Monday, April 28, 2008

Nek Nak, si bidan tua yang 'seksi'

(19-04-2007 12:55:33 PM)
PERJALANAN cerita seram Nek Nak hampir sama permulaannya dengan musim kelima Akademi Fantasia. Ketika mula-mula perjalanan 13 episod drama baru cerita hantu ini disiarkan dalam slot misteRIA, Kakak Tua rasa agak terujalah juga untuk menontonnya.

Tambahan kerancakan penceritaannya dimeriahkan lagi dengan lakonan hebat Wan Maimunah yang sudah banyak kali memenangi anugerah kerana penghayatan pelbagai watak yang dibawanya.

Tapi kali ini watak yang diberikan kepada Nek Nak bukan calang-calang orang boleh membawakannya. Nek Nak perihal seorang bidan kampung yang mengamalkan ilmu hitam untuk mengekalkan kejelitaan dan susuk badan yang muda.

Pendek kata, Nek Nak menggunakan ilmu syaitan untuk menaikkan seri wajahnya yang dipinjam oleh semangat syaitan. Inilah peranan yang digalas oleh Wan Maimunah. Kalau di luar set, aktres separuh umur ini selalu membawa watak ibu-ibu atau wanita separuh umur.

Sungguh mencabar watak yang diberikan. Kalau hendak dibuat perbandingan, di antara semua wajah 'hantu' yang pernah difilemkan dan yang pernah kita lihat selama ini di layar perak mahupun di layar TV semuanya dibawa oleh wajah-wajah muda jelita seperti Maya Karin (Pontianak Harum Sundal Malam), Deanna Yusof (Chermin) dan Umie Aida (Puaka Tebing Biru).
Nek Nak satu-satunya drama seram yang mempertaruhkan 'hantu' tua. Dan selepas ini pelakon veteran Azean Irdawaty pula akan menyusul dalam filem Waris Jari Hantu mengambil semangat harimau dan ilmu saka tidak silap Kakak Tua.

Tapi ini bukan cerita hantu raya, ilmu saka atau pontianak tetapi cerita pasal perempuan yang kemaruk mengejar keduniaan sehingga sanggup menuntut ilmu hitam yang menyalahi hukum agama semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu.

Hebat sungguh lakonan yang ditunjukkan oleh Wan Maimunah. Daring dan langsung melanggar arus untuk menjiwai watak Nek Nak, seorang yang usianya sebaya nenek tua tepai masih mendambakan lelaki muda untuk memuaskan nafsunya.

Pengamal ilmu hitam bernama Nek Nak ini cukup kejam dan tak berhati perut sehingga tergamak membunuh. Nek Nak dendam berahi terhadap suami orang bernama Hassan (lakonan Zaidi Omar) yang mana isterinya sedang sarat mengandung.

Dek kerana dendam kesumat dan keinginan tidak dilayan, Nek Nak sanggup membunuh isteri Hassan dan bayi yang baru dilahirkan. Cukup 'realistik' sekali persembahan Wan Maimunah.

Sanggup dia berkemban, pakai baju tak berlengan dan loceng kaki di kedua kakinya sedang rambut hitam panjang menjurai dihiasi bunga sundal malam yang disisip rapi ditepi rambut.

Sebenarnya Kakak Tua sendiri antara malu, mual dan 'kagum' melihat penjiwaan watak Wan Maimunah ni. Rasanya bukan semua pelakon seangkatan dengannya mampu membawa watak itu dengan berkesan sekali.

Nek Nak hasil penghayatan Wan Maimunah ialah seorang wanita separuh umur yang gersang. Perwatakannya kalahkan anak dara sunti yang jatuh cinta buat pertama kali. Nek Nak terlalu gilakan Hassan sehingga dia bercakap seorang macam orang gila angau dan sanggup merangkak mengintip tubuh sasa Hassan.

Di rumah usangnya, Nek Nak mengigau, termimpi dan terbayang wajah Hassan dihasut pula bisikan syaitan yang menyuruhnya mendapatkan Hassan.
Selain wanita mengandung atau mereka yang mempunyai sakit jantung dinasihatkan tidak menonton cerita yang turut membariskan Hasnor Rahmat, Balqis Semundur Khan, Zaidi Omar dan Rosli Rahman Adam ini.

Sememangnya ada ketika terasa keseraman Nek Nak. Yang Kakak Tua tidak berapa gemar ialah adegan 'miang keladi birah' Nek Nak.

Adegan yang paling menyeramkan ialah ketika Nek Nak tertenggek di atas bumbung rumah mengilai. Begitu juga dengan hilaian ketawa yang memecah kesunyian malam drama yang lokasi penggambarannya di sebuah kediaman terpencil di Lenggong, Perak ini.

Selain adegan berahi yang tidak berapa menjadi Wan Maimunah dalam drama ini, lakonan pemenang anugerah Artis Komedi Wanita Popular selama lima tahun berturut-turut (1992 - 1996) ini memang boleh dipuji.

Bukan sahaja karektor Nek Nak meresap ke dalam tubuh Wan Maimunah tetapi set penggambaran dan jalan cerita amat menarik sekali. Bagi menghidupkan lagi jalan cerita Nek Nak, penggambaran telah dilakukan di sebuah kampung yang terpencil dengan segala props dan perabut antik dan tampak begitu uzur sekali, seolah rumah Nek Nak itu terbiar dan macam rumah hantu.

Scene bulan mengambang digunakan berulang-ulang untuk menimbulkan suasana seram. Mula-mula tu ok juga tetapi bila dah lama, dah cliche pula.
Cerita ini bersambung-sambung dan disiarkan setiap hari Isnin jam 10 malam di Astro Ria.
Ada positif dan negatifnya drama Nek Nak ini. Yang tak sedap mata memandang ialah adegan ghairah Nek Nak tergila-gilakan Hassan tetapi bila tiba adegan seram, mood hendak menonton cerita Nek Nak datang lagi.

Hati berbelah bagi antara hendak dengan tak hendak menonton siri ini. Bukan apa, rasanya adegan syokkan Hassan tu dibuat keterlaluan sehinggakan untuk menontonnya seisi keluarga memang tidak sesuai.

Rasanya watak Nek Nak berkemban hampir keseluruhan drama itu tidak manis dipandang. Walaupun tujuan untuk menggoda Hassan, rasanya boleh dibuat cara lain. Kakak Tua dah biasa tengok hantu muda yang jelita dan seksi tapi inilah pertama kalinya menonton hantu tua yang terpaksa cuba bersungguh-sungguh untuk kelihatan seksi.

Kita orang Melayu, masih ada batas kesopanan dan sepatutnya lebih berhemah memaparkan keghairahan seorang wanita tanpa perlu membuat dia nampak murah dan desperate.

Kisah Nek Nak sememang ada kebetulan dan kebenarannya. Ianya banyak berlaku dalam masyarakat kita. Apa yang dipaparkan ialah hasil kreativiti dan mungkin juga ilham ilusi penulis skrip/pengarah dan penerbit, Jurey Latif Rosli yang pernah menghasilkan filem Embun satu ketika dulu.

Ianya dicorakkan dalam acuan tersendiri dan ada sedikit kelainan yang cuba ditonjolkan tetapi belum cukup kuat untuk diangkat sebagai drama seram yang boleh dibanggakan.
Selain lakonan mantap Wan Maimunah, Kakak Tua paling suka tengok keayuan dan bakat lakonan semulajadi pelapis baru Balkisyh Semundur Khan, gadis kacukan Arab, Pakistan dan kaum Suluk, Sabah ini yang memegang watak anak Hassan.

KAKAK TUA: Sudah lama kenal 'hantu'...

0 comments: