Friday, April 25, 2008

Berdamailah Rita-Lisdawati



(22-09-2006 04:29:21 PM)
Adegan dua aktres, Rita Rudaini dan Lisdawati menampar dan menarik rambut dalam babak terakhir penggambaran drama Kau Yang Ku Sayang pada akhir bulan lepas nampak macam ‘real’ sahaja sehinggakan dua pelakon lelaki yang digandingkan dengan mereka pun tidak menyedari yang ianya satu pergaduhan betul.


Fahrin Ahmad dan Zed Zaidi langsung tidak sangka yang adegan itu tidak sepatutnya berlaku. Begitu realistik sekali penghayatan kedua aktres tersebut sehingga orang disekeliling mereka tidak pasti yang mana satu lakonan dan realiti.


Babak yang telah mencetuskan kontroversi ini dan sudahpun sampai ke peringkat penyiasatan polis itu berlaku di sebuah kolam renang di sebuah hotel terkenal di George Town di mana Rita Rudaini, Lisdawati serta Zed jatuh ke dalam kolam renang.


Perhubungan di antara Lisdawati, 27, dengan Rita, 30 kononnya sudah lama ‘dingin’ namun puncanya tidak diketahui secara sahih. Jelas sekali apabila sudah ada parut lama, lukapun cepat singgah. Justeru kewajaran di sebalik cerita ini, tidak perlu kita menjadi hakim menjatuhkan hukuman siapa benar atau salah. Itu semua sudah tidak penting lagi.


Polis terpaksa bertindak menyelesaikan kes ini apabila Lisdawati membuat laporan di pondok polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 4.30 petang pada 6 Ogos lalu mendakwa dicederakan Rita Rudaini semasa penggambaran di sebuah hotel di Tanjung Tokong di sini sehari sebelum itu.


Lisdawati mendakwa kejadian itu berlaku antara pukul 4 dan 6 petang ketika penggambaran satu babak drama berkenaan di kolam renang di hotel tersebut.


Rakaman penggambaran drama ini sudahpun dipertontonkan oleh polis bagi memastikan sama ada ‘adegan’ kontroversi pergaduhan kedua-dua mereka merupakan sebahagian daripada skrip drama itu atau sebaliknya.


Skrip drama arahan pengarah, Rashid Sibir ini juga turut diteliti dan 10 orang saksi telah dipanggil untuk disoal siasat.


Kenyataan kedua-dua pelakon itu serta pengarah telah dirakamkan dan pita rakaman penggambaran telahpun diserahkan kepada pihak polis. Menurut sumber semua ini telah banyak membantu penyiasatan kes yang nampak semakin rumit ini.


Rumitnya bukan sebab kes itu sendiri tetapi disebabkan percanggahan fakta. Masing-masing berkata dia yang benar dan menuding jari kearah pihak satu lagi.


SAMA –SAMA SERIK
Insiden pergaduhan dengan babak tampar menampar yang terhebat pernah dirakamkan di dalam drama tidak mungkin dapat dilupakan oleh Lisdawati yang serik untuk berlakon lagi dengan rakan artisnya itu.


Beberapa hari selepas itu, Rita juga mengeluarkan kenyataan yang hampir sama, melahirkan kekesalan dan juga membuat kenyataan tindakan Lisdawati membuat laporan polis telah menjatuhkan maruah wanita.


Lisdawati tetap bertegas bahawa babak gaduh memang tiada dalam skrip awal dan menganggap dirinya dianiaya.


Begitu juga dengan Rita yang mendakwa Lisdawati hanya sengaja mereka cerita palsu untuk menjatuhkan dia. Pendek kata kedua-dua mereka sudah serik.


Babak tampar menampar menjadi isu nasional apabila dua orang pengacara popular telah mengulas dan membuat jenaka humor insiden ini di Anugerah Era 2006.


Dua aktres jelita ini mempunyai sejarah silam yang berbeza dan di peringkat ini, membongkar kisah silam mereka tidak akan membantu menyelesaikan kekusutan yang semakin meruncing. Secara tidak langsung kawan-kawan kedua artis ini juga bagaikan serba salah dan secara tidak langsung terpaksa membuat pilihan, sekaligus terbahagi kepada dua puak.


Kes ini bukan besar mana pun. Kalau ikut resam orang kita, ini kes ‘rumahtangga’, kes remeh cuma yang menariknya yang tarik rambut tu dua orang aktres cantik yang muda dan popular, bertamparan dan berlagak kasar di dalm kolam renang. Bunyinya sahaja dah macam drama Tamil.


Biasalah, semua orang ada ego ingin mempertahankan kebenaran mereka. Lebih mengelirukan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan dari kedua mereka seperti ada yang tidak kena.
Peminat kedua-dua pelakon terpaksa menerima hakikat bahawa artis kesayangan mereka tidak akan bergandingan dalam filem atau drama baru selepas ini. Lain lah kalau ada pihak stesen TV hendak menaja episod ekslusif temu bual Rita-Lisdawati?


ORANG TENGAH PERLU UNTUK BERDAMAI
Bila dua artis atau persatuan bergaduh, berselisih faham atau berantakan, tidak ada satupun individu atau persatuan artis yang akan tampil untuk menjadi orang tengah menyelesaikan masalah ini. Inilah senario yang selalu dihadapi sejak dulu lagi.


Adapun hanya Presiden Karyawan Malaysia Freddie Fernandez sahaja yang melahirkan kekesalan di atas insiden yang berlaku.


Freddie menasihatkan Lisdawati dan Rita segera berdamai demi menjaga imej industri seni tanah air.
“Kalau ada masalah sekalipun jangan dibawa sehingga ke set penggambaran. Semua ini akan menjejaskan imej pelakon itu sendiri. Ini bukan lagi soal siapa betul siapa salah. Bila sudah sampai ke polis, kita tidak dapat menolong terutama di kalangan peminat,” kata Freddie.


Sepatutnya ada orang yang disegani kedua pihak yang bertelagah, tampil sebagai orang tengah mencari jalan damai agar yang keruh dapat dijernihkan dan yang kusut dapat diselesaikan. Dulu pun sama juga. Bila ada saja kes yang begini, tidak ramai artis yang berani tampil ke hadapan untuk menjadi orang tengah. Mungkin takut untuk dicop sebagai kaki sibuk atau sememangnya tidak kisah, justeru pertelingkahan yang kecil menjadi semakin besar.


Lama kelamaan jurang di antara dua orang atau persatuan yang tidak bertegur sapa atau bermasam muka akan menjadi lebih parah. Semua ini akan merebak menjadi semacam virus di dalam industri. Semua penyakit yang tidak sihat ini sepatutnya dicegah dari awal. Inilah peranan mediator atau orang tengah. Senator Datuk Jins Shamsuddin misalnya, boleh membawa peranan ini sesuai dengan kedudukannya sebagai orang kuat industri hiburan.


Mungkin juga pihak media boleh memainkan peranan mendamaikan Lisdawati dan Rita kerana dunia hiburan kita terlalu kecil. Sebagai kakak yang tua, ingin berpesan dengan Rita dan Lis, waktu yang paling baik untuk berdamai ialah di bulan Ramadan ini. Jernihkan hati dengan kemaafan, jangan biarkan kebatilan mengotori hati dan lemparkan jauh segala ego yang ada cahaya keinsafan akan timbul. Salam Ramadan!

0 comments: