Tuesday, April 29, 2008

QKQI 'kempunan' tidak tercalon dalam FFM20

(20-07-2007 09:58:51 AM)
Kontroversi tidak dirancang. Begitulah nasib yang menimpa filem Qabil Khushry Qabil Igam (QKQI) yang LANGSUNG tidak menerima sebarang pencalonan bagi Anugerah Festival Filem Festival Malaysia ke-20 (FFM20) di Pulau Pinang yang akan berlangsung pada 4 Ogos ini.

Yang pelik tu, filem yang meminjam semangat nama filem Bollywood terkenal Kabhie Kushie Kabhie Gham ini, pernah mencetuskan satu trend baru mendorong ramai ke panggung menyaksikan kisah airmata antara dua beradik yang berakhir dengan tragis sekali.

Kejayaan luarbiasa QKQI memungut kira-kira RM1 juta bagi lima hari pertama tayangannya pada 8 Februari lalu adalah satu rekod yang dicipta oleh penerbit/penulis skrip Azlina Pa'Wan dari Sonata Film untuk penggemar filem tempatan.

Sukses filem ini walau bagaimanapun bertukar sebaliknya dan bagaikan tidak selari dengan berita 'tersisihnya' QKQI dari FFM20.

Maka sudahnya, nilai kehebatan lakonan pelakon-pelakon handalan seperti Fauziah Nawi, Hans Isaac, Rusdi Ramli, Erra Fazira mahupun Ziana Zain dinafikan hak mereka untuk sebarang pencalonan.

Sekurang-kurangnya nama-nama hebat ini wajar di senarai pendekkan untuk apa saja kategori yang layak tapi sayangnya satupun tidak masuk buku.

Bila sudah tidak masuk buku, faham-faham sajalah, tentu ada yang tidak kena. Dan rasanya, orang yang paling terkilan ialah Azlina Pa'Wan yang merupakan orang baru dalam industri penerbitan filem.

Azlina bijak bermain dengan emosi penonton dalam filem ini dan ramai yang memberi pujian keberanian Azlina memberi sentuhan baru untuk QKQI. Tapi kini wanita gigih ini terpaksa menerima kenyataan pahit tentang realiti sepak terajang industri perfileman kita. Pendek kata politik industri hiburanlah.

Pelakon-pelakon yang telah berhempas pulas memberi yang terbaik untuk filem ini tentu 'kempunan' kerana tidak mendapat sebarang pencalonan. Sampaikan untuk kategori Poster Terbaikpun, QKQI tidak layak.

Yang membuat Kakak Tua terpanggil untuk bincang filem ini kerana terdengar alasan 'tidak masuk akal' sebab kenapa filem ini 'tidak layak' dicalonkan untuk sebarang kategori. Menurut katanya, nama filem dan skrip filem tidak original.

Maaf kalau fakta yang diterima Kakak Tua ini agak mengelirukan, tapi itulah yang diberitahu oleh salah seorang juri yang menyaksikan filem ini.

Kalau benarlah ini alasan utama kenapa QKQI 'tidak layak' bertanding, bayangkan apa yang cuba disampaikan oleh urusetia penjurian FFM20.

Ianya seolah-olah memberitahu Azlina yang filem ini tidak original. Bila dah tak ori, bermakna ia ciplak dan ini merupakan satu tuduhan serius.

Kalau Kakak Tua lah, tentu rasa malu yang amat sangat apabila dituduh dengan tuduhan yang tidak berasas dan lemah itu. Itu belum lagi penghinaan dan bagaimana nak letak muka bila karyawan filem dan orang ramai berbincang pasal 'reputasi' filem QKQI.

Tak kan nak buat bodoh saja dan menerima bulat-bulat keputusan yang dibuat oleh panel juri. Dan Kakak Tua sendiri paling tidak suka apapun jenis ketidakadilan atau penganiyaaan dalam apa bentuk sekalipun.

Mustahil semua juri sebulat suara menyisih filem QKQI ini. Kalau betul, apa justifikasi dan logiknya filem ini diketepikan begitu saja? Tentu ada alasan kukuh kenapa QKQI tidak cukup 'hebat' untuk bertanding.

Banyak persoalan yang bermain dalam benak Kakak Tua ketika ini. Mungkin juga sekretariat FFM20 tidak menjangka akan timbul kontroversi baru seperti faktor QKQI ini menjelang persiapan anugerah filem festival yang julung-julung kali diadakan di pulau mutiara.

Siapakah agaknya yang membuat keputusan dan 'over rule' filem ini dari masuk dalam senarai? Sebenarnya Kakak Tua sendiri sudah penat bercerita pasal kepincangan dan kelemahan pengurusan Anugerah Filem Festival Malaysia ini.

Saban tahun selama 20 tahun, ada saja kelemahan yang ditimbulkan. Selain kepincangan, ada 'kontroversi' baik yang tidak dirancang atau kebetulan yang berlaku sepanjang festival filem berlangsung.

Seperti biasa, apa yang termampu dilakukan oleh Kakak Tua hanya 'berkokok' di luar sahaja dengan harapan apa yang dicakapkan akan meninggal kesan. Setidak-tidakpun komen yang diutarakan diberi perhatian sewajarnya.

Jadi Kakak Tua harap Azlina dan warga kerja QKQI jangan cepat melatah. Terima saja keputusan dengan hati terbuka. Jangan jadi macam sesetengah orang yang pernah ditegur Kakak Tua sampai nyaris 'hilang akal' dan buat benda pelik-pelik seperti terguling di dalam longkang.

Harap sangat selepas artikel ini keluar, pihak sekretariat FFM20 tidak panggil sidang tertutup untuk 'membelasah' Kakak Tua pula. Lebih haru, kalau mereka ambil keputusan
'mengharamkan' terus Kakak Tua dari buat liputan festival filem.

Semua ini Kakak Tua dah rasa dan kalau jadi sekalipun, tidak terkejut kerana bak kata bidalan Inggeris "The Truth Hurts".

Berapa ramai yang makan hati dan menyimpan dendam hanya kerana dicuit? Rupa-rupanya ada juga yang sakit hati terkena bahang teguran Kakak Tua selama ini.

Kalau setakat melatah, tak apa juga. Ada tu menyumpah, terjerit terlolong macam jin botak terbakar kepanasan, sampai hampir hilang pedoman.

Yang hairan tu, ada hati hendak 'memboikot' Kakak Tua, paksa putuskan silaturrahim dan padamkan terus nama Kakak Tua dari minda dan telefon bimbit. Siap bagi notis lisan supaya jauhkan Kakak Tua dari semua premis macam kena 'house arrest' pula.

Bukannya bertambah benci, bertambah ramai lagi yang jatuh sayang dengan Kakak Tua. Macam reverse psychology pula.

Lagipun Kakak Tua tidak ambil pusing hal remeh temeh macam ni kerana sedikitpun tidak jadi kudis. Nama insan kerdil seperti Kakak Tua memang tidak layak untuk bertakhta di hati makhluk dajal dan zalim. Bagi mereka yang selalu prasangka pada Kakak Tua, belajarlah mengenali hakikat kebenaran dan kelemahan diri.

Tidak guna nama segah Raihan, Aubrey Suwito, Roslan Aziz dan Yassin, kalau hakikatnya kita tidak kenang budi, angkuh dan hidup macam main wayang kulit.

Kalau difikirkan, apalah sangat teguran Kakak Tua yang seperti semut merah ni pada mereka yang lebih berpengaruh, berpangkat dan ternama. Selalunya orang yang ada pekung dan takut bayang-bayang saja yang ngeri dengan tulisan Kakak Tua.

Macamlah 'gigitan' Kakak Tua ni begitu bisa sehingga boleh meninggalkan kesan dan parut yang dalam. Tapi benarlah kata orang tua-tua, siapa yang terkena tajamnya mata pena ibarat tertusuk duri. Bisanya ditanggung sampai mati!

KAKAK TUA: Teringin nak bermandi manda di Port Dickson dengan budak-budak MyStarz, LG dan Marini tapi takut ada yang gila meroyan!

0 comments: