Tuesday, April 29, 2008

MyStarz LG 'rugi' bila Mimi tersingkir?

(23-07-2007 11:47:55 AM)
BABAK airmata dalam program realiti MyStarz, LG baru saja bermula. Pelajar yang mempunyai vokal mirip Siti Nurhaliza, Mimi dengan rasminya terkeluar dari program tersebut dan pemergian Mimi diiringi oleh linangan airmata yang bukan kepalang dari Mimi sendiri.

Kesian sungguh melihat Mimi yang tidak dapat menerima kekalahan dan menangis hiba ketika diumumkan terkeluar. Suara merdunya tersekat-sekat meneruskan nyanyian ketika di akhir rancangan konsert ke3 MyStarz yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam semalam.

Tangisan dan runtunan hati Mimi bagaikan mengimbau berbagai kenangan pahit satu persatu....
Berlainan sekali dengan dua pelajar MyStarz, LG yang terkeluar terlebih dahulu seperti Awang dan Afif yang menerima kekalahan mereka dengan hati yang terbuka.

Apa yang menghairankan, tiga orang juri termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Jennifer Thomson telah memberi mandat kepada Mimi, sekali gus memberi gambaran yang Mimi akan terselamat minggu ini. Maklumlah mandat mereka membawa undian 60%.

Namun jangkaan meleset dan keputusannya jauh tersasar apabila Rubisa, peserta dari Sabah yang dijangka terkeluar, boleh terselamat.

Tapi itulah penangan dan kekuatan 40% SMS atau undian orang ramai. Ianya terbukti lebih berpengaruh dan berkuasa dari suara juri. Dan pelajar yang jauh lebih hebat seperti Rubisa, meskipun tidak mendapat kata perangsang dari para juri ditakdirkan boleh mara ke pusingan seterusnya.

Kalau ikutkan, sememangnya nama Mimi belum cukup layak dibahaskan di dalam kolum Kakak Tua ini kerana dia ibarat pucuk mangga yang baru nak berputik, belum pun sampai peringkat mempelam muda.

Tapi disebabkan 'kehebatan' personaliti Mimi sendiri dan kekalutan yang dibuat oleh Mimi dan kontroversi yang dicipta oleh ayahnya mengundang Kakak Tua untuk menjadikan subjek ini sebagai bahan kajian.

Kakak Tua difahamkan, cabaran dan dugaan yang terpaksa Mimi lalui semasa menjadi pelajar MyStarz amat menarik untuk dijadikan fokus perbincangan.

Dari teguran ikhlas pelakon Ellie Suriaty yang menyatakan Mimi adalah klon Siti Nurhaliza ke isu hentak kaki ala Misha Omar dan komen ayahnya "MyStarz rugi kerana keluarkan Mimi" dan statement "penyingkiran Mimi dirancang" semuanya merupakan tanda-tanda awal ketibaan artis yang akan mengalami gangguan peribadi seandainya dia berjaya mencari tapak di dalam industri hiburan.


Tanda-tanda awal inilah yang patut dihindari kerana ianya ibarat kanser yang akan memakan diri Mimi dan menjadi racun kepada kariernya seandainya dia tidak berubah.

Anak manja kelahiran Pahang ini seakan tidak dapat menerima ketentuan yang dia tidak layak untuk bertanding lagi. Dari peringkat awal lagi, kata-kata defensive Mimi boleh membuat sesiapa saja tersentak.

Mimi pernah membandingkan dirinya dengan Misha Omar dalam Diari MyStarz, LG dengan berkata...."Saya cuma hentak kaki untuk lagu-lagu tertentu tapi Misha buat untuk semua lagu."
Keyakinan diri yang ditunjukkan oleh gadis berusia 18 tahun ini cukup 'membanggakan.'



Mimi tanpa segan silu mencerminkan yang dia sudah menggapai piawai artis glamor dan perasan yang dia selesa berada di kelompok Siti Nuhaliza, atau setidak-tidaknya Misha Omar kerana itu dia kadang kala tidak gusar dikritik atau tidak betah ditegur oleh sesiapa pun.

Anak emas MyStarz ini juga khabarnya mempunyai attitude yang kurang manis kerana dua hari sebelum konsert berlangsung, dia telah bergaduh dengan pencabar terdekatnya Rubisa.

Catfight yang berlangsung di LG House ketika sembahyang Jumaat ini khabarnya disebabkan 'provokasi' dan salah faham oleh Mimi sendiri. Kalau perkhabaran ini benar, memang sahlah Mimi mempunyai masalah peribadi yang serius, perlu diselesaikan dengan segera sebelum orang lain pula menjadi mangsanya.

Ayahanda Pengetua Farihin Abdul Fatah yang terlalu sibuk menyediakan module pembelajaran untuk program MyStarz, LG tentunya pening kepala memikirkan hal remeh temeh begini. Kononnya, Farihin hanya mampu mendengar masalah dan gelagat Mimi-Rubisa dan membiarkan saja masalah ini diselesaikan oleh orang harapannya.

Setahu Kakak Tua, Farihin seorang yang cukup perihatin dengan setiap masalah yang dihadapi pelajarnya sehinggakan masalah jin dan syaitanpun sanggup ditepisnya, janji makhluk halus ini tidak sampai meresap ke dalam minda anak-anaknya.

Segala dakwah, pesanan dan 'khutbah' yang disampaikan kepada anak didiknya cukup mengesankan sampaikan terusir semua jin dan syaitan jantan dan betina jauh dari LG House.

Begitulah hebatnya Farihin memegang amanah program ciptaan, ilham dan format asal idea penerbit hebat Jafni Abu Bakar ini, mengusir semua syaitan yang 'direjam' dari kediaman dan tempat pembelajaran MyStarz.

Mustahil Farihin sanggup membiarkan saja Mimi yang mempunyai ciri-ciri anak manja ini berkelakuan jelek melainkan lah dia ada alasan tertentu kenapa dia bersikap lepas tangan begitu.

Ketika Ellie membaling botol mineral ke Mimi kerana Mimi sanggup bersumpah "Demi Allah dia tidak meniru Siti", Kakak Tua jadi musykil tertanya-tanya mungkinkah ada lagi saki baki syaitan iblis di LG House sehinggakan masih ada episod hasutan syaitan di tempat itu. Kalau begitu sekali amarah yang ditunjukkan oleh Ellie, tentu sekali ada yang tidak kena.

Ellie yang Kakak Tua kenali adalah seorang yang tegas namun tetap penyayang. Tidak mungkin Ellie melakukan aksi baling botol jarak dekat untuk mendapat 'markah' lebih atau publisiti. Ada yang beranggapan, mungkin juga MyStarz, LG begitu terdesak mencari bahan dalam memberi kelainan dan kejutan untuk menaikkan rating program ini.

Firasat Kakak Tua pula berkata, kemungkinan semua kejadian "Kisah Benar" ini berlaku di luar kawalan dan jangkauan minda, kerana semuanya terjadi tanpa dirancang.

Teori ini disokong oleh beberapa fakta sejarah MyStarz. LG yang masih belum didokumentasikan.

Ketika MyStarz, LG diasaskan oleh Jafni dan dibantu oleh dua kekandanya, Farihin dan Aubrey, formatnya jauh lebih harmoni dan teratur. Begitu juga nilai-nilai murni yang cuba diterapkan oleh program ini.

Namun semua benda 'pelik' dan 'ajaib' mula berlaku sesudah tiang seri dan hampir semua sendi-sendi utama 'rumah' MyStarz, LG dibuang dan diroboh secara tiba-tiba dan dengan sekelip mata oleh pihak penguasa.

Bagaikan ombak tsunami yang melanda, ada yang terkorban dan sehingga kini, kesan dari 'bencana alam' ini dapat dilihat dan dirasa.

Dan akibatnya seperti yang dapat disaksikan sekarang di mana keadaannya menjadi pincang dan celaru.

Bukan kepalang kekecewaan yang dirasai oleh pengasas dan arkitek rumah ini tapi itulah hakikat sebuah realiti. Begitu murah harga sebuah nama juga ganjaran yang menutupi kelemahan yang ketara maka nilai-nilai murni diketepikan.

Lebih murah lagi ikatan tali persaudaraan dan persahabatan mahupun sikap profesionalisma yang terpaksa dikorbankan bila semua perjanjian mulut menjadi longgar, terlerai dan tidak membawa sebarang makna.

Apabila asas dan teras program sudah tidak kuat dan keikhlasan sudah tipis dan terhakis, maka timbullah kontroversi seperti pelajar 'bermasalah' bernama Mimi.

Kakak Tua sudah menjangka program ini akan tersasar jauh dari matlamat sebenarnya. Petanda awal apabila lagu Gemuruh yang cukup indah melodinya ciptaan Aubrey Suwito bukan lagi menjadi prioriti.

Yang pasti, program yang memuatkan pelajarnya di hotel 5 bintang Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dengan semua kemudahan dan kemewahan sponsor, belum tentu lagi akan berakhir dengan gahnya.

Sudahlah hala tuju program semakin samar, dengan pergolakan tidak sihat yang berlaku dalam MyStarz, LG mengundang lebih banyak keburukan dari kebaikan, belum tentu lagi rating tinggi dapat dinikmati. Apa lagi untuk meninggalkan impak atau saingan kepada program realiti yang lain?

Lebih karut bila orang kuat program ini, Azhar Borhan terpaksa 'mencemar duli' menjadi juri pula minggu ini.

Mana mungkin Azhar boleh berlaku adil seandainya dia sendiri yang mengepalai produksi MyStarz, LG menjadi hakim? Entah apa kayu ukuran yang diguna pakai sehinggakan Azhar yang sudah mengenali kesemua pelajar secara dekat dan mempunyai vested interest memberi komen tanpa rasa bersalah.

Jangan sampai teguran ikhlas Kakak Tua ini disalah tafsir dan tidak pasal-pasal menjadi mangsa pula. Lebih tragis seandainya dipaksa 'lie low' hanya kerana menulis segala kepedihan yang dirasai oleh mereka yang terkena tempias.

Sungguhpun banyak rahsia masih dirahsiakan, Kakak Tua harap sangat pihak media akan memberi perhatian khas kepada program ini. Sekurang-kurangnya boleh juga menampung bahan kolum mingguan.

Kebenaran yang hakiki mungkin bisa dimanipulasi oleh mereka yang takut pada bayang-bayang sendiri namun mereka yang dizalimi akan tetap mendapat pembelaan dariNya. Inilah yang seharusnya disemat di benak mereka yang sudah menabur fitnah dan membuat onar.

Kakak Tua peka sungguh dengan beberapa orang dalam MyStarz, LG yang bersikap "Sudah mendapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi" tapi percayalah kebathilan tidak mungkin mengatasi kebenaran.

Sungguhpun sedih melihat bahtera indah hampir 'karam', Kakak Tua tetap terharu melihat hemah dan keluhuran budi beberapa pelajar MyStarz, LG.

Sayang sekali, mereka ini telah dan akan turut serta hanyut dan lenyap dengan tiang seri yang telah diroboh itu.

KAKAK TUA: Tidak tergamak mendengar kezaliman seorang 'pendatang asing' menghalau tuan rumah yang baik hati di sebuah rumah banglo tiga tingkat.

0 comments: