Friday, April 25, 2008

Persatuan tempat artis berlindung susah dan senang!

(08-03-2007 10:53:05 AM)
TIGA personaliti tanah air yang sedang menghadapi kemelut dan berdukacita di saat ini - Linda Onn, Azwan Hj Ali dan Rosnah Mat Aris. Kakak Tua tidak dapat mengagak bagaimana perasaan mereka ketika ini.

Hanya gerak hati saja yang kuat mengatakan tentu mereka agak tertekan sekarang.
Dek kerana perbuatan yang sengaja atau tidak disengajakan atau mungkin juga tersilap percaturan, maka mereka berhadapan dengan masalah yang hampir sama, yakni bersangkutan dengan kerjaya mereka.

Samada mereka mahu mengakuinya atau tidak, namun realitinya mereka sedang buntu memikirkan bagaimana hendak keluar dari kemelut yang sedang mencengkam.

Tentu mereka memerlukan bantuan ketika ini baik dari segi moral mahupun ihsan. Dan rasanya hanya orang yang ego sahaja, yang akan berkata mereka tidak memerlukan pertolongan sesiapa sedangkan hakikatnya mereka amat memerlukan pertolongan itu.

Pada pemikiran Kakak Tua yang sudah tua ini, selain dari pihak media hanya persatuan artis sahaja yang dapat memainkan peranan penting bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh artis yang ada masalah ini.

Sekiranya sesuatu persatuan itu aktif dan tidak mempunyai kepentingan atau agenda tersendiri, maka tugas mewakili artis bermasalah ini akan dapat digalas dengan baik seperti yang sedang dilakukan oleh Persatuan Karyawan Malaysia.

Karyawan antara persatuan yang mendahului menghulurkan bantuan kepada Rosnah dengan mengaturkan pertemuan dengan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Abdul Rahman Hamid di Angkasapuri baru-baru ini.

Rosnah, yang digam oleh RTM, sudahpun membuat rayuan rasmi dengan surat sokongan oleh pihak Karyawan agar diberi peluang untuk membela diri.

Meskipun, ketika artikel ini ditulis, sebarang keputusan belum dibuat oleh orang-orang penting di Jabatan Penyiaran yang diterajui Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, sekurang-kurangnya Rosnah boleh menarik nafas lega kerana percubaan ke arah menyelesaikan masalahnya sudahpun dilakukan.

Kini, terserahlah kepada budi bicara mereka untuk mengekalkan hukuman atau menarik balik hukuman itu.

Kalau dilihat dari 'resam' tabiat artis kita yang ditimpa masalah, perangai mereka hampir sama. Mula-mula akan terkial-kial memikirkan bagaimana caranya untuk menangani masalah itu. Dan dalam kebuntuan itulah, mereka akan terfikirkan persatuan. Dengan bantuan yang sedikit saja dari persatuan, bayangkan betapa ringan beban dapat dikurangkan.

Masih ramai lagi artis yang tidak nampak kepentingan berpersatuan tambahan kalau artis itu masih diuliti sindrom ‘pesona bintang’ dan masih terpana dengan kilauan glamor. Selalunya artis popular jarang sekali nampak kelibat mereka dalam persatuan.

Tapi bagi mereka yang sudahpun mengalami fasa atau episod bermasalah ini seperti Jamal Abdillah, Azean Irdawaty, Maya, Saleem Iklim, Cico, Hattan, pasangan Zamree dan Shara Eqnor dan ramai lagi, mereka akan tahu peritnya mendapat pembelaan untuk menjernihkan keadaan.
Mungkin juga kalau Linda Onn atau Azwan Ali ahli persatuan artis nasib mereka akan terbela sekarang ini.

Sebenarnya Kakak Tua sendiri pernah menjadi ‘saksi’ drama artis-artis yang dilanda masalah ini. Bukan setakat mendengar sendiri pengakuan jujur artis yang ada masalah ini tetapi sehingga terlibat secara emosi juga. Terlalu ‘sulit’ untuk dihuraikan secara terperinci. Pendek kata, mujurlah ada orang kuat persatuan yang berjaya membantu individu-individu ini.

Masalah seperti ‘khalwat,’ soal royalti, kontrak artis, dadah, ditipu penganjur, sakit, kesesakan wang ringgit dan macam-macam lagi menuntut komitmen dan penglibatan persatuan yang mempunyai kredibiliti seperti Karyawan, PFM dan SENIMAN.

Seperti nasib Rosnah, ibu tunggal yang sudah 30 tahun jadi hamba seni dan kini hampir hilang punca pendapatan akibat tindakan gam itu, kini dapat menyedarkan artis tentang peranan persatuan.

Dan sekiranya RTM meneruskan niat untuk ‘gam’ Rosnah, setidak-tidaknya Karyawan boleh membantu Rosnah dengan memberi ‘job’ untuk stage show kerana dia juga adalah seorang pelawak.

Ambillah iktibar dari kes Rosnah yang sudah jatuh ditimpa tangga. Dahlah kena gam, tiga penerbit drama pula membatalkan kontrak mereka untuk mengambilnya berlakon. Dengar khabar, Rosnah sendiri masih ‘menumpang’ di Flat Sentul kepunyaan ‘bekas’ suami yang sudahpun berkahwin lain.

Mungkin selepas ini, boleh diusulkan Karyawan menolong Rosnah untuk mendapatkan flat kos murah untuk dia tumpang teduh ketika hari tua.
Sebenarnya, banyak lagi skop atau cabang di mana persatuan boleh memainkan peranannya kepada artis. Tapi artis itu sendiri hendaklah menghulurkan ‘bantuan’ terlebih dahulu dengan bergerak aktif di dalam sesuatu persatuan itu.

Jangan hanya kerana ada masalah baru hendak tunjuk muka dalam persatuan, selepas mendung berarak pergi, batang hidung pun tak nampak lagi. Begitulah lazimnya sikap artis di Malaysia.
Teringat tagline di laman web Sitizone...."tumpang berlindung, waktu susah dan senang..." Seharusnya artis mempunyai sikap begini bila berpersatuan.
Bagi Kakak Tua, banyak faedah yang boleh dijalankan oleh persatuan artis seperti bantuan waktu susah, derma kilat, bantuan ketika sakit pening dan banyak lagi aktiviti kekeluargaan atau gotong royong bagi memupuk semangat silaturrahim di antara artis dalam persatuan.

Kakak Tua tumpang gembira melihat artis saling membantu bagi acara kenduri kahwin, khairat kematian dan cukur jambul seperti yang pernah dilaksanakan oleh Karyawan untuk Aziz Sattar, Norlia Ghani dan beberapa orang artis yang lain.

Pekerjaan yang mulia ini perlu disokong oleh artis muda khususnya supaya ada kesinambungan. Namun, sikap artis juga perlulah berubah mengikut keadaan.

Jangan fikir, kita tidak ada masalah maka kita tidak perlukan persatuan. Mungkin pada waktu ini, kita tidak memerlukan persatuan mungkin pada waktu lain, siapa tahu.

Namun, tidak dinafikan ada juga persatuan yang 'hidup' atas dasar mengaut keuntungan dan menggunakan artis atau ahli persatuan untuk keperluan teraju persatuan itu. Sahabat Kakak Tua, Miss Ribut pernah menggelar persatuan jenis ini sebagai 'Persatuan Reban Ayam.' Mujurlah 'perjuangan' persatuan ini makin pupus dan tidak lama jangka hayatnya.

KAKAK TUA: Pernah jadi ‘orang kuat’ persatuan!

0 comments: