Friday, April 25, 2008

Puasa dipamer bagaikan satu 'teater'

(22-09-2006 05:31:04 PM)
Sudah lebih 20 tahun Kakak Tua memperhatikan keghairahan masyarakat hiburan menjalani ritual berpuasa Islam.

Artis tidak ubah seperti manusia biasa, semua aktiviti hiburan bagaikan terhenti buat seketika. Mereka akan terdorong membuat kebaikan, sibuk dengan aktiviti agama sepanjang satu bulan.

Di bulan Ramadhan ini juga, artis kita akan meramaikan masjid, memeriahkan bazaar Ramadhan. Ada yang membuka gerai dan berjualan di kaki lima.

Juadah Ramadhan akan sarat di meja kerana ini lah senario biasa di bulan ini dan manusia tidak kira bangsa dan agama ‘terpanggil’ menyesakkan penjuru kota yang menjual 1001 juadah. Semua ini menambahkan kemeriahan bulan mulia ini. Dan inilah senario pada minggu-minggu pertama bulan Ramadhan.

Jama’ah solat subuh akan diikuti dengan penuh semangat, suatu keadaan yang tak pernah terjadi pada hari-hari biasa. Ada sebilangan artis pula akan mengikuti ceramah, majlis berbuka puasa bahkan sembahyang tahajjud juga tidak dilupakan.

Media elektronik seperti biasa akan mengambil peluang di bulan mulia ini dengan mempromosi dan mempamerkan sajian-sajian enak di setiap hotel. Begitu juga dengan majlis bercorak hiburan, tiba-tiba akan bertukar menjadi acara agama dan puluhan artis akan tiba-tiba tampil dengan busana keislamannya.

Layar TV yang selama ini menjadi juara panggung hiburan kini tampil dengan program agama penuh syahdu dan menginsafkan.

Senario sosial di persekitaran betul-betul berubah wajah selama satu bulan ini. Bagaikan satu energi baru telah menyerap masuk dan masyarakat artis juga tidak terkecuali memaksima seluruh daya dan masa untuk memuliakan bulan suci ini.

Terdorong dengan semua selok belok ritual agama di bulan ini, kegembiraan kakak tua juga teruji ketika menyambut bulan Ramadhan. Namun, jauh di sudut hati, kakak tua melihat aktiviti sosial yang disulam dengan acara memuliakan bulan ini tidak ubah seperti satu "pesta sosial" yang dangkal.

Sambutan bulan suci ini tidak ubah suatu peristiwa yang rutin, di ulangtayang setiap tahun. Beruka puasa di hotel lima bintang adalah satu acara ‘wajib’ dan sudah menjadi satu budaya. Tarikan hiburan tetap terselit di bulan mulia ini tapi dengan lebih kesopanan dan kemeriahan.

Ramadhan dijadikan satu tontonan bagaikan menonton sebuah pertunjukan. Manusia membanjiri masjid bagaikan ianya satu perayaan setahun sekali. Tanpa kita sedari, ramai di antara kita terjebak di dalam sikap memperlakukan ibadah sebagai ritualisme yang menyerupai satu ‘teater’ sahaja, untuk dipertontonkan kepada umum.

Keghairahan masyarakat Islam beribadah di bulan ini begitu tinggi sehingga ramai membuat tafsiran umat Islam taat dan saleh. Tapi hanya untuk bulan ini sahaja. Tapi apakah pengisian sebenarnya di sebalik pementasan ‘teater’ itu?

Bagaimana penghayatan dan pengisian ‘teater’ ini dan mampukah kekhusyukkan dan kesyahduan teaterikal ini membawa perubahan atau signifikasi besar dalam kehidupan sosial kita selepas Ramadhan tamat?

Alangkah sedihnya bila ibadah puasa menjadi satu bentuk ‘teater’ seperti zakat, memakai jubah, ketayap, menyimpan janggut dan memakai jilbab?

Tanpa kita sedari, inilah sikap yang kita tunjukkan setiap tahun. Ibadah puasa bagaikan terpisah dari kehidupan masyarakat. Ibadah dan kehidupan seharian kita tidak seiring dan bagaikan tiada kaitan. Inikah agaknya yang dinamakan sekularisme yang amat ditakuti namun telah mula meresapi dalam jiwa masyarakat kita.

Sejauhmana ibadah puasa dapat mempengaruhi kehidupan kita selepas bulan Ramadhan menyepi. Setiap tahun, puasa dipamerkan sebagai satu ‘teater’ besar dan hebat namun setelah ‘tamat tempoh pementasannya,’ keadaan akan kembali seperti sediakala. It’s showbusiness as usual.

Penyalahgunaan dadah, khalwat dan bermacam lagi aktiviti sosial artis akan kembali aktif seperti biasa. Tiba-tiba saja semua virus ini akan menggila semula apabila Ramadhan berarak pergi dan Syawal menjelma!

0 comments: