Tuesday, April 29, 2008

Mawi pun IKON juga!

(30-07-2007 12:20:25 AM)
RUMAH sudah siap pahatpun berbunyi. Bukan hendak menidakkan keputusan Pentas IKON Malaysia yang berakhir semalam di mana Jaclyn Victor (Jac) telah dinobatkan sebagai IKON bahagian Solo dan OAG pula IKON bahagian Berkumpulan.

Secara objektifnya, kelebihan konsert untuk menghakimi IKON semalam lebih kepada "perlawanan" antara dua jaguh sahaja - Mawi dan Jac.

Sedangkan Dayang Nurfaizah agak mengecewakan dengan pemilihan lagu yang tidak tepat pada pusingan pertama dan persembahan yang "over the top" dalam persembahan kedua. Pilihan pakaian dan stail rambut juga tidak begitu memberangsangkan.

Ramai yang sudah maklum, kemasukkan Mawi ke pentas akhir IKON adalah kerana pemilihan wild card. Mujurlah Mawi diserap masuk balik kerana tanpa Mawi semalam, konsert IKON akan berlangsung dengan hambar dan kurang memikat.

Tidak ada siapa yang boleh menafikan kehebatan milik Jac yang nyaring dan bertenaga. Suara serak-serak basah Jac tambahan pula dengan pilihan lagu yang tepat memberi Jac kelebihan untuk ditabalkan menjadi IKON Malaysia pertama. Ramai yang sudah meramalkan kemenangan Jac. Kakak Tua juga rasa Jac sememangnya layak.

Lebih-lebih lagi apabila pertandingan IKON Asean akan diadakan pada 12 Ogos, tentu kita memerlukan wakil yang boleh mengharum dan menaikkan nama negara kita.

Tapi Kakak Tua tidak mahu mengupas isu itu kerana seperti yang termaktub dalam minda semua juri profesional semalam seperti Ramli M.S dan Jenny Chin, Jac ada kelebihan dari banyak sudut.

Secara tidak langsung, ia memberi pemahaman bahawa "jaguh kampung" macam Mawi tidak cukup kuat untuk mewakili negara, mungkin juga?

Atas nama aura, tarikan atau karisma, Mawi adalah IKON!

Tapi sedarkah kita bahawa kehadiran Mawi untuk menarik penonton menyaksikan pertandingan IKON semalam yang berlangsung di PICC, Putrajaya secara tidak langsung membuktikan bahawa Mawi sudah lama dinobatkan sebagai IKON.

Kalau ego yang membuat kita menafikan hak Mawi sebagai IKON Malaysia secara tidak formal, tak tahulah Kakak Tua. Jujurnya, kita harus akur Mawi sudah dan akan tetap dekat di hati peminatnya yang jutaan orang itu. Masakan fenomena yang pernah dicetusnya dapat kita lupa begitu saja.

Atas nama aura, tarikan atau karisma, Mawi adalah IKON. Cuma dia gagal menempa nama di pentas IKON Malaysia. Itu saja. Disebabkan format penjurian yang membataskan dia dinobatkan oleh rakyat Malaysia maka dia pun gagal. Jac memenangi gelaran IKON kerana dia dipilih atas kriteria yang ditetapkan oleh juri profesional yang memilihnya atas kekuatan vokal yang dimilikkinya.

Namun, kita lupa yang kita telah lama memberi gelaran Raja SMS kepada Mawi. Itu saja sudah cukup memberi gambaran yang Mawi sudah bertakhta di hati jutaan peminat dan rakyat sekaligus melayakkan dia bergelar IKON.

Hujjah Kakak Tua mungkin tidak dapat diterima oleh semua orang tapi realitinya begitulah. Apa saja "kekalahan" yang diterima Mawi semalam tidak akan mengubah apa pun persepsi peminat Mawi lebih-lebih lagi MawiFC.

Yang dapat dilihat dan dirasa ketika Pentas IKON Malaysia berlangsung semalam adalah Mawi menang sorak, Mawi tampil lebih hebat sebagai penghibur kini dan aura Mawi tetap hebat.

Walaupun ada suara-suara sumbang menyatakan Mawi telah banyak berubah, kasih sayang dan pandangan peminatnya tetap jitu. Itulah antara penangan seorang IKON.

Dan sepatutnya kehadiran IKON baru seperti Mawi diterima dengan hati terbuka. Suka atau tidak dengan personaliti bekas budak Felda yang sedang hangat bercinta dengan Ikin ini tidak perlu diambil kira.

Ataupun ada yang cemburu dengan kehebatan Mawi kerana selalu menang pertandingan yang melibatkan SMS adalah perkara yang tidak perlu diambil perhatian serius.

Yang harus penyanyi lama seperti Zainal Headwind belajar dari budak hingusan macam Mawi ini ialah bagaimana dia mampu mengaut segala populariti, kemewahan dan berada di posisi sekarang dalam masa kurang dari dua tahun. Sedangkan penyanyi tersohor seperti Datuk Siti Nurhaliza pun terpaksa berkerja kuat selama 10 tahun untuk berada di tempat selesa seperti sekarang.

Tidak salah menanam sifat ingin bersaing tapi iri hati adalah satu penyakit hati yang harus dikikis. Lagipun tidak manis penyanyi lama mencemburui penyanyi baru. Peminat pun jadi serba salah hendak menyebelahi IKON yang mana satu - IKON baru atau IKON lama.

Kalau Kakak Tualah, pertandingan IKON tidaklah sehebat mana. Ianya tidak lebih sekadar menguji kemampuan seseorang penyanyi di mata juri profesional. Selebihnya, telah lama terjawab oleh impak seseorang penyanyi itu.

Mustahil, kita tidak tidak nampak nama IKON itu sudah sinonim dengan nama Mawi selama dua tahun kebelakangan ini. Samalah juga persoalan perlukah kita bertanding untuk membuktikan kehebatan kita sedangkan kita sudah ada 'brand name'?.

KAKAK TUA: Hanya terasa hebat bila arwah ayah memuji....

0 comments: