Friday, April 25, 2008

'Don' indah khabar dari rupa

(30-10-2006 02:20:46 PM)
Dek kerana teruja dengan nama pelakon pujaan Shah Rukh Khan, maka Kakak Tua terpanggil lah untuk menonton filem Bollywood Don yang begitu hangat diperkatakan itu.
Walaupun suasana Aidilfitri masih bening di keliling dan terasa kemeriahannya di TV, panggilan menonton Don sedikitpun tidak kurang.

Tambahan pula filem ini adalah Don versi baru. Filem Don yang pertama pernah diterbitkan pada 1978 dan dibintangi Amitabh Bachchan dan Zeenat Aman. Don versi baru banyak 'tarikan.'

Mungkin nama Shah Rukh Khan saja tidak cukup menarik ramai ke panggung. Maka ditambahlah dengan tarikan lain seperti jelitawan Priyanka Chopra, Karena Kapoor, Isha Kopikkar dan pelakon macho Arjun Rampal.

Filem yang baru mula ditayangkan sempena Deepavali itu juga memperlihatkan keindahan Langkawi, landskap di tempat-tempat menarik sebagai lokasi penggambaran seperti KLCC.Selama tiga jam di dalam panggung, terasa megah dan bangga melihat keindahan tempat negara kita. Tentu ramai akan tersenyum puas melihat sudut-sudut indah yang dipinjamkan ke filem Bollywood ini.

Shah Rukh Khan, bintang utama Don
Begitu juga keindahan pantai Langkawi yang putih bersih serta pusat beli-belah yang tersergam di Kuala Lumpur. Semuanya kelihatan begitu hebat dan tiada cacat celanya di layar perak. Jalan Masjid India pun nampak cantik. Mana taknya kerana ia dikomersialkan dan terdapat satu adegan menyanyi dan menari diadakan di situ.

Kembang hati Kakak Tua melihat begitu ramai umat India berhibur dan menyanyi mengiringi Shah Rukh Khan di situ. Walaupun tarian mereka agak janggal dan sumbang yang penting semangat ingin menengahkan bakat mereka ke filem Bollywood.

Tapi yang kelakarnya, ada juga adegan polis Malaysia diperbodohkan… Indah khabar dari rupaBagaikan terbuai dengan ‘janji-janji’ manis pengarah Farhan Akhtar, maka pelakon-pelakon kita yang cukup gah namanya di sini telah diberi watak tempelan dalam filem Don seperti Shahruddin Thamby, Shamser Sidhu dan Tony Eusoff.

Sudahlah watak tempelan, kemunculan mereka tiada dialog dan tidak sampai lima minit pun. Yang jelas, kehadiran mereka bagaikan sesuatu yang patut kita banggakan. Walhal ianya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Kasihan sungguh melihat pelakon kita diperlakukan begitu. Sebelum penggambaran perkhabaran yang diberi sungguh indah, selepas filem siap ‘indah khabar dari rupa’ dan tak kemanapun bakat tempatan yang kononnya ingin menimba pengalaman.
Tony Eusoff, antara pelakon Malaysia yang diberi watak 'tempelan' di dalam Don.

Kalau sekadar ‘pegang tombak’ saja baik tak payah. Biarlah kita menjadi jaguh kampung, sekurang-kurangnya kita diberi penghormatan. Ini tidak, seperti mengemis di negara sendiri. Buat penggambaran di Malaysia, tenaga krew yang dikerah pun dari sini tapi bila tiba watak penting atau separuh penting, diserahkan pada orang ‘dia’, pelakon kita entah ke mana.

Kakak Tua ingat lagi uji bakat yang dikendalikan syarikat tempatan, Channel Ventures (M) Sdn Bhd pada Disember 2005 di mana penerbit filem Don, Bollywood's Excel Entertainment melantik Channel Ventures menguruskan segala yang berkaitan dengan pembikinan filem itu di negara ini seperti mencari lokasi dan pelakon tempatan.

Haru birulah sekejap. Maklumlah sebuah filem Bollywood di samping pelakon pujaan Shah Rukh Khan dan pencarian Don memerlukan 1,000 pelakon tambahan dan ‘wajah tempatan'. Siapapun tidak akan melepaskan peluang keemasan ini.

Yang lebih teruja, 80 peratus filem itu akan berlokasikan Langkawi, KLCC, Kampung Baru dan Jalan Masjid India. Promo yang besar-besaran telah menyebabkan berduyun-duyun rakyat Malaysia, kebanyakkannya kaum kelahiran India sanggup tunggu berjam-jam untuk screen-test.Watak tempelan saja.

Yang paling menghampakan di antara barisan pelakon handalan kita ialah Shaharuddin Thamby. Kononnya diberi watak sebagai pegawai polis dari Malaysia yang ditugaskan memburu penjenayah bernama Don. Maka Shaharuddin pun buatlah persediaan awal termasuk menonton filem arahan Farhan, Dil Chahta Hai.

Hajat di hati hendak tahu cara Farhan bekerja supaya dapat sesuaikan diri nanti. Antara yang dijanjikan ialah dia akan diberi dialog bertutur dalam bahasa Inggeris dan akan berangkat ke India untuk menandatangani kontrak sambil mencuba baju yang dibuat khas di sana.

Itu adalah janji mulut.Hasilnya ialah jauh panggang dari api. Yang dapat dilihat satu dunia dalam Don ialah satu adegan yang tidak sampai lima minit di mana Shaharuddin berpakaian lengkap polis terkebil-kebil mendengar penerangan dari pegawai tertinggi polis De Silva dari India. Itu saja. Tak sempat pun mendengar dia bercakap bahasa Inggeris sebab adegan itu memang tak ada.

Watak pegawai polis yang dipegang oleh Shaharuddin Thamby juga tidak seperti yang dijanjikan
Begitu juga dengan Shamser dan Tony Eusoff yang menjadi ‘bouncer’ atau kaki pukul. Aksi mereka sungguh menyedihkan dan tidak mencabar atau menaikkan imej mereka. Berdetik di hati Kakak Tua, siapakah yang punya angkara ini. Yang jelas, sikap dan mentaliti ‘hamba’ (slave mentality) kita memakan diri.

Walaupun kita mempunyai kuasa menentukan syarat-syarat yang perlu untuk memartabatkan pelakon kita tapi kita tidak mampu pun untuk berbuat demikian.Antara sebabnya mungkin kita rasa filem Bollywood telah jauh lebih maju dan sudah sampai ke merata pelusuk dunia sedangkan kita masih terkial-kial mencari arah tuju dalam industri sendiri.

Disebabkan sifat inferiority complex kita tebal ditambah dengan jati diri yang kurang tidak hairanlah kita sanggup membiarkan saja orang luar melatam dan mempergunakan kita. Tidak bolehkah dikenakan syarat, seorang pelakon kita diberi watak tambahan seiring dengan Shah Rukh atau Arjun Rampal.

Setakat membelek kertas dan merenung ke white board, tak payahlah nak berlakon filem Bollywood. Maaf cakap jadi bahan lawak saja. Jalan cerita Don baru tidak kemas. Kononnya Farhan Akhtar adalah seorang pengarah berwibawa yang selalu menyuntik idea segar dalam filem arahan beliau.

Malang sekali dalam filem Don versi baru ini, susah hendak membuat kesimpulan yang Farhan berjaya membawa filem ini ke satu tahap yang lebih membanggakan dari filem asalnya.Ini kerana jalan cerita yang berbelit-belit, berjela-jela, tidak kemas dan dialog yang membosankan juga ‘kejutan’ yang tidak masuk akal cukup mengecewakan.

Perjalanan cerita ini juga agak mendatar pada beberapa bahagian kecuali adegan kejar-mengejar dan aksi perkelahian. Sungguh mendangkalkan fikiran apabila kita cuba mencari jawapan kenapa perlu ada dua Don – Don yang dimatikan dan Don palsu iaitu Vijay.

Ingatkan filem Don ini adalah ‘happy ending’ rupanya pengarahnya yang juga penulis skrip telah menyiapkan satu kejutan lain. Kejutan yang entah apa-apa tapi sesuailah agaknya dengan tag-line filem ini…impossible to catch Don!

Lagu-lagu yang diselitkan dalam filem ini juga tidak meresap kedalam jiwa dan kurang merdu walaupun tariannya agak mengasyik dan menggairahkan. Filem ini selamat dikategorikan sebagai membosan dan mengecewakan.Lakonan Shah Rukh Khan adakala stereotaip dan adakala membanggakan.

Namun Shah Rukh gagal menyelamatkan filem ini.Tetapi apa yang Kakak Tua tidak dapat terima ialah ‘layanan’ pelakon kita di dalam filem ini - sedih dan menyakitkan mata. Bila diceritakan kepada bos, dengan selambanya dia mengajukan satu tajuk untuk kolumn ini…DON’t Bother.

KAKAK TUA: Jadi jaguh kampung pun ok!

0 comments: