Friday, April 25, 2008

Fasha dilanda 'badai'?


(20-02-2007 11:59:26 AM)
Ada juga pelakon kita yang sanggup main ‘filem bisu’ di alaf baru ini.
Kalau ditanya kenapa dan mengapa Fasha Sandha yang baru ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Popular ABP 2006 berbuat begitu, mungkin dia sendiri tiada jawapannya.

Mungkinkah dia ‘tersilap langkah’ atau ‘terlebih ghairah’apabila bersetuju melakonkan adegan ranjang tanpa dialog didalam filem Badai Pasti Berlalu, terbitan sulung usahasama Wayang Tinggi Corporation Sdn Bhd (Malaysia) dengan Astral Pictures (Indonesia)?

Fasha cukup beruntung kerana telah berjaya meneroka peluang komersial TV di Indonesia dan pernah diberi peluang untuk iklan Bodrex, Pantenne dan Bank Mandiri di sana.

Wajah ayu, lembut jelita aktres meskipun mempunyai suara halus ala Kasma Booty ini telah ‘dieksploitasikan’ atas kerelaan sendiri untuk watak Puteri, perempuan perosak hubungan Hemi(lakonan Winky Wiryawan)dengan Siska (aktres Siti Raihaanun). Fasha cuma keluar untuk satu adegan ranjang tanpa dialog dalam filem remake yang pernah diarahkan oleh Teguh Karya pada tahun 1977.

Dalam adegan yang mencetus kontroversi dan ketidakpuasan hati beberapa pihak di Malaysia, Fasha kelihatan berpeluh seperti selepas mengadakan hubungan seks dengan Hemi. Tak payahlah Fasha memikirkan bagaimana reaksi peminat ataupun nasib filem ini apabila ditayangkan di negara kita.

Yang pasti ianya tetap akan mencetuskan kontroversi. Soal pokoknya sekarang, sebagai seorang Islam tergamak Fasha melakukan sesuatu yang boleh memalukan agama dan keluarga dan diri kita sendiri? Adakah kerana imbuhannya berbaloi atau kerana mengejar populariti di negara sana?

Maka sebab itu, didikan itu penting dan semua artis harus berfikiran rasional sebelum menerima sesuatu tawaran. Little knowledge is bad... Jangan terlalu ghairah hendak mencipta nama di negara orang sampai sanggup berkompromi tentang soal maruah dan harga diri.

Jambatan emas yang diharapkan untuk melebarkan bakat kini dilihat sebagai satu eksploitasi seks dan hanya artis yang kurang cerdik saja yang sanggup melakukannya.

Sebenarnya Kakak Tua sedikitpun tidak terkejut apabila terbaca cerita yang mengaibkan dan memberi tempias kepada artis tempatan. Ini adalah kerana bunga-bunga ke arah itu sudah dapat dikesan sebelum ini.

Fasha adalah antara artis berani yang begitu teruja dan ghairah mengenakan pakaian mendedah aurat dan kulit mulusnya sebelum ini. Gadis dari Pulau Mutiara ini langsung tidak memikirkan sensitiviti peminatnya yang inginkan dia mengekalkan imej bersih gadis timur.

Begitu juga apabila dia mengambil alih tugas Siti Nurhaliza sebagai Duta Maybelline. Dia tegas menyatakan yang dia tidak akan terikut dengan imej Siti yang sopan. Dalam arti kata lain jangan cuba sekat dia berpakaian ‘tidak sopan.’

Inilah padahnya apabila keghairahan tidak dapat disekat dan dibendung. Di bumi mana sekalipun, imej sebenar akan terserlah. Lebih mengaibkan apabila ianya berlaku di dalam filem yang akan ditonton oleh orang Melayu.

Agak terlambat untuk menyatakan kekesalan apabila ternyata itulah jalan yang ditempah. Mustahil, Fasha tidak dapat mengagak jalan cerita Badai Pasti Berlalu itu akan sampai ke adegan ranjang. Tiada siapa yang boleh memaksa dia melakukan adegan itu tanpa rela.

Skrip berada ditangan sendiri. Ianya perlu dibaca, dihayati dan dilakonkan. Bukan boleh paksa-paksa kalau tidak mahu lakonkan adegan ranjang itu. Kalau tidak suka boleh ditolak dengan baik. Minda kita merdeka dan bebas menentukan apa yang kita mahu.

Tepuk dada tanya selera. Kalau sudah terdedah menunjukkan susuk tubuh, tak kan yang keluar di layar perak sebaliknya. Kakak Tua tak pasti apa yang Fasha cuba buktikan. Popular dah cukup popular.
Nak nyatakan fashion statement, dah berpuluh kali dia nyatakan yang dia tak suka baju tutup-tutup ni. Sememangnya gadis bersuara unik ini ada pendirian tersendiri bab berpakaian seksi ni.

Adegan ranjang Fasha-Hemi itu bagaikan menconteng arang ke muka sendiri. Pelakon yang berbakat besar dan sudah mencipta jenama tersendiri meskipun baru muncul dalam 10 buah filem, kini sudah berjaya melayakkan dirinya masuk dalam senarai "the naughty girls of the industry."

Sepatutnya Fasha mencontohi aktres senior seperti Erra Fazira, Nasha Aziz dan Umie Aida. Sudahlah bakat lakonan menjadi sebutan, mereka langsung tak terfikir untuk berlakon watak negatif seperti Puteri. Bukannya tak ada tawaran.

Mengikut skrip asal, Fasha terlibat dalam lima babak. Tapi bila filem siap, dia hanya muncul dalam satu adegan sahaja.

Bagi Kakak Tua itu bukan isunya di sini. Kalau Fasha keluar dalam 30 adegan sekalipun jika ada satu adegan ranjang yang memberahikan sudah cukup mencemar maruah diri dia.

Jadi rasionalnya apabila Fasha menyoal kembali,"Kenapa tinggal satu scene sahaja, mengapa mereka potong scene yang lain?" atau "Sebagai profesional saya melakonkan apa yang pengarah mahu" atau "Saya khuatir adegan itu akan memberi implikasi negatif kepada peminat jika filem itu ditayangkan di tanah air nanti. Saya tak pasti apakah adegan itu boleh dipotong" - semua ini sudah terlambat.

Walaupun begitu, Kakak Tua tetap simpati membaca keluhan dan kekesalan Fasha.

Ye lah, siapa sangka ketika sesi pembacaan skrip, Fasha diberitahu pengarah akan visualkan adegan ranjang begitu klasik secara imbas kembali. Alih-alih yang jadi lain pula.

Yang pasti Fasha seolah-olah menempah dan mencipta ‘badai’ yang kini sudah mula menjadi titik hitam (black mark) dalam karier lakonan yang baru bermula.

KAKAK TUA: Yakin badai pasti berlalu...

0 comments: