Tuesday, April 29, 2008

Fail Sulit Artis?

(16-05-2007 11:01:25 AM)
Ketika membelek-belek berita panas tentang artis dan personaliti TV 'bermasalah' semalam, tiba-tiba saja ingatan Kakak Tua terus ke Kak Mah Gali yang kelolakan program Fail Sulit AF.
Tentu berasap kalau Kak Mah Gali atau Sarimah Ibrahim, yang cakap macam bertih jadi, tu cuba bongkar cerita Fail Sulit Artis pula.

Mungkin juga ia akan lebih hangat dari program Fail Sulit AF dan Fail Bukit Aman kerana mesti ramai nak tahu kisah-kisah macam ini. Lagikan cerita-cerita biasa pelajar AF yang naif pun ramai yang minat nak tahu, ini kan pula kalau kisah sensasi artis yang lebih terkenal.

Apalah sangat meneropong perilaku budak-budak AF yang remaja dan sedang meniti alam populariti yang tak berapa nilai komersialnya tu. Namapun Fail Sulit, segala hal yang sulit dan rahsia pasti akan dibongkar.
Sebenarnya, bukan saja Fail Sulit AF yang mula diminati ramai, kisah benar dan paparan jenayah atau masalah sosial yang dicungkil dalam program yang sama formatnya seperti Edisi Siasat, 360 dan Expose pun semakin mendapat perhatian. Semuanya ada tarikan tersendiri, tambahan pula kalau pengacaranya yang jadi subjek matter?

Sikit masa dulu, Kakak Tua teringin juga hendak mulakan satu kolum bertajuk Fail Sulit Artis termasuklah yang merangkumi segala Personaliti tanahair seperti personaliti Politik/Sukan atau TV. Istilah personaliti di sini ialah mana-mana muka yang dah jadi 'muka passport' maknanya layak dikategorikan sebagai Personaliti.

Tentu menarik kerana senarai nama-nama mereka yang terpalit sejarah hitam masih kemas dalam simpanan diari Kakak Tua sejak dari tahun 1984 lagi.

Kaum kerabat Kakak Tua ada juga yang memberi semangat suruh bukukan Fail Sulit Artis ini kerana isinya tentu lebih menarik dari versi TV. Banyak bentuk coretan, catatan, gambaran dan statement dapat dilahirkan.

'Warna-warna penulisan' seperti simbol, metafora, gaya cerita, subteks dan pendekatan berbeza dapat digunakan untuk menceritakan subjek-subjek dalam Fail Sulit Artis/Personaliti ini nanti.

Lagipun, sejak kebelakangan ini bertambah ramai artis dan personaliti TV yang Fail Sulit mereka terpaksa dibongkar dan dikongsi bersama orang ramai. Suka atau tidak, glamor atau sebaliknya, sensasi atau kontroversi, semuanya menjadi bahan tatapan umum. Jadi sekali fikir, apa salahnya menulis sekadar mengambil iktibar dan mengambil pengajaran dari kisah pahit ini?

Ketika Kakak Tua muda-muda dulu, Fail Sulit Artis sama hebat bahangnya dan tetap menarik. Tapi dah tua-tua ni, Kakak Tua cuba kikiskan mana-mana 'Fail Sulit Artis' yang tidak elok tu dan selalu ingat yang manis-manis saja.

Seperti kenangan bersama komposer Manan Ngah, PRO Kit dan Allahyarham Sudirman di sebalik lagu 'Merisik Khabar' di Port Klang, memori indah menjadi teman satu apartment di Brickfields dan mendengar bacaan Quran serta menatap diari arwah Mustaffa Nor, rakaman 'Menaruh Harapan' bersama Zaiton dan A.Ali di Omry Records hingga tiga pagi, menjadi 'pembantu peribadi' Datuk Ahmad Nawab dan merungkai kisah cintanya, pertemuan dengan Mona Fandi di majlis pelancaran albumnya di Plaza Pekeliling.

Dan ratusan fail lagi. Semuanya terselit kisah sulit tapi tetap mempunyai memori manis.
Dan ketika cuba membuat pendedahan tentang lanun cetak rompak di awal 80an bersama Kasim Chatong, Kakak Tua dan rakan-rakan menerima peluru dalam sampul surat sebagai 'ugutan.'

Banyak juga kenangan silam yang menghiris hati semasa Kakak Tua membuat liputan dulu. Puas juga Kakak Tua cuba 'delete' fail peribadi ini dari memori chip tapi masih tak berjaya. Kalau ikutkan, semua ini boleh jadi bahan Telenovela.

Tapi bila ingat balik apa yang dititipkan oleh arwah Ayah, Kakak Tua batalkan saja niat itu.
Sebenarnya Islam pun tidak menggalakkan kita membongkar, menggali atau mendedahkan kisah buruk sesiapapun kerana ianya seperti membuka aib orang. Tapi dalam kebanyakkan kes, keterlanjuran artis atau personaliti ini seperti retak mencari belah saja.

Macam 'time bomb', menunggu masa saja untuk meledak dan meletop. Tidak dapat tidak, orang akan tahu juga satu hari nanti, sama macam 'bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru'. Akhirnya akan tersebar jua di kolum gosip, dada akhbar, tabloid dan program gosip TV.

Aib atau tidak, segalanya terpampang luas di hadapan mata kita. Bagi mereka yang minat mengikuti kisah-kisah sensasi atau kontroversi begini, mereka akan terus mengikuti perkembangannya.

Fail Sulit Kakak Tua pula mengandungi bermacam kisah dari rentetan Mona Fandey yang pernah menjadi artis rakaman, salah laku sosial artis-artis ternama termasuk kes khalwat, dadah, rasuah, insiden meludah, tarik rambut, surat layang, SMS, e-Mail fitnah dan bermacam-macam lagi, semuanya masih di bawah tahap kawalan rapi 'P&C' (Private and confidential).

Khazanah berharga ini tetap terkunci rapat dan belum pernah didedahkan, ditulis dan di 'Expose'kan sebelum ini. Kalau semua ini dipaparkan, rasanya abang 'Terjah' pun kalah. Pendedahan berani Nas Melodi masih lagi berhemah dan bersopan kalau hendak dibandingkan dengan paparan yang ada di minda Kakak Tua ini.

Bila memikirkan artis pun ada maruah diri dan tidak manis memalukan pihak kedua, ketiga dan orang-orang yang masih hidup, cukuplah Fail Sulit Artis ini sekadar disimpan dalam benak memori saja.

Artis sama juga macam orang biasa, bila sudah tersilap mesti ada penyesalan. Diharap kifarah yang mereka lalui dapat memberikan mereka kesedaran. Janganlah diulang lagi perkara yang boleh memalukan maruah sendiri dan keluarga.

Terngiang-ngiang pesanan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin jangan kita cari aib atau memalukan orang.

KAKAK TUA: Selalu ingat pesan Ayah...'Biar orang buat kita, jangan kita buat orang!'

0 comments: