Friday, April 25, 2008

Nikmat artis ditarik sekelip mata

(17-01-2007 02:37:57 PM)
Begitu banyak nikmat yang dianugerahkan kepada kita tanpa kita mensyukurinya. Apabila bicara soal nikmat ini, Kakak Tua terus teringat ke satu laporan akhbar yang menyiarkan "penderitaan dan kesulitan hidup" pasangan penyanyi yang popular pada era 80-an, Zamree Majani, 42 dan Shara Eqkhnor, 44.

Lalu satu Malaysia pun diberitahu perkahabaran terbaru pasangan penyanyi ini yang susah dan menemui jalan buntu untuk membeli buku sekolah keempat-empat anak mereka Puteri Balqish, 14, Al-Raqsel, 13, Al-Rafiqi Adam, 12 dan Puteri Qistina, 7.

Mereka sukar untuk mencari ruang dalam industri hiburan untuk aktif kembali. Bertambah parah kesusahan mereka apabila perniagaan kedai runcit yang diusahakan sebagai punca pendapatan mereka juga mengalami masalah sehingga terpaksa ditutup lebih setahun lalu.
Dek kerana kesempitan hidup dan ingin melihat anak-anak bersekolah macam anak orang lain, mereka terpaksa buang perasaan malu dan memohon bantuan untuk meringankan bebanan membeli keperluan sekolah terutamanya.

Seperti dijangka, nasib mereka mendapat pembelaan dari pelbagai pihak termasuk Sultan Pahang dan Persatuan Karyawan Malaysia. Sungguh prihatin sekali Sultan Pahang yang sanggup menderma sehingga RM10 ribu. Itulah rezeki harimau yang dikecapi oleh Zamree-Shara.

Siapa yang tidak sedih apabila anak-anak tidak berdosa terpaksa menanggung kesempitan hidup bersama ayah dan ibu. Sudahlah ketinggalan dalam pelajaran dan tanpa kelengkapan sekolah yang sempurna, mereka terpaksa menanggung malu bersama kedua ibu bapa mereka.

Yang paling mengharukan Kakak Tua ialah "kesanggupan" pihak Karyawan meringankan masalah kewangan mereka sekeluarga dan berura-ura untuk mengadakan konsert walaupun pada hakikatnya kedua mereka ahli Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) dan bukan Karyawan.

Tapi atas rasa simpati kerana ia membabitkan golongan artis, niat murni itu akan diteruskan juga.

Jatuhkan martabat sendiri
Yang paling menyedihkan hati Kakak Tua ialah apabila Zamree dan Shara sanggup menjatuhkan martabat mereka dan meminta-minta pertolongan tanpa berfikir dua kali. Tak kisahlah apa pun bentuk rayuan yang mereka perlu. Yang pasti mereka terpaksa menagih untuk mendapatkan sumbangan.

Sememangnya sebagai orang Islam, kita wajib menolong sesama insan tambahan pula apabila mereka sudah meminta pertolongan. Nikmat orang menghulurkan bantuan kepada orang susah ni hanya orang yang pernah melaluinya sahaja yang akan faham.

Lantas, bila sebut pasal nikmat, teringatlah Kakak Tua sepotong ayat dalam Surah Ar-Rahman....Dan antara nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan?
Bukan niat hendak menyatakan mereka berdua ni tidak pernah mensyukuri nikmat yang Tuhan bagi selama ini tapi mungkin mereka agak kurang perhatian ke arah itu seperti juga Kakak Tua di masa lalu.

Jadi Kakak Tua ingin berpesan-pesanlah agar kita tidak mudah tersasar atau lupa. Bagi mereka yang ditimpa kesusahan, bencana mahupun musibah, dianjurkan untuk muhasabah diri kerana bila kurang muhasabah diri, kita akan mudah dirasuk perasaan angkuh, sombong dan lupa asal usul kita.

Dan itulah lumrahnya yang terjadi dalam industri hiburan kita.

Perbuatan meminta-minta budaya tidak sihat

Perbuatan meminta-minta adalah satu tabiat atau budaya yang tidak sihat. Selagi kita boleh berusaha dengan tulang empat kerat adalah tidak wajar kita menadah tangan. Ramai lagi golongan artis yang hidup dalam kesusahan kerana berpenyakit, sudah tua dan tidak boleh lagi berusaha untuk menampung keperluan sendiri dan keluarga.

Namun jarang sekali artis-artis begini mahu menagih simpati untuk mendapat bantuan. Artis-artis tua pun ada harga diri dan tidak sanggup untuk meminta-minta tanpa berusaha. Kalau alasan tidak boleh membuat sebarang kerja selain menyanyi, itu adalah satu alasan yang dangkal.

Penyanyi veteran Datuk Ahmad Jais pernah ditawarkan untuk diberi pencen seumur hidup dari Karyawan namun ditolaknya secara berhemah. Penyanyi warga emas di ambang usia 60 an ini tidak sanggup "makan ditanggung kerana kudrat abang ada lagi. Bagilah pada yang dah tak larat kerja. Selagi abang boleh bekerja insya Allah, tahulah abang nak cari rezeki."

Begitu sekali prinsip yang dipegang oleh Ahmad Jais. Dia tidak rela memalukan diri dengan mengambil duit sewenang-wenangnya kerana ianya melanggar prinsip hidupnya. Tapi berapa kerat artis kita yang macam Ahmad Jais.

Sepatutnya mereka yang berkenaan cuma perlu memberikan Zamree dan Shara "joran" untuk pergi memancing ikan bukannya bagi mereka ikan. Ikan besar pula. Tak ada cacat celanya pasangan ini. Masih muda, tidak berpenyakit. Macam-macam kerja boleh dilakukan.

Contohilah Imuda, Chef Yang Jamil, Kairel Khamis, Ibnor Riza, Aziz Sattar, Datuk Sarimah, Yusni Jaafar, Zaibo dan ramai lagi. Walaupun menghadapi kesukaran dan kekadang sesak nafas bila sampai hujung bulan, mereka tetap cekal dan tidak pandai meminta-minta. Itulah maruah dan harga diri, yang tidak boleh dijual beli.

Nikmat senang adalah anugerah dari Allah Antara ramai-ramai artis, dua orang artis ini tergolong dari mewah dan senang. Kereta berderet, duit berkepok dan namapun cukup popular sekali di kalangan peminat hiburan.

Penyanyi lepasan AF3 yang diangkat martabatnya dari Felda Taib Andak, Mawi mengecapi kemewahan dalam sekelip mata. Rezeki yang melimpah ruah menjadi Mawi antara artis yang disanjungi di saat ini. Begitu juga dengan Datuk Siti Nurhaliza. Ramai yang menyimpan perasaan cemburu melihat kejayaan dan kemewahannya.

Di sebalik kegemilangan hidup peribadi yang dilihat cukup sempurna, kedua mereka mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan juga sesama umat Islam. Dan mereka sedar itu.

Ketika Johor ditimpa musibah banjir baru-baru ini, kembang hati Kakak Tua melihat kedua idola pujaan ramai ini "mencemar duli" membantu mangsa banjir.

Siti turun padang bersama suaminya Datuk Khalid Mohamad Jiwa membantu mangsa banjir di Johor dengan menyampaikan bantuan melalui Persatuan Bulat Sabit Merah Malaysia kerana umum tahu yang Siti juga adalah ahli seumur hidup PBSMM.
Namun hati kembang Kakak Tua kuncup kembali apabila mendengar ungkapan kata dari bibir manis penyanyi kesayangan ramai ini.

"Kami akan membantu setakat mana yang kami mampu tetapi yang penting disini ialah adalah menjadi tanggungjawab kita bersama membantu mangsa banjir yang memerlukan pertolongan," kata Siti yang baru saja menerima hadiah sebuah kereta mewah yang dianggarkan berharga setengah juta di hari lahirnya yang ke 28.

Dan setelah berhabisan menganjurkan "wedding of the year" yang menelan belanja bukan sedikit, bayangkan ini sahaja yang termampu diucap dan diberi oleh Siti. Agaknya Siti sudah lupa hakikat yang bermacam gelaran, sanjungan dan pujaan diterima adalah dari rasa kasih dan kagum jutaan peminatnya. Dan beginikah balasannya?

Mawi dan Siti membantu sekadar yang termampu
Mungkin juga ini cara Siti mensyukuri nikmat yang Tuhan beri kepadanya. Lain orang lain caranya. Hak masing-masing, Kakak Tua cuma boleh menegur saja.

Begitu juga dengan anak jati Johor, Mawi yang menerima berjuta SMS bagi membolehkan ASTRO menobatkan dia sebagai Juara AF memilih untuk menjenguk nasib mangsa banjir dengan ditemani oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan rakan-rakan AF Nora, Karen serta Presiden Karyawan, Freddie Fernandez baru-baru ini.

Mawi telah menyampaikan sumbangan peribadi 650 kampit beras kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor dan turut menyampaikan lagu 'Kian' untuk merawat hati mangsa banjir.
Inilah gelagat "pembesar" industri hiburan kita. Sudahlah layanan yang diterima mengalahkan VIP sendiri meskipun dalam keadaan darurat seperti banjir. Sungguh teruja perasaan mangsa-mangsa banjir melihat kelibat wajah kesayangan mereka.

Cukupkah sekadar menyumbangkan beratus kampit beras, biskut dan pakaian? Kenapa begitu berkira sekali untuk menyumbangkan tenaga, suara dan wang dengan menganjurkan konsert kilat bagi membantu mangsa banjir ini. Mustahil mereka atau orang-orang di sekeliling mereka tidak terfikir untuk melakukan seperti itu.

Bantuan ala-kadar setakat untuk menjadi modal bahan akhbar sudah muak Kakak Tua baca. Hentikanlah segala lakonan untuk tatapan pihak media kerana golongan berada seperti Mawi dan Siti dituntut melakukan lebih lagi kerana rezeki mereka melimpah ruah. Inilah ujian yang diberi untuk melihat ketulusan membantu. Ini bukan showtime yang mana semuanya dilakukan untuk lensa.

Kakak Tua hanya terkilan kerana pernah meminati kedua mereka namun kejahilan mereka menghargai nikmat Allah menjadikan Kakak Tua tawar hati untuk terus mendekati mereka.
Hanya orang yang pandai mensyukuri nikmat Allah akan diberikan tambahan nikmat, sebaliknya orang yang tidak mau bersyukur akan kehilangan nikmat seperti yang terkandung di dalam satu ayat dalam Al Quran. Wallahualam.

KAKAK TUA: Terkenang-kenang nikmat bila ada ayah dan ibu.

1 comments:

Azhar313 said...

adajuga ceritanya ..tq kakak