Tuesday, April 29, 2008

Antara Paris Hilton dan artis 'buli' kita

(07-06-2007 11:29:02 AM)
Kawan Kakak Tua, Xaurus di Pulau Pinang cukup tertarik dengan cerita Paris Hilton.

Baginya walaupun Paris bergelar artis antarabangsa dan berprofile tinggi serta mencapai status jutawan, kes ini membuktikan no one is above the law, not even an artiste.

Walaupun Paris mengaku yang dia tidak bermaksud untuk melanggar undang-undang, artis yang sukakan parti liar itu tetap didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 45 hari di sebuah penjara daerah kerana memandu dalam keadaan cuai dan dipengaruhi alkohol.

Yang paling menarik artis jelita ini bersedia menghadapi akibat daripada perbuatannya. Dia juga membuat kenyataan, tanpa dipaksa, yang dia tidak berharap untuk mendapat layanan istimewa berbanding pesalah lain.

Kesediaannya mengaku kesalahan dengan hati terbuka dan tidak menyimpan sekelumit dendam adalah sesuatu yang mulia.

Pelakon yang cukup popular dengan siri TV, Simple Life itu juga membuat pengakuan yang dia sedar betapa seriusnya hukuman yang akan dia terima.

Namun katanya, "Saya tidak mungkin akan dapat menerima kenyataan atau memaafkan dirinya saya sekiranya ada orang tercedera akibat perbuatan itu."

Walaupun kes Paris sudah tidak panas lagi, tajuk ini cukup menarik dibincangkan dalam konteks senario industri hiburan kita. Kalau diikutkan apalah sangat kesalahan yang dilakukan oleh Paris.

Tapi berapa ramai artis kita yang akan bersikap seperti Paris dan mengaku akan kesilapan mereka, sekaligus sanggup menjalani hukuman atas apa yang sudah dilakukannya.

Sehingga kini, banyak kes yang melibatkan artis kita ditutup rapi dan tidak pernah disebut-sebut lagi kerana ianya melibatkan maruah diri mereka.

Kesalahan menganiya orang dengan membuat tuduhan palsu, memfitnah, hisap dadah atau syabu, menipu, berkhalwat, bermukah, menulis email atau menghantar SMS kepada mangsa sudah menjadi perkara lumrah di dalam industri hiburan.

Malah, ada satu ketika begitu hebat pengaruh artis buli ini sehinggakan pihak wartawan yang menerima bahang dari perbuatan ini dipandang serong oleh segelintir manusia yang keliru dengan permainan licik artis tersebut.

Artis yang berpersonaliti macam Paris Hilton pun ada maruah diri dan sanggup mengaku kesalahan yang dilakukan. Sedangkan artis Malaysia yang rata-rata orang Islam, yang pernah didapati bersalah melakukan perbuatan yang tidak wajar, pula berkelakuan sebaliknya.

Mereka sanggup menegakkan benang basah dan langsung tidak mempedulikan kesan dari perbuatan mereka terhadap mangsa. Yang lebih kacau bila mereka menukar fakta dalam pembelaan diri dan menjadikan beberapa orang sebagai 'kambing hitam'.

Sikap "aku artis, engkau siapa" atau "aku lebih mulia" dan "undang-undang mesti tunduk pada aku" yang membuat artis-artis 'kaki buli' ini bersikap besar kepala. Sikap inilah yang bisa menghancurkan maruah diri dan mencalar imej artis kita.

Apa guna mempunyai kuantiti artis yang ramai dalam industri hiburan sedangkan kualitinya tidak dipelihara?

Kakak Tua tahu apa yang disampaikan ini tidak mungkin memberi kesan kepada kelompok artis sebegini kerana mereka sudah sebati dengan sikap mementingkan diri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Tapi anggaplah teguran ini sekadar satu tanggungjawab sosial.

Apa yang Kakak Tua musykil sehingga kini ialah apa saja bentuk kebenaran yang ingin ditegakkan akan disalahtafsirkan sebagai kebathilan oleh pihak tertentu.

Ini semua akan mengakibatkan kecelaruan fakta kerana selalunya orang tertentu akan mengatur rapi setiap perancangan yang dilakukan untuk memartabatkan artis buli ini sehinggakan ramai mata hati yang terkeliru dan terpedaya.

Tanpa rasa bersalah artis tersebut pula akan meneruskan sandiwaranya sehingga kini cuma pentasnya tidak sebesar dulu. Ini kerana walaupun ramai yang terpana dengan kilauan fantasinya, ada juga yang sudah tersedar dari tipu daya.

Namun, percayalah sesuatu yang tidak mampu kita lakukan ialah membetulkan fakta sejarah dan menolak kuasa Illahi.

Fakta sejarah akan tetap memahatkan nama kita dengan salah laku yang telah kita lakukan. Hanya kesedaran sivik dan keluhuran budi yang tulus sahaja boleh menyedarkan insan kerdil tentang kesilapan mereka.

Semua ini hanya boleh datang dengan sendiri, tidak boleh dipaksa-paksa. Lakonan yang dibuat-buat juga tidak dapat menembusi benteng ikhlas dalam hati manusia.

Yang jelek tetap jelek dan hukum Allah akan datang jua untuk meniupkan rasa kesedaran dalam hati mereka yang belum mati.

Selalunya, Kakak Tua hanya menyelami maksud yang tersirat di sebalik salah laku yang dilakukan oleh artis. Hanya itu yang termampu dilakukan setakat ini kerana spesis macam Kakak Tua ni sudah lama pupus.

Kakak Tua masih ternanti-nanti kelahiran sekelompok wartawan alaf baru yang berani berkata benar walau fakta itu sepahit jadam.

KAKAK TUA: Ayah selalu pesan biar orang buat kita, jangan kita buat orang....

0 comments: