Tuesday, April 29, 2008

Antara 'wild card' dan 'wild statement' untuk Mawi

(12-07-2007 04:06:46 PM)
TAK HABIS-HABIS kisah artis popular yang satu ni. Walaupun kisah cintanya dengan Ikin masih berjalan tanpa gangguan, kariernya kini sedikit tergugat dek caka-cakap negatif di sekeliling.

Mawi dikatakan ketagihan dadah di Sydney, Australia baru-baru ini. Konon, berita yang disampaikan perihal seorang kenalan Mawi mendakwa telah disuruh mendapatkan bekalan dadah oleh penyanyi itu semasa di Australia sekitar dua bulan lalu kerana penyanyi itu dikatakan tidak tahan menanggung ketagihan.

Begitulah menurut laporan sebuah akhbar tabloid baru-baru ini. Kenalan itu mendakwa penyanyi yang berasal dari Felda itu meminta bantuannya mendapatkan dadah selepas dia dikatakan resah, tidak tenteram dan menggigil.

Lalu, kenalan itu mendakwa terpaksa membeli dadah di sebuah pub Australia kerana penyanyi itu dikatakan sedang 'gian'. Memang Mawi mengaku dia menggigil di sana, tapi bukan kerana gian dadah tapi kesejukan...Wallahualam.

Namun Kakak Tua sedikit terkilan dan tertanya-tanya apabila 'kesahihan' berita Mawi ambil dadah itu hangat diperkatakan apabila timbul 'eviden' ada satu klip video Mawi (yang dilantik jadi ikon Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia) sedang khayal mengambil ganja disebarkan dan heboh diperkatakan di Internet.

Mawi yang berkunjung ke Sydney pada 16 Mei bersama 50 peminatnya untuk bercuti, bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah pihak tertentu untuk merosakkan imejnya.

Kakak Tua ibaratkan berita gempar yang dilaporkan dalam tabloid itu sebagai satu wild statement yang menjurus kepada fitnah seandainya tidak benar. Namun, bila dikaji semula punca kenapa dan mengapa berita sebegitu dilaporkan di muka depan akhbar popular seandainya ianya palsu lagi tidak masuk akal.

Terfikir Kakak Tua motif sebenar berita ini disensasikan? Mustahil, khabar angin atau sekadar gosip liar saja maka berita itu dikeluarkan. Perlu ada accountability apabila berita yang boleh merosakkan imej penyanyi kesayangan itu dimainkan begitu rupa.

Mujurlah Godfather Mawi, Freddie Fernandez cepat-cepat campur tangan dan buat pembelaan dan mengeluarkan kenyataan balas. Begitu juga Presiden MawiFC, Kak Ita yang perihatin dengan nasib Mawi.

Mawi cukup beruntung kerana senantiasa ada peguambela-peguambela yang tidak bertauliah ini untuk membelanya dari di cemuh oleh media dan orang ramai. Disebabkan aura yang masih tebal menyelubunginya, maka Mawi masih terpelihara dan terlindung dari ancaman yang tidak nampak dek mata kasar.

Mawi harus berhati-hati dalam semua tindak tanduknya selepas ini. Bunga-bunga kearah berita kurang manis tentangnya sudah nampak.

Mungkinkah ini disebabkan oleh sikap kurang enak yang ditunjukkan oleh Mawi sejak kebelakangan ini? Ramai yang menyampaikan berita yang Mawi sudah banyak berubah, pertuturannya juga tidak begitu memberangsangkan baik dari segi isi cakap, nada mahupun pergaulan.

Tidak mustahil ada beberapa hati yang mencuka kerana sikap Mawi yang 'acuh tak acuh', bersahaja dan lepas cakap. Keberangkalian, perasaan yang mencengkam hati ini lah membuat tangan wartawan tertentu lebih laju menulis benda-benda yang tidak harus.

Kakak Tua ingin berpesan pada Mawi supaya belajar PR skills dari Freddie yang bijak menangkis segala tohmahan negatif dan mengubahnya menjadi positif. Ini perlu kerana selain dari disayangi peminat, Mawi perlu 'membiasakan' diri dengan kerenah para wartawan sekaligus berusaha untuk selalu merendah diri dan jangan berubah sikap.

Kakak Tua sendiri sudah lama memerhatikan gelagat Mawi. Dari sikap 'bodoh-bodoh alang' hinggalah ke peringkat sekarang di mana Mawi sudah pandai memilih jenama. Hebat sungguh ketrampilannya sehinggakan membuat Kakak Tua rasa macam Deruma, ibu siTanggang bila sesekali terjumpa dengan Mawi.

Beralih pula pada wild card dalam pusingan Ikon Malaysia. Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa Mawi tidak layak ke peringkat akhir Ikon dan hanya empat sahaja yang berjaya - Dayang, Jac, OAG dan Flop Poppy.

Namun Mawi dan lima artis lain berpeluang ke final menerusi pusingan wild card, di mana mereka akan bersaing dengan sembilan artis lain yang gagal ke peringkat separuh akhir seperti Adam, Daniel, Ezlynn, Shahnon Shah, Amuk, Def Gab C, Disagree dan Mirwana.

Kalau dilihat dari senarai nama, ternyata peluang Mawi untuk ke final memang ada, tambahan pula ribuan peminatnya di MawiFC mungkin ada rancang strategi untuk menabalkan penyanyi idola mereka dalam Ikon.

Meskipun pemilihan akan diadili oleh tiga panel juri iaitu komposer terkenal Ramli MS, Jenny Chin dan Mac Chew sebanyak 70 peratus, manakala 30 peratus lagi telah ditentukan menerusi undian SMS, Mawi masih ada harapan ke final. Cuma kalah atau menang, sukar diramal....

Tapi dengan imej yang sedikit 'tercalar', masih layakkah Mawi bergelar Ikon? Orang lama macam Kakak Tua pernah buat ramalan sebelum ini bahawa Mawi layak bergelar Ikon. Mungkin silap ramalan ini.

Jadi dengan rasa rendah hati, Kakak Tua ingin mohon maaf memberi harapan kepada peminat Mawi sebelum ini. Yang penting kesedaran yang timbul dalam diri Mawi selepas cubaan demi cubaan yang menimpa dirinya.

Pada Mawi, Kakak Tua ingin berpesan, jangan sesekali mendabik dada menganggap diri kita hebat kerana kita tidak ada kuasa untuk meneruskan setiap langkah yang diatur tanpa izinNya.
Mawi perlu mengekalkan sikap kenang budi pada mereka yang telah banyak membantunya selama ini. Jangan hanya pandai cakap "tanpa anda siapalah saya?" kalau sekadar menanam tebu di bibir mulut.....

Kakak Tua: Walaupun, sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betina, kadang-kadang tertipu juga!

0 comments: