Friday, April 25, 2008

Ayo Saliha!

(22-03-2007 12:09:50 PM)
BERIYA-IYA M.Nasir mencari Saliha sehingga Kakak Tua jatuh belas. Sungguhlah bagai dikata bukan senang nak menepati kriteria yang ditetapkan oleh M.Nasir dan penulis skrip filem Aduh Saliha, sehinggakan sampai sekarang pencarian tunggak utama pelakon wanita filem ini masih diteruskan.

Kesian sungguh M.Nasir. Oleh kerana terlalu sukar mencari pelakon yang sesuai untuk membawa watak Saliha, projek filem ini terpaksa ditunda. Setelah pelancaran filem Aduh Saliha semalam, M.Nasir begitu yakin dia akan menemui Saliha sebelum filem ini memulakan penggambaran tidak lama lagi.
Baguslah macam tu kerana pihak mediapun sudah banyak kali menolong M.Nasir melariskan filem Aduh Saliha ni. Penggambaraan belumpun bermula tapi rakan media yang baik hati telah banyak kali membuat cerita pencarian Saliha sehinggakan bukan sedikit yang teruja nak tahu perkembangan filem ini.

"Hai, tak jumpa lagi Saliha?..," kata Salina, tanya seorang kawan ketika Kakak Tua sedang sibuk menulis artikel ini.

Kakak Tua sedikitpun tidak hairan kenapa M.Nasir begitu ghairah meneruskan teka-tekinya mengenai Saliha. Orang seni banyak ragamnya. Cuma yang tak sedapnya, semua ini seolah-olah mempermainkan kerja wartawan.

Dahlah bercerita pasal Saliha bagai nak rak, sampai masa bila hari pelancaran Aduh Saliha, bayang Salihapun tidak ada. Gimik murahan ini telah berjaya mendapat sokongan para media kerana berduyun-duyun telah menghadiri pelancaran yang dirasmikan oleh Datuk Seri Rais Yatim di Kelab Shah Alam baru-baru ini. Rasanya yang datang tu hanya ingin merakamkan gadis idaman yang dicari-cari oleh M.Nasir selama ini.

Tak tahulah berapa ramai yang pulang hampa apabila Saliha tidak diumumkan. Entah apa muslihat M.Nasir, Kakak Tua pun tak pasti. Katanya dia begitu cerewet sebab itu belum ada yang berkenan di hati.

Apa yang difahamkan menurut jalan cerita filem ini, Saliha atau heroin mesti pandai mengaji, berzanji dan menyanyi. Salihanya pula hendak digandingkan dengan artis yang paling komersial diwasa ini iaitu Asmawi Ani atau Mawi, Juara AF yang paling popular.
Kononnya, ramai jugalah pelakon wanita yang mempunyai nama besar yang datang uji bakat dan ramai juga di kalangan media yang sudah ura-ura menjodohkan Mawi dengan pasangan layar perak seperti Leez, Ina Naim, Waheeda, Marsha, Salima, Haryati Hamzah (Yatt), Elyana, Sharifah Amani dan Fasha Sandha.

Filem yang ditulis skripnya oleh Loloq ini berkonsepkan muzikal, fantasi, cinta dan khabarnya akan menelan kos lebih RM1.6 juta.

Yang jadi kemusykilannya susah sangat ke nak cari Saliha tu?. Sekadar untuk dipadankan dengan Mawi yang belum tentu lagi terbukti kehandalannya berlakun dan skrip yang biasa-biasa tu, Kakak Tua rasa tidaklah sesukar mana.

Takut-takut semua ini sekadar gimik, promosi murahan untuk melariskan filem itu saja. Satu strategi pemasaran yang sudah diconggak akan mendatangkan pulangan yang menguntungkan seperti yang pernah dilakukan oleh penerbit filem Qabil Kushry Qabil Igam iaitu Azlina Pa Wan.
Cuma Azlina hanya bermain dengan judul filem yang berbau Bollywood dengan harapan dapat memikat penonton. Dan taruhan Azlina nampaknya telahpun mendatangkan hasil kerana telah berjaya menarik peminat filem Melayu ke panggung.

M.Nasir akan membuat pertaruhan kedua sebagai pengarah setelah lama tidak mengarahkan filem. Filem pertama yang diarahkannya ialah Merah, 10 tahun yang dulu. Itupun kurang mendapat sambutan itu.

Bila cakap kisah Saliha yang skripnya berdasarkan lirik lagu Aduh Saliha, Kakak Tua teringat cerita Tragedi Natrah, peristiwa pertumpahan darah yang berlaku pada tahun 1950 itu.

Hatta Azad Khan ketika duduk di kerusi Ketua Pengarah Istana Budaya pernah menunjukkan naskah Tragedi Natrah yang ingin dipentaskan dalam bentuk teater atau filem sedikit masa dulu. Hatta betul-betul pening ketika itu kerana dia masih tidak berjumpa dengan Natrahnya. Berbulan lamanya Hatta, penulis skrip dan pengarahnya mencari Natrah tapi masih tidak jumpa.

Dalam hal ini, Kakak Tua cukup faham kenapa pencarian Natrah mengambil masa yang begitu lama kerana Natrah yang dicari perlu membawa watak gadis Belanda berusia 15 tahun yang menjadi anak angkat keluarga Melayu dan kemudiannya dilarikan oleh keluarga asalnya.
Tragedi Natrah ini disebut-sebut hingga sekarang kerana ia cerita sejarah yang berlaku di Singapura pada 1950 kerana pertembungan antara dua agama iaitu Islam dan Kristian dan antara dua budaya iaitu Barat dan Timur.

Seramai 18 orang terbunuh, 173 orang cedera ketika bertempur dengan tentera dan polis British dan mana-mana warga British di Singapura telah diserang. Begitu hebat dan kontroversi sekali catatan dan kronologi sejarah ini.

Sedikitpun fakta tidak boleh diubah. Bangunan dan kereta berhampiran mahkamah semuanya dibakar termasuklah Masjid Sultan di Singapura. Tragedi yang melakar Hari Ini dalam Sejarah ini begitu hebat sehinggakan Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama 2 hari 2 malam dan ISA telah digunakan untuk membendung keganasan.

Yang menjadikan pencarian Natrah atau nama Belandanya Bertha Hertogh lebih sukar lagi kata Hatta, mereka mencari seorang gadis rupawan berwajah kacukan, berbadan agak gempal kerana usia Natrah ketika itu 15 tahun tetapi nampak lebih ‘matured’ dan dia telah nikah gantung dengan suaminya Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun untuk menyelamatkan Natrah daripada dibicarakan semula di Singapura.

Tetapi undang-undang Belanda tidak membenarkan perempuan bawah 18 tahun berkahwin maka perkahwinan itu terbatal dengan sendirinya disebabkan campurtangan ini.

Natrah telah ditempatkan oleh ibu angkat kesayangannya Che Aminah di sebuah tempat berhampiran sebuah gereja untuk menyelamatkan Natrah menjadi mangsa rusuhan. Kalau pelakon watak Natrah ini memakan masa berbulan Kakak Tua cukup faham kerana bukan senang nak cari watak itu sahaja malah skripnya juga cukup mencabar.

Puas Kakak Tua membelek-belek skrip yang diberi oleh Hatta dan rasa kagum membunga di hati meneliti naskah Tragedi Natrah.

Banyak peristiwa lain rentetan Tragedi Natrah berkait-kait di mana Nadra Appeal Committe telah ditubuhkan dan watak sampingan seperti watak Profesor Dr. Burhanuddin Helmy, presiden Parti Islam SeMalaya (PAS) pula ditahan di Pulau Sekijang, Singapura kerana dituduh menjadi dalang dan pembakar semangat rusuhan ini dan Profesor Dr. Ahmad Ibrahim pula sebagai peguam bela kes Natrah di Mahkamah Sivil Singapura.

Disebabkan ramai pelakon yang tidak menepati kriteria yang diinginkan dan tidak ada siapapun yang dirasakan sesuai maka teater ini pun tidak dapat dipentaskan.Tapi kisah Aduh Saliha ini berbeza sekali.

Orang yang banyak falsafah macam M.Nasir dan Loloq tentu sahaja akan menghasilkan sebuah skrip yang berkualiti namun kualitinya tentu sekali tidak dapat menandingi kehebatan urutan sejarah Tragedi Natrah yang begitu kompleks. Tambahan pula Natrah, sebuah cerita benar berdasarkan fakta dan sejarah. Jadi Kakak Tua yang dah tua ni tak faham sangat macam mana boleh datang rumitnya mencari Saliha.

Mungkinkah M.Nasir sedang mencari gadis yang ada X-Factor seperti Mawi juga, yang boleh menjaminkan imbuhan yang berbaloi. Selain nama besar, rasanya unsur komersial atau nilai estetik yang boleh diharapkan dalam filem ini tentu sekali lagu-lagu merdu M.Nasir yang akan menjadi rempah ratus untuk melariskan lagi filem ini.

Komposer tersohor di rantau Asia ini telah berjaya menghasilkan lebih RM1, 500 lagu dan belum pernah lagi kedengaran berhadapan dengan masalah ‘keeping the date line’.Bagilah date line macam mana pun, M.Nasir dapat melunaskannya.

Namun dalam filem Aduh Saliha ini, M.Nasir terkial-kial untuk menepati janjinya. Dari selepas Raya, hingga ke bulan dua dan kini penggambaran filem akan dimulakan tak lama lagi, Saliha masih belum ditemui.

Sudah-sudahlah buat gimik tu. Kakak Tua takut nanti orang jadi bosan dan meluat kerana adegan suspen filem Aduh Saliha sudah tahap melampaui batas.

Nasihat Kakak Tua, buat saja kerja dalam diam biar hasil kerja dinilai orang. Senario sekarang umpama, macam frills atau icing atas kek yang lebih, rasa keknya belum tentu lagi sedap. Menarik memanglah menarik tapi lama-lama selera pun dah tak ada...
KAKAK TUA: Bosan dengan gimik.

0 comments: