Friday, April 25, 2008

Mungkin 'Biarlah Rahsia' sampai nikah lebih baik...

(21-07-2006 04:25:20 PM)
Tak sampai pun satu minggu, berita pengumuman tarikh perkahwinan mereka dibuat, Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa terpaksa berdepan dengan bermacam kerenah dan reaksi orang disekeliling mereka.

Macam-macam berita yang tidak enak didengar diedarkan melalui email dan SMS. Meja hiburan juga dihujani dengan panggilan misteri yang meluahkan perasaan tanpa rasa segan silu. Ada yang sampai sanggup menyoal prinsip editorial akhbar.

Kesian operator yang terpaksa melayan panggilan-panggilan begini. Sebenarnya orang-orang yang celaru emosi ini tidak perlu dilayan. Walau bagaimanapun kita terangkan "news value" pengumuman Datuk K-Siti, mereka tidak akan faham. Buat penat saja.

Dan kita juga tidak perlu menerangkan mengapa berita perkahwinan Siti-Datuk K adalah satu berita panas. Samalah macam kita nak buat perbandingan kenapa bumi ini bulat dan tidak bujur. Tanyalah pemberita dari media mana sekalipun, berita inilah yang diidam-idamkan selama ini. Masakan bila sudah didepan mata, kita tidak akan "menjajanya."

Walaupun baru tiga hari berlalu, spekulasi dan fitnah yang disebarkan mengenai Siti dan Datuk K masih segar di dalam kepala. Dari jenaka jenis kereta hinggalah lagu-lagu hits Siti yang sudahpun bertukar tajuk mengikut kreativiti si pengirim SMS.

Lama-lama lawak yang berbau lucu pun boleh bertukar menjadi lawak duka. Keluarga dan kenalan yang mengenali Siti tentu saja akan menjadi marah dan sedih. Situasi yang cukup tidak menyenangkan. Tak cakap salah, cakap pun salah.

Bila dirahsiakan dari pihak media, bermacam spekulasi yang timbul. Bila berterus terang, terimalah bahangnya. Baik Siti mahupun Datuk K terpaksa mengharungi semua ini dengan perasaan yang berbelah bagi.

Walaupun sudah masak dengan sepak terajang dunia seni dan asam garam gosip selama 10 tahun, baik Siti mahupun Ayie atau Rozie tidak mampu menduga apa yang akan terjadi besok dan lusa.

Mati akal dibuatnya. Bukan mudah untuk menutup mulut tempayan yang airnya senantiasa berkocak. Sebanyak manakah info yang perlu diberitahu kepada wartawan tanpa mensensasikan berita pasangan terhangat dipasaran ini?

Soalan-soalan yang berbau peribadi ketika sidang akhbar tempoh hari sememang sudah dijangka. Ingatkan habis di situ saja. Rupanya itu baru permulaan. Ada pula "Siti Watch"…apa saja mengenai Siti dan Datuk K tentu adalah scoop yang paling sensasi. Tambahan pula sudah dapat pengesahan mereka akan berkahwin. Seolah, mereka sudah mendapat mandat untuk terus memburu Siti dan Datuk K.

Kini hendak dikorek pula rahsia persiapan si pengantin baru, hantarannya berapa, mas kahwin, pakaian pengantin sehinggalah latar belakang bekas isteri Datuk K. (Datuk K dan bekas isterinya, Tengku Zawiyah mempunyai empat orang anak berusia antara 8 hingga 19 tahun). Semua ini dianggap relevan untuk melariskan suratkhabar.

Gambar-gambar anak kedua Datuk K, Mohd Adib,16 dalam aksi yang boleh membuat ramai orang mempersoalkan kredibiliti Datuk K sebagai bapa bertanggungjawab dan penyayang turut tersebar menerusi internet. Salah satu dari foto yang diedarkan itu menunjukkan gambar Adib memegang gelas yang disangka minuman keras.

Begitu juga gambar nightlife Adib di satu acara social bersama rakan-rakan sekolahnya. Jelas sekali, apapun yang jawapan pembelaan dari pihak Datuk K atau Siti, semua ini adalah usaha pihak tertentu untuk mencemar imej mereka.

Apabila diberitahu, perunding majlis perkahwinan adalah Dato’ Raja Shah Rezza dan pakaian pengantin pula akan direka oleh lima pereka fesyen yang terkenal, bertambah banyaklah spekulasi yang ditulis. Dari cerita perarakan kereta kuda hinggalah ke gaun ala-ala Cinderella dan perkahwinan yang akan menempa sejarah di Malaysia macam yang pernah berlaku dengan Lady Diana-Prince Charles.

Siapapun yang mengenali Siti tahu bukan Siti yang berkehendakkan semua publisiti ini. Mungkin sebab itu penyanyi yang berusia 27 tahun ini rela berdiam diri sekian lama, sanggup memendam rasa dari meluahkan isi hati yang sebenarnya selama ini. Mungkin di kala ini, Siti di dalam dilemma.

"Alangkah bagusnya kalau semuanya masih rahsia….," Hati Siti Berbisik….
Apakan daya. Niat yang suci perlu diteruskan juga walau dilanda badai sehebat tsunami sekalipun.

KAKAK TUA: Hanya tahu berkata apa yang didepan mata….

0 comments: