Friday, April 25, 2008

Budaya SMS makin menjadi

(20-09-2006 03:28:31 PM)
Bagaikan satu budaya baru, undian SMS telah meresap ke dalam masyarakat industri hiburan. Undian SMS paling efektif untuk menabalkan sesiapa yang berkenan di hati untuk menjadi juara.

Apa sahaja peraduan, pertandingan atau Anugerah yang dihebahkan dan dihebohkan adalah acara undian SMS. Pencarian apa sekalipun perlu diadakan undian SMS. Sehinggakan Festival Filem atau Anugerah Filem dan Lagu, ‘diwajibkan’ masuk undian SMS ini.

Pemenangnya pula akan tersenyum girang kerana dinobatkan sebagai pemenang SMS. Semua program realiti perlu ada undian SMS untuk pencarian juara seperti Mentor dan Akademi Fantasia. AF sudah masuk tahun ke empat dengan format undian serupa. Walaupun kehangatannya agam suam-suam kuku pada tahun ini, pihak Astro tetap berpuas hati dengan pencapaian program ini.

DAYANG PUN KALAH PENANGAN SMS
Yang terbaru adalah program realiti One In A Million (OIAM), sebuah program realiti yang julung kali diadakan di mana wang taruhannya adalah RM1 juta.

Rancangan realiti terbaru terbitan stesen televisyen itu, OIAM yang berkonsepkan pertandingan nyanyian itu akan mencatat sejarah dalam industri hiburan Malaysia kerana menawarkan hadiah paling lumayan bernilai RM1 juta.

Yang menjadikan program ini lebih istimewa apabila penyanyi popular Dayang Nurfaizah berani mempertaruhkan nasibnya menyertai OIAM.

Walaupun tersingkir di saat akhir, Dayang telah membuktikan sesuatu, iaitu bukan bakat menjadi pencarian dalam OIAM tapi nasib dan populariti yang menentukan segalanya.
Walau sehebat mana nama Dayang Nurfaizah, ia belum kuat untuk menumpaskan kekuatan undian SMS lagi. Mungkinkah kekalahan Dayang membuktikan penyokong-penyokongnya tidak ramai atau peminat Dayang malas mengundinya.

Tagline OIAM sebenarnya tidak seindah kenyataan. Apakah yang tersirat disebalik“Mencari bakat istimewa satu dalam sejuta” – Adakah bakat ATAU peserta yang popular dengan pakej yang baik, yang dicari? Sampai bila pengundi SMS akan mengundi ikut kriteria dan bukan emosi. Hanya masa yang akan menentukan. Mungkin pihak media dapat membantu mendidik pengundi SMS supaya menggunakan kuasa dengan sewajarnya.

Apapun cenderahati dari 8TV pemberian RM1juta adalah pelaburan terhebat yang pernah dilakukan oleh mana-mana stesen TV, justru si jutawan muda boleh tersenyum bangga kerana menang undi terbanyak. Bagi pemenang undian SMS, janganlah dibanggakan sangat dengan kemenangan ini kerana kehebatan bakat masih sukar diterima disebabkan bayangan undian SMS ini. Persoalannya sampai bila tarikh luput bakat pemenang SMS ini.
Di sinilah kekaburan definisi pemenang program realiti itu bermula.

SMS MEMBUKA DIMENSI BARU
Bukan program realiti sahaja bergantung kepada undian SMS. Program yang menarik minat ramai pun sudah mula mengeksploitasikan kaedah terbaru secara tidak langsung seperti yang berlaku ketika siaran langsung “Perkahwinan pasangan sensasi Datuk K-Siti Nurhaliza’ di TV3 yang cuba dilagakan dengan temu bual ekslusif “Mawi-Ina” di Astro-RTM pada hari dan waktu yang sama.

Hotlink turut mengaktifkan peraduan siapa yang bertuah dapat bersama Siti Nurhaliza di hari bahagianya.

Ramai yang mempersoalkan kewajaran majlis persandingan mahupun isu putus tunang Mawi-Ina itu disiarkan secara besar-besaran.

Yang lebih memusykilkan apabila RTM yang selama ini tidak mahu bersaing dengan stesen lain tiba-tiba menjadi ayam jaguh untuk membuat lintas langsung untuk mencungkil isi hati Ina. Tiba-tiba sahaja timbul ‘niat suci’ yang kononnya lahir dari keprihatinan yang membuat RTM terpanggil untuk menceritakan apa yang sebenarnya berlaku disebalik putus tunang kedua insan ini.

Isu putus tunang mahupun perkahwinan tokoh korporat dan penyanyi kesayangan ramai menjadi tontonan jutaan rakyat Malaysia kerana stesen TV sedang bermimpikan rating siapa yang lebih tinggi. Tafsiran seterusnya stesen mana yang lebih berkuasa?

Inilah padah pengaruh wang dan kuasa yang cuba dikira dan dek hehebatan kemeriahan kedua personality hebat ini, pertandingan ‘rating’ secara senyap pun berlangsung. Jangan dipersoalkan model atau contoh apa yang hendak diwujudkan. Bila soal wang jadi taruhan, moraliti dan logik terpaksa ditolak tepi. Ini lah kebesaran kuasa wang dan pengaruh.

Apabila tiga gergasi atau stesen TV - Astro, RTM dan TV3 bersaing, ianya ibarat gajah sama gajah betarung, kancil yang tersepit di tengah-tengah. Di dalam konteks ini, jelas Mawi dan Ina menjadi mangsa pertarungan tiga gergasi ini. Tapi apakan daya kerana mereka ini diibaratkan seperti ‘produk’ yang tidak mampu membuat apa-apa dan terpaksa menyerah kepada keadaan.

Kita tidak perlu mengingatkan RTM untuk meningkatkan kualiti program yang disiarkan kerana yang jelas mereka bagaikan terkesan dengan saingan untuk mengutip rating yang tinggi. Rating temu bual ekslusif Mawi bagi RTM adalah satu pencapain luar biasa kerana umum maklum mereka tidak pernah ikut bersaing selama ini.

Mungkin juga inilah yang dinamakan peningkatan kerana RTM sudah mula menitik beratkan aspek komersial dalam rancangan mereka dan bersaing secara sihat untuk mendapat pulangan dan keutamaannya bukan lagi menjadi propaganda kerajaan.

RAJA SMS
Sudah ramai yang menggelarkan Mawi Raja SMS. Pada mulanya gelaran ini berbunyi agak negatif tetapi lama kelamaan Mawi membuktikan kedudukannya pada ketika ini adalah kerana penyokongnya yang setia dan juga kerana Mawi Fcnya yang tidak jemu-jemu mengundinya di dalam apa sahaja pertandingan dan anugerah.

Katalah apa saja pada Juara Akademi Fantasia 3 (AF3) ini baik gelaran Raja SMS atau Raja Duta. Mawi juga digelar sebagai Raja Duta apabila dia kini sudah mewakili 10 produk. Antaranya produk yang diwakili Mawi sebelum ini ialah M Dot Mobile Sdn Bhd (M Mobile), Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, Mamee-Double Decker (M) Bhd dan Felda Herbal.Populariti Mawi terus unggul apabila berjaya membolot tujuh anugerah di Anugerah Era 06 baru-baru ini.

SMS yang diraih bukan sedikit, popularitinya bagaikan tidak terjejas walaupun bukan sedikit cakap-cakap sumbang perihal peribadinya atau isu putus tunangnya. Bagi penyokong-penyokong Mawi, wang yang disalurkan melalui undian SMS adalah satu pengiktirafan dan sokongan padu yang tidak berbelah bagi untuk Mawi.

SMS juga tanda kekuatan kuasa veto masih berada di tangan penyokong Mawi. Sukar untuk digugat populariti dan keunggulan Mawi yang dikatakan mempunyai aura yang begitu hebat itu.

0 comments: