Friday, April 25, 2008

Mawi diuji lagi!

(12-10-2006 11:03:16 AM)
Ketika lagu Anak Dagang nyanyian Allahyarham Sudirman kedengaran sayup-sayup di petang Sabtu lalu, ingatan Kakak Tua terus saja ke anak peneroka Felda Taib Andak, Asmawi Ani, yang semakin hebat dihimpit kontroversi sejak akhir-akhir ni.

Cakap-cakap negatif bagaikan 'jerebu' dalam karier seni Mawi kini. Saban waktu, ada saja isu yang hendak dikupas, dipanaskan dan didebat. Kalau dulu sewaktu awal kemunculan Mawi, isu panas pasal juara AF3 ini hanya bertujuan untuk melariskan akhbar, kini senarionya agak lain. Dan usikan yang dibuat pada Mawi setahun lalu, yang sekadar cubit-cubit sayang sudah bertukar kepada ‘serangan’ kini.

Begitu mudah kita menjatuhkan hukuman dan membuat andaian bahawa Mawi sudah lupa diri, tamak, banyak ‘songeh,’ mengada-ngada dan lain-lain lagi tohmahan.

Sejak dua tiga hari ini, Mawi dilanda oleh beberapa kontroversi terbaru.
Kononnya Mawi telah mengguris perasaan wartawan yang mahu menemubualnya di Palace of the Golden Horses hotel baru-baru ini dan semuanya berpunca dari sikap acuh tak acuh Mawi yang tidak menyahut panggilan wartawan kerana terlalu asyik memerhatikan video di telefonnya.

Isu kedua timbul apabila Mawi membuat kenyataan di mana dia meletakkan syarat tidak akan bersentuhan dengan wanita bila berlakon dalam filem ‘Aduh Saliha’ nanti.

Kenyataan Mawi telah menyebabkan pelakon lelaki No 1 negara, Rosyam Nor melenting dan pelakon veteran M.Rajoli pula mengeluarkan ‘fatwa’ nya sendiri tentang kes ini.

Rosyam yang mempunyai pengalaman selama 21 tahun di dalam industri hiburan, jelas begitu marah dengan kenyataan Mawi dan meminta Mawi berhati-hati memberi kenyataan kepada media.

Bagi Rosyam, syarat juara Akademi Fantasia 3 itu semacam memandang rendah pekerjaan yang menjadi sumber rezeki pelakon lelaki.

Ketika rencana ini ditulis, Mawi sekali lagi ‘dihukum’ kerana gagal melunaskan khidmat kontrak bagi pengubahsuaian rumah banglonya di kampung. Sampaikan ‘hutang’ dia dengan kontraktor pun dapat liputan. Namapun orang biasa. Siapa yang tidak berhutang? Dan sekali lagi, Mawi diheret untuk diadili oleh media.

Lumrah pihak media apabila tidak suka sesuatu ‘subjek’, maka ‘subjek’ itu akan dinegatifkan. Dalam hal ini, Mawi seolah-olah sudah ‘berdosa’ besar pada media. Caranya memperlekehkan wartawan sudah tidak dapat dimaafkan maka cerita-cerita buruk pun terkeluar.

Dari isu memancing di tengah malam dengan Diana Rafar, putus tunang dengan Diana Naim sehingga pendedahan ekslusif bersama bekas tunang yang mendapat liputan nasional oleh RTM, Mawi tidak habis-habis diadili oleh semua pihak. Dan yang paling ghairah menghukum Mawi adalah pihak media sendiri.

Di bulan puasa ini, elok lah kita berbaik sangka dan jangan cepat menghukum anak muda yang baru nak belajar ‘bertatih’ dalam dunia seni ini. Sebagai manusia biasa yang tidak dapat lari dari kesilapan, kita patut menerima alasan yang diberi oleh Mawi dan dia sendiri sudahpun meminta maaf apabila ditegur.

Lazimnya apabila orang dah minta maaf, kita harus memaafkan dan tidak lagi mengungkit cerita lama.

Orang tua selalu berpesan, jika kita hendak tahu pasal buruk seseorang kita tanya musuh dia. Hendak tahu baik budinya, tanyakan teman-teman. Pihak media yang pernah menyayangi Mawi kini bagaikan berpaling arah.

Pihak media sudah tidak dapat memaafkan Mawi kerana mengguris hati mereka. Tiada lagi ruang untuk menerima Mawi kerana harapan yang diletakkan pada Mawi sejak dari hari pertama lagi cukup tinggi. Apabila kasih sudah bertukar ‘benci’ maka cerita negatiflah yang akan ditulis mulai saat ini.

Adatlah kalau nak tegur tapi janganlah kita menghukum. Memang orang yang lebih tua sewajarnya menegur orang baru seperti yang Rosyam dan M.Rajoli cuba lakukan tapi bila dah diketengahkan sedemikian rupa, bunyinya tak ubah seperti ‘lebih sudu pada kuah.’

Keterlanjuran Mawi berkata tanpa berfikir panjang jelas membawa padah kepadanya. Mustahil Mawi bermaksud untuk menunjuk-nunjuk yang dia lebih alim dan warak. Itu bukan cara Mawi. Mawi tidak suka buka aib orang dan lebih selesa bersendirian bila diterjah soalan panas. Cara dia mengawal diri beginilah yang tidak dapat diterima oleh ramai orang.

Lagipun, bukan Mawi tidak serik dan sudah lupa episod pancing ikan tengah malam. Mawi sudah merasa hebatnya penangan media apabila isu ‘memancing’ itu dimainkan dan tidak pernah reda sampai kini.

Sewajarnya Mawi memberi syarat menolak adegan bersentuhan, berpelukan dan bergeseran dengan pelakon wanita kerana ianya boleh menimbulkan fitnah dan ‘modal’ baru untuk bahan berita pihak media.

Yang hairannya bagaimana Rosyam boleh bandingkan aksi Mawi bersalaman dengan pihak media dan peminat wanitanya dengan adegan bersentuhan di layar perak? Beremosi juga rupanya hero tua kita ye?

Mawi sekadar ingin ‘berpesan-pesan’ pada dirinya sendiri apa yang dia patut dan tak patut dia buat apabila bergelar pelakon nanti. Itu saja tapi kenyataannya telah disalahtafsirkan dan diberi interpretasi baru sehingga ada pihak yang melatah sampai mengeluarkan fatwa yang ‘membelakangkan’ hukum hakam.

Mawi masih menjadi mangsa kontroversi sehingga kini. Hikmah disebalik semua ini bukan sedikit. Inilah laluan sukar untuk bergelar artis yang tidak pernah dimimpikan oleh Mawi.

Ketika ini, mungkin juga penyanyi 24 tahun yang berketurunan Jawa ini akan terkenangkan kehidupan lampau di desa tercinta yang tenang tanpa gosip, fitnah dan cacian.
Dan walaupun berada di puncak kejayaan dengan kemewahan yang melimpah ruah, sebenarnya Mawi sedang diuji olehNya. Ujian yang cukup hebat!

0 comments: