Friday, April 25, 2008

Artis teater boleh tarik harga..

(01-02-2007 02:08:53 PM)
Lama sebelum adanya program realiti di stesen TV, bakat artis dulu selalunya diuji di pentas teater. Lazimnya, kebanyakan mereka yang sudah masuk dalam dunia teater tidak akan menoleh ke belakang lagi.

Bak kata arwah pelakon Mustaffa Nor, "tidak ada kepuasan berkarya seperti orang-orang teater, baik mereka yang beraksi di atas atau di belakang pentas." Kebetulan tajuk ini akan dibahas dengan panjang lebar di dalam Fenomena Seni Jumaat ini dan tajuknya adalah "Dunia Teater Yang Terpinggir."

Rasanya tak salah kalau Kakak Tua terlebih dulu atau "langkah bendul" mengupas topik ini. Jangan pula tuduh Kakak Tua ciplak, ceduk atau plagiat idea orang RTM pula ye!

Dunia teater sememangnya mengasyikkan. Tak percaya tanya orang-orang teater seperti Normah Nordin, Fatimah Abu Bakar, Ahmad Yatim, Datuk Noordin Hassan, Faridah Merican, Zaibo, Fauziah Nawi atau Khalid Salleh.

Isu teater ini sudah sebati dengan jiwa Kakak Tua kerana berada diambang kegemilangan dunia teater tahun 80an.

Wartawan hiburan di zaman itu bagaikan wajib membuat liputan tentang teater, tak kiralah apa jenis teater termasuklah Opera Cina, Baharatanatyam ataupun teater Tamil.

Ianya bagaikan satu latihan awal untuk mengasah bakat penulisan wartawan junior agar tahu menilai istilah lakonan dan segala selok belok tentang dunia lakonan yang berakar umbi dari dunia teater.

Sambil membuat liputan, wartawan sendiri akan belajar secara tidak langsung istilah dan semua selok belok tentang lakonan teater baik lontaran suara, mimik muka dan juga pengarahan dan pengawalan pentas - semua "Mulanya Di Sini", bak kata arwah Seha Freedom.

Artis lahir di pentas teater boleh demand.
Jangan cuba mendabik dada sekiranya anda belum pernah menjejak kaki dan beraksi di pentas teater. Sebab itu aktres jelita Datin Tiara Jacquelina, Ida Nerina, Erma Fatima, Juhara Ayub, Umie Aida, Nasha Aziz (sekadar memberi beberapa nama aktres) yang membesar di pentas teater boleh tarik harga.

Memang lain penangan pentas teater. Wartawan senior seperti Siti Jarum, Jarum Emas, Di Depan Mata atau Terngiang-ngiang sudah lama merasai kehangatan dunia teater dan telah berzaman menyemarakkan dunia teater dengan bahan-bahan cerita mereka.

Kalau di layar perak atau kaca TV, senarai selebritinya tidak sama dengan dunia teater. Jaguh-jaguh pentas teater adalah pengarah yang disegani seperti Dato Noordin Hassan, Adman Salleh, Lokman Ghani, Rosminah Tahir, Dr Hatta Azad Khan, Khalid Salleh, Syed Alwi, Mior Hashim Manap, Faridah Merican dan beberapa nama lain.

Jangan marah kalau ada yang kata orang teater lebih kreatif dari orang drama atau filem. Mereka ini adalah spesies yang berani menegakkan prinsip mereka.

Cukup kuat sekali prinsip yang mereka ada. Jangan cuba memperlekehkan karya mereka kalau tidak sanggup berdebat dengan rasional. Mungkin ada satu-dua yang keras kepala namun Kakak Tua cukup hormat dengan artis-artis yang asalnya dari teater.

Artis teater tidak dambakan publisiti
Golongan artis teater adalah artis yang paling layak dihormati kerana mereka bermula dari bawah. Mereka tidak perlu publisiti, promosi dan wang saku untuk menolong mereka menjadi ternama.

Golongan artis teater bergerak di dalam kelompok mereka sendiri dan jarang sekali mengharapkan pengiktirafan atau penghormatan. Yang mereka dambakan hanyalah pentas untuk berkarya seperti ASK (Akademi Seni Kebangsaan) dan kemurahan hati pihak penaja bagi membiayai karya mereka.

Bukannya bilangan penonton itu tak penting tapi bagi mereka, cukuplah sekadar yang datang tu yang betul-betul minat teater. Di sinilah kepuasan mutlak mereka.Populariti bukan mandatori. Sekadar keluar suratkhabar bagi hebahan sudah memadai. Kalau orang dulu bangga dengan pentas bangsawan, orang sekarang bangga dengan teater cara mereka seperti Instant Cafe Theatre, Actors Studio dan banyak lagi grup teater.

Satu-satunya teater yang mendapat publisiti meluas tapi Kakak Tua rasa agak 'over rated' ialah Puteri Gunung Ledang.Bukan tidak ada pengarah tersohor yang lahir dari mainstream teater dan terus diangkat jadi pengarah filem komersial seperti pengarah kontroversi U-Wei.

Bermula dengan Perempuan, Isteri dan ... yang diterbitkan pada tahun 1993, U-Wei mencipta nama sendiri dengan menghasilkan filem yang kreatif dan berkaliber walaupun sesetengahnya tidak mendapat kutipan box-office - Black Widow Wajah Ayu (1994), Kaki Bakar (1995), Jogho (1998), Buai Laju-Laju (2004) dan Sepohon Rambutan Indah Kepunyaanku di Tanjung Rambutan (2005).

Teater terakhir dari buah tangan U-Wei adalah Wangi Jadi Saksi yang mengupas cerita di sebalik kenapa Jebat jadi derhaka.

Pelapis teater
Hanya mereka yang benar-benar berjiwa teater akan berani ke pentas teater. Antara pelapis yang berani menduga kehebatan mereka di pentas teater ialah Betty Banafe Ibtisam, Haliza Misbun, Safura, Juhara Ayob, Serina Chef Wan dan Vanida Imran.

Kita juga patut bangga dengan kejayaan anak muda seperti Namron dan Adlin Aman Ramli yang lahir di tengah-tengah pentas teater sebelum diangkat ke layar perak.

Namron telah diberi kepercayaan menjadi watak utama dalam "Paloh" begitu juga dengan Adlin dalam "Jogho" dan "Buai Laju-laju" dan akhirnya dijadikan Sultan Melaka dalam teater "Puteri Gunung Ledang."

Bagi warga kerja di belakang tabir, teater merupakan bidang seni paling baik untuk menguji kepakaran anda. Semua aspek persembahan teater boleh diasuh dari pengarahan, lakonan, set, penataan cahaya, persolekan hinggalah penulisan skrip.

Agaknya bila lagi artis lain ingin terjun ke dunia teater? Ada tu siang-siang dah angkat tangan - takut jadi kayu di atas pentas, kata mereka.
KAKAK TUA: Hanya orang yang berjiwa hamba puas menonton teater....

0 comments: