Tuesday, April 29, 2008

Kekasihku 'Syabu!'

(20-08-2007 10:13:36 AM)
ANTARA ramai-ramai penyanyi, Jamal Abdillah paling berani membuat pengakuan. Apa tidaknya terkejut jugalah apabila tanpa paksaan, Jamal membuat pendedahan yang Syabu adalah 'kekasihnya.'

Terus saja ingatan Kakak Tua terkenang bait-bait putis puisi 'Kekasih' yang cukup menusuk kalbu.

Siapa yang berjiwa romantik tentu akan teringat setiap patah rangkap puisi nukilan Sasterawan Negara Usman Awang atau Tongkat Warant ini?

Begitu syahdu kata cinta untuk kekasih tersayang. Rasanya belum ada lagi puisi untuk Sang Kekasih yang sehebat ini - itulah khazanah unik peninggalan sasterawan terbilang.

Tapi sayang sekali, mana mungkin Jamal layak menyanyikan puisi sehebat itu kerana kekasihnya adalah dadah merbahaya bernama Cik Syabu. Itupun setelah 'putus cinta' dengan heroin yang terjalin selama 6 tahun.

Oleh kerana kekasihnya Syabu maka tidak sesuailah kata puitis ....Akan kupintal buih-buih, menjadi tali mengikatmu. Akan kuanyam gelombang-gelombang menjadi hamparan ranjang tidurmu.... dilafazkan oleh Jamal.

Sebagai rakan baik, hati Kakak Tua cukup tersentuh mendengar keluhan dan rintihan Jamal yang tidak mampu dan tidak dapat meninggalkan 'kekasih'nya. Hebat sungguh penangan 'kekasih' Jamal sehingga penyanyi bersuara emas ini boleh mengaku kalah, tersungkur dan mengangkat bendera putih.

Ice atau Syabu, dadah tiruan yang sering disebut 'designer drug' ini. pernah digunakan oleh Adolf Hitler sehingga diktator gila ini mengorbankan askar-askarnya kerana berasa dirinya lebih berkuasa dari Tuhan.

Dadah ini juga ujud pada zaman peperangan kedua dan digunakan oleh fighter pilots dan askar-askar yang hendak berperang supaya mereka tidak payah tidur, lebih agresif dan tidak gentar di medan perang.

Begitu jugalah permainan emosi yang dirangsang oleh Syabu untuk penyanyi kesayangan kita. Kalau ikutkan hati Kakak Tua, kasihan pun ada, marahpun ya. Apa tidaknya 'kekasih' yang didambakan oleh Jamal yang memudaratkan minda, badan dan seluruh hidupnya.

Tepat sangatlah panggilan 'kekasih' itu. Faham-faham sajalah kalau mulut sudah kata kekasih, jiwa dan raga kita serahkan. Begitulah agaknya asyik masyuknya percintaan Jamal sehingga tidak dapat membezakan apa yang baik dan buruk dan yang untung dan rugi.

Bila sudah berkasih begitu lama, bayangkanlah bagaimana hendak berpisah pula. Sudah memadu kasih bertahun-tahun dan erat pula perhubungan yang terjalin dan sudah menjadi darah daging, tiba-tiba hendak ucap selamat tinggal.

Memanglah sakit hendak putus kasih. Mustahil untuk meninggalkan daerah 'tempat jatuh lagi dikenang itu' secara total.

Tapi itulah kekuatan mental dan semangat yang perlu ada pada setiap penagih seperti Jamal. Ketagihan yang telah merosakkan keluarga, kerjaya dan perhubungan suami isteri perlu ditangani.Tiada siapa yang dapat membantu kecuali iltizam diri sendiri.

Cuba tanya Ustaz Akhil Rawa yang berjaya mengatasi masalah kemelut berkasih dengan dadah. Kini dia bersih dan sudah kembali ke pangkuan masyarakat dan keluarga setelah sesat di pangkal jalan bertahun lamanya.

Jauh tersasar ustaz rocker kita yang handsome ini pada satu masa dulu sehingga kemungkaran hampir menyesatkannya sehinggalah kesedaran seolah berada di dalam alam kubur datang mengetuk pintu hati.

Itulah hidayah yang diberikan olehNya. Bukan Jamal seorang yang mengalami dilema begini. Ramai lagi golongan artis seperti Yassin dan Saleem tahu sangat jiwa kacau yang dihadapi oleh Jamal.

Kisah bercinta dengan 'kekasih' misteri tidak kisahlah siapapun nama mereka....heroin, ganja, grass atau miss ice, sukar dipantau kerana mereka 'memadu' kasih jauh dari pandangan mata umum.

Yang si artis tengah kemaruk ni pula, tidak serik-serik untuk menagih dan akan tetap dengan tabiat buruk sampailah kisah hebat terjerat dengan 'cinta merbahaya' ini diketahui dan terdedah di mahkamah, itupun setelah didakwa.

Masa itu, hilang segala malu dan maruah diri dan kesalahan yang difikir kecil itu akan terpalit dalam memori sampai bila-bila.

Tapi selagi Tuhan membuka pintu hidayah buat mereka ini, selama itulah pekerjaan yang sia-sia ini akan tetap terbongkar dengan apa cara sekalipun.

Yang paling kasihan ialah ahli keluarga yang turut terheret sama. Bayangkan betapa malunya mereka terpaksa menanggung aib bersama-sama kerana sebagai artis semua ini menjadi fakta sejarah.

Nasib baiklah pihak PENGASIH masih sudi memulihkan Jamal kerana kalau ikutkan, track record Jamal jenis 'hard core' dan susah hendak pulih.

Kalau Hitler menggunakan syabu untuk berjaga dan mengatur strategi peperangan, kononnya Jamal menggunakan untuk menambah tenaga...

Seperti luahan Jamal dalam wawancara khas Isu Semasa: Pengakuan Eksklusif Jamal dan Saleem? yang disiarkan secara langsung menerusi TV1..Pada mulanya saya fikir syabu bukan dadah dan sekadar menambah tenaga dan boleh membantu persembahan saya agar lebih hebat di pentas.

Tak boleh bayangkan bagaimana teruknya kesan syabu itu. Saya hampir gila sehingga pernah bercakap dengan dinding..."

Begitu sekali kesyahduan halusinasi Jamal sehingga sanggup bercakap dengan dinding. Itu belum lagi disentuh perangai agresif, pemarah, resah dan tidak tenang Jamal selama menjadi penagih 'Kekasih'nya itu.

Tapi semua itu sikit pun tidak menyesakkan fikiran Kakak Tua jika dibandingkan dengan kebimbangan kesan jangka panjang yang akan menimpa Jamal seperti kerosakan saraf otak, angin ahmar (strok), gangguan mental atau lebih tragis kematian.....

Di harap kesedaran Jamal kali ini akan berpanjangan dan dapat menerima 'putus sudah kasih sayang' dengan Syabu.

Namun lumrah manusia semuanya sama. Kesan kesedaran dan rasa malu atau aib selalunya tidak lama. Apabila perasaan itu sudah sampai kemuncaknya, ia akan menurun pula ke satu tahap plato (mendatar) di mana akan tiba perasaan tidak bersalah kerana sudah lali dan terbiasa.

Dek kerana kekerapan ditimpa masalah yang sama, maka perasaan bersalah ini tidak akan bersarang lagi di hati.

Malah, senario kes dadah di Malaysia terutama yang melibatkan artis sudah sampai tahap complacent. Kes dadah atau salah laku lain sudah dianggap 'kes biasa' dan tidak ada apa yang patut dimalukan kerana sinonim dengan artis.

Begitu jugalah salah laku seperti minum arak, berjudi, berkhalwat, hidup serumah tanpa ikatan dan perlakuan gay atau homoseksual mahupun lesbian. Semua ini sudah di kategorikan sebagai cara hidup dan trend akhir zaman masyarakat artis yang mana walaupun di tahap melampau dan memalukan, ianya masih boleh diterima acceptable.

Tiada 'kuasa' yang dapat melarang mereka melayari kehidupan bebas zaman jahiliyah ini kerana masyarakat termasuk sebilangan besar wartawan hiburan membenarkan mereka mencemar cara hidup sopan masyarakat Melayu, Islam dan Timur.

Alah bisa tegal biasa. Perkara yang sering kita lihat terpampang di depan mata seperti pasangan gay, lelaki lembut, perempuan tomboy sudah jadi pandangan yang biasa dan normal mengikut kehidupan seharian golongan artis kita. Kalau tidak masakan kita tidak mampu menegur pengacara lembut yang terang-terang menodai kesusilaan berpakaian cara lelaki.

Kita sendiri bagai merestui artis lelaki lembut berpakaian ala perempuan dengan cermin mata besar, tas tangan, lip gloss dan aksi tangan patah yang memualkan.

Sudahlah perlakuan itu memalukan, pihak stesen TV perdana pula dengan megahnya memberi liputan besar-besaran perihal artis lelaki yang dikategorikan lelaki cantik ini. Perbuatan yang sepatutnya buat kita malu sudah jadi satu kemegahan pula.

Hairan betul Kakak Tua memikirkan betapa jumud pemikiran kita yang membiarkan saja perkara yang salah, mungkar dan songsang ini berterusan dan berleluasa.

Bukankah kita diajar untuk membetulkan kemungkaran dengan apa cara sekalipun. Kalau tak mampu menegur dengan perbuatan dan lidah, dengan hatipun jadi walaupun itu selemah-lemah iman.

KAKAK TUA: Hati yang mati tidak akan menghidupkan hati mati yang lain.....

0 comments: