Tuesday, April 29, 2008

Kata dulang paku serpih...

(23-05-2007 10:34:18 AM)
SOAL etika kewartawanan tidak layak dibicarakan lagi kerana mengikut pengamatan Kakak Tua, ramai wartawan atau tukang lapor yang sudah tidak guna pakai etika ini.

Kakak Tua tertarik hendak bicara sikap bias sesetengah wartawan kerana musykil apakah sebenarnya peranan mereka? Yang membuat Kakak Tua terpanggil hendak menyentuh persoalan ini adalah kerana ada dari kalangan mereka sudah jauh tersimpang dari landasan yang sepatutnya.

Ketika menjadi penulis hiburan 23 tahun yang dulu, apa yang ditekankan ialah melaporkan apa yang dilihat. Saban hari itu yang ditasak ke telinga Kakak Tua sehinggalah kita sendiri pandai membezakan apa yang dilapor dan apa yang ingin dikritik cukup jelas jalur pemisahnya.

Kakak Tua dilarang membuat andaian atau mencipta fakta baru untuk sesuatu artikel itu. Kini senarionya sudah jauh berbeza. Bukan saja tukang lapor cipta faktor baru tapi ditokok tambah sehinggakan kita sudah tidak dapat membezakan yang benar dengan yang batil. Begitulah hebatnya wartawan alaf baru kini.

Segelintir wartawan hiburan begitu gemar menuding jari kepada kelompok artis yang suka cakap tidak serupa bikin. Sedangkan itulah yang dilakukan oleh mereka sendiri. Bak kata orang kata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih...

Bayangkan di sebuah majlis persembahan artis terkenal di mana hadirin yang datang tidak penuh dewan tapi yang dilaporkan sebaliknya. Disebabkan keakraban di antara pihak wartawan dan artis tersebut, wartawan sanggup menipu pembaca dengan mengatakan majlis itu hebat, tetamu ramai dan segala yang indah-indah mengenai majlis itu.

Yang kena tipu pembaca. Pengeliruan dan pembohongan fakta sudah lama berlaku tapi tidak ramai yang mempunyai keberanian untuk menegur. Tukang lapor ini terpaksa memutarbelit fakta kononnya untuk menjaga hati dan airmuka artis tersebut.

Di mana letaknya nilai tepat dan benar dalam sesuatu laporan itu?

Kini tahap pembelitan fakta sudah sampai tahap kritikal sehingga pembaca sendiri 'ditipu hidup-hidup' dan akhirnya keliru apa sebenarnya yang berlaku. Kalau orang yang menghadiri majlis tersebut membaca laporan oleh tukang lapor kaki ampu ini, alangkah malunya kerana apa yang dilapor dan apa yang terjadi jelas bercanggah.

Kakak Tua lebih senang ikut apa yang disarankan oleh bidalan Inggeris ...tell the truth and shame the devil kerana banyak baiknya. Sebagai tukang lapor, kita perlu bercerita pasal kesahihan sesuatu berita. Dari situlah datangnya kredibiliti dan dari kredibiliti itu juga kita akan diterima baik oleh masyarakat.

Lambat laun perkara yang tidak benar seperti laporan palsu akan diketahui juga. Apa sahaja yang berlaku di keliling kita adalah bahan sejarah. Jadi sebagai tukang lapor, tidakkah kita rasa malu apabila kita menipu fakta sejarah?

Prinsip Kakak Tua cukup keras. Tidak suka berpura-pura dan tidak suka menjadi tukang lapor palsu. Kedua-dua ini mendekatkan diri kita kepada sifat munafik. Dalam industri hiburan ini, spesis macam Kakak Tua sudah hampir pupus. Hampir tidak kedengaran lagi orang bercakap pasal kebenaran.

Yang dilapor palsu, yang melapor pun sama. Bertambah teruk apabila tukang lapor bangga dengan kepalsuan yang tercipta. Kakak Tua ingin sarankan tidak perlulah kita melaporkan industri muzik kita sudah nazak atau artis pandai bersandiwara kerana sebenarnya ramai di kalangan wartawan hiburan sedang menuju ke arah itu.

Tukang lapor yang berkata benar dipulau dan dipinggirkan. Yang palsu juga diraikan kerana spesis ini bertambah ramai saban hari.

Kalau sudah selalu dan terbiasa melapor yang palsu, tak perlulah kita marah kalau artis cakap bohong lagi kerana antara kita dengan mereka tiada bezanya.

KAKAK TUA: Tetap yakin kebenaran akan melenyapkan kebathilan satu hari nanti!

0 comments: