Friday, April 25, 2008

Biar Luncai terjun dengan labunya!

(19-10-2006 10:28:10 AM)
Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama malu sendiri. Inilah satu-satunya pantun yang Kakak Tua ingat bila terbaca kisah artis kita yang pandai sangat ‘cover-line’ atau dalam bahasa lebih sadis, bercakap bohong.

Dulu masa kecil-kecil kita diajar, dididik dan dipesan ‘Berkata benarlah dalam apa keadaan sekalipun kerana pembohongan itu ibu segala kejahatan." Tapi itu dulu. Kini ramai artis ‘berlumba-lumba’ bercakap bohong kerana nak jaga imej.
Kakak Tua tak berani nak bagi nasihat lebih-lebih pada golongan artis kerana mereka lebih arif, tambahan pula lakonan sudah menjadi asam garam kehidupan mereka.

Kakak Tua lebih asyik tengok ‘wayang’ artis-artis di luar layar perak kerana ianya lebih mencabar. Bagaimanakah reaksi spontan artis yang kantoi apabila ditangkap berkata dusta?"Kami bukan malaikat dan hanya manusia biasa. Kenapa perlu fokus pada artis saja? Orang biasapun cakap bohong," kata mereka.

Namapun selebriti atau artis. Apa saja yang mereka lakukan akan mendapat liputan. Jadi hendak tak hendak bila dah kantoi, kenalah berdolak dalik supaya tidak pecah tembelang.Tapi Kakak Tua sedikitpun tidak hairan apabila melihat artis berbohong kerana pembohongan sudah sebati dengan jiwa mereka.

Benda yang remeh macam umur pun menjadi satu isu bagi mereka tambahan kalau sudah anjak ke angka 30 bagi artis wanita dan 40 tahun bagi artis lelaki.

Kasihan sungguh melihat mentaliti artis kita yang masih takut menghadapi realiti kehidupan.Putaran waktu tidak pernah menipu kita dan apabila disemak balik kita pula yang jadi malu kerana ditipu oleh mereka ini.

Dan selalunya, kesahihan usia sebenar ramai artis hanya akan terjawab apabila mereka didakwa di mahkamah ataupun menemui kemalangan, lebih tragis bila kehidupan berakhir.Itulah sandiwara semasa dunia glamor artis yang amat memualkan.

Bila ditanya kenapa tipu umur, tanpa rasa bersalah mereka akan berkata,"Takut tak dapat job, produser tak suka yang tua…"Ini adalah satu persepsi yang salah dan harus dibetulkan kerana yang penting bukan angka umur tapi kemanafatan sesuatu jangka hayat itu.

Tipu status kahwin
Yang paling sedihnya apabila artis sanggup berbohong tentang status perkahwinan mereka kerana hendak mengejar populariti.Sanggup berbohong tidak pernah berkahwin, tidak ada anak semata-mata takut peminat lari.

Ada tu sampai mereka-reka cerita yang tidak masuk akal untuk menegak benang basah.Bermulalah satu teka-teki untuk wartawan menyelesaikan. Yang tersenyum sinis melihat semua ini adalah artis putar alam ini.

Yang hebatnya, kahwin tak mengaku, mengandung tak mengaku alih-alih selang beberapa tahun, buat fotografi bersama anak misterinya. Wartawan pula dituduh putarbelitkan fakta, jaga tepi kain artis dan hendak jatuhkan artis. Hakikatnya mereka-mereka ini yang membuat onar.

Kalau kita fikir balik, apalah sangat mata pena yang setajam pedang kalau hendak dibandingkan dengan kebenaran yang dapat menembusi dinding batu.'Ok' yang 'tak ok.'

Kebelakangan ini terdapat banyak kemusykilan tentang kesahihan berita keretakan rumahtangga sesetengah artis seperti Awie-Arni, Ajai-Nurul dan Jee-Johan Indot.

Bukan tak percaya bila artis berkata rumahtangga mereka ok ok saja tapi disebabkan insiden pembohongan yang terlalu sering mereka lakukan sampai kita terpaksa membaca pengakuan ok mereka sebagai tak ok.Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang walaupun dalam hal ini, monyet pun boleh goyangkan pokok.

Tentu saja monyet yang dimaksudkan di dalam hal ini adalah para wartawan yang sibuk nak tahu cerita panas di sebalik rumahtangga yang bergelora.Bila berita rumahtangga berantakan, selalunya dalam dua tiga bulan akan adalah peristiwa yang mengesahkan apa yang didengar itu benar belaka.

Apabila Noraniza Idris-Fareez bercerai, Awie-Arni bercerai bukan hati tidak ikut sayu mengenangkan anak-anak menjadi mangsa tapi susah sangat nak rasa kasihan sebab kita ditipu hidup-hidup. Erra Fazira dan Yusry KRU adalah artis contoh yang bijak menangani krisis rumahtangga yang mereka hadapi.

Walaupun pada mulanya desas desus retak menanti belah dinafikan tapi lama kelamaan, mereka mengaku juga.Pasangan yang seharusnya mendapat pujian bijak mengendalikan isu dalaman mereka adalah pasangan Abby Abadi dan Norman Hakim yang memberi kenyataan yang benar dan tidak bercanggah.

Kakak Tua cukup penat melayan kerenah artis yang suka hendak menutup bangkai gajah dengan daun inai. Kononnya mereka masih suami isteri walaupun hakikatnya tidak tinggal serumah dan tidak sehaluan.

Kisah Benar mereka akan diketahui juga selepas salah seorang pasangan artis itu memfailkan penceraian mereka di mahkamah.Bagi Kakak Tua, tidak salah pasangan artis diberi ruang untuk menyelesaikan kemelut rumahtangga mereka TAPI janganlah berbohong.

Di dalam banyak kes penceraian, kebenaran akan terjawab pada hari mereka ke mahkamah. Ketika itu semuanya terkeluar tanpa selindung lagi. Susah faham kerenah artisKerenah artis berbagai ragam. Hanya mereka yang sekufu dengan artis sahaja yang boleh faham rentak mereka.

Gossip sedikit sebanyak dapat memainkan peranan menaikkan nama seseorang artis itu walaupun ada sesetengah gossip itu adalah fitnah. Jangan terperanjat ada artis yang minta digosip.

Ada tu tanpa disedari ‘mencipta’ gossip itu apabila mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah, mempunyai anak luar nikah, menjadi isteri VIP dan membuat perubahan besar pada anggota badan mereka.

Timbullah ‘kontroversi’ yang dirancang dan berpanjangan. Artis tak mengaku, wartawan pula buat spekulasi supaya artis buat pengakuan jujur.

Yang salah siapa?Kakak Tua rasa tak payahlah kita nak sibuk-sibuk mentarbiyahkan artis-artis ‘kertu’ yang macam buloh ini.‘Biarlah si Luncai terjun dengan labunya.’ Bila Labu pecah dan Luncai terluka, baru boleh buat cerita sensasi.

Kakak Tua: Suka sangat makan labu!

0 comments: