Tuesday, April 29, 2008

Antara impian dan angan-angan!

(16-08-2007 03:04:45 PM)
SELAIN kisah dicuit oleh adinda kesayangan, Hartati di Harian Metro baru-baru ini, Kakak Tua terkesan juga mengikuti cerita keghairahan Pian Cecupak menukar bentuk muka dalam mengejar angan-angan Mat Jeninnya.

Begitu juga dengan impian hero nombor 1 Malaysia Rosyam Nor yang beriya-iya cuba mengekalkan 'keremajaannya' dan rasa tercabar bila digelar hero tua. Bilalah agaknya Rosyam akan mengakui masa gemilangnya sudah berlalu atau setidak-tidaknya memberi laluan pada hero muda yang lebih tampan dan berbakat?

Pesanan Kakak Tua, sebelum kita 'dipaksa' meninggalkan takhta kita, eloklah kita buat persediaan untuk pergi cara terhormat dan penuh maruah.

Dan bila semakin ramai artis senja fobia untuk mengaku usia sebenar, semuanya mengingatkan Kakak Tua yang antara impian dan angan-angan sebenarnya jauh sekali.

Sesuatu impian itu tidak semudah itu untuk digapai. Waktu dan ketikanya kenalah tepat. Begitu juga dengan angan-angan. Semestinya angan-angan itu hanya sekadar pengisian sewaktu muda saja.
Bila dah tua tak payah lagi pasang angan-angan, lebih buruk bila aspirasi itu hanya akan menyusah dan menyesakkan kita saja. Lagipun Nabi junjungan ada berpesan, seburuk-buruk manusia adalah mereka yang panjang angan-angannya.

Kalau artis muda asyik berangan, hendak kahwin dengan jutawan Arab atau VIP manis juga bunyinya. Tapi bila artis tua berangan, lain jadinya. Itu yang orang gelar kita tidak sedar diri kerana hendak berlagak muda seperti 'tua-tua keladi.'

Tapi ada juga artis kita yang bersifat 'tua-tua asam, makin tua selera makin tajam.' Mujurlah Kakak Tua ni sekadar 'tua-tua telur ayam' saja. Sebab itulah sebelum lebih ramai lagi mengutuk Kakak Tua, siang-siang lagi Kakak Tua yang insaf dengan keburukan paras rupa yang serba kekurangan membahasakan diri....'Kakak Yang Tua.'

Pada artis yang sudah senja atau melewati waktu Isyak, belajarlah menerima hakikat yang usia muda tidak akan kembali lagi. Jadi tak payahlah kita kejar angan-angan kerana usaha begitu umpama mengejar pelangi petang, semakin dikejar semakin jauh.

Ada perkara bila kita lakukan ketika usia muda nampak cantik tapi bila dah tua nampak buruk. Seeloknya apa saja yang kita lakukan, biarlah seimbang dan selari dengan usia kita. Dan semoleknya sebagai artis, kita berpegang pada janji.

Mungkin sebab itu juga ramai yang rasa 'tertipu' bila penyanyi kesayangan Datuk Siti Nurhaliza tampil lebih seksi dan menggiurkan selepas berumahtangga kerana realitinya dia pernah berjanji pada peminat akan bertudung selepas berkahwin. Segala gerak-gerinya diteropong dan langkahnya senantiasa diperhati. Yang tidak manis dan kurang sopan lebih diberi penekanan.

Begitu juga dengan niat Mawi yang akan mencari pasangan Muslimah setelah meninggalkan Ina Naim dan ada beberapa orang artis lain pernah berjanji tidak akan menyanyi lagi setelah mencapai impian. Tapi janji tinggal janji kerana yang dikejar adalah kemasyuran yang bukan hakiki.

Penghibur terkenal Anita Sarawak yang sudah di ambang sore puas mengikuti peredaran zaman untuk tampil bergaya dan hebat.

Berapa kali warna rambutnya ditukar dan distailkan agar dia boleh maintain muda. Kakak Tua pasti Anita akur yang usia akan tetap mengejarnya walaupun puas dia cuba 'melupakan' angka yang digeruni itu. Dan akhirnya, Anita menerima hakikat warna hitam yang asli adalah warna yang secucuk dengannya pada usia begini.

Tak manis rasanya bila sudah tua, terpaksa dan memaksa diri kelihatan muda dengan menggunakan alasan pakai botoks dan cucuk vitamin semata-mata hendak mengekang muda dan mengekalkan keremajaan.

Putaran alam lumrahnya sudah begitu. Yang muda akan jadi tua dan yang tua akan beredar pergi. Tak mungkin putaran ini akan berhenti begitu saja.

Bila kita cuba ubah hukum ini maka akan jadilah perkara-perkara ganjil yang tidak pernah terbayang sebelum ini seperti kejadian muka, hidung dan anggota badan lain berubah sifat dan zat.

Paras wajah yang dicipta secantik-cantik kejadian oleh yang Esa tiba-tiba nampak ganjil, lucu dan seram. Yang paling ngeri apabila kejadian Allah diubah, hasilnya nampak cacat dan paling haru semua wajah nampak sama saja macam robot rosak. Bolehkah pengklonan yang dilakukan oleh manusia mengatasi maha pencipta?

Sewajarnya artis kita baik muda mahupun yang tua mengambil pengajaran dari ini dan jangan hidup dalam kepuraan (don't live in denial).

Berapa ramai artis kita yang cuba melawan hukum alam dan menongkah arus kerana takut akan kehilangan glamor dan mata pencarian pada usia melewati senja.

Kesudahannya kita akan lihat ramai artis yang dah tua memakai rambut palsu, celup rambut dan baju ketat untuk 'memegang' watak yang lebih muda. Dan dalam terpaksa kerana desakan hidup, artis yang tidak 'mahu berpijak di bumi yang nyata' pula terpaksa memegang watak ibu atau makcik sedangkan jiwa tak sudi.

Pengalaman kita sepatunya mampu mengajar kita bersiap sedia menghadapi usia tua. Masa Kakak Tua muda-muda dulu, arwah ibu ada pesan berpakaian ikut usia jangan nanti bila sudah tua baru nak merasa seperti orang muda.

Berlainan di negeri Barat di mana bila usia artisnya meningkat sahamnya turut meningkat seperti yang berlaku dengan artis mereka contohnya Ella Fitzgerald yang meninggal pada tahun 1996. Ella merupakan penyanyi kesayangan biduanita Saloma dan nilai komersialnya tetap naik sehinggalah dia mati.

Namun di sini senarionya agak berbeza, semakin tua seorang artis itu, semakin turun susut nilainya. Selalunya, nilai komersial artis kita akan meningkat setelah artis itu sudah tiada seperti P.Ramlee, Saloma, Sudirman Hj Arshad dan ramai lagi.

Lain pula hanya dengan golongan akademik dan profesional seperti guru, doktor, peguam dan penulis di mana semakin banyak pengalaman yang ditimba yakni semakin tua, nilai komersialnya lebih tinggi. Justru old is gold. Ini kerana profesion jenis ini menggunakan otak dan bukan kecantikan fizikal.

Profesion begini jauh nilai 'komersialnya' jika hendak dibandingkan dengan profesion artis kerana ianya berkait dengan market value dan demand atau permintaan semasa.

Profesion pemuzik, komposer mahupun penggubah lagu juga senasib dengan golongan artis. Kalau muzik yang dicanang tidak ada demand, maka ianya akan ditolak dan tidak laku.

Untungnya ilmu mereka yang berada dalam profesion akademik tidak akan berubah. Semakin tinggi ilmu mereka semakin mahal nilai dan market value. Semua perbandingan ini memberi gambaran yang dunia seni kita sebenarnya tidaklah seglamor mana.

Bukannya hendak menidakkan pengiktirafan kepada warga seni tetapi rasanya tidak adil bila keringat dan sumbangan golongan akademik yang disebut di atas, terutama pendidik jarang mendapat pengiktirafan seperti golongan artis.

Berapa kerat guru atau ustaz yang mendapat pengiktirafan Datuk kalau hendak dibandingkan?
KAKAK TUA: Tidak pernah termimpi mendapat Anugerah!

0 comments: