Tuesday, April 29, 2008

Betul ke Siti dipukul?

(16-07-2007 12:11:44 PM)
Siti Nurhaliza difitnah lagi....begitulah firasat Kakak Tua bila terbaca laporan akhbar hari Sabtu lepas.

Kenapa, mengapa dan bagaimana fitnah itu bermula dan tersebar, Kakak Tua sudah boleh agak.
Yang menguatkan gerak hati ini untuk menganggap gosip murahan itu sebagai sebuah fitnah adalah kerana modus operandinya hampir sama jadi senang untuk menjangka apa motif sebenar kenapa tersebarnya fitnah yang memalukan Siti, Datuk K dan keluarga mereka ini berlaku.

Kakak Tua cukup yakin ianya fitnah yang dibuat-buat kerana sebelum ini penyanyi tersohor rantau ini sering difitnah. Dari memakai susuk, botox dan bermacam lagi tuduhan liar dilemparkan pada Siti.

Kini fitnah terbaru pula melanda hidup Siti. Kononnya, Siti dipukul Datuk K hingga pengsan dan dimasukkan hospital.

Tentu sekali berita 'sebesar' ini akan mendapat media play yang cukup istimewa kerana subjeknya adalah orang tersohor dan terpalit pula dengan kontroversi berkahwin dengan bekas suami orang.

Spekulasi demi spekulasi yang timbul berkenaan pasangan Datuk K-Siti tidak pernah jemu dimainkan oleh pihak akhbar.

Ada saja angle baru yang hendak dimainkan. Yang penting ianya tentu sekali melariskan akhbar. Soal integriti dan kredibiliti di tolak tepi dulu kerana yang afdhalnya suratkhabar laku.

Sayang sekali, dalam keghairahan kita menjual cerita begini, tercalit satu lagi titik hitam di dalam episod kehidupan penyanyi bernama Siti Nurhaliza. Dan catatan begini tidak langsung membantu karier Siti.

Imej Siti yang lemah lembut serta sopan bagaikan tercalar dek cakap-cakap negatif macam ini. Kakak Tua percaya di dalam kepala setiap pembaca adalah kesahihan berita yang dipamerkan itu.
Penafian yang dilakukan oleh Datuk K mahupun Siti hanya akan menguatkan lagi api semerak nafsu kesumat orang-orang yang menyebarkan fitnah tersebut.

Seeloknya seperti selalu, Siti tidak perlu melatah kerana itulah yang dimahukan oleh mereka yang ada agenda jahat.

Dan paparan yang dibuat oleh pihak media sebagai tajuk utama sedikit sebanyak tentu sudah 'berjaya' memalukan Siti dan keluarga.
Walaupun sudah masak dengan sepak terajang orang wartawan, Siti dan Datuk K terpaksa tebal muka menghadapi fitnah ini dan tampilkan gaya yang kebahagian mereka tidak tergugat dengan cakap fitnah tersebut.

Sejak kebelakangan ini, media bagaikan berperang 'menegakkan' keadilan. Di harap sangat media tidak berperanan menjadi hakim menghukumi siapa salah, siapa benar maka yang menjadi keliru adalah pembaca dan peminat.
Kakak Tua selalu diingatkan oleh senior-senior dulu untuk selalu mencari kebenaran fakta dan melaporkan cerita dua pihak.

Namun kadangkala laporan sebelah pihak perlu dilakukan kerana walaupun kelihatan berat sebelah, ianya terpaksa dilakukan untuk membersihkan nama mereka yang terkena tempias fitnah.

Begitu juga kesnya Erra Fazira-Hans- Engku Emran, tak sudah-sudah cerita tentang siapa bercakap benar sampai Kakak Tua sendiri bosan memikirkan.
Tapi bila difikirkan kenapa timbul cerita-cerita pelik dan tuduhan palsu pada pihak yang teraniaya maka sekali lagi Kakak Tua terpanggil untuk 'campur tangan.'

Bukan apa, sekadar memberi pandangan pada mereka yang sudah terpesong pandangan mereka dek kehebatan lakonan mereka yang terlibat.

Selain Siti, Mawi juga turut terpalit dengan 'fitnah' kononnya menghisap dadah di Australia. Artis-artis yang tersebut di atas tentu sekali bosan kerana menjadi modal pelaris akhbar.
Tapi itulah yang harga sebuah kemasyuran. Sudah tiada nokhtah untuk mendapat privasi mutlak kerana menjadi milik masyarakat.

Setiap kali Kakak Tua mendapat perkhabaran baru tentang apa saja yang telah melanda artis, Kakak Tua akan membuat siasatan terlebih dahulu.

Cukup senang untuk tahu samada seseroang itu difitnah atau sebaliknya kerana ada beberapa tip tertentu yang kita perlu tahu terlebih dahulu.

Kita dianugerahkan akal yang cukup tinggi martabatnya mustahil kita tidak dapat berfikir dengan rasional logik cerita, jalan cerita dan kesahihan cerita.

Perkara-perkara yang tidak logik ini selalunya kita boleh rasa dengan cepat, jalan cerita perlu meyakinkan dan kesahihan cerita itu pasti sahih apabila ianya selari dan senada dengan fakta logik yang ditemui.

Memang sukar untuk kita mengaku yang kita bersalah tapi selagi kita tidak membuat pengakuan selagi itulah hidup kita akan diganggu dengan perasaan yang tidak tenang sehingga mengundang lebih banyak kontroversi dan cakap-cakap tidak masuk akal.

Tidak kisahlah jika selepas ini, Kakak Tua dianggap nyanyok atau sudah tua hanya kerana memberi teguran pada artis-artis yang selalu terpana dengan kilauan glamor ini sehingga terlupa berpijak pada bumi yang nyata.

KAKAK TUA: Selalu mencari hikmah di sebalik fitnah hebat yang melanda.

0 comments: