Friday, April 25, 2008

FC penentu halatuju artis alaf baru

(27-09-2006 02:57:28 PM)
Di era serba moden ini, artis manapun boleh membuka Kelab Peminat atau Fan Club(FC). Namun yang lebih penting ialah keberkesanannya dan penglibatan secara langsung FC tersebut kepada karier seseorang artis itu.

Impak dan kesan positif jangka panjang FC tidak boleh dinafikan. Kalau betul cara pentadbiran dan kelolaannya, FC dapat memainkan peranan yang cukup efektif dalam menobat dan melariskan seseorang artis itu.

Berbanding dengan artis-artis sekarang, artis-artis zaman dahulu terpaksa bekerja keras tanpa FC atau pengurus untuk membantu mereka. Mungkin sebab itu juga, kerjaya mereka diurus sedaya mereka sahaja. Untungnya, apa sahaja rahsia artis tersebut akan tertutup rapi kerana tidak banyak dapat dihidu oleh pihak media.

Antara PR, pengurus dan FC
Kini senarionya lain. Para artis banyak bergantung kepada pihak pengurusan untuk mengelolakan karier mereka. Apa yang berlaku sekarang, lebih ramai artis berjaya kerana pengendalian yang betul pihak pengurusan.

Artis-artis yang bernasib baik adalah Siti Nurhaliza, Mawi, Ning Baizura, Shiela Majid, Raihan dan beberapa orang lagi.

Selalunya bagi seseorang penyanyi, segala urusan berkenaan kariernya dikendalikan oleh PR sesebuah syarikat rakaman atau produksi. Atas inisiatif sendiri, artis tersebut akan melantik seorang pengurus (manager) atau PA bagi memudahkan segala urusan mereka. Segala pekerjaan dianggap lebih terurus dengan adanya manager, PA atau pembantu peribadi.

Kini, peranan yang dimainkan oleh FC yang berkesan pula boleh memantapkan lagi perjalanan karier seni seseorang artis itu.

MawiFC tampak gah
Mungkin sudah tuah Mawi apabila penyokongnya yang ribuan orang sanggup berkorban masa dan wang untuk menyokong idola mereka.

Begitu padu sekali sokongan yang diberi sehinggakan tidak ada satupun (setakat ini), baik tulisan negatif atau publisiti buruk yang dapat mengubah keadaan selesa Mawi.
Sokongan yang ditunjukkan oleh MawiFC telah berjaya meletakkan Mawi sebagai seorang artis yang disegani dalam masa yang paling singkat - tidak sampai satu tahun.

Segala nasihat, teguran dan wawasan yang disalurkan melalui peminat dan penyokongnya telah melahirkan Mawi World Sdn Bhd, sebuah syarikat kepunyaan Mawi yang dikendalikan oleh orang-orang kepercayaan Mawi.

MawiFC dan Mawi World bersatu tenaga untuk membantu Mawi dari belakang. Di sebalik kekalutan isu putus tunang, temu bual ekslusif secara langsung yang membuka sedikit ‘kelemahan’ Mawi dan kepincangan masalah peribadi yang melanda - imej Mawi langsung tidak terjejas.

Semua ini adalah kerana sokongan kuat oleh kelab penyokongnya yang tidak putus-putus dan tidak pernah jemu ‘berkempen’ untuknya.

Segala urusan yang perlu dilaksanakan oleh Mawi sudah sedia terurus oleh ‘dayang-dayangnya’ di MawiFC dan Mawi World. Wawasan dan keikhlasan kepimpinan Ita dan June (dua orang kuat MawiFC dan Mawi World) untuk melihat anak peneroka Felda ini berjaya telah membuahkan hasil dalam masa yang paling singkat dan menakjubkan.

Selepas menjadi duta kepada 10 jenis produk, kini Mawi muncul sebagai usahawan muda dan mengeluarkan barangan atau produknya tersendiri seperti air mineral, kopiah Morocco dan syarikat produksi rakaman. Tidak lama lagi, Mawi akan bertindak menjadi penerbit pula apabila memilih Wariqissalam, satu kumpulan nasyid di bawah labelnya.

Kelab penyokong artis lain
Nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza, KRU, Ning Baizura, Adibah Noor, Sheila Majid, Raihan dan Erra Fazira (sekadar memberi beberapa nama) telahpun mempunyai FC mereka tersendiri.
Namun kehadiran FC mereka tidak berapa ketara dan peranan yang dimainkan tidak begitu menyerlah. Mungkin nama-nama besar seperti mereka tidak memerlukan sokongan dari FC.
Keberkesanan sesuatu FC itu mungkin lebih efektif jika artis itu masih baru bertapak seperti artis-artis dari program realiti TV seperti Mentor, Malaysian Idol atau Akademi Fantasia (AF).

AF sudahpun mempunyai 48 orang artis dan bukan senang bagi pihak pengurusan Maestro di bawah Freddier Fernandez untuk menguruskan karier kesemua 48 orang artis sekali gus. Walaupun dibantu oleh ramai pembantu peribadi atau PR, sukar bagi artis-artis AF ini untuk bertapak jika mengharapkan ‘ehsan’ dan kerja keras pihak Maestro sahaja.

Di sinilah peranan FC itu bermula. Apa sahaja tajaan atau peluang nyanyian, show yang dapat memulangkan hasil yang menguntungkan perlu dimanfaatkan oleh FC bagi pihak idola mereka.
Ramai artis yang berjaya dilahirkan termasuk Mawi, Farah, Linda, Nurul, Adam, Felix, Marsha, Amylea, Amirul, Haziq, Farhan, Faizal dan Velvet sudahpun mempunyai kelab peminat mereka sendiri.

Laman web adalah saluran terbaik bagi artis mendekati peminatnya.
Antara artis AF yang telah pun memiliki laman web ialah Adam (AF2) http://www.adamaf.com/, Mawi (AF3) http://www.mawifc.com/, Farah (AF2) http://www.farahfanclub.com/, Marsha (AF3) http://www.marshafc.com/ dan http://www.marshalondoh.com/, Felix (AF3) http://www.felex-af.com/, Linda (AF2) http://www.luvs-linda.com/, Amylea (AF3) http://www.amazingamylea.com/, Aidil (AF3) http://www.aidilistic.com/, Nurul (AF2) http://www.nurulfanclub.com/, Faizal (AF4) http://www.faizalfc.net/, Haziq (AF4)www.haziqqfc.com.my dan Amirul AF4 amirulfc.17.former.com.

Semua laman web artis di atas dibina oleh peminat atau kelab peminat masing-masing dan pembinaannya bermula dalam tempoh berlangsungnya Akademi Fantasia dengan harapan dapat menarik lebih ramai peminat sambil menyalurkan maklumat serta gambar menarik artis kesayangan mereka itu.

Dua juara AF iaitu Vince dan Zahid tiada mempunyai laman web. Jika dilihat karier kedua mereka tidak bertumbuh seperti yang diharapkan tanpa sokongan FC. Mungkin juga FC mereka dapat menolong mengukuhkan lagi kedudukan mereka yang semakin dibayangi oleh MawiFC.
Baru-baru ini ketika pelancaran FC Amirul di Bukit Kiara Equesterian, AmirulezFC berkata mereka ingin mebuktikan idola mereka boleh berdiri sama tinggi dengan Mawi.

Mereka berjanji ingin bergerak dengan lebih agresif lagi untuk untuk melihat Amirul berjaya dalam karier seninya dan ingin memperolehi kecemerlangan yang setara dengan MawiFC. Daya saing yang sihat begini tentu saja dapat membantu artis idola mereka secara langsung. Antara laman web terbaik:

http://www.mawifc.com/
Laman web penyokong-penyokong Mawi ini lebih dikenali sebagai Kelab Sahabat Mawi Malaysia (MawiFC) yang bertindak sebagai ‘blogger’. Ahli-ahli MawiFC aktif menghantar pendapat, cerita dan cebisan berita untuk dikongsi bersama.
Kebanyakan cerita berkaitan Mawi dibincangkan di sini.

Mereka berbincang dan bermesyuarah sesuatu perkara itu dengan begitu berhemah sekali.
Reka bentuk laman web ini telah dikemas kini dan lebih menarik sekali, begitu pilihan warna biru yang menjadi warna rasmi mereka. Kini terdapat beberapa iklan yang memenuhi ruang.
Cuma interaksi dengan idola mereka agak kurang. Mungkin juga Mawi tidak dapat meluangkan masa untuk chatting dengan penyokongnya oleh kerana jadual yang begitu padat.

Terdapat juga maklumat terkini, jadual aktiviti harian Mawi dan galeri gambar Mawi sejak beliau menyertai AF hingga ke hari ini.

Laman web ini juga digunakan untuk meraih undi peminat Mawi. Apabila ada beberapa pencalonan untuk lagu Mawi maka, semua penyokong Mawi akan bekerja keras menentukan kemenangan idola mereka yang sering mendapat jolokan Mawi World.

http://www.adamaf.com/
Dibangunkan secara profesional dan mempunyai kelasnya tersendiri. Pilihan warna dan reka bentuk agak menarik dan canggih. Mungkin juga ini adalah hasil usaha syarikat rakamannya KRU Music.
Terdapat biografi dan pelbagai maklumat terkini disediakan untuk tatapan peminat.
Gambar, video muzik, pilihan lagu dan lirik juga dipaparkan. Paling menarik ialah penggunaan perdagangan elektronik yang menjual barangan kenangan seperti kemeja-T dan aksesori.

http://www.marshalondoh.com/
Menarik, professional dan lengkap dengan maklumat peribadi dan gambar yang tidak pernah tersiar di mana-mana akhbar. Selain biografi, dimuatkan juga lirik lagu dan komen persembahan Marsha ketika di AF.
Ianya juga mengandungi keratan akhbar, interaksi dengan Marsha via email, screen saver dan klip video ucapan selamat daripada Marsha.

http://www.peterband.com/
Peter Pan merupakan kumpulan Indonesia yang paling popular dan populariti mereka dapat dilihat dari penglibatan peminat mereka yang berada di rantau ini seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Inilah satu-satunya laman web di mana artis berinteraksi secara total dengan peminat. Apa sahaja soalan akan dijawab sendiri oleh anggota kumpulan ini. Setiap anggota mereka mempunyai peminat yang berbeza. Inilah keunikan laman web Peter Pan.
KAKAK TUA: Teringin juga ada FC tapi sedar diri ni siapa….

0 comments: