Friday, April 25, 2008

Sebab pulut santan binasa

(15-02-2007 03:06:55 PM)
Kontroversi yang tidak diundang, tidak dijangka dan tidak disengajakan - itulah kesimpulan yang dapat dibuat apabila artis-artis kita berdepan dengan kontroversi. Kontroversi yang paling ‘tragis’ sekali apabila ianya disebabkan oleh kenyataan sensitif atau terlepas kata.

Seperti kata orang tua-tua, "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. " Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana."

Kakak Tua yakin di dalam sesetengah kes itu, artis-artis yang ditimpa kontroversi itu langsung tidak sedar apa yang mereka cakap akan mengakibatkan kontroversi di belakang hari seperti apa yang pernah terjadi dengan Sharifah Amani, Mawi, Rosyam Nor, Ning Baizura dan ramai lagi.

‘Mangsa’ terbaru kontroversi ini ialah pelakon veteran Rosnah Mat Aris apabila mengeluarkan kenyataan sensitif dalam program Sensasi baru-baru ini.

Percaya atau tidak tapi Rosnah membuat pengakuan tidak berniat menghina Siti Khadijah, isteri Nabi Muhammad SAW.

Sehingga saat Dewan Pemuda Pas Pusat (DPP Pusat) menghantar memorandum kepada TV3 sebagai membantah kenyataannya yang disifatkan menyindir dan menghina Nabi Muhammad SAW dalam program Sensasi yang ke udara pada 30 Januari lalu, Rosnah sudahpun bertaubat dan tidak percaya keceluparannya boleh mendatangkan padah begitu rupa.

Rosnah telah mengeluarkan satu perkataan yang cukup sensitif mengenai usia isteri Rasulullah SAW sama juga dengan Amani yang mengeluarkan kata-kata, "I would sound stupid if I were to speak in Malay."

The choice of words atau pemilihan perkataan yang tidak cerdik atau sesuai telah membuat artis-artis ini berada dalam situasi yang sukar atau di dalam dilema kontroversi.

Seperti pihak media dan orang ramai, Kakak Tua juga turut rasa bersalah kerana cepat menghukum artis-artis begini.

Realitinya mungkin mereka sendiri tidak sedarpun apa yang mereka cakap akan mendatangkan akibat buruk kemudian hari.

Dek terlalu teruja dan excited kerana diwawancara secara ekslusif atau diberi perhatian kerana bersiaran langsung dan ditontoni oleh jutaan penonton di luar sana, maka keluarlah cakap yang bukan-bukan, tidak masuk akal, provokotif dan sensitif.

Inilah akibatnya apabila kita berucap tanpa berfikir terlebih dahulu. Tambahan pula mengeluarkan pendapat tentang sesuatu bidang yang bukan kemahiran kita seperti bab agama.

Seperti yang terjadi dengan "fatwa-fatwa" yang dikeluarkan oleh artis veteran kita Fauziah Nawi, M.Rajoli dan Rosyam Nor apabila berbicara tentang seni dan agama.

Lumrahnya apabila sesuatu itu mengesankan kita, maka terkeluarlah ayat-ayat yang berbaur emosi dan ketika itulah tanpa kita sedari nafsu kita menguasai akal.

Bagi artis yang panjang akal pula, mereka menganggap setiap kontroversi yang berlaku ke atas diri mereka sebagai satu publisiti atau promosi untuk memantapkan kedudukan sebagai artis.
Bagaimana pula dengan kontroversi yang dicipta? Bab ini jarang sekali kita kaji secara mendalam.

Dalam hal ini, selalunya artis itu sendiri sudah menjangka apa yang diucapkan akan memberi kesan kepada mereka melainkan lah kalau mereka ini memang jenis yang kurang cerdik seperti di dalam beberapa kes yang pernah terjadi.

Bagi mereka yang mengikuti Anugerah Bintang Popular 2006 yang mencatat rating hampir 4 juta itu, pasti tidak akan lupa bagaimana gediknya Rita Rudaini mengulangi fantasinya terhadap "abang misai" dan tersasul hingga ke abang misai kepunyaan Siti Nurhaliza iaitu Datuk K dan Ogy Ahmad Daud pula begitu ghairah berkempen tentang status solonya kini.

Begitu juga keramahan Ifa Raziah yang cuba memancing Arash Mohamad untuk melakonkan semula watak drama lakonan mereka Seputeh Kasih Ramadhan yang berakhir dengan kegagalan.

Seandainya diulangtayang "kesilapan" dan keterlanjuran mereka-mereka ini, agaknya bagaimanakah reaksi mereka?

Ada juga artis yang suka sangat mencipta Kontroversi Melampau.
Sebenarnya Kakak Tua cukup terhibur melihat reaksi atau telatah artis-artis jenis ini hanya untuk maksimum publisiti bagi menaikkan nama yang sudah malap.

Inilah jenis artis licik dan bijak putar alam yang cukup pandai mengalihkan pandangan media dan orang ramai daripada kesalahan yang pernah atau sedang mereka lakukan kepada orang lain "scapegoat" (kambing hitam). Mereka cuba menutup kemungkaran mereka dengan menyalahkan orang lain sehingga ke tahap sanggup bersumpah dan bersaksi palsu.

Taktik menutup kesalahan ini merupakan satu skil yang cukup tinggi yang hanya boleh dilakukan oleh artis-artis yang mahir dan berpengalaman sahaja dengan cara memanipulasikan keadaan dan orang disekelilingnya.

Tambahan pula kalau artis itu sudah biasa melakukan onar ini bertahun-tahun lamanya, maka hasilnya akan lebih berkesan lagi.

Cukup berkesan sehinggakan tipu muslihat dan kata dusta mereka dapat mengkhilaf pandangan sesetengah media dan orang ramai sehingga menimbulkan simpati yang berpanjangan.

Maka tersebarlah cerita yang artis licik dan pandai main wayang ini sebenarnya ‘dianiaya’ dan menjadi ‘mangsa’.

Mereka lupa dengan percaturan alam dan janji Tuhan kerana setiap yang bathil itu akan terhapus dengan kebenaran.

Maka di akhir episod karier seni mereka, artis-artis bijak memutar belit fakta ini terpaksa akur dengan ketentuan yang telah ditetapkan olehNya.

Bila sudah tersepit, mulalah menyalahkan media kononnya ada konspirasi untuk menjatuhkan karier mereka.

Yang paling sedih bila artis-artis ini kecundang selepas berhempas pulas mencipta kontroversi tidak menjadi itu terpaksa hidup macam kera sumbang dan membawa diri macam tikus mondok di dalam istana mereka kerana takut dengan dosa silam dan bayang-bayang mereka sendiri.

KAKAK TUA: Suka berkawan dengan CAK, Siti Jarum dan Joyah Spot yang tidak suka cakap bohong kerana takut gelap hati.

0 comments: