Tuesday, April 29, 2008

Jangan 'politikkan' AF

(03-05-2007 05:27:35 PM)
Kecoh bila Aizat terkeluar. Bagi yang sayang bakat Aizat sampai tak lalu hendak tengok konsert AF5 lagi. Begitu sekali hebat penangan pelajar yang satu ini.

Pada peminat Aizat, perpisahan dan kesedihan yang menyelubungi Dewan Sivik minggu lepas lebih syahdu dari kisah Aswad yang yatim piatu dan nampak sebak bila Aznil menyanyikan lagu Sudirman Ayah & Ibu.

Perjalanan konsert Akademi Fantasia musim ini memang meriah dari isu panas Zana menarik diri, Dekna tunang orang, Dafi & Aizat anak orang berada. Semua ini menambahkan lagi kemeriahan AF5 walaupun pada realitinya perjalanan konsert agak kacau dan tidak konsisten.

Ramai yang sedih bila lihat Aizat mengusung bagasi keluar tapi Kakak Tua sikitpun tak rasa apa-apa. Bagi Kakak Tua, tidak perlu rasa sedih sebab Aizat akan tetap berjaya di luar sana kerana ada 'support system' yang baik.

Tidak dinafikan Aizat sudah terlebih pandai, tahu serba serbi tentang nyanyian sampai boleh ajar pelajar lain lagi macam mana nak menyanyi dengan feel yang baik. Kalau sudah sampai tahap itu, maknanya Aizat memang patut sangatlah terkeluar sebab dia sudah 'graduate' dari akademi sedangkan yang lain masih terkial-kial mencari tapak, mencari tone placement, teknik pernafasan dan banyak lagi.

Bila difikirkan semua ini, memang layaklah Aizat 'graduate' pada konsert minggu ke tujuh agar pelajar lain yang lemah boleh diberi perhatian lebih oleh tenaga pengajar. Jadi buat apalah kecoh-kecoh.

Kalau Aizat tidak hebat, masakan ramai penonton di Dewan Sivik diajak beri standing ovation pada Aizat. Pengacara Aznil pun sampai tidak dapat menahan emosi bila membuat pengumuman dan tiga juri tetap pula tergamak tuduh pengundi AF 'buta seni'. Semata-mata kerana pelajar kesayangan mereka, Aizat yang terkeluar.

Bila sentuh bab 'buta seni' ini, Kakak Tua hairan kenapa pula pengundi AF yang dituduh 'buta seni?' Kan pemilihan 16 pelajar itu dibuat oleh juri profesional termasuk artis, komposer, tenaga pengajar, pengetua, penerbit dan bermacam orang seni. Tentulah yang dipilih itu yang baik antara yang terbaik? Pengundi pula hanya menjalankan tugas dan beranggapan semua pelajar yang masuk akademi tu berbakat tanpa ada pilih kasih.

Jadi bila isu 'buta seni' ini dibangkitkan oleh Hattan dan dua juri lain, nampak sangat seperti ada yang tidak kena. Mustahil mereka tidak faham apa yang sedang berlaku dalam Akademi atau mereka terlepas pandang.

Pelajar 'favourite' dapat empat lampu biru terkeluar, yang dituduh tidak adil dan buta seni dan tidak tahu menilai bakat adalah pengundi AF. Kenapa tempiasnya kena pengundi pula? Siapa sebenarnya yang buta seni? Juri ke, tenaga pengajar, pihak Astro atau pengundi? Cuba fikirkan.

Yang paling Kakak Tua kagum ialah semangat 'bias' yang ditunjukkan oleh tiga juri tetap - Hattan, Gee dan Ogy Ahmad Daud. Komentar mereka menarik kerana mereka tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan sebenar mereka maka lahirlah luahan rasa terkilan dan marah.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob juga turut mencelah yang dia kecewa kerana pengundi AF tidak tahu buat pilihan. Tanpa segan silu, Adnan juga buat pengakuan yang dia turut mengundi Dafi dan Aizat kerana mereka kelahiran negeri Pahang. Lagipun, ayah Aizat adalah bekas anak murid Adnan dan meminta MB Pahang itu menyokong Aizat, maka Adnan pun berkempenlah...

Kempen AF5 lebih glamor dari kempen politik. Kalau dah berkempen tu, faham-faham sajalah apa saja cara digunakan untuk memastikan kemenangan.

Begitu besarnya 'pengaruh' AF sampai orang politik terpaksa turun padang untuk memastikan kemenangan. Itu bagi pelajar yang ketua keluarga mereka adalah orang yang berpengaruh, berada dan kaya. Bagi pelajar yang miskin dan tidak berpunya pula, mereka hanya mampu mengharap simpati keluarga, teman dan rakyat marhain dengan harapan mereka akan mengundi.

Bertuah betul dua orang pelajar AF5 ini - Dafi dan Aizat. Tambahan lagi Dafi, belumpun keluar, sudah dapat hak keistimewaan. Dipilih menghiasi majalah URTV dan banyak artikel mengenai Dafi diselitkan dalam majalah itu.

Yang terkini, sana sini orang bercerita pasal Afundi Masuk (AF Masuk). Bukan terbuka untuk semua pelajar hanya Aizat seorang. Ramai yang tidak setuju kerana Astro dilihat seperti menjilat balik ludah mereka.

Selalu sangat Aznil mengingatkan..."Semua pelajar yang tersingkir akan pergi dan tak kembali". Tak kan sebab Aizat seorang, AF Masuk dikecualikan. Semua orang di luar sana tahu yang Aizat, pelajar paling istimewa, paling 'comel' kerana pandai 'gegar' perut, berbakat besar dan disayangi tenaga pengajar serta pengkritik. Aizat selalu dapat markah tertinggi saban minggu dan setelah ketiadaannya di akademi, tagline 'Gegar' nya juga dirindui peminat.

Lihat saja apa yang terjadi dengan pelajar AF Masuk, musim-musim lepas seperti Linda Nanuwil dan Lotter. Tidak kemanapun karier mereka.

AF musim ini sudahpun menampakkan keistimewaannya dengan kisah luar biasa. Apa lagi yang akan tercetus selepas ini. Penerbit Bob Azrai yang terkenal menghidupkan babak dramatik tentu sudah siap sedia dengan elemen baru yang lebih panas dan penuh dengan kejutan.

KAKAK TUA - Bagi 'biasiswa' pada satu pelajar sahaja setiap minggu..... 'LINE CLEAR!'

0 comments: