Tuesday, April 29, 2008

Kisah Hans yang tidak pandai 'berlakon'

(10-07-2007 05:34:06 PM)
BELAS sungguh hati Kakak Tua melihat perilaku Hans Isaac sejak dua tiga hari ini. Selama ini Hans memang seorang artis berhemah, peramah dan pandai ambil hati media. Tapi seperkara yang Kakak Tua dapat lihat, rupa-rupanya Hans memang tidak pandai 'berlakon.'

Maksud Kakak Tua, Hans hanya pandai berlakon di layar perak. Di luar, Hans langsung tidak dapat masuk dalam karektor yang dicipta untuknya.

Berapa kali, Kakak Tua terpaku dengan lakonan bersahaja Hans dalam filem Hanya Kawan, Persona Non Grata, Baik Punya Cilok dan Buli Balik. Pesona bintang yang ada pada jejaka tampan idaman ramai gadis Malaya ini bukan calang-calang.

Tapi di sebalik ketampanannya, Hans adalah manusia biasa sama seperti kita. Dan dia sememangnya tidak pandai berpura-pura. Bagi mereka yang 'dilahirkan' di dalam industri seni, apa yang dipamerkan oleh Hans ini dilihat sebagai satu 'kelemahan' kerana tidak tahu bersikap hipokrit dan bersandiwara.

Hairan juga Kakak Tua macam mana Hans boleh survive selama ini kerana setahu Kakak Tua, manusia macam Hans sukar untuk mencari tapak dalam industri ini kerana terpaksa menyesuaikan diri dalam persekitaran manusia hipokrit dan dunia hipokrisi.

Walaupun sikap Hans sedemikian rupa dan tidak boleh dibentuk sampai bila-bila, Kakak Tua rasa bangga. Jelas sekali, inilah manikam yang di cari. Tak sangka dalam banyak-banyak batu nikal dan permata murah dalam industri hiburan, ada juga terselit manikam bernama Hans Isaac.

Langsung ingatan Kakak Tua terkenang saat pertama berjumpa dengan Hans. Rasanya Hans tidak berapa mesra dengan Kakak Tua tapi semua tu Kakak Tua tidak ambil hati. Yang penting, dia telah menunjukkan sikap telus dan kejujuran yang akan Kakak Tua akan ingat sampai bila-bila.

Kalau Hans marah, dia akan menunjukkan kemarahannya, kalau dia suka dia akan mempamerkan kegembiraannya begitu juga kalau dia sedang bercinta, dia tidak mampu menyembunyikannya. Dan bila dia menangis, ada manik-manik jernih di kelopak matanya...

Sayang sekali, ada segelintir manusia dan peminat pelakon kacak filem Qabil Kushry Qabil Igam (QKQI) ini tidak dapat membezakan siapa Hans yang sebenarnya - Hans Isaac si pelakon kacak dan lelaki biasa bernama Hans Isaac.

Di kala hatinya tersentuh dan dilukai oleh wanita yang disayanginya, ramai yang mencemuhnya dengan berbagai tuduhan. Banyak persoalan dan tindak tanduk Hans dipersoalkan.

Kenapa Hans tidak beritahu awal-awal yang dia bercinta dengan primadona filem Melayu, Erra Fazira? Apa sebenarnya cerita di sebalik isu jam Rolex yang khabarnya berharga lebih RM20 ribu? Dan kenapa harus Hans menceritakan kisah pahit disebalik tabir dalam Melodi dan di dada akhbar?

Apa yang mampu dilakukan oleh Hans di saat ini hanya mengharapkan mendung yang ada dalam hidupnya berarak pergi. Hans sedang cuba merawat sekeping hati yang dilukai namun cabaran dan dugaan yang datang tidak mampu ditepis dengan mudah.

Dan cabaran paling hebat yang terpaksa dihadapinya sekarang ialah bagaimana berhadapan dengan pihak media yang prejudis dan tidak mahu mendengar fakta kebenaran?

Berapa ramai yang mahu menulis tentang cerita di sebalik cerita? Siapa sebenarnya yang memutar-belit fakta untuk kepentingan sendiri. Bagi artis yang bernama Hans Isaac, memutar-belit fakta bukan sesuatu yang mampu dilakukan kerana dia sememangnya tidak pandai 'berlakon.'

Lakonan yang ditunjukkan oleh Hans selama ini adalah untuk layar perak sahaja. Habis sahaja penggambaran, Hans akan balik ke dunia asalnya sebagai orang biasa yang tidak pandai berpura-pura. Di sebabkan sikapnya yang beginilah, Hans telah menjadi mangsa keadaan dan situasi.

Bila dia dimanipulasikan oleh orang-orang tertentu dan beberapa media, Hans bagai orang yang tenggelam punca dan menjadi tidak keruan. Sehinggakan hampir-hampir hilang pertimbangan.

Namun di sebalik semua kekalutan itu, Kakak Tua tersentuh dengan sikap Hans yang jujur, tulus dan ikhlas. Sanggup berkata benar dan berani menghadapi apa saja situasi untuk menegakkan kebenaran. Kakak Tua tidak fikir Hans mahu balas dendam dengan pengakuan jujur kerana ada kalanya bila kita berkata benar kita terpaksa melukai hati orang-orang tertentu.

Apabila Hans diadili dengan tidak adil oleh sesetengah media dan masyarakat, jujurnya Kakak Tua rasa kita sudah tersimpang jauh dari dunia realiti.

Seandainya kita tidak ada cermin hati untuk melihat pantulan kebenaran dan mengharapkan sahaja apa yang tertulis tanpa boleh berfikir di sebalik cerita, itu sudah hampir kepada tragedi sedih dalam dunia penyiaran.

Sewajarnya kita sudah pandai membaca maksud tersirat di sebalik secebis cerita, sepotong berita samada yang disensasikan mahupun ditambah asam garam untuk dijadikan wadah bacaan.

Bagi orang yang tidak pandai 'berlakon' seperti Hans Isaac, sememang sengsara kehidupannya sekarang kerana dikelilingi oleh orang-orang yang bijak berlakon kerana skrip yang ditutur oleh orang-orang ini akan berubah-ubah setiap masa sedangkan bagi Hans, dia masih dengan skrip yang sama, tidak tahu untuk ad lib walau satu ayat.

Disebabkan Hans Isaac berani berkata benar maka dia terpaksa menghadapi pelbagai tohmahan kerana lawannya ialah primadona terbilang.

Kesangsian yang terbuku di hati Kakak Tua setelah mengikuti episod cinta Hans-Erra-Engku Emran sampai ke titik nokhtah apabila mengikuti setiap laporan yang dikeluarkan.

Bagi Kakak Tua yang cukup arif membaca fakta yang tersirat, Hans merupakan seorang yang jujur, seorang lelaki yang setengah mati bercinta dan gagal mengawal emosi apabila rasa dirinya tidak dihargai.

Berapa orang, tambahan pula artis terkenal macam Hans, yang sanggup membuat pengakuan yang dia telah membelasah seseorang kerana tidak mampu mengawal diri. Hans sendiri mengaku kesilapannya. Namun, peristiwa yang baru dilalui ini bagai mimpi sedih yang tidak mampu dibuang dari kotak memori Hans.

Diharap selepas ini, baik Hans, Erra mahupun Engku Emran akan menjadikan peristiwa ini sebagai iktibar dan cuba mencari hikmah di sebalik kejadian.

Janganlah hendaknya ada sekelumit dendam di hati atau menyimpan bara di dalam dada kerana semua itu akan merugikan kita. Syukur dan redhalah atas apa yang berlaku.

Bukan senang mencipta nama tersohor seperti Hans Isaac atau Erra kerana nama mereka bagaikan satu jenama. Bertahun-tahun mencipta nama, jangan disebabkan silap langkah, nama itu akan terus abadi dalam lipatan sejarah dan hilang begitu sahaja, hanya kerana mengikut kata hati.

Kakak Tua percaya Hans bijak mengatur langkah dan bangun dari sebuah 'kejatuhan' kerana langkah kita akan lebih kemas dan mata juga akan lebih awas terutamanya bila berdepan dengan musang berbulu ayam.

KAKAK TUA: Nak bawa Hans pergi mandi bunga untuk CUCI hati yang lara...

0 comments: