Friday, April 25, 2008

Airmata kasih di hari perkahwinan

(07-12-2006 02:15:42 PM)
Sungguh musykil hati Kakak Tua mendengar cerita-cerita belakang tabir di sebalik adegan perkahwinan yang dipentaskan oleh artis kita sejak kebelakangan ini.

Macam-macam gelagat yang dilihat dan banyak perkhabaran yang tidak enak sampai ke telinga. Namun kemeriahan setiap perkahwinan artis sering menjadi tajuk utama di mana-mana akhbar melainkan jika terdapat perkara yang tidak dapat dielakkan.

Walaupun tidak turut serta tapi Kakak Tua tumpang gembira melihat pasangan artis bahagia.
Siapapun pilihan di hati mereka tentu saja harapan setinggi gunung untuk meniti hari-hari depan dengan kebahagian yang berbunga di hati.

Para wartawan pula tidak pernah lokek untuk menjalankan tugas membuat liputan walaupun diundang sebagai tetamu di majlis perkahwinan.

Ramai betul pasangan yang memilih untuk menyempurnakan Walimatul Urus mereka pada tahun ini. Maka rancaklah persiapan yang penuh glamor dan kemeriahan di majlis perkahwinan Sazzy Falak, Awie, Fazley, Nash Lefthanded, Ieda Moin, Norkhairiah dan yang sedang menunggu giliran ialah Pak Aziz Sattar.

Tak kira lah kalau usia mereka agak jauh berbeza namun pasangan itulah yang sekufu buat mereka pada masa ini.

Kegemilangan perkahwinan Sazzy dan Nazril amat dirasakan apabila diadakan di beberapa tempat kerana begitulah kehendak kedua ibubapa mereka. Diarak, disanding dan direstu oleh kedua orang tua.

Walaupun kedua ibu bapa mereka sudah berpisah dan mempunyai pasangan baru namun pada hari bersejarah itu, kesemua mereka bersatu hati meraikan anak kesayangan mereka dengan cara masing-masing. Segala prasangka tidak dibiarkan bersarang di hati.

Sememangnya restu ibu bapa membawa erti yang cukup besar bagi pengantin baru. Kalau tidak masakan berlinangan airmata Dr Fazley dan isterinya apabila mendengar kata-kata nasihat dan pesanan dari ayahanda tercinta di majlis persandingannya baru-baru ini.

Hadirin turut sebak melihat penyanyi kacak yang senantiasa santun dengan keramahannya menitiskan airmata. Lebih mengharukan, kelopak airmata isterinya juga basah digenangi airmata. Entah apalah agaknya yang menyentuh dan menyentak perasaan pasangan yang sama cantik dan sama padan ini hanya Allah saja yang tahu.

Sememangnya apabila titisan airmata mengiringi sebuah majlis perkahwinan dan mendung menutupi wajah yang sepatutnya disulami dengan senyuman dan hilaian ketawa tentulah ada maksud yang tersirat.

Hiba sungguh hati Kakak Tua menatap wajah Dr Fazley dalam kesedihan. Rupa-rupanya dalam kegembiraan majlis itu terselit juga kisah duka. Bertambah sebak di dada dan terpancar akhirnya segala kelukaan di hati pabila ayahanda tercinta melafaz kata-kata nasihat..."Bapak harap Fazley teguhkan iman.
Tiada siapa yang boleh halang ketentuan Allah kecuali dengan izin-Nya sendiri. Percayalah kata bapak, Allah Maha Berkuasa. Walaupun kita hanya boleh merancang, tetapi Allah juga ada perancangan sendiri.

"Walaupun anak terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun hadapilah segala pancaroba tersebut dengan berlandaskan Al-Quran."

Bagai tidak tertahan runtunan hatinya ketika itu maka gugurlah manik-manik jernih di atas pelamin. Itulah harga sebuah percintaan.

Mujurlah kini Fazley sudah ditemani orang tersayang, terubat juga sedih di hati. Bila sebut pasal airmata kasih ini, teringat Kakak Tua pada resepsi Datuk Siti Nurhaliza.

Suasana gembira bertukar hening apabila Siti berpelukan dengan ayah, ibu dan abang tersayang dan sambil berpelukan, pipi gebunya dibasahi airmata. Mungkin kenangan difitnah dan cabaran hebat yang diterima begitu menghibakan Siti.

Begitu juga dengan majlis resepsi penyanyi rock lagenda Awie, 38 tahun dengan pasangannya dengan Rozana Misbun, 27. Walaupun pernikahan dilangsungkan pada 20 Jun tahun lalu namun resepsinya hanya dibuat baru-baru ini di Port Dickson.

Maka beraraklah bapa kepada kepada dua anak perempuan, Puteri Aleeya Antasaha, 6 dan Puteri Aleefa Antasha, 4 hasil perkahwinan dengan bekas isteri, pelakon jelita Arni Nazira - dengan pasangannya Rozana, yang kini hamil empat bulan.

Kalau dulu dirahsiakan kini semuanya untuk tatapan umum. Begitulah lumrah alam segalanya mengikut putaran. Dulu disayang kini dibenci. Dulu disanjung kini dikeji.

Tapi disebalik riuh rendah majlis resepsi yang dihadiri ribuan manusia itu, terdetik dan sedikit terkilan di hati apabila kekanda tercinta, pelakon Haliza Misbun langsung tidak menjenguk muka. Sukar membuat ramalan apa yang terguris di hati masing-masing sehingga tidak hadir ke majlis adik kandung sendiri.

Hati manusia sukar diramal. Tekaan yang dibuat takut mengundang fitnah. Cuma yang pasti, golongan artis sama seperti manusia biasa juga.

Bila ada hati yang tersentuh, perkahwinan yang tidak direstui dan cinta yang terlarang maka kisah itu akan heboh diperkatakan dan tidak akan padam kecuali ada pengorbanan. Fitrahnya sudah begitu.

Orang yang sering difitnah akan rasa betapa perit menelan segalanya kerana tiada titik nokhtah akan umpat keji orang. Bezanya, segala yang berlaku pada artis ditonton khalayak ramai tapi yang sering mendapat tempiasnya adalah si pembawa cerita atau wartawan.
KAKAK TUA: Teringin menyingkap kisah di sebalik lagu Airmata Kasih R.Azmi

0 comments: