya akan berkahwin dengan Alya dan mendapat seorang anak lelaki.

Yang membuat Kakak Tua angkat topi ialah ‘semangat’ sinetron Bawang Merah Bawang Putih yang mengutarakan kisah orang jahat dan orang baik dengan begitu ekstrim sekali sehingga kanak-kanakpun boleh membezakan orang baik dan orang jahat.

Jarang sekali para karyawan kita mempamerkan golongan ini sebegitu rupa dalam drama atau filem. Sebagai golongan pemikir, orang filem boleh menjadikan drama atau semangat sinetron ini sebagai inspirasi dengan pendekatan berbeza yang lebih bijaksana dan masuk akal. Ramai penerbit filem kita bagi alasan mereka buat filem yang orang suka.

Maka berlambaklah filem-filem murah yang Kakak Tua sendiri malas nak sebutkan, takut kecil hati. Memang elok buat filem ikut selera penonton dan pada waktu yang sama boleh kaut untung.

Sebenarnya banyak sangat kepincangan drama atau filem kita kalau hendak dikaji. Baik drama mahupun filem kita jarang sekali menonjolkan silaturrahim yang kukuh antara keluarga, dialog longgar yang kurang cerdik dan penghayatan yang kurang menjadi.

Yang selalu Kakak Tua musykilkan kenapa filem kita yang selalu berakhir kepada penyesalan dengan mesej pengajaran gagal meninggalkan kesan. Jauh sekali dapat mengubah sikap penonton ke arah kebaikan.

Adakah kerana daya kreatif atau nilai estetikanya kurang, maka kesan positif itu tadi gagal meninggalkan kesan kepada jiwa dan minda penonton macam yang Bawang Merah Bawang Putih lakukan?

KAKAK TUA: Perangai manusia macam kulit bawang merah yang berlapis lapis....

0 comments: