Friday, April 25, 2008

RTM patut bersikap seperti 'cencaru makan petang'

(27-12-2006 10:51:51 AM)
Rating bagi media television umpama "tanda harga." Melalui rating, para perancang program dan pengiklan boleh mengukur sejauh mana populariti sesuatu program dan bagaimana impak iklan yang ditawarkan kepada penonton.

Tapi semua itu hanya dari aspek komersial. Pada suatu masa dulu, persoalan rating ini pernah ditimbulkan oleh Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin (Zam).

Zam bangkang rating yang dikeluarkan dan jelas sekali tidak berapa gembira survey yang dijalankan oleh Neilsen Media Research. Adakah kerana keputusan yang diterima tidak memihak kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang senantiasa tercorot?

Ketidakpuasan ini berpunca beberapa bulan dulu ketika rating siaran eksklusif persandingan Siti-Datuk K yang disiarkan serentak dengan RTM1 & Astro Ria yang menyiarkan 'Mawi...Ina' yang cuba membongkar hubungan intim Asmawi Ani dengan bekas tunangnya Nordiana Mohd Naim.

Menurut data 'rating semalaman' yang dikumpul agensi tersebut, seramai 6.3 juta penonton memilih untuk menyaksikan persandingan Siti-Datuk K, sementara 4.7 juta lagi memilih untuk menyaksikan Mawi dan Ina selepas putus tunang dua bulan lepas.

RTM tidak perlu pertikai AGB Neilsen
Apabila RTM atau lebih tepat Zam sendiri mempertikaikan survey yang dikeluarkan oleh Nielsen tentu sahaja orang-orang di stesen TV swasta mula berasa tidak senang.

Kenapa sekarang masalah ini timbul? Di dalam mana-mana ‘pertandingan’ kalah-menang sudah jadi adat tapi bila orang yang kalah mempersoalkan kekalahannya, ni sudah jadi macam "sour grape" pula.

Rasanya tidak manis kalau RTM terus-terusan mempertikaikan keputusan 'rating' yang dikeluarkan oleh AGB Nielsen Media Research terhadap siaran langsung dua rancangan yang melibatkan dua selebriti paling berpengaruh beberapa bulan lalu.

Lagipun, tindakan RTM melibatkan diri dalam "pertandingan" serupa ini sepatutnya dibatalkan niatnya dari mula lagi. Yang jelas keutamaan RTM dan television swasta yang lain tidak sama. Bak kata orang, lain arah lain tujuan. Jadi tak payahlah masuk campur hal-hal rating ni. Banyak lagi perkara penting yang selama ini terlepas pandang yang perlukan perhatian segera seperti hal tender drama RTM.

Jika hendak bersaing juga, RTM sebagai saluran rasmi kerajaan dan hak awam terpaksa melibatkan peruntukan negara. Program yang tidak memanfaatkan minda seperti "Ina...Naim" itu tentunya menghabiskan banyak duit. Kalau sekadar untuk mendapat 'rating' tinggi sahaja, tidak perlulah nak bersaing dengan stesen TV swasta yang lain.

Banyak lagi isu semasa dan rancangan-rancangan yang membina minda rakyat yang boleh diterokai dan diketengahkan tetapi tidak dihidangkan kepada penonton.

Dalam hal ini, berapa ramai yang sanggup menegur dan menjelaskan polisi sebenar RTM. Perlu diingatkan siaran RTM yang berslogan "Saluran Inforia" tidak perlu berlumba-lumba dalam pertandingan populariti hanya untuk mendapatkan penonton.

Jiwa TV3 dan RTM jelas berbeza. Yang selalu cakap pasal modal insan, menjana fikiran positif dan memupuk Islam Hadhari, tidakkah RTM?

Isu rating hal remeh
Cukuplah setakat stesen swasta seperti TV3 ‘hanyut’ dan terbuai dengan peperangan rating ini. RTM tidak perlulah meniru cara TV3. Jenama dan genre kedua stesen ini jelas jauh akar dan tunjangnya.

Bagi Kakak Tua lah, perkara bersabit hal rating ni cukup remeh temeh yang mana tidak sepatutnya seorang Menteri masuk campur. Biarlah pihak stesen swasta dengan cara mereka mempromosikan program mereka. RTM tidak perlu berebut-rebut atau berkokok-kokok macam ayam jantan hendak bagi tahu orang program mereka lebih hebat.

Hebat atau tidak sesuatu program itu terletak kepada kredibiliti sesuatu program itu sendiri atau selera penonton.

Walaupun demikian, ada eloknya juga sekiranya kita mempunyai lembaga survey lain dari Neilsen Media Research. Mempunyai data lebih dari satu sumber lebih elok dan profesional. Sekiranya ada dua data published tentang perkembangan rating sesuatu program itu, fakta sedemikian tentu jauh lebih kukuh dan tidak boleh dipertikaikan langsung.

Trek rekod TV3 sudah cukup membuktikan keunggulan dan populariti TV3 kerana bukan sedikit program TV3 yang mendapat tempat di hati penonton sejak dari mula ia beroperasi.
Bukannya hendak memihak kepada TV3 tetapi kalau ikut sejarah silam, rating perkahwinan Siti dan Datuk K bukan kayu pengukur kejayaan TV3 sebenarnya. Ia hanya sekadar menguatkan lagi survey yang dijalankan oleh Nielsen. Itu saja!

Program lain seperti Bersamamu, Mentor, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Skrin dan banyak lagi sering mencatatkan jumlah penonton yang tinggi. Jadi fakta AC Nielsen mengenai rating sekadar mengukuhkan lagi populariti program di TV3.

Kita perlu berfikiran terbuka dan sepatutnya melihat rating sesuatu program TV atau radio secara menyeluruh. Kebiasaannya, stesen radio yang bagus jenamanya belum tentu mempunyai program yang bagus sama halnya dengan TV.

Stesen TV3 tetap unggul dan hebat
Sepatutnya stesen televisyen mengambil iktibar dari rating yang dikeluarkan bukannya mempertikaikan. Kebiasaannya, perang rating, SMS atau apa saja perang pertandingan akan menimbulkan perasaan tidak puas hati pihak yang kalah.

Sememangnya sejak dari dulu lagi, TV3 sangat mementingkan rating sesuatu program kerana sudah menjadi lazimnya stesen TV ini memantau setiap program yang ditayangkan.Kalau diikut hukum logik, kenyataan yang mengatakan survey AC Nielsen tidak adil adalah tidak berasas sama sekali.

Masakan, badan induk perkhidmatan pengumpulan jumlah penonton yang terbaik dan mengikut kaedah mengira rating yang sama di seluruh dunia ini membuat kesilapan. Pelik sungguh?

Dewasa ini sebuah lagi program terbaru TV3 yang mencatatkan jumlah peratusan 2.3 juta penonton ialah sinetron Bawang Merah Bawang Putih. Peratusan yang mengikuti drama bersiri ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Terlalu ramai penyokong dan peminat setia kisah popular Indonesia yang menampilkan konflik cinta, dendam dan iri hati ini.

Jangan salah anggap yang Kakak Tua ni macam nak promosikan TV3 tetapi sememangnya stesen TV ni sudah lama gah. Hebatnya terasa sejak dari dulu lagi kerana sentiasa mementingkan kualiti produk yang disiarkan.

Langkah yang diambil TV3 setiap tahun memastikan rancangan yang disediakan adalah yang terbaik dan mampu memenuhi kehendak penonton sepatutnya diteladani oleh RTM.
Bukan sahaja juadah drama atau filem yang dihidangkan hebat, program majalah seperti Iktibar dan Tragedi, Jejak Rasul Khas dan program muzikal selalu menambat hati. Itulah kelainan dan keistimewaan TV3.

Mungkin disebabkan TV3 sangat mementingkan kualiti maka hasilnya berbaloi, maka mereka tetap unggul memonopoli tangga teratas pertandingan rating setiap kali musim perayaan.
Program Konsert Mentor Akhir pada malam Ahad Disember 3 baru-baru ini juga mencatat kadar "rating" tontonan tertinggi untuk TV3 tahun ini dengan TVR 22.9. Mengikut sumber yang dikeluarkan oleh AGB Nielsen Media Research, program hiburan ini juga berjaya mendapat perhatian 60.3 peratus, iaitu 3.96 juta kadar penonton.

Menurut satu siaran akhbar yang dikeluarkan oleh pihak korporat komunikasi TV3, program TV3 masih mendahului dengan TVR yang tinggi 18.3 dan jumlah penonton 70.8 juta. Tidak ketinggalan jauh adalah Buletin Utama TV3 yang tidak pernah terkeluar daripada senarai 10 program popular sepanjang tahun, dengan jumlah penonton 49.8 kepada 51.4 juta untuk minggu tersebut.

Sehebat manapun TV3 ada kalanya stesen TV ini terpaksa menerima ‘kekalahan’ rating seperti yang terjadi pada siaran langsung Anugerah Skrin ke 8 baru-baru ini. Khabarnya ada beberapa perkara yang tidak menarik berlaku dan populariti Anugerah ini agak merundum tahun ini? Mungkinkah kalau Nielsen mengeluarkan data rating sebenar, TV3 akan mempertikaikannya juga?

Rasanya tidak kerana selama yang Kakak Tua kenal pihak stesen TV ni cukup profesional. Kekalahan diterima dengan hati yang terbuka kerana yang penting mereka masih dapat menggapai slogan ..."Berita Terkini, Hiburan Sensasi."
KAKAK TUA: Tak kisah selalu corot dalam rating!


0 comments: