Tuesday, April 29, 2008

Bila Seniman Menangis?


(10-05-2007 11:31:40 PM)
Lagu Seniman Menangis paling sedap didengar tatkala penyanyinya, Jamal Abdillah dilanda badai. Bukan mahu menyindir tapi itulah kenyataannya.

Bait lagunya saja seakan memberi gambaran hidup Jamal...Insan gembira, Mengikuti berbagai cerita. Fitnah dan dusta, Menjadi permainan biasa, Dalam tawa riang, Jiwaku tertekan.
Syahdu sungguh kerana melodi, lirik dan penceritaan lagu ini seiring dengan kehidupan Jamal yang cukup berliku ini.

Seolah perjalanan hidup Raja Pop ini mengikuti bait-bait lagu tersebut. Itulah kehebatan lagu nukilan Datuk Ahmad Nawab dan penulis lirik Habsah Hassan.
Kakak Tua sendiri sudah lama memerhati rentetan hidup Jamal dari sejak mula bergelar Juara Bintang RTM tahun 1979 lagi.

Kisah disebalik kehidupannya di Pusat Serenti, pergolakan rumahtangga bersama wanita istimewa bernama Dee yang setia menemaninya dan dua lagi isterinya sesudah itu, semuanya tercatit dalam diari kerja Kakak Tua. Dan setiapkali Jamal sebak, terharu dan menangis, peristiwa itu akan terakam kemas dalam benak Kakak Tua.

Sebagai kawan lama yang mengikuti kisah pahit manis penyanyi yang seorang ini, sudah tentu Kakak Tua turut merasakan kepiluannya ketika kehilangan orang tersayang, kehidupannya yang terumbang ambing, sekejap suka tapi duka yang berpanjangan. Dan pilihan yang dibuat oleh Jamal selalunya tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.

Tapi kesedihan Kakak Tua tidak berpanjangan....

Ada ketika, mentari sempat menjengah sebentar dalam hidup Amar (panggilan manjanya) dan itulah saat yang paling menggembirakannya. Detik gembira ketika bergelar ayah pada dua anak lelaki - Osama dan Ahmad Zali Yammani, perkahwinannya dengan Dee, sudah cukup membuat hidup Jamal bahagia buat seketika.

Tapi bila badai datang dan datang dan datang, Jamal tidak mampu menepisnya. Walau hampir jatuh, hanyut dan tersungkur hingga terkapai-kapai mencari tempat berpaut, Jamal tetap bertahan sebagai penghibur sehingga kini.

Jamal adalah seorang penyanyi yang istimewa kerana dia tidak pernah SERIK. Badai itu yang dicarinya berkali-kali, seakan tidak pernah mahu berpisah dengan pengalaman pahit yang sudah mencecah beratus kali itu.

Mungkin juga Jamal tahu yang dia penyanyi kesayangan ramai. Apa saja kesalahan dan keterlanjurannya di masa lampau akan dimaafkan. Memang betul lah kata orang, Jamal ini anak emas industri kita kerana belum pernah lagi masyarakat menghukumnya walaupun sudah sahih dia yang bersalah.

Tapi sampai bila, kemaafan ini akan dihulur? Apabila keterlanjuran sudah mencucuk mata dan banyak hati menjadi keras dan beku untuk memaafkan Jamal, mungkinkah ada ruang lagi untuk Jamal?

Setahu Kakak Tua, hanya ada dua wanita yang akan selalu bertakhta di hati Jamal - arwah ibunya dan bekas isterinya Dee. Kedua-dua wanita ini amat istimewa di hati Jamal.

Untuk persembahan Hari Ibu - Kasihnya Ibu Membawa Ke Syurga di Hotel Quality, Jalan Raja Laut pada Ahad, 13 Mei ini, Jamal sendiri mengilhamkan tajuk itu. Bagi Jamal, tawaran yang diterimanya sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan pada ibu yang sudah tiada.

Kata Jamal lagi, setiap kali tiba hari ibu, dia akan teringat kisah silamnya bersama ibu tersayang kerana dia sedar "Kasih ibu membawa ke syurga." Menurut pengakuan jujur Jamal, dia seorang anak yang selalu derhaka kepada ibu, nakal dan tidak boleh ditegur. Setakat nasihat, mungkin hanya sekali saja yang dia dengar.

Kekesalan dan kekecewaan ini hanya disedari Jamal selepas ketiadaan ibu. Di showcase Hari Ibu itu nanti, Jamal juga akan turut menyampaikan sebuah lagu baru, belum pernah dirakamkan lagi dan dari bayangan yang dibuat, rasanya lagu ini ditujukan khas untuk Dee...."seorang wanita yang mempunyai segalanya tapi kesepian dan dia juga yang menolak saya dari hidupnya."

Itulah Jamal yang sebenarnya. Seorang yang romantis, sentimental dan penuh dengan ombak yang bergelora. Di dalam keseronokan menghiburkan penonton, persembahan ini akan membawa seribu kenangan pahit manis buat Jamal dan katanya lagi...."Saya mungkin akan menangis..."

Tapi Kakak Tua sedikitpun tidak akan terkejut kalau Jamal menangis sampai keluar airmata darah sekalipun. Kekesalan yang cuba dizahirkan belum dapat meyakinkan hati ini.

Sudah berapa kali Kakak Tua mendengar suara emas ini merintih hiba, menangis menyanyikan puluhan lagu syahdu seperti Mati Hidup Semula, Perjalananku, Perpisahan Tanpa Relamu, Senandung Semalam dan banyak lagi. Sekadar melepaskan perasaan dan tidak lebih dari itu.

Begitu juga bila Jamal merintih, mengalunkan bait terakhir lagu Seniman Menangis.... Dimanakah kekasih, di saat aku bersedih, di mana teman, di mana saudara di waktu aku berduka, berulangkali hati terhiris di kala sepi aku menangis, Kakak Tua cuma dapat mengajuk saja rangkap ini tanpa secalit rasa simpati lagi.

Buat Jamal, cuba fikirkan kenapa kedukaan kita berpanjangan seakan satu sumpahan. Bila dan bagaimana kita melalui fasa ini, semuanya terpulang pada kita.

Untuk melepasi semua badai bergantung pada kebijaksanaan kita. Kalau sering mengeluh dan menangis tanpa berusaha ke arah itu, tiada gunanya. Fikir-fikirkanlah demi Osama dan Ahmad Zali Yammani.

KAKAK TUA: Menangis bila dihina dan dicaci....

0 comments: