Friday, April 25, 2008

Cemar 'resume' untuk gelaran Raja Lawak

(25-01-2007 01:28:05 PM)
SEDANG semua artis cuba membuat pembaharuan atau kemajuan, lain pula ceritanya dengan peserta finalis Raja Lawak, Helmi Gimmik.

Artis serba boleh yang sudah sinonim dengan dengan aksi meniru suara, menyanyi, berlakon dan mengacara majlis ini sanggup "mencemar populariti’ dan mengambil bahagian dalam program realiti terbaru ciptaan Astro Ria ini.

Penyertaan Helmi sudah jelas menimbulkan sedikit kontroversi di kalangan finalis lain.Senario ini hampir sama ketika penyanyi Dayang Nurfaizah menyertai One In A Million (OIAM) satu masa dulu. Walaupun kedua mereka sudah dikenali oleh ribuan peminat seni hiburan, untuk sedikit pengalaman, mereka berani menyertai program realiti TV.

Kalau sekadar mencari pengalaman baru banyak lagi cara yang boleh mereka lakukan.
Namun, untuk mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh pihak penjurian dengan memilih seorang pelawak profesional seperti Helmi Gimmick sebagai peserta sudah agak terlambat.

Keputusan untuk menyerap Helmi sudahpun dibuat dan hakikat yang paling sukar untuk diterima apabila pelawak veteran seperti AR Badul berpendapat bahawa Helmi diterima sebagai finalis kerana dia masih perlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Helmi mungkin akan ‘tersilap langkah’ apabila percaturannya yang dilihat ghairah mengejar gelaran Raja Lawak akan menemui kehampaan.

Tidak perlulah kita kupas samada pihak produksi atau Astro mempunyai agenda tersendiri seperti ingin menaikkan rating atau mencetuskan satu kontroversi untuk menarik perhatian ramai menyaksikan program itu.

Format atau cara ‘basi’ ini sudah terlebih dulu diterokai oleh pihak TV3 apabila mereka membenarkan Dayang diasuh balik oleh tenaga pengajar seperti Syafinaz. Walaupun pada realitinya, populariti Dayang melebihi populariti Syafinaz.
Sebagai guru vokal dan juga penyanyi, Syafinaz tidak begitu menyerlah. Entah di mana silapnya tetapi namanya tidak segah barisan penyanyi yang kita ada.

Dan seperti yang dijangka, apa saja spekulasi yang dibuat berkenaan Dayang mahupun Helmi cuba ditangkis dengan berhemah oleh mereka yang terlibat.
Menurut Badul, Helmi dipilih kerana mereka ingin memberi peluang kepada semua pihak untuk mengasah bakat semula jadinya dan tidak ada kena mengena dengan agenda tersembunyi.
Kata Badul lagi, Helmi layak memasuki program ini kerana dia menepati syarat penyertaan. Sesiapa saja boleh menyertai program ini.

Yang lucunya Badul sendiri mengaku Helmi adalah seorang pelawak profesional tetapi dia perlu bersaing dengan 13 peserta baru sebelum boleh digelar ‘Raja Lawak.’

Perlukah satu gelaran seperti itu sedangkan kita terpaksa mengorbankan nama yang telah lama tercipta. Dan jika berdasarkan jenama ‘nama’ yang sedia ada, tentu saja pertandingan yang melibatkan undian SMS seperti Raja Lawak ataupun OIAM ini akan berpihak kepada Helmi atau Dayang kerana mereka sudah punya nama dan peminat tersendiri.

Namun sejarah undian SMS sudah membuktikan perkara ini tidak akan terjadi kerana di saat-saat akhir, pemenangnya adalah orang yang paling bertuah sekali seperti apa yang berlaku pada Raja SMS kita Mawi, Juara Akademi Fantasi musim ketiga.

Helmi boleh diibaratkan sebagai orang lama dalam bidang lawak ini dan mempunyai nama yang setanding dengan nama-nama pelawak tanahair yang lain dan popularitinya juga seiring dengan ‘otai-otai’ Raja Lawak seperti Sabri Yunus, Datuk Jamali Shadat, AR Badul dan Jalil Hamid.
Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa Helmi jauh ke hadapan dari segi penampilan, modal lawaknya dan versatili.

Helmi mewakili pelawak alaf baru dan bakatnya sudah lama terbukti. Dia tidak perlu membuktikan apa-apa waima pada diri sendiri sekalipun kerana nama Helmi Gimmick sudah lama terpahat dalam industri hiburan.
Tanyalah masyarakat berbilang kaum di sekeliling yang pernah menyaksikan persembahan Helmi di kompleks membeli-belah, kelab malam atau pertunjukan pentas, mereka akan berkata Helmi bukan sahaja seorang pelawak tetapi seorang entertainer (penghibur).

Kalau diukur berdasarkan bakat saja pun, Kakak Tua rasa bukan setakat Raja Lawak, Helmi Gimmick boleh digelar penghibur. Dan bukan senang untuk bergelar penghibur. Berapa kerat sangat penghibur yang boleh kita banggakan seperti Anita Sarawak, Allahyarham Sudirman dan beberapa nama lain.

Kononnya, setiap minggu Raja Lawak akan menampilkan tema yang berlainan dan menurut seorang juri yang tidak perlu nama dia disebutkan di sini, Helmi perlu lebih kreatif dan tidak boleh bersandarkan modal yang sama. Tapi tahukah pihak juri yang Helmi adalah antara artis yang paling laris di dinner show mahupun di shopping mall.

Dek kerana sifat dan sikapnya yang merendah diri dan tidak suka "blow his own trumpet" (menunjuk-nunjuk) maka kredibiliti dia sebagai penghibur yang disenangi ramai tidak banyak diketahui ramai.

Mungkin silapnya kerana pihak media sendiri yang tidak banyak menulis cerita Helmi kerana pelawak dan penghibur sampoi ini lebih suka bersikap ‘low profile.’Helmi pernah menjadi seorang DJ di THR pada satu ketika dulu dan rancangan yang dikendalikannya mendapat sambutan hangat. Namun kerana ‘terjebak’ dalam ideologi politik yang berbeza maka nasib dia tidak mendapat tempat di stesen TV.

Kalau setakat untuk mendapat ‘exposure’ di TV atau diberi peluang menjayakan rancangan TV, Helmi boleh menggunakan cara lain. Cara Helmi menyertai ‘Raja Lawak’ ini dilihat sebagai satu risiko kerana kalah atau menang sekalipun, nama Helmi sudah sinonim. Janganlah dicacatkan dengan penglibatan seperti ini.

Bukannya Kakak Tua nak kritik tenaga pengajar yang akan membimbing Helmi di Raja Lawak nanti. Selain Sabri Yunus yang sememangnya kelakar dan senantiasa mempunyai idea yang spontan dan bernas walaupun cliche dalam loghat Kelantannya, yang lain tu dah obsolete idea lawak mereka malah dilihat tidak relevan lagi.

Idea lapuk orang lama masih bolehkah diterima oleh generasi baru kita? Atau adakah kita ingin mencari pelapis untuk lawak lucah dan double meaning seperti yang selalu digunakan oleh Badul itu?

Seperti juga Dayang, Helmi mungkin akan ‘tersilap langkah’ apabila percaturannya yang dilihat ghairah mengejar gelaran Raja Lawak akan menghadapi kehampaan. Tengok saja Dayang, sudahlah kecewa, frust dan balik tangan kosong, impian tak kesampaian. Yang dapat hanya sakit hati. Pada ketika itu bukan pengalaman yang diburu tapi bagaimana merawat hati yang sakit dan malu.

Kakak Tua tidak fikir Helmi mendambakan sangat gelaran Juara Raja Lawak yang bakal menerima RM20,000, sebuah kereta TD 2000 bernilai RM145,311 ataupun barangan elektrik AOWA dan trofi kerana setahu Kakak Tua, kehidupan Helmi agak lumayan.

Dia juga merupakan salah seorang artis yang banyak membantu rakan artis yang lain secara diam-diam. Helmi tidak pernah lokek dengan wang ringgit mahupun ilmu. Sifatnya yang periang amat disenangi semua artis.

Agaknya Helmi mengidamkan peluang mengacarakan program sendiri di Astro Ria. Kalau kalah sekalipun, Kakak Tua rasa Helmi Gimmik cukup layak mempunyai program sendiri.
KAKAK TUA: Tidak perlu jual maruah diri untuk mendapat Anugerah.

0 comments: