Tuesday, April 29, 2008

Farihin Vs 'MyStarz, LG'

(10-08-2007 07:16:35 PM)
NAK kata 'kontroversi', tak kemana pun isu panas yang direka atau dibuat-buat dalam program realiti TV3 terbaru, MyStarz, LG.

Dari cerita flying kick dan pergaduhan hari Jumaat antara Mimi dengan Rubisa hinggalah ke kisah bapa Mimi membuat statement 'keputusan MyStarz, LG 'dirancang' ketika Mimi terkeluar, semuanya mengundang spekulasi negatif.

Ingatkan dah habislah cerita sensasi dalam MyStarz, LG rupa-rupanya drama sebabak ini baru saja bermula. Lagi hebat sinetron yang 'dipentaskan' sejak akhir-akhir ini sehingga terpaksa melibatkan skuad Terjah Melodi untuk membuat program ini lebih panas. Untung-untung naik juga rating program yang semakin suam-suam kuku ni.

Berlainan dengan program realiti lain, nampak gayanya MyStarz, LG lebih memberi 'tumpuan' kepada pengetuanya yang kreatif lagi budiman, Farihin Abdul Fattah dari pelajar-pelajarnya yang 12 orang itu.

Tanpa dirancang atau sememangnya dirancang, tiba-tiba saja nama Farihin lebih popular dan meniti di setiap bibir, baik pelajar mahupun keluarga pelajar yang tersingkir dan di kalangan juri tetap.

Ada saja yang tak kena dengan 'pemerintahan' dan pengelolaan akademi nyanyian milik mutlak Farihin. Nak cakap corak pembelajaran tak boleh kerana Farihin sendiri mengaku dan mengangkat 'bendera putih' kononnya dia tidak pandai mengajar sebab itu "saya perlukan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik, Nan Salleh, Steve Thornton dan pemain muzik lain."

Kononnya, niat murni asal Farihin adalah untuk memberi tumpuan total kepada semua anak muridnya. Tapi tumpuan saja tanpa ada modul khas di mana dan ke mana arah hendak di bawa 12 orang anak-anak jagaannya, tidak boleh juga. Jadilah macam si luncai terjun dengan labu-labunya atau si ketam menyuruh anaknya jalan lurus.

Kesudahannya, anak-anak didik yang semakin cerdik dan waras akal fikiran itu bukan sahaja bangun memberontak tetapi menyoal balik motif si 'Ayah'. Anak-anak yang tidak pernah diajar menderhaka terpaksa bersikap demikian kerana tidak puas hati.

Pihak juripun sama, menyoal kembali apa fungsi tenaga pengajar sehingga pelajar-pelajar masih teraba-raba di dalam gelap, tidak tahu pasal pitching, nahu nyanyian dan tone placement.

Yang dijanji dulu lain, yang didambakan lain dan kesudahannya 'indah khabar dari rupa'. Cuba tanya pelajar-pelajar yang tersingkir seperti Awang, Afif, Rubisa, Mimi dan Andy? Rata-rata naluri mereka sama kerana masih tidak puas dengan apa yang mereka lalui dan pelajari selama ini.

Masih banyak lagi yang ingin dan boleh ditonjolkan oleh mereka tapi tidak kesampaian. Lagu pula ikut kuasa veto tenaga pengajar. Walau jiwa tidak redha tapi kerana terpaksa, mereka perlu menyampaikan lagu yang diberi dengan penuh keyakinan. Namun di pentas konsert, kemua kepincangan dan kelemahan ini jelas ketara.

Tengok saja Andy. Meskipun diberi tag 'You ARE my star tonight' oleh juri yang paling sinis dan vokal, Patrick Teoh, Andy terkeluar juga. Begitu juga dengan Rubisa, tetap malang kerana patah dan lenggok lagu dalam Engkau Laksana Bulan tidak menepati piawai dan standard nyanyi yang betul kata Siti Hajar.

Soalnya siapakah yang mengajar mereka teknik nyanyi dan vokal selama ini? Belumpun sempat Kakak Tua hendak menganalisa apa yang tidak kena, keluar lagi satu statement 'berani' dari pengetua yang perihatin.

"Pelajaran vokal tidak perlu....," kata pengetua yang arif lagi bijaksana itu.
"Kita sudah ada musicians, buat apa ada guru vokal?," soalnya lagi dengan bijak dan tanpa rasa bersalah.

Kakak Tua sedikitpun tidak terkejut dengan keangkuhan dan kelantangan Farihin menyuarakan ketidak rasionalan pemikirannya. Maklumlah sebagai Pengetua bukan sedikit yang perlu dijaga di bawah perintah jajahannya. Tambahan pula, Farihin tidak biasa dengan tugas yang diberi. Jadi nampak sangatlah kejanggalan dan kedengkelan cara dia berfikir.

Namun, ketika diprovoke oleh wartawan Melodi isu yang dibangkit dan komen pedas serta sindiran Patrick Teoh tentang mutu nyanyian pelajar-pelajarnya, tiba-tiba saja nada Farihin bertukar menjadi lain.

Farihin menukar 'strategi' dengan 'merendah diri' dan mengaku kesilapan kononnya segala kelemahan adalah berpunca darinya.
"Takkan saya nak buat semua....," lantas memberi metafora pasal masak ayam.

Bukan senang nak cari orang yang betul-betul ikhlas mengakui kesilapannya. Harap-harap teguran Patrick diterima dengan hati terbuka dan jawapan yang diberi bukan sekadar 'reverse psychology' dari Farihin agar tidak ada lagi yang menegur kesilapannya yang begitu ketara.

Bila difikir balik, agak pelik juga bila setiap pelajar yang terkeluar berkata hal yang sama iaitu "keputusan sudah dirancang dan diatur." Mungkinkah ada kebenarannya?

Namun, kebetulan yang paling hampir adalah kemenangan Penghibur Terbaik milik Badri selama dua minggu berturut-turut. Bukan saja lagu yang diberi memihak pada cara nyanyian Badri yang tidak mempunyai mutu suara sebagus pelajar yang tersingkir.

Tapi dalam banyak hal, pilihan lagu juga banyak membantu Badri menguasai pentas dan memberi persembahan yang memikat. Dengan senyuman dan kenyihan 'melampaui batas', ramai juga yang terpaku dan terpikat dengan aksi Badri yang kelihatan 'over confident' sejak kebelakangan ini.

Mana tidaknya, pemuda yang sudah berumahtangga ini seolah telah mendapat restu dan mandat di mana dia mungkin akan mara hingga ke pusingan terakhir.

Lagi pelik bila dua pelajar cilik, Emeer dan Rachel, juga calon favourite bagai terpinggir dan ketepi dek kerana gelagat yang ditonjolkan oleh pelajar-pelajar dewasa yang lain.

Russell pula kerana tidak mempunyai pakej dan terlebih muatan poketnya yang berat, baka kata Patrick, terpaksa menerima kenyataan yang dia tidak layak ke pusingan seterusnya. Tentu pedih untuk Russell menerima kenyataan ini bila mana sebelum ini telah diberi hak keistimewaan buat sesi jamming dengan bandnya dalam salah satu konsert MyStarz, LG.

Tapi itulah kejutan yang diatur oleh MyStarz, LG. Antara 'anak emas', 'anak pungut', 'anak tiri' dan 'anak didik' semuanya diberi layanan yang 'setara' agar mereka tahu di mana kedudukan setelah tirai MyStarz, LG berlabuh.

Vokal yang baik dan sempurna tidak ada ertinya kerana modul sifar tidak menjanjikan apa-apa pembelajaran yang jitu. Sekadar grooming di Salon dan belajar sedikit pasal nota muzik setakat melepaskan batuk di tangga.

Dua bulan dalam LG House bukan menjadikan pelajar lebih pandai dalam aspek muzik. Sebaliknya pula berlaku, artis-artis MyStarz ini menimba pengajaran tentang kehidupan dan tingkah laku manusia di sekeliling.

Bagus juga sekurang-kurangnya, mereka yang tersingkir ada banyak masa untuk membuka mata dan buat perbandingan apa yang tak kena dan tidak adil. Sudah pandai membuat rumusan dan tidak menerima bulat-bulat apa yang disajikan di depan mata.

Maksud yang tersirat itu harus dikupas kerana realitinya akan menganggu gugat peribadi yang cuba dibentuk.

Jangankan diberi peluang mentelaah dan mendalami sesi vokal secara khusus, pelajar tersingkir seperti menaiki bahtera tanpa nakhoda kerana pengetua terlalu sibuk mengatur strategi untuk membuat kejutan seterusnya.

Suku sakat Munsyi Abdullah yang juga kenalan rapat Kakak Tua dalam MyStarz, LG ada bagi tahu, seperti ada saja yang tidak kena dengan MyStarz, LG mahupun LG House persis Puaka Tebing Biru kerana 'badi' dan 'ketulah' yang terpaksa dilalui.

Senario 'sudah gaharu cendana pula, sudah terang lagi bersuluh' inilah yang buat Kakak Tua malas hendak komen dengan lebih lanjut. Sebabnya, semua penghuni MyStarz, LG sudah lebih maklum salasilah dan susur galur MyStarz dan tahu siapa 'penjajah', siapa yang dijajah dan siapa tawanan dan yang terusir?

Mustahil kalau tidak ada sekelumit rasa bersalah 'menghalau' tuan rumah dari premis ala aksi lanun tanpa rasa berdosa dan belas kasihan.

Kalau asas rumah sudah goyang mustahil rumah dapat berdiri teguh. Kini MyStarz mahupun LG House umpama rumah nenek kebayan yang bila-bila saja akan hanyut ditiup angin.

Yang terkena tempiasnya pelajar-pelajar juga sedangkan si pengetua sibuk mencari 'akal' dan 'helah' membuat PR exercise untuk menutup segala cacat cela dan kekurangan program yang ratingnya semakin lemah dan lesu.

KAKAK TUA: Tunggu masa pelajar-pelajar MyStarz, LG tuntut 'Kemerdekaan!'

0 comments: