Tuesday, April 29, 2008

Bila terlalu ghairah memetik 'mempelam muda'

(01-06-2007 12:14:21 PM)
Bintang 'Mi Segera' sering dikaitkan dengan bintang program realiti. Artis popular yang mendadak naik seperti Mawi, Zahid, Nita Malaysian Idol, Jac, Faizal Tahir semuanya lahir dari acuan yang sama.

Mungkin tidak adil untuk meletakkan kesemua mereka ini di dalam kategori yng sama. Maklumlah ada juga 'mi segera' yang mengenyangkan seandainya dicampur dan diadunkan dengan rempah ratus dan bahan-bahan yang boleh menyedapkan dan menyelerakan.

Komposer terkenal Farihin Abdul Fatah yang pernah merevolusikan industri hiburan dengan memperkenalkan arus baru nasyid dalam bentuk kumpulan Raihan pada awal tahun 90an merasakan bahawa ramai penyanyi baru yang lahir kini ibarat mempelam muda.

"Mempelam muda ini belum layak dipetik apatah lagi dimakan kerana usianya terlalu mentah, masih kelat dan banyak getah," kata komposer yang terkenal dengan sikap coolnya.
Metafora yang digunakan begitu menarik kerana bukan sedikit mempelam muda yang belum patut dipetik telah dibuat jeruk, rojak, dibuat cicah, kerabu untuk dijadikan santapan.

Lihat sahaja senario dikeliling kita. Bermacam jenis mempelam muda yang ada. Ada yang jenis tempatan dan ada juga yang bernilai komersial. Yang menariknya, dalam masa semusim, industri hiburan kita boleh menghasilkan begitu banyak mempelam yang kini ada permintaan tersendiri seperti Pauh Wan, Harumanis, Sala, Black Gold dan bermacam lagi.
Mass production macam ini banyak buruk pada baiknya. Belum tentu permintaannya betul-betul menepati citarasa penggemar seni suara.

Setelah diamati apa yang dicakapkan oleh Farihin, kita sendiri boleh buat perbandingan di antara mempelam muda dengan mempelam masak dipokok yang boleh kita jolok dan menikmati rasa masam manisnya.

Getahnya pun tidak akan melekat di tangan kerana usiapun sudah matang. Getah di sini bolehlah diumpamakan sebagai 'cultural shock' atau kejutan budaya. Selalunya artis baru ini akan bertindak seperti orang yang mengalami kejutan budaya kerana mereka belum bersedia menyesuaikan diri dengan industri hiburan itu sendiri.

Yang jadi masalahnya ialah mempelam muda mendapat banyak permintaan di kalangan "perempuan hamil" dan wanita yang kepingin atau mengidam. Faham sajalah bila orang mengidam, semuanya terasa sedap di tekak walaupun pada hakikatnya mempelam muda tiada zat.

Berapa ramai orang yang berani menegah perempuan hamil dari menikmati mempelam muda? Mungkin tak sampai hati atau sudah tidak kuasa untuk memberi pandangan bila mengenangkan memang patutpun perempuan hamil makan mempelam muda.

Begitulah kacaunya industri hiburan kita sekarang. Sampaikan bintang mi segera tidak sempat untuk menikmati masak ranumnya, sudah dipetik orang. Itulah pasaran rakus yang dicipta oleh pihak-pihak tertentu. Contoh terbaru ialah Mila, Juara AF5 yang baru ditabalkan, Ebi, Aswad, Dafi dan lain-lain artis segera yang seangkatan dengan mereka.

Mawi juga pernah menghadapi kejutan sebegini dan masih lagi di dalam proses menyesuaikan diri setelah bergelar Juara AF3, Juara SMS dan hampir mencecah status Jutawan Segera.
Tidak dinafikan rezeki Mawi melimpah ruah sehinggakan Mawi sendiri tidak ada masa untuk memperbaikki asas nyanyiannya dek kesuntukan masa.

Tak lama lagi muncul pula program Ikon. Tambah kacau dan "hebat" cabaran dua artis mi segera, Farah AF2 dan Mawi yang akan berentap dengan artis lain seperti Dayang Nurfaizah, Reshmonu dan beberapa nama lagi untuk mendapat gelaran 'Ikon' di rantau ini.

Agak menghairankan apabila nama artis-artis baru kategori mempelam muda ini dilonggokkan di dalam kelompok yang sama dengan artis-artis lain. Yang menjadi persaingan tidak sihat apabila artis segera yang belum pernah dicabar dan buktikan durabiliti mereka, sudah layak diletak di tahap kelompok Ikon.

Bagi Kakak Tua, proses menabalkan artis-artis begini adalah cabaran baru bagi wartawan hiburan. Pihak media yang baik hati telah meletakkan produk baru artis mi segera seangkatan dengan artis yang telah lama meredah ombak, taufan dan tsunami. Salah siapa? Mungkin situasi industri hiburan itu sendiri merelakan pertabalan artis baru ini jadi hendak tak hendak kita terpaksa menerima mereka.

Sebut pasal mempelam muda ini, Kakak Tua terpanggil untuk berkongsi cerita artis cilik dalam kategori sama yang bakal meledak tidak lama lagi. Bakat luarbiasa yang ditemui di Kuantan Parade baru-baru ini bukan pun sampai peringkat mempelam muda tapi masih putik lagi.

Kehebatan bakat yang bernama Eemeer berusia 11 tahun ini berjaya meruntun perasaan penerbit TV3 Jafni Abu Bakar (Mat Jepp), komposer 'no-nonsense' Farihin dan ratusan yang berada di kompleks itu sehingga ramai tersentuh dan kedua lelaki 'macho' ini turut sebak.
Yang membuat Kakak Tua terkedu apabila Jepp meminta Eemeer menyanyikan lagu tema 'My Starz' iaitu Gemuruh.

Dengan selamba dan konfidennya, Eemeer yang pernah mengiringi nyanyian dua bintang lagenda Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti dengan orkestra Indonesia di Fiesta Media Idola (FMI) tahun ini, berkata, "Key dia rendahlah bang. Kalau ada band saya boleh..."

Ini cuma secebis cuma contoh bakat luarbiasa yang dimilikki oleh Eemeer. Jangankan lagu slow rock, pop ballad mahupun lagu Asli, Eemeer tampak begitu yakin dengan bakat yang dia ada. Bukan sahaja mampu menyanyi dengan orkestra dan pemuzik iringan, Eemeer bakal menggugat pasaran artis mempelam muda.

Seandainya diterima menjadi pelajar di My Starz nanti di mana corak pembelajarannya cukup berbeza dan lebih meyakinkan dari program realiti yang lain, Eemeer akan tampil lebih hebat dari barisan artis mempelam muda yang sedia ada.

Malah, tidak keterlaluan Kakak Tua katakan, kehadiran Eemeer bakal menggugat keselesaan pakej sederhana dan aura yang ada pada Mawi. Kalau tidak percaya, nantikan kemunculan Eemeer di MyStarz nanti.

KAKAK TUA: Pernah nak kutip mempelam tua yang jatuh di dalam longkang....

0 comments: