Tuesday, April 29, 2008

Cakap siang pandang-pandang

(25-04-2007 12:00:25 PM)
Kakak Tua terkedu mendengar pengacara Melodi yang sedang 'top', Wahid mengulas pasal kematian dua orang di belakang tabir minggu lepas. Kalau ada rancangan ulangan, mahu saja Kakak Tua menontonnya sekali lagi.

Seperti tidak percaya apa yang terkeluar dari mulut bintang Senario ini....'Seolah-olah ada satu pesta di dunia sana' - begitulah lebih kurang cakap Wahid.

Bukan semua perkara boleh dibuat lawak. Tambahan pula perkara yang berkaitan dengan soal akhirat dan kematian. Wahid langsung tidak menampakkan sensitiviti dan kecerdikan apabila bercakap isu yang menyentuh bab kematian ini. Ikut sedap mulut dan tidak fikir panjang.

Sudah lama Kakak Tua perhatikan sikap keterlanjuran Wahid yang cakap sesedap rasa ini. Tidak semua perkara boleh dibuat ringan. Lainlah kalau kita sehebat pengacara No 1 Malaysia, Aznil Hj Nawawi. Dalam lawak sinis dan ketawa sakan, Aznil masih dapat membuka minda orang tentang apa-apa perkara yang dia fikir boleh dikongsi bersama.

Pesta apa yang dimaksudkan oleh Wahid? Tidak adakah 'censorship' yang melihat terlebih dulu skrip sebelum Melodi ke udara. Atau adakah ini satu lawak spontan Wahid yang tak menjadi?
Kecetekan akal fikiran yang tidak berapa peka dengan keadaan sekeliling akan membuat ramai orang beranggapan bahawa Wahid tidak ada kredibiliti untuk menjadi pengacara. Pengacara tidak sama dengan pelakon komedi atau pelawak dan bukan semua lawak bodoh boleh diterima umum.

Bila bicara pasal cakap siang pandang-pandang ni, Kakak Tua teringat satu artikel yang ditulis oleh Niezam Abdullah, abang Kring...kring mengenai Salimah AF4 yang buka tudung dalam teater Rangkas Putera di Auditorium Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam baru-baru ini.
Ramai yang terkejut dengan kesanggupan Salima membuang tudung untuk seketika semata-mata untuk menjiwai watak Permaisuri Tanjung Karang.

Itu Kakak Tua langsung tidak terkejut kerana bagi Kakak Tua, perbuatan Salimah itu ibarat seorang artis baru yang terkena badi industri hiburan.Yang membuat Kakak Tua terkejut ialah jawapan defensive Salima untuk mempertahankan prinsipnya membuka tudung yang kononnya betul.

Kata Salima, apa yang dilihat oleh penonton itu sekadar rambut palsu kerana pada dasarnya dia tidak menanggalkan tudung, jauh sekali memperlihatkan rambutnya kepada umum. Sebaliknya sebelum rambut palsu disarungkan di kepalanya, dia terlebih dahulu memakai anak tudung yang menutupi keseluruhan rambut asalnya.

Dia juga menganggap, tindakannya itu tidak salah dan berani mempertahankan 'prinsip'nya yang jelas menyalahi hukum Islam.

"Saya berpendapat dengan cara itu saya masih lagi tidak mendedahkan rambut saya kepada orang ramai. Saya masih menutup aurat kerana rambut asal ditutupi," jelas pelajar yang mencuba bidang teater untuk mengasah bakat lakonannya.

Salima bukan orang pertama yang 'berani' buka tudung untuk berlakon. Ada beberapa kerat pelakon wanita yang terlebih dahulu melakukan itu sampai kini. Antaranya Rosnani Jamil, pelakon veteran dan penerbit filem yang terkenal itu.

Cuma yang tak sedap didengar ialah kelantangan Salima mempertahankan tindakannya yang terang-terang memang salah. Sebelum ini Salima beriya-iya mempertahankan pendirian untuk tidak membuka tudung dan melahirkan rasa kesal apabila pihak Astro dalam program Fail Sulit AF menyiarkan gambar-gambarnya yang tidak bertudung ketika dia terlantar sakit selepas kemalangan jalan raya di Temerloh tidak lama dulu.

Salima menganggap perkara itu adalah maruah diri dan penyiaran beberapa keping gambar di dalam program berkenaan ternyata mencabuli haknya sebagai gadis bertudung. Tapi sekarang lain pula pendiriannya. Inilah yang orang kata...sekali air bah sekali air berubah...

Janganlah buat hukum sendiri Salima. Pendidikan agama yang cetek akan membuat orang tertawa akan kebodohan kita. Hukum mana yang dipakai sehingga aurat yang terdedah di leher dan di dada dan memakai cemara atau wig dibolehkan. Little knowledge is bad. Kalau dah salah tu, cepat-cepatlah angkat bendera putih. Janganlah seperti menegak benang basah, yang malu kita sendiri juga.

Masih topik yang sama, cakap siang pandang-pandang, Kakak Tua berpeluang melihat program Gedik Santai baru-baru ini. Tajuknya pasal selebriti yang masih bujang sehingga kini dan artis-artis jemputan minggu lepas ialah Deja Moss, Arash Mohammad dan Chef Ismail.

Puaslah Gedik (Sharifah Shahirah) dan Santai (Raja Azura) mencungkil apa yang membuat hati Chef Ismail tertutup untuk berkahwin namun jawapan yang diberi semuanya macam tidak dapat diterima dan tak masuk akal.

Kakak Tua malas nak membuat rumusan maksud yang tersirat tapi memadailah kalau dikatakan di sini, tidak logik sungguh jawapan Chef Ismail. Sehinggakan kenapa tidak suka budak-budak, kalau mati besok harta yang banyak tu nak bagi siapa dan apakah kriteria isteri yang dicari, semuanya macam tidak berapa tepat.

Pendek kata, kalau cakap tu, pandang-pandanglah dulu kiri kanan. Kalau cakap macam bertih jadi tapi hakikatnya tin kosong, siapa yang malu? Lainlah kalau kulit sememangnya tebal, buat salahpun tak rasa apa-apa. Macam sesetengah artis, yang sememangnya sudah terbiasa cakap bohong. Lagi lama, lagi bijak putar alam....

KAKAK TUA: Dah tua-tua ni, selalu teringat pesan arwah ayah - "Banyak cakap banyak salah."

0 comments: