Wednesday, April 30, 2008

Patah kemudi, perahu hanyut!

(04-01-2008 09:26:42 PM)
SELALUNYA panggilan dari Pak Aziz antara yang Kakak Tua nanti-nantikan.

Bukan sahaja seniman veteran itu antara artis yang paling berhemah, cara dia menyusun ayat penuh sopan agar tidak tersinggung sesiapa yang mendengar begitu menambat hati.

Orang lama seperti Seniman Agung Datuk Aziz Sattar adalah tunggak dan pelopor Persatuan Karyawan Malaysia. Dan Pak Aziz cukup popular. Tanyalah semua artis muda yang digaulinya.
Namun dua hari lepas, nada dan panggilan dari Pak Aziz agak berbeza.

Suaranya kedengaran jauh seperti orang sebak. Mungkin sedikit marah atas apa yang terjadi. Pak Aziz memberitahu perletakan jawatannya sebagai AJK Persatuan karyawan Malaysia berkuatkuasa serta merta.

Malah alasan juga telah diberi kepada Presiden Freddie Fernandez.

Bukan kepalang sedih hati Pak Aziz meninggalkan tempat yang banyak membawa suka duka bersama kawan-kawan artis yang lain. Seperti Pak Aziz, bukan sedikit artis yang sayang pada Karyawan.

Tambahan pula Karyawan telah banyak berjasa kepada artis veteran seperti Pak Aziz, yang juga antara penerima pencen. Bukannya Pak Aziz tidak kenang Karyawan lah menjadi penganjur majlis perkahwinan kali keduanya yang disambut dengan penuh kegemilangan di Restoran Puteri.

Tetapi itu semua lembaran dulu. Kini hati Pak Aziz bagai tidak dapat dipujuk lagi.

"Yang sudah tu, sudahlah. Bukannya saya tidak sayang Karyawan. Tuhan saja tahu hati saya...," kata Pak Aziz dalam nada yang sedikit sayu.

"Tidak guna saya berada di dalam, kalau cakap dan teguran saya sudah tidak memberi erti pada sesiapa," jelasnya seperti orang merajuk.

Orang tua macam Pak Aziz kalau sudah merajuk susah hendak pujuk. Mungkin tahap kesabarannya sudah tidak dapat dibendung lagi.

Pesanan untuk artis-artis lain yang masih berlindung di bawah Karyawan, ingat-ingatlah jangan lupa. Kalau di bawah angkatan lama, bimbingannya lain.

Pak Aziz, Nash Lefthanded dan Zaienal Abidin Omar (Pengerusi Kehormat) lebih titik beratkan ukhuwah dan silaturrahim sesama ahli tapi arus perubahan yang dibawa sejak akhir-akhir ini jauh berbeza.

Kononnya ada satu, dua anggota baru yang memegang tampuk pentadbiran yang bersikap "Beraja di mata, bersultan di hati." Tiada lagi "Berat sepikul tinggan sejinjing" seperti dulu.

Ketika zaman manis Karyawan, semua kata sepakat di bawa ke meja perundingan. Semua keputusan dibuat mengambil kira suara semua ahli seperti kata "Talian jangan putus, kaitan jangan serkah."

Helaian ketawa disambut dengan jenaka dan seloka meskipun ada hati yang berbekas tetapi semua diambil positif. Kini tidak lagi. Semuanya tinggal kenangan kini.
Khabarnya mula punca disebabkan sikap yang tidak disenangi orang 'berpengaruh' di dalam persatuan yang cuba "Berebut temiang hanyut, tangan luka temiang tak dapat."

Walau sudah ditegur berkali-kali, masih tidak serik-serik lagi. Maka berkatalah Pak Aziz di satu hari, "Takkan cempedak berbau nangka" kerana kalau tak sungguh takkan orang mengata...
Rupanya teguran dikalis dan sebagai orang berprinsip, Pak Azizpun mengangkat kaki pergi meninggalkan Karyawan dengan membawa satu cerita 'misteri' dan kesalan yang berpanjangan.

Pesanan bagi yang tinggal dan masih berlindung di bawah Karyawan, pandai-pandailah membawa diri. "Jangan sudah terperlus baru hendak tutup lubang, Sudah kalah baru berkubu dan Sudah makan baru Bismillah."

Bagi mereka yang pernah bernaung di bawah Karyawan, perasaan kasih dan sayang pada persatuan ini masih kental dan tebal. Walau jauh dan tidak bersama, khabar masih dirisik. Janganlah ikut sikap "Nasi sama ditanak, kerak dimakan seorang".

Benarlah kata orang tua-tua kita akan tahu sikap seseorang apabila sudah tinggal atau bekerja dengan seseorang itu. Berapalah besar dan dalam laut Kalzum, dalam lagi dada manusia. Maka hati manusia yang bernama Freddie Fernandez sudah tidak boleh diselami lagi!.

"Karyawan akan tetap di hati saya, di manapun saya berada...," kata Pak Aziz. Sentimen Pak Aziz memang Kakak Tua dapat rasai kerana sudah sebati dalam jiwa, "Siang menjadi angan-anggan, malam menjadi buah mimpi".

Begitulah naluri orang yang pernah "bercinta" dengan Karyawan. Sampaikan bila kawan-kawan seperti Zaibo dan Abie menegur, "Tak payahlah sibuk-sibuk dengan Karyawan lagi kerana awak dah tak ada kat dalam" - hati Kakak Tua sedikit terguris.

Bukan apa, masakan boleh lupa segala kenangan bersama Karyawan. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat mengadu nasib...kesannya hanya sendiri yang tahu.

Memang Kakak Tua tiada kepentingan bak kata PB Jordan tapi hanya hati kecil yang patah batu hati seperti Pak Aziz, Kakak Tua, Zaienal dan ramai lagi sahaja yang tahu bagaimana sakit bila persatuan yang kita sayangi diperlakukan sedemikian.

Dan sudah adat sikap artis dalam mana-mana persatuan bila yang pergi sudah tiada, yang lain dicari jadi pengganti, tidak ubah seperti "Pecah buyung tempayan ada." Tapi kita tidak boleh mengubah sejarah....

Walaupun banyak kemelut Karyawan yang sudah diharungi dan sampai ke telinga, Kakak Tua tidak akan membocorkan segala rahsia. Hanya Tuhan saja yang ada cara untuk membongkarnya jika diizinkan satu hari nanti.

KAKAK TUA: Tidak teringin usik sarang tebuan, takut "Silap cakap kena radak, Hilang jiwa percuma saja!"

Apa dihairankan dengan angka?

(28-12-2007 01:16:18 PM)
KEAJAIBAN sebuah angka bisa membuat orang rasa gembira, sedih dan sedikit tertekan terutama sekali seandainya ia melibatkan imej dan maruah sesuatu 'jenama'.

Begitu hebat sekali penangan angka sehinggakan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin (Zam) sudah serik memasukkan program RTM dalam mana-mana rating.

Bukan kerana tidak yakin akan jenama RTM tetapi kerana musykil dengan angka yang selalu tertera dan tidak berpihak pada RTM. Justeru siang-siang lagi Zam mempertikaikan rating yang dikeluarkan oleh AC Nielson.

Bagi yang selalu 'menang' kerana angka menunjukkan kedudukan mereka teratas dan terbukti pula kesahihan persaingan tersebut, memang tidak hairan seandainya mereka cukup minat bersaing.

Bagi yang selalu tercorot, lebih baik kalau menarik diri awal-awal dari bersaing sebelum mendapat 'malu' besar.

Sayang sekali, kita belum dapat merdekakan diri dari menjadi hamba pada sebuah angka dan inilah juga yang diperjuangkan oleh ramai orang - memperkasa dan menobatkan kuantiti melebihi kualiti.

Mungkin ramai yang sudah lama perhatikan permainan ini seperti Kakak Tua yang hanya terdaya melihat dari jauh sahaja. Hendak menegur siapalah kita?

Bak kata Penulis Baru baru-baru ini, "Tak dapat dibayangkan seandainya Kakak Tua memperlihatkan diri di khayalak ramai, barangkali lalat pun tak selera nak hinggap."

Atas dasar satu perbincangan, maka terpanggil untuk menyuarakan logik di sebalik angka yang digembar-gemburkan.

Rasanya, sudah lama sangat persaingan ini berlaku baik di kalangan stesen TV, radio, penerbit album, filem mahu badan korporat semuanya berlumba-lumba untuk mencatatkan kehebatan produk masing-masing.

Justeru Malaysia Book of Records juga diasaskan diatas prinsip yang sama dan Radio ERA tetap Radio nombor satu negara.

Maka bersainglah dalam suasana semangat juang, siapakah yang terhebat di antara mereka? Tambahan pula kalau persaingan itu didorong pula dengan undian SMS. Kini, apa saja program diasaskan di atas dasar ini seperti yang berlaku dalam program realiti.

Tidak ketinggalan sepanjang 15 tahun kebelakangan ini, nama Rafflesia adalah satu-satunya jenama aksesori terulung berasaskan mutiara terhebat. Jenama ini terus gah meraih publisiti 'ekslusif' sehebat berkembangnya industri hiburan dan fesyen tanah air kita.

Sehinggakan apa saja yang dilakukan oleh Rafflesia akan mendapat liputan besar-besaran. Limpahan 'kekayaan' Rafflesia telah banyak membuka mata para wartawan yang membuat liputan. Ramai yang 'terkena' percikannya....

Apa tidaknya, ada sesetengah dari wartawan rasa begitu kerdil apabila berdiri di tengah-tengah kilauan glamor dihimpit mutiara gemerlapan yang mencecah jutaan ringgit. Terpana sekejap mata wartawan yang membuat liputan, namun di hati terdetik 'apakah benar angka yang diberi?'

Alangkah tragisnya kredibiliti seorang wartawan seandainya mereka 'ditipu hidup-hidup' dan diberitahu aksesori yang digayakan berjumlah jutaan ringgit sedangkan hakikatnya, tuhan saja yang tahu.

Tak berkerdip mata memandang...bukan kerana kagum tetapi mencari di mana letaknya kebagusan nilai mutiara yang disebutkan itu.

Sepatutnya barang-barang perhiasan begini diletakkan di muzium, tempat semayam yang selayaknya bukan sekadar 'exhibit' di ballroom hotel untuk tatapan khalayak wartawan yang terpaksa buat hebahan. Melainkan tujuannya adalah sedemikian.

Tapi siapakah yang berani dan sanggup membuat penyiasatan angka sebenar? Sudahlah kerja sedemikian meremehkan, takut pula ia akan membawa palitan malu kepada yang menuntut.

Koleksi mutiara Rafflesia juga mendapat tempat di hari perkahwinan artis popular seperti Erra dan Nisdawati. Pendek kata, tak sah lah hari bahagia artis popular kalau tidak disaluti aksesori jenama yang termahal ini.

Inilah nilai komersial melampau yang mendapat tempat di dada akhbar sejak akhir-akhir ini. Itu belum termasuk tuntutan lain seperti album penerbitan penyanyi yang kononnya mencecah RM1.3 juta, setengah juta dan sebagainya. Dan filem box-office yang mencecah RM6 juta, RM3 juta dan sebagainya.

Dan juga konsert yang dihadiri ratusan ribu penonton sedangkan realitinya nak mencecah 10 ribu pun belum tentu lagi dari segi pengamatan mata kasar.

Angka-angka disebut, disiar dan dihebahkan dengan sewenang-wenangnya dan orang yang menyebutnya pula tidak ada langsung terpalit rasa bersalah kerana sudah kebiasaan agaknya.

Hanya golongan marhaen seperti Kakak Tua yang kais pagi makan pagi ini rasa terpanggil untuk menulis subjek ini sekadar renungan. Bukan apa, tidak terbayang dan terjangkau oleh akal ini tentang nilai 'juta' yang selalu diuar-uarkan itu.

Bagi mereka yang berada, apalah yang ada pada angka? Sekadar satu angka sahaja yang akan membuat orang kagum tentang kehebatan mereka dan produk mereka. Wallahualam.

KAKAK TUA: Tidak pernah terikat dengan angka kerana ia hanya SATU angka!

Bila artis popular melakukan 'jenayah fesyen'...

(12-12-2007 01:21:26 PM)
AGAK berat dan susah hati Kakak Tua hendak menyentuh pasal bab berfesyen ini. Tambahan pula yang hendak ditegur itu artis ternama dan yang menegur pula bak 'tunggul berhias.'

Tapi niat di hati ini hanya sekadar menegur. Kalau baik penerimaannya, Alhamdulillah, kalau tidak terpulanglah. Lagipun bukan semua yang dicakap oleh Kakak Tua ini diambil berat.
Lagipun, takut pula orang berkata...Tepuk dada tanya selera.

Badan kita, duitpun kita punya. Orang lain hanya menjatuhkan bibir atas bawah - Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa!

Namun sebagai orang lama, bila ada yang menyindir dan membuat jenaka cara berpakaian Datuk Siti Nurhaliza ketika pelancaran album terbarunya baru-baru ini, tak sanggup rasanya telinga ini mendengar kata-kata kurang enak yang dilontarkan.

Benarlah kata orang tua, bunga yang harum itu ada juga durinya.

Ketika rakan sekerja memberi komen..."Siti telah melakukan satu jenayah fesyen," hati tua ini terus nekad untuk menegur bukan sekadar Siti saja tetapi pereka fesyen Riezman Ruzaini yang langsung tidak memberi nasihat kepada Siti agar melupakan niatnya untuk berpakaian begitu.
Sebenarnya ramai juga artis kita yang pernah melakukan 'jenayah fesyen' seperti Siti dan ada pula tu yang sanggup membayar ribuan ringgit untuk khidmat pereka fesyen profesional agar keterampilan kelihatan lebih anggun.

Namun kadang kala, pereka fesyen yang diharapkan itu bersikap seperti 'Tikus baiki labu' dan memandai-mandai seperti 'Siuntut dipakaikan gelang'.

Maka berjalanlah sidang akhbar yang dinanti-nantikan itu dalam suasana yang meriah. Bertambah 'meriah' apabila ramai hadirin bagai terpaku melihat busana yang melekat di badan montok Siti.

Ramai hanya mampu berkata dalam hati, kenapa dan mengapa Siti sanggup bertukar 'imej' buruk, yang sakit di mata itu.

Tapi hadirin yang berhemah mengambil sikap diam dan lihat termasuk wartawan yang bagai 'terkunci mulut' bila melihat 'kehebatan' Siti yang sudah banyak berubah sejak kebelakangan ini.

Orang kata ukur baju di badan sendiri. Agaknya Siti alpa yang paras rupa dan kemontokan badannya tidak memungkinkan dia berpakaian seumpama itu.

Kalau model atau artis tinggi lampai seperti Nasha Aziz, Erra Fazira atau Aleeza Kassim mungkin sesuai mengenakan busana yang dicipta itu.

Sudahlah seluar ketat dipadankan dengan tali pinggang mencecah atas pinggang, disambut pula dengan serkup kepala berselendang lace. Cukup tidak sempurna jodohnya.

Serkup kepala begitu memang menarik dan akan kelihatan ranggi dan moden seandai pemakainya berwajah bujur sirih dan runcing dan bukan bulat macam bulan purnama.

Wajah manis Siti sebelum ini belum pernah lagi 'tercemar' dengan busana sejelek ini. Potongan wajah 'babyface' seperti Siti tidak sesuai, tambah pula bila litup kepala disengetkan sedemikian rupa.

Timbul pula rasa kasihan di hati kerana tiada seorangpun dalam hidup Siti, baik suami, kakak mahupun kakak ipar yang berani menegurnya.

Bila kita berpakaian bagai nangka masak menyasak sarung, yang menjadi bahan ketawanya kita. Alangkah tragisnya bila orang yang ditertawakan itu adalah idola satu Malaysia.

Wajah manis Siti sebelum ini belum pernah lagi 'tercemar' dengan busana sejelek ini. Selama ini, Siti cukup berhati-hati bila memilih pakaian yang akan disarungkan ke badannya. Walau pernah dilabel 'kampung' atau konservatif, semua fesyennya molek dan berkenan di mata.

Tapi sejak akhir-akhir ini, Siti mula berani 'berfesyen' dan kelihatan agak seksi kerana badan yang langsing bertukar montok dan wajah comel lebih berisi.

Penampilan 'seksi' mahupun 'berisi' yang selalu disebut-sebut oleh rakan wartawan sebenarnya terkandung banyak subteks - yang tidak mampu terucap dengan kata-kata. Adat orang kita menjaga hati agar tidak tersinggung. Bagus juga sikap yang diambil ini.

Cuma jangan menjadikan kebiasaan kerana kesedapan begini hanya akan membuat artis itu terpana dan terpesona sehingga mengambil sikap 'aku hebat'.

Maka jadilah seperti hikayat dongeng "The Emperor and his New Clothes'. Yang mana akhir-akhir sekali apabila semua tertawakannya, barulah si Maharaja sedar yang dia telah menjadi bahan lawak oleh sebab sikap angkuhnya sendiri dan tiada seorangpun disekelilingnya yang berani memberi teguran.

Bila sudah jadi begini, bukan semua yang dikritik itu akan menyalahkan diri sendiri kerana ketaksuban ingin dilihat hebat dan menawan. Selalunya, 'muka yang buruk tapi cermin yang dibelah.' Harap-harap Siti tidak begitu.

Tapi jangan pula dicontohi sikap pengacara Linda Onn, sanggup tidak turun padang menjalankan tugas yang sepatutnya mengharumkan negara, kerana angkara sehelai baju 'glamour' yang dianggap tidak sesuai, kononnya ketat dan begitu seksi. Wallahualam!

KAKAK TUA: Selalu terima kebenaran kerana tak sanggup 'Kata yang benar di tidakkan, rahmat Tuhan dilarikan'

Jangan bercermin di air yang keruh!

(28-11-2007 02:29:29 PM)
SATU penyakit manusia terutama kaum perempuan ialah mereka tidak pernah puas dengan nikmat yang diberi dalam apa keadaan sekalipun. Selalunya nafsu melebihi segalanya. Nafsu dan keghairahan untuk kelihatan cantik dan memikat adalah kemuncak segala perasaan.

Sungguhpun sudah dianugerahkan wajah dan paras yang cantik tidak pernah berasa puas. Mungkin inilah yang dikatakan penyakit al-wahn yang disebut oleh Mufti Perlis, Dr Asri.

Penyakit yang banyak melanda ramai di antara kita termasuk Kakak Tua sendiri bilamana kita masih sayangkan perhiasan dunia dan tidak takut akan mati.

Bila sudah ada penyakit begini, hukum hakam ditolak tepi. Yang penting nafsu nafsi. Tapi 'tiada lukah yang kenyang oleh air', begitulah resmi manusia mempunyai tabiat yang tidak pernah puas dengan nikmat yang diberi.

Maka dibetulkan lah pipi agar kelihatan lebih gebu, mata dibesarkan supaya lebih bundar, dagu lebih runcing dan rahang pipi lebih tirus. Itu belum lagi yang buat operasi liposuction atau menyedut lemak.

Ada yang sampai mengikis kulit agar tonanya lebih mulus dan halus. Pun ada yang cuba 'bleaching' supaya lebih putih ala Michael Jackson.

Bila proses hampir selesai, dengar sajalah alasan yang diberi. Dari "teknik solekan," "suntikan collagen atau Vitamin C" hinggalah kepada "kesan mengambil wudhu."

Pada ketika itu, wartawan yang dijual hidup-hidup ini hanya mampu menelan air liur dan mencatit saja helah tidak masuk akal ini kerana hendak menjaga silaturrahim.

Naluri ingin kelihatan lebih hebat dan cantik dari semua memang menjadi kegilaan artis wanita kita sekarang.

Alhamdulillah, mujurlah ada juga salah seorang dari mereka yang telah insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Aktres jelita peranakan Pakistan, Zahida Rafik yang tiada cacat celanya dari segi paras rupa ini sejak sedari dulu lagi, akhirnya membuat pengakuan di dalam Melodi minggu lepas yang dia telah serik dengan segala eksperimen dan perubahan yang cuba dilakukan pada wajahnya.
Tergamam juga Kakak Tua mendengar pengakuan jujur dari seorang artis muda. Nampak betul ketelusan di raut wajah Zahida yang bak telur dikupas dan pipi bak pauh dilayang.
Bibirnya yang dulu seperti disengat sarang tebuan kini kelihatan lebih mungil dan normal. Zahida memberi nasihat kepada artis-artis di luar sana agar hentikan segala suntikan atau perubahan.
Katanya lagi, dia telah buang kesemuanya dan kos membuang apa yang ditokok tambah rupanya melebihi dari apa yang dicucuk ke wajahnya.
Apa yang dilakukan oleh Zahida sepatutnya menjadi contoh pada yang lain, tidak kiralah artis wanita muda, tua atau popular. Kalau tauladan atau pekerjaan yang tidak elok itu janganlah dicontohi - "Jangan bercermin di air yang keruh" - kelak binasa badan.
Alangkah bagusnya kalau semua orang ada sifat begini. Mengaku saja apa yang telah 'terlanjur' dilakukan dari menegak benang basah dan menukar jalan cerita tapi akhirnya diketahui juga oleh orang ramai muslihat yang ingin disembunyi.
Sebelum ini, ada juga seorang artis berani membuat pengakuan jujur seperti Zahida iaitu pelakon/penyanyi dangdut Ifa Raziah.
Bezanya pengakuan yang dibuat oleh Zahida dan Ifa Raziah ialah Ifa berterus terang melakukan suntikan kerana ingin berkongsi rahsia kejelitaannya tapi Zahida melakukannya supaya artis lain tidak mengambil risiko yang diambilnya.
Kalau dah 'tak sakit, buat apa makan ubat?' Kan mencari penyakit namanya. Jadi mereka-mereka yang sama seperahu macam Zahida tu, cepat-cepatlah ambil iktibar dan buang apa yang tidak patut tu.
Silikon, botoks walaupun susuk sekalipun atau apa saja yang palsu dan mengaburi mata pasti akan membawa padah. Mata atau pandangan akan terpana untuk seketika saja, yang menanggung sakit dan seksa badan sendiri juga.
Sudah terlupakah yang agama melarang kita mengubah kejadian Allah? Lagikan memantis dan mencabut alis kening pun tidak boleh inikan pula terang-terang menodai apa yang asli, yang Allah sudah kurniakan.
Setiap perlakuan yang salah dan di luar bidang kuasa hukum akal wajar dipertimbang dengan sebaik-baiknya. 'Sawah berpermatang, ladang berbidang' - segala apapun harus ada batasannya.

Tapi elok jugalah Zahida mencuba 'eksperimen' yang penuh dengan kesakitan dan mencabar kesabaran itu, supaya dia tahu 'pedasnya lada, masinnya garam'.

Setidak-tidaknya sekarang Zahida boleh dijadikan 'reference point' untuk hal yang berkaitan sekiranya ada artis yang tersasar dan inginkan bantuan.

Setiap perempuan fitrahnya sudah cantik dari azali. Kita yang mencorak kecantikan itu mengikut citarasa kita sendiri. Bertahun-tahun dianugerahkan kejelitaan dengan secantik-cantik kejadian, tidak cukup lagikah?

Bila dah tua lainlah sikit ceritanya. Kakak Tua sendiri yang dah macam 'Cempedak mambung, pulur saja jual tak laku' ni pun sudah bertahun tak pakai bedak. Bukan apa, bedakpun dah tak nak kerjasama sebab kulit dah tak tegang lagi.

Bagi yang muda jelita dan berparas menarik rasanya tidak perlulah membuat perubahan yang terang-terang dilarang oleh agama untuk memikat lelaki.

Walaupun kita berparas jelita bak bulan purnama sekalipun ada 'expiry date' atau 'tarikh luputnya'. Kita tidak dapat menahan proses penuaan dan kematian walau sesaatpun. Jadi janganlah cuba lawan kuasa Tuhan.

Orang perempuan ini, bak kata orang tua-tua 'Sungguhpun lemak santan, akhirnya basi juga.!"

KAKAK TUA: Teralang-alang bagai sampah dalam mata mengenangkan senarai artis yang mengubah wajah!

Kilat dalam kilau, kabus dalam hujan!

(20-11-2007 09:08:29 AM)
KRITIK dan dikritik sudah menjadi kain basahan bagi golongan wartawan. Bila komen, artikel dan bahan yang ditulis diperdebatkan dan menjadi satu bahan diskusi di mana-mana, tidak bermakna apa yang ditulis itu dipersetujui ramai.

Bagi yang berfikiran terbuka, percanggahan pendapat itu sebenarnya adalah satu hikmah. Itu kata wartawan tua. Wartawan alaf baru pula mempunyai persepsi mereka sendiri kerana peredaran waktu dan situasi banyak mempengaruhi cara mereka berfikir.

Selalunya bila sesuatu tulisan itu lain bunyinya, berani menongkah arus dan kritis, ramai yang membuat andaian yang penulis mempunyai agenda tersembunyi. Lebih malang apabila penulis dituduh berniat jahat, hati kuman, berhati hitam, dengki atau ada agenda.

Tidak nafikan memang ujud wartawan yang sebegini tetapi bilangannya amat sedikit.
Bila teguran dibuat untuk kebaikan bersama, berpesan-pesan dan saling ingat mengingati, tujuannya tidak lain sekadar memberi nasihat.

Cukup terkilan bila niat sebenar kita disalahertikan. Dituduh pula sebagai membuat fitnah, konservatif, sudah nyanyok, meroyan dan gila. Siapa yang tidak akan merenyuk rasa?

Situasi begini sudah sinonim dengan penulis tua macam Kakak Tua yang tak sah kalau tak kena umpat keji. Walaupun orang kata dah tak makan saman lagi tapi namapun orang tua, tetap rasa jauh hati dengan penghinaan yang diberi.

Dan bila tangan sudah terikat dan hanya 'dibolehkan' menulis yang molek-molek belaka, terasa pula seperti penulis upahan.

Sampai satu tahap dan ketika, Kakak Tua terdetik untuk menukar profesion jadi 'copy writer' atau penulis iklan sahaja.

Tidak payah susah-susah lagi kupas isu atau menegur secara konstruktif kerana artis-artis kita semuanya hebat-hebat dan tidak jauh dari sifat 'maksum'.

Sebagai satu terapi 'reverse psychology', Kakak Tua cuba 'menghiburkan' diri melihat telatah artis yang suka 'melatah' dan senantiasa fikir mereka di pihak yang 'benar'.

Kelompok artis yang ada imuniti ini langsung tidak boleh dicuit. Bila terbaca apa saja artikel yang tidak berkenan di hati, mulalah tak senang duduk, melenting-lenting macam cacing kepanasan.

Langkah pertama, maki hamun penulis atau terus sahaja berjumpa dengan orang atasan. Kalau hati masih tidak puas, menjana pula pilihan kedua, "I see you in court."
Kalau dah takut dilambung ombak, kenapalah nak buat rumah di tepi pantai?

Dan penulis langsung dipanggil, diberi ingatan jangan sentuh isu artis si polan dan sipolan. Bila profesion rasa tercabar maka berlangsunglah satu pelancaran boikot atau gam pada artis berkenaan. Mulalah satu 'vicious cycle' yang tidak sihat.

Begitulah resamnya bila emosi tidak boleh dikawal maka lumrahnya 'Tepuk berbalas, alang pun berjawab - Jahat dibalas dengan jahat, baik dibalas baik.

Kebanyakan artis-artis kita yang tidak boleh ditegur ini adalah golongan hyper sensitive, berjiwa rapuh dan kurang kental semangatnya. Kalau sensitif bertempat tak apa juga. Ini tak bertempat.

Yang paling malu bila terjerit, terlolong, meracau-racau membuka apa yang terbuku di hati. Kan lebih berhemah, kalau perkara yang dikusut, dilerai dengan baik. Bukan membabi buta mengikut sedap mulut.

Ye lah, orang kata 'Nak pukul anjing, tengok-tengok tuannya dulu.' Bila dah kena 'jatuh hukum' siapa yang rugi? Mulut sahaja cakap tak kisah tapi tercalar jugalah imej yang sekian lama dibina.

Inilah masalah yang dialami oleh artis 'untouchables' dan ada kelangsungan imuniti yang pantang tercuit. Dan lagi tinggi saham mereka, lebih tinggi mereka berangan dan berperasaan yang darjat mereka setaraf golongan bangsawan dan wajib diberi layanan istimewa.

Segala cacat cela terpaksa ditutup dan sipenulis pula terpaksa 'menjual prinsip' untuk menjaga periuk nasi.
Agaknya sebab itulah orang dulu-dulu kata, 'Tidak ada guruh pada orang pekak dan tidak ada kilat pada orang buta' - tidak guna menyindir atau menegur orang yang tidak tahu bahasa atau bodoh.

Buat penat saja, bak kata penulis senior dan sifu Kakak Tua, Ku Seman Ku Hussain, 'buat habis kertas...'

Silap haribulan, penulis yang berani mengulas album, filem, teater atau program yang tidak mencapai piawai akan mendapat salinan 'surat cinta' yang ditujukan khas kepada bos.

Itu belum lagi kena mengadap bila menulis tentang konsert yang kurang dapat sambutan, kisah disebalik resepsi perkahwinan ataupun apa saja laporan yang diklasifikasikan sebagai 'negatif.'

Artis yang begini selalunya takut dengan bayang-bayang sendiri atau ngeri dengan 'dosa semalam' mereka terhidu atau terbongkar oleh penulis.

Bila sudah terdesak mereka akan menggunakan apa saja platform seperti 'Melodi' atau program bual bicara (talk show) untuk meluahkan segala ketidakpuasan hati kerana mendakwa dizalimi.

Memang sukar memberi nasihat kepada golongan artis macam ini kerana mereka ada masalah 'attitude' yang cukup besar, degil dan baut. Memberi teguran kepada mereka ini seperti hendak meluruskan ekor beruk.

Sebab itulah bila hendak menulis pasal artis-artis begini, Kakak Tua terpaksa menulis dengan lebih berhati-hati dan menggunakan bahasa yang sehalus sutera.

Setiap tutur kata disusun dengan rapi dan diselitkan maksud tersirat dalam-dalam bagai 'Kilat dalam kilau, kabus dalam hujan.'

Sekian lama menjadi penulis, jarang sekali terjumpa dengan artis yang berfikiran terbuka. Kalau adapun boleh dibilang dengan jari seperti Herman Tino, Hans Isaac, Syanie Hisham, Hjh Ruhani Rahman, Datuk Jalaluddin Hassan, Nash Lefthanded, Deja Moss, Datuk Siti Nurhaliza, Betty Banafe dan Fauziah Latiff.

Walaupun mereka ini menjalin hubungan yang baik atau mempunyai silaturrahim dengan orang atasan, mereka tidak pernah menyalahgunakan 'kuasa' yang mereka ada untuk menindas wartawan atau mempengaruhi tulisan mereka.

Pernah sekali Kakak Tua menegur Herman Tino. Bila terserempak dengannya, ringkas sahaja dia membalas teguran itu."Abang bersemangat dengan tulisanmu. Tegurlah bukankah itu tugasmu. Abang akan tetap menyanyi kerana itu tugas abang."

Artis yang bersikap seperti Herman sudah hampir pupus. Yang tinggal sekarang rata-rata artis bertelinga nipis yang rasa mereka akan menongkat dunia. Pantang tercuit, tercubit dan terasa dengan bahasa dan label 'hero tua', 'hipokrit' atau apa sahaja teguran....terus 'murka' dan mulalah 'buka silat'.

KAKAK TUA: Keladi muda, muda buahnya. Ikut hati muda, kelahi sudahnya!

Sekarang tak cukup, besok tak habis!

(30-10-2007 11:31:45 AM)
RASANYA ramai yang tumpang gembira melihat cahaya gembira di wajah dua pasangan artis ketika diijab kabulkan baru-baru ini. Yang tua dibawa ke tengah, adat tidak dibelakangkan dan agama menjadi tunggak ikatan.

Alhamdulillah, itulah tanda hidup akan diberkati, Insya Allah.
Kiranya istilah nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan... sudah tidak boleh digunapakai lagi.

Ia cuma satu bait lagu yang tak lapuk dek zaman. Minggu lepas, dua pesta kahwin yang bermandikan cahaya lampu, mendapat liputan besar-besaran.

Emran dan Erra selamat diijabkabulkan Khamis laluMeriah sungguh temasya persandingan 'sederhana' penuh mewah ala pasangan Engku Emran-Erra Fazira dan Lisdawati-Fauzi. Tambahan pula gandingan mereka amat secucuk dan serasi sekali.

Bagi kedua pengantin baru ini, lembaran baru alam rumahtangga baru bermula.
Bagaimana pula kisah lara pasangan yang mencipta pelamin cinta separuh jalan? Kakak Tua sekadar memberi contoh untuk diambil iktibar.

Sungguh taksub bila berkasih. Bercanda bagai tiada esok, biarpun diri bak 'tembikar pecah' tetap manis dipandang mata. 'Biarlah Rahsia' pada mulanya tapi 'Aku Tercipta Untukmu' kesudahahannya.

Bertambah manis bila ikatan kasih berakhir di jinjang pelamin. Biar ada yang menjeruk hati dan terhiris luka, semua tolak tepi. Sudah jodoh namanya. Temasya persandingan besar-besaran makan hari lamanya.

Kalau dewan hotel dikira kecil, padang bola sanggup dijadikan tempat pesta kahwin meraikan taulan. Jalan ditutup, dua tiga jenis kad kahwin dilayangkan. Maklumlah, resepsi dibuat di beberapa tempat tersohor agar terserlah lagi glamornya.

Ketika itu aliran 'kerakusan' duit bagaikan air. Alasan yang diberi untuk tatapan peminat dan sahabat handai, walaupun hakikatnya untuk kepuasan yang tidak bertepi di hari bahagia.

Hampir semua nama-nama di bawah ini mengikut rentetan peristiwa yang sama. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya gerimis di tengah hari. Karam di hati siapa yang tahu. Lagu yang dicipta untuk tersayang terus menjadi sepi dan bahan sumpahan.

Begitulah takdir penentu segala bagi pasangan yang kurang bernasib baik seperti Awie-Arni, Nurul-Ajai, Nash-Sosilawati, Noraniza-Fareez (sekadar memberi contoh beberapa nama).

Semua episod suka dan potret kasih ketika bersama sebagai pasangan bahagia hanya tingga lembaran sedih. Album berkasih sudah tidak mampu diputarkan lagi kerana menyesak jiwa.

Ketika berdua bagai belangkas, semua riak hati terukir suka. Tiada siapa yang dapat menggambarkan kegirangannya. Sehinggakan setiap perbuatan melebihi yang patut.

Setiap kata diikuti - 'Tak emas bungkal diasah, tak ada kayu, tangga dibelah.' Ungkapan kasih bagai tali yang tiada peghujung.

Yang cela langsung tidak tergambar dan hampir tidak terfikir seandainya celaka akan menyapa satu hari nanti.

Bila mana keindahan bertukar wajah, yang baik menjadi buruk, yang cantik nampak jelek, kasih sayang pun sampai ke titik perhentian. Di situlah realiti kehidupan bermula.
Ketika itu, benarlah umpama kata...'Sekarang tak cukup, besok tak habis'.
Lebih buruk bila jemu mula bersarang di hati. Bosan, jengkel dan rimas pula berganti. Suka berganti duka, dulu sayang sekarang benci.

Bagi pasangan yang baru merasa nikmat melayari bahtera, cuba abadikan pepatah di atas agar tidak kecewa satu hari nanti. Apa saja yang kita lakukan perlu bersifat sederhana. Berlebih-lebihan dalam apa jua situasi dan keadaan akan mengundang implikasi yang tidak elok.

Sekadar menyebut 'sederhana' tetapi hakikatnya masih berlebihan akan hanya mengundang orang berkata 'cakap tidak serupa bikin.'

Jangan pula persandingan itu bagaikan satu pertunjukan mengundang riak dan ujub di mana kitab Al-Quran dan Yasin sekadar hiasan untuk kelabukan pandangan. Besoknya si pengantin yang ayu jelita dengan hijab yang tersimpul molek menutup rambut bersalin rupa.

Hijab yang sekadar 'fesyen' di upacara akad nikah diganti pula dengan rambut ikal mayang dan selendang lace jarang diropol mengikut selera fesyen moden bagi upacara memotong kek bertingkat.

Venue Masjid pula diganti dengan 'garden wedding' yang ekslusif untuk kelompok yang berbeza. Inilah trend perkahwinan artis kita. Mewah dan sarat dengan glamor. Mendapat penaja pelbagai pihak sebagai mercu tanda paling popular.

Apapun pilihan yang telah dibuat, selayaknya 'tepuk dada tanya selera.' Siapalah orang tua macam Kakak Tua ini untuk menasihati. Diri sendiripun masih terkial-kial mencari bekalan untuk dibawa pulang....

Sekadar memberi teguran apa yang dirasa tidak elok diteruskan sebagai trend. Kalau ingin sederhana, biarlah dalam arti kata yang sebenarnya. Tapi mungkin juga istilah sederhana itu pada lain orang lain caranya.

Pada orang yang tak punya macam suku sakat Kakak Tua ni, hanya yang wajib dan termampu sahaja dibuat. Yang afdal dan sederhana seperti yang dituntut diutamakan.

Sekadar walimatul urus membuat kenduri menghebahkan perkahwinan sudah memadai. Tapi itu bagi golongan marhaen tak mungkin sama dengan golongan elit mahupun artis.

KAKAK TUA: Tidak tergamak menyuap nasi minyak bila 'terkalang di mata, terasa di hati.'

Berkata benar walaupun ia pahit untuk ditelan!

(18-10-2007 10:24:45 AM)
BAGI ramai orang, mood Raya semakin terasa. Namun bagi orang yang senantiasa berdosa, bulan ini membawa seribu keinsafan dan penyesalan seperti Kakak Tua.

Usia yang semakin bertambah, gelora jiwa yang semakin menurun dan keghairahan duniawi yang semakin surut, membuat Kakak Tua beraya ala kadar saja.

Namun di kejauhan perasaan ini, masih sempat menjengah keghairahan pihak stesen menyambut Raya dengan menghidangkan juadah santapan rohani berupa program hiburan.

Janggal pun ada dan agak terpana melihat betapa rancaknya artis kita meraikan lebaran tanpa perlu disuruh dan dipaksa.

Pakaian glamor dan aksi bermaaf-maafan yang tidak payah menurut skrip cukup menjadi. Sikap yang dianjurkan dalam Islam supaya bermaaf-maafan dan menyemarakkan lagi silaturrahim sesama Islam sangat digalakkan dan merupakan perlakuan spontan sepanjang bulan Raya.

Maka beraya sakanlah artis-artis kita di kaca TV dan di hadapan jutaan penonton. Dan sebagai penonton, kita jadi terhibur dengan apa yang dilihat. Berkesan atau tidak, ikhlas atau tidak, mana mungkin kita dapat selami.

Yang pasti, semua jadi saksi tentang kemaafan yang tertera di kaca TV. Begitu juga dengan hiburan 'sukaramai' seperti Senario Melodi, Cit Cat Azwan dan Joget Lambak bersama Farah (sekadar memberi contoh) turut mencuit hati.

Memanglah tidak dianjurkan kita beraya di depan TV tapi dek tiada apa yang menarik ketika itu, terlepas pandang jugalah apa yang tersaji di depan mata.

Mas pernah menafikan kisah rumahtangganya dengan Aman Graseka melahirkan anak serta bercerai, tetapi akhirnya membuat pengakuan yang dia punya anak perempuanAda beberapa orang personaliti yang muncul di slot Raya yang membuat Kakak Tua terfikir tentang sepotong hadis Nabi SAW..."Berkata benar walaupun ia pahit untuk ditelan."

Otak beku ini bagaikan mencari satu jawapan apa sebenarnya yang terjadi dalam kehidupan artis-artis ini. Adakah tamparan kehidupan masa lalu memberi pengajaran atau ianya sekadar satu lagi episod sejarah silam, yang harus dipadam dan dilupakan dari benak mereka? Wallahu'alam.

Melihat kelunakan suara penyanyi dangdut Mas Idayu dengan stail uniknya memegang mikrofon terus teringat kesungguhan penyanyi genit ini menafikan kisah dia berumahtangga dengan pelakon Aman Graseka, melahirkan anak serta bercerai, satu ketika dulu.

Tiba-tiba saja setelah sekian lama hidup dalam penafian, Mas Idayu dengan rela hati dan tanpa rasa berdosa menipu hidup-hidup wartawan dan peminat membuat pengakuan yang dia punya anak perempuan.

Tidak tahu siapa yang bodoh dan diperbodohkan? Kesian pihak media yang terasa diperbodohkan terpaksa telan saja bulat-bulat semua ini. Mungkin juga mati akal untuk berbuat apa-apa kerana mana mungkin, ada manusia normal yang sanggup buat begini.

Lain pula ceritanya dengan penyanyi dangdut yang satu lagi ni, Ifa Raziah. Terang-terang buat pengakuan cucuk Vitamin C atau botoks untuk mencantikkan paras rupa sehinga menjadi bahan usikan nakal pengacara Azwan Ali.

Sejujurnya Ifa seorang yang jujur dan naif. Tapi janganlah sampai sanggup 'menjual maruah' diri hanya kerana glamor.

Agaknya, Ifa tidak pernah terfikir untuk cakap berlapik atau berselidung. Mungkin juga itulah stail Ifa meraih publisiti murah.

Bak kata seorang wartawan senior, Ifa selalu mendapat publisiti murah kerana perlakuan yang 'salah'.

Bila berbicara 'berkata benar walaupun ia pahit', tidak bermaksud menjatuhkan atau membuka aib orang sepertimana yang selalu dilakukan oleh Azwan Ali. Tapi kita juga tidak boleh salahkan Azwan 100 peratus, kerana pihak artis merela dan meredakan keadaan jadi macam tu.

Lagipun, Azwan jadi terkenal sekian lama kerana 'kepintaran'nya mengolah soalan cili
Ifa dikatakan selalu mendapat publisiti murah kerana perlakuan yang 'salah' padi. Orang yang dah biasa dengan cara Azwan tidak akan melayan pelawaannya untuk menjadi artis jemputan melainkanlah mereka suka kisah peribadi dijejes dan dibentangkan untuk tatapan umum.

Sehingga kini, kita harus bangga pengacara yang seorang ini masih mengekalkan trademarknya mengutara soalan-soalan panas, dalam kelambu dan dalam kain sehingga secara sedar - menjatuhkan martabat artis-artis jemputan, dan secara tidak langsung kredibiliti diri sendiri.

Bagi Kakak Tua lah, yang dimaksudkan dengan 'berkata benar walaupun ia pahit' adalah mengaku hakikat yang kita pernah berbuat khilaf dan terlanjur dalam perkataan dan perbuatan, agar apa yang pernah dilalui itu menjadi cermin di masa depan.

Bukannya terus-terusan hidup dalam puran-puraan. Cukup sekadar mengaku kesilapan itu pada diri sendiri, tidak perlu dihebahkan. Tapi jangan pula menceritakan yang sebaliknya di dada akhbar.

Dalam kita menghidupkan ukhuwah sesama kita, renungkanlah kesilapan diri sendiri. Kalau yang pernah berlaku curang tu, hentikanlah lakonan yang tidak menjadi tu. Jangan disakiti lagi hati orang yang pernah dianiaya.

Bagi orang yang telah dan akan mendirikan mahligai di atas kehancuran dan kekecewaan orang lain, ingatlah kita akan dihisab walau di mana jua kita berada.

Yang pernah 'mencuri' suami atau isteri orang, belajarlah dari kesilapan dan takdir terkini. Bagi anak-anak yang menderhaka, balasannya amat pedih. Ingatlah murka ibu, murka Allah.

Begitu juga dengan mereka yang senantiasa bergelumang dengan dosa dan maksiat. Dan yang terbiasa dengan pembohongan yang dicipta sehingga alpa tentang apa yang benar, apa yang tidak, cepat-cepatlah meletakkan titik nokhtah.

Semua ini sekadar peringatan Ramadhan yang telah pergi dan bulan Syawal yang menjengah.

Di kesempatan ini, Kakak Tua ingin menuntut ampun dan maaf pada mereka yang pernah terusik, tercalar dan terganggu kehidupan mereka dengan kata-kata melampau dan menyentuh perasaan Kakak Tua terutamanya Datuk Sharifah Aini, Azean Irdawaty dan Uji Rashid.

Bagi mereka yang pernah membuat onar dan melakukan kezaliman fisikal, perbuatan juga perkataan pada diri yang tua ini, Kakak Tua telah lama maafkan.

Meskipun pernah diludah, diumpat, dimaki, difitnah dan dikeji, Kakak Tua anggap semua itu kifarah - asam garam dan balasan jiwa yang senantiasa berdosa.

KAKAK TUA: Hanya jiwa yang kuat sahaja dapat memberi kemaafan!

Jodoh yang tidak 'sekufu'

(01-10-2007 01:23:43 PM)
KAKAK TUA paling tidak suka membuat pilihan apabila dua pihak bertelagah. Tapi seperti juga ada halal dan haram, baik dan buruk juga syurga dan neraka, tentu sekali ada benar dan batilnya.

Maka dengan berat hati selalu menyatakan pendirian secara total apabila telah nekad.
Di dalam banyak kes yang melibatkan artis, tidak kiranya yang berebut boyfriend, suami atau bertarik rambut, bergaduh, berpisah mahupun bercerai atau pertelagahan yang melibatkan dua pihak, selalunya gerak hati yang didorong dengan fakta dan akal fikiran seringkali membantu diri ini membuat pilihan mutlak.

Yang paling tidak manis dan menjengkelkan apabila tercipta satu jurang yang besar apabila sesuatu isu itu hangat didebatkan.

Disebabkan perselisihan pendapat yang begitu ketara maka secara tidak langsung permusuhan dan kedinginan tidak dapat dielakkan akan berlaku apabila sahabat mahupun pihak media sebagai pihak ketiga menganalisa sesuatu isu itu seperti dalam kes Hans Isaac Vs EE-EF, Datuk Siti-Datuk K Vs Tengku Zawiyah, Gee Vs Johan Indot dan paling terbaru kes Nash Vs Sosilawati Lawiya (gambar).

Sebagai orang ketiga yang sebenarnya tidak ada kepentingan pun, pihak media seharusnya tidak perlu take sides dan bersikap bias hanya kerana isu itu melibatkan kawan atau sahabat yang kita kenali berpuluh tahun.

Namun disebabkan sentimen setiakawan, kita jadi alpa dengan sekatan dan boundry yang kita perlu jaga sehinggakan sikap profesionalisma terpaksa ditolak tepi.

Maka terhasillah sebuah artikel yang berbaur peribadi seolah-olah kita tahu apa sebenarnya yang terjadi sedangkan yang lebih mengetahui hanya tuan punya diri dan Tuhan saja.
Kakak Tua sendiri selalu dihantui rasa bersalah dan kerap juga insaf dengan kelemahan ini apabila sering meluahkan sesuatu dari isi hati kerana kononnya faham dengan isu yang diperbincangkan.

Kadang tu mata terlepas pandang, jari cepat pula menari ikut rentak hati yang beremosi dan 'mangsa' selalu dijatuh hukum sebelum sempat membela diri.

Tapi seperti kebiasaan, hati ini tidak pernah serik apabila terbaca kisah yang melibatkan 'kekanda' tersayang, Nash Lefthanded dan isterinya, usahawan kecantikan Sosilawati.

Memang jelas lagi bersuluh yang kedua mereka sudah tidak sehaluan lagi. Apa silap dan salahnya, wallahualam. Yang tidak sedap tu, bila wang ringgit dan aset menjadi bahan rebutan.

Disebabkan pertelingkahan kedua personaliti cukup tinggi profilenya di mata masyarakat maka ramailah yang ingin sangat tahu cerita sebenar. Mungkin kedua-dua mereka ada kelemahan masing-masing cuma graviti kelemahan di pihak mana yang lebih?

Kalau menjaja kisah sudah menceraikan isteri sedangkan hakikatnya belum lagi dan alih-alih difailkan kes untuk mengetahui kesahihan penceraian, rasanya itu satu kesilapan? Kenapa tidak dirujuk dulu ke pejabat agama atau sekurang-kurangnya panggil orang tengah seperti yang dianjurkan oleh agama kita.

Melantik seorang peguam untuk menyelesaikan tuntutan cerai adalah alternatif terakhir. Ianya seperti meletak titik nokhtah kepada satu perhubungan suami isteri dan meleraikan ikatan sebuah perkahwinan yang baru saja bermula.

Perlukah lagi kita menyelami agenda yang tersirat kalau parang sudah diasah, pisau terselit di pinggang dan wajah menyingga garang? Permuafakatan yang bagaimana yang dapat diambil seandainya pendirian ini diambil oleh sang isteri pula tu dan bukan si suami.

Di mana maruah suami apabila keaibannya pula dijaja di dada akhbar sebagai gagal menjalankan tugas sebagai ketua keluarga. Tambahan pula, status isteri yang lebih tinggi darjatnya kerana keutuhan ekonomi yang melampau menjadikan suami hanya mampu terkebil-kebil menerima ketentuan yang isteri lebih agresif dan dinamik.

Ikatan perkahwinan yang sekufu tidak akan membenarkan pihak isteri menyoal dan membangkitkan hal-hal peribadi suami yang tidak seharusnya dikongsi dengan orang ramai. Lebih-lebih lagi yang akan menjatuhkan martabat, maruah dan juga imej suami di mata orang ramai. Dan Nash adalah penyanyi pujaan ramai.

Tentu sedih sekali hati Nash apabila kisahnya disebut begitu rupa bermula dengan tuntutan cerai, laporan polis melarikan duit ratusan ribu dan juga pembekuan aset satu-satunya rumah Nash dan anak-anak?

Seorang isteri boleh menuntuk haknya di Mahkamah bukan di dada akhbar. Tidak perlu menyingkap kain, membuka pekung untuk menuntut hak.

Contohilah wanita-wanita mulia yang tidak pandai menconteng arang walaupun berparut luka di hati, ditinggal dan diperlakukan sesuka hati oleh bekas suami seperti Nurul, Hajah Ruhani Rahman, Syanie, Datuk Sarimah Ahmad,Tengku Zawiyah, Camelia, Fauziah Latiff, Sharifah Aini dan ramai lagi.

Mulia wanita bila sanggup memaafkan keterlanjuran bukan menjaja cacat cela bekas suami.
Ahli falsafah terkenal Socrates pernah berkata...By all means, get married. If you're lucky, you'll be happy. If not, you'll become a philosopher. Mungkin beliau merujuk kepada dirinya yang dihalau oleh isteri hingga menjadi ahli falsafah.

Mungkin nasib Nash tidak seteruk Socrates tetapi cukuplah terkena getah nangka buat kedua kalinya. Dua rumahtangga yang dibina hancur di tengah jalan. Bukan luka lagi tapi hatinya hancur luluh.

Walaupun pernah terfikir untuk membawa diri ke Dubai tahun depan bersama anak-anak untuk menukar haluan hidup, Kakak Tua dapat rasa bukan kepalang malu yang ditanggung, maruah yang tercalar dan kepahitan yang terpaksa ditelan.

Dulu Nash selalu mengingatkan rakan-rakan di Karyawan yang mengalami musibah sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah sebagai renungan bersama..."Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Pasti ada hikmah disebalik sesuatu kejadian kerana Allah jua yang Maha Mengetahui.

Selalu teringat pesanan...Jangan kahwini wanita kerana paras rupa mungkin paras rupa itu membawa kehancuran dan jangan pula kahwini wanita kerana hartanya kerana berkemungkinan harta itu membawa kepada kezaliman. Seelok-eloknya carilah wanita yang ada pegangan agama.

KAKAK TUA: Jangan mengharapkan isteri semulia Fatima Az-Zahra seandainya dirimu tidak sehebat Saidina Ali.

Bila Hati Telah Retak...

(26-09-2007 10:14:49 AM)
ENTAH kenapa ketika membelek cerita perpisahan rakan artis, tiba-tiba saja ingatan Kakak Tua terus ke lagu Bila Hati Telah Retak.

Mendayu-dayu suara emas Allahyarhamah biduanita terkenal Puan Sri Saloma mengalunkan lagu ini. Kesannya menyesak jiwa walaupun dalam durasi yang cukup pendek jangkauan 2 minit saja.

Mungkin juga lagu ini akan mencipta kenangannya tersendiri jika hati terluka milik Fauziah Latiff, Hans Isaac dan Nash Lefthanded mendengarnya.

Agak nostalgia bila terkenangkan rakan artis yang berada di fasa dilema, menghadapi saat getir berpisah dengan orang tersayang.

Kalau dulu, berjarak serasa hilang, bercerai serasa mati, kini lain pula ceritanya. Bukan senang berputus kasih dan terlalu mudah melafaz marah bila dua hati sudah berpaling.
Bila Hati Telah Retak tiada lagi jalan kembali....

Mungkin sebab itu juga bait lagu ciptaan Ibrahim Bachik dalam filem keluaran Filem Negara tahun 1981 yang juga menobatkan Rubiah Suparman sebagai Aktres Terbaik pada Filem Festival Malaysia ke 4, amat mengesankan.

Sepintas itu, terbayang riak-riak duka di wajah Hans, Gee dan Nash. Bila bersama anak-anak tersayang mungkin sendu mereka berpanjangan. Bait luka lagu ini makin tepat dan menghiris hati.....Bila Hati Telah Retak, hidup berteman si airmata, bila laut tak bermakna, segunung pujuk tak berguna.

Itu belum lagi kiasan indah lagu Gee dalam Teratai Layu Di Tasik Madu seperti sebuah hamparan doa mahupun Pada Syurga Di Wajahmu oleh Nash yang tercari-cari isteri sejati meskipun masih belum diperkenankan.

Tiada siapa yang dapat menjangka 'Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Lain yang dipohon, lain yang diharap tapi kesudahannya sebuah cerita sedih.
Hans telah lupa luka lamaInilah takdir sebuah perjalanan insan.

Tidak diduga dia menyapa. Cengkaman batin yang menyiksa hanya tinggal memori semalam dan bila cinta telah berkecai, kenangan hanya racun berbisa.

Apa daya untuk melenyapkan sebuah memori kerana ketiga mereka merupakan selebriti dan public figure yang terpaksa menelan segala kepahitan dan meneruskan kehidupan meskipun yang terpapar akan merosakkan imej yang dibina bertahun lamanya. Tapi itulah nilai yang terpaksa dibayar untuk sebuah nama.

Tambahan pula bagi Gee dan Nash, pengalaman melayari bahtera bukan kali pertama. Parut yang lama berdarah kembali. Ditelan pahit, dibuang pun pahit. Justru, pilihan cukup terhad. Mustahil dapat berdiam diri bila kisah peribadi dijejes merata. Kalau dapat pasangan yang berhemah, kurang sikit malu yang ditanggung.

Mungkin Gee bernasib baik, segala hempedu dapat ditelan. Jauh dari rentak gosip dan dek kental jiwa, Gee mampu mengharungi semua. Walaupun sesekali, kelopak jernih menghiasi wajah jelitanya bila terkenang dua cahayamata comel yang sedang berbahagi kasih.

Kini, bahtera indah ciptaan Nash-Sosilawati pula sedang hebat diuji. Tanpa campurtangan dari media dan sesiapapun, diharap kedua pasangan yang cukup berpengalaman dalam alam rumahtangga ini dapat menyelesaikan kes mereka secara rasional.

Ibarat tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan berselerak. Begitu juga jangan sampai yang buruk tersasar, yang baik terpadam. Di tengah kemuliaan bulan Ramadhan, mungkin ini satu dugaan yang terpaksa ditempuh menguji kesabaran dan ketabahan iman.

Jangan diikut bisikan syaitan, meneruskan maksud untuk memuaskan hati amarah. Tiada apa yang hendak dimegah kalau sekadar menghebah cerita dalam kain. Yang malu kita juga. Contohilah Tengku Zawiyah, bekas isteri Datuk Khalid Mohd Jiwa. Biar robek hati yang lama, belum terniat memalukan sesiapa.

Jangan sampai semua rahsia suami isteri yang terkunci rapi selama ini terburai di dada akhbar. Petunjuk di bulan mulia sudah cukup memberi pengajaran untuk mereka yang lembut hati.

Usia 10 bulan dalam alam rumahtangga Nash-Sosilawati, belum tentu hilir mudiknya lagi dan seharusnya keputusan yang hendak diambil biarlah berhambakan tangan, bersaksikan mata dan berhakimkan hati.

KAKAK TUA: Bila Hati Telah Retak, bila budi tak bernilai jalan mudah hanyalah perpisahan...

Artis kita manja, nak 'tongkat'...

(24-09-2007 02:17:50 PM)
ARTIS kita dipinggirkan dan artis Indonesia seperti 'kaduk naik junjung'? Ye ke?

Kakak Tua sekadar ingin memberi pandangan dan tidak semestinya apa yang di tinta ini akan mendapat mandat semua kerana ini hanyalah satu pandangan peribadi saja.

Rocker paling popular di Malaysia, Amy Search (gambar) meluahkan rasa kesal dan geramnya baru-baru ini tentang isu di atas. Suaranya keras bagi bangkangan, menegakkan hak artis Malaysia.

Apa yang disuarakan oleh Amy sepatutnya dibantu secara sepadu oleh rakan-rakan artis yang lain namun ramai yang lebih suka bersikap tunggu dan lihat.

Atas alasan ini isu basi atau malas nak bersuara? Atau mungkin juga keadaan yang menimpa Amy tidak memberi kesan kepada yang lain...

Maka jadilah Amy seperti ayam jantan berkokok yang naik angin, memberikan pandangannya tentang 'provokasi' radio swasta yang kononnya meminggirkan artis Malaysia.

Tetapi sejauh mana graviti masalah ini? Kalau betul lah radio swasta mengamalkan sikap anak tirikan artis tempatan umpama anak kera di hutan disusukan dan anak di rumah mati kelaparan, terfikir jugalah sejak bila perkara ini berlaku?

Tapi benarkah situasi artis kita seteruk yang digembar-gemburkan atau sekadar satu luahan atau ledakan emosi sesetengah artis apabila merasa diri mereka dipersimpangan dilema atau di pinggiran kerana banyak perkara yang berlaku seperti album tak laku, pertunjukan pentas pun merosot dan kemunculan di TV pun jarang-jarang.

Bila semua faktor ini dicampur dan didarab maka fahamlah Kakak Tua kenapa dan mengapa artis kita bersikap seperti cacing kepanasan. Mencari atau memberi alasan apa sedang berlaku di dalam industri hiburan bagaikan memberi satu pentunjuk dan petanda yang kreativiti karyawan kita semakin haus dan pupus.

Mungkin juga peminat ingin berubah selera? Atau karya di luar selalunya hampir menyentuh hati dan kita sebagai peminat muzik terbuai dan terleka?

Dan mungkin juga langit tidak selalunya cerah dan mendung akan berarak pergi maka senario sekarang seperti satu FASA sementara yang pernah ditempuhi oleh industri kita ketika dihujani lagu-lagu dangdut, Bollywood dan irama padang pasir mahupun world music.

Seharusnya kita perlu muhasabah diri. Susah sangatkah bagi kita menerima hakikat yang kita belum setanding dengan komposer di luar sana.

Kalau orang filem sudah lama angkat bendera putih, kenapa orang dalam industri muzik masih degil hendak membuat pengakuan begitu.
Ini bukan soal kecil hati atau hendak ambil hati.

Kalau lagu kita TIDAK sedap, mutu lagu rendah, klise dan predictable atau masih di takuk yang sama dan lama, mustahil ia dapat memenuhi citarasa pendengar. Akurlah dengan rela hati yang kita perlu belajar dari 'kekalahan' ini.

Jangan asyik menuding jari menyalahkan radio swasta kononnya tidak patriotik. Betul ke radio swasta bersikap demikian atau ianya hanya satu lonjakan frustrasi yang tidak dapat dikawal?

Isu lagu Indonesia membanjiri corong radio sudahpun sampai ke pengetahuan Pak Menteri yang perihatin dan diajak bersama untuk menyelesaikan isu ini.

Manja sungguh artis kita. Untung sungguh kerana ada tempat hendak mengadu cuma terfikir juga sudah cukup layak ke masalah ini di bawa ke peringkat atasan? Atau perbuatan bermanja-manja ni seperti alah bisa tegal biasa, ibarat meminta tongkat untuk bertatih....

Lepas ada campur tangan dari ahli politik, selesaikah isu ini? Semuanya berbalik kepada persoalan demand and supply.
Buat macam mana sekalipun kalau masih ada permintaan, mereka akan tetap mencari juga walau dalam keadaan apa sekalipun. Macam tu lah yang terjadi dengan isu cetak rompak yang sampai kini tiada penghujungnya....

Apabila dua 'wira' dalam industri - penggubah lagu terkenal Ramli M.S dan penyanyi Anuar Zain cuba menyuarakan pandangan alternatif atau memberi restu apa yang berlaku, mereka dicap sebagai mengagungkan karya luar.

Bila Anuar berkata, "Jangan politikkan album saya..." setelah album terbarunya mengunakan khidmat komposer dari Indonesia dan menelan belanja besar, ramai karyawan kita seperti terpana.

Mungkin ramai komposer tempatan yang terkilan dengan pendirian Anuar. Lalu terfikir, apa sebenarnya salah Anuar? Bukan tidak pernah berlaku perkara yang sama di masa lampau.

Sheila Majid, Anita Sarawak, Ella, DJ Dave dan ramai lagi telah menggunakan khidmat komposer dari Amerika, India mahupun Mesir. Tetapi semuanya tidak pernah jadi isu.

Kenapa disempitkan fikiran kita dengan mencampur adukkan tahap profesionalisma dengan perasaan iri. Mungkin juga terlalu ramai yang cuba membaca subteks atau maksud tersirat.

Yang tersirat dan tidak berani dilafazkan secara terbuka adalah....komposer kita tidak sehebat dan setanding komposer dari Indonesia. Berapa ramai yang berani berkata begini....

Kalau dalam longgokan nama-nama yang hampir sama seperti Ajai, Andy Mok, Azlan Abu Hassan, Aubrey Suwito dan beberapa kerat lagi, salahkah kita memberi sedikit variasi pada warna muzik kita.

Firasat kita selalunya hampir tepat. Kalau hati kecil sudah berdetik "hebat sangat ke komposer dari seberang?..." tentulah ada kebenarannya dan hakikatnya tidak jauh dari itu.

Kalau begitu kata naluri, memang tepatlah sekali kerana kalbu kita tidak boleh membohongi kita.

Kenapa penyanyi seperti Jamal Abdillah, Alleycats, Datuk Sharifah Aini, Datuk M.Daud Kilau, Datuk Ahmad Jais, Datuk Siti Nurhaliza dan ramai lagi tidak pernah terasa diganggu gugat dengan permasalahan sebegini?

Bukan saja mereka masih laris dan lagu mereka masih diputarkan, persoalan lagu mereka dianaktirikan oleh radio swasta tidak pernah timbul.

Berapa kali Jamal keluar masuk dari Serenti tapi peminatnya masih setia membeli album dan menanti kemunculannya. Itulah kehebatan penyanyi yang tidak pernah takut dengan bayang-bayang dan tidak gentar untuk bersaing dengan penyanyi luar.

Setakat penyanyi dari Indonesia rasanya Jamal masih popular ke mana-mana...

KAKAK TUA: Lagu yang cantik dan indah tu akan berbekas di hati tidak kira dari negara mana....

Mulut berkata riba menanti

(17-09-2007 11:29:35 AM)
SEDIH bila melihat kepincangan moral sesetengah artis kita yang semakin menjadi-menjadi. Perkara yang mungkar bagaikan satu kemegahan dan salah laku seperti satu kemestian dalam resume mereka.

Itu belum lagi disebut satu persatu kekhilafan yang disengajakan yang seharusnya dibendung.Bila disebut 'salah laku', penafsirannya agak berbeza antara satu sama lain.

Pada sesetengah orang aksi bercengkerama Ashraf Sinclair dan pasangannya Bunga Citra Lestari di tepi pantai menjolok mata dan tidak wajar bagi orang Islam. Bagi yang sudah biasa dan muak dengan senario begini, itu adalah adegan biasa-biasa saja.

Begitu juga dengan sambutan ulang tahun pertama perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Khalid Mohd Jiwa. Bagi yang meminati Siti, ianya satu berita gembira tetapi bagi mereka yang sudah hilang minat selepas beliau berkahwin, berita itu membuat perasaan bercampur baur.

Bagi Kakak Tua, seandainya sambutan itu tidak dihebahkan, rasanya lebih baik. Malah bila episod ini (siaran tertunda) disiarkan pada petang kita menyambut bulan Ramadhan oleh TV3, bertambah kacau perasaan Kakak Tua.

Mustahil pasangan sehebat ini tidak tahu menjaga sensitiviti....Untuk apa dan mengapa dimasyurkan siaran ini Kakak Tua pun tak faham. Seandainya untuk menunjukkan betapa romantisnya mereka berdua, memadailah hanya kalangan famili dan sahabat sahaja diundang dalam keraian.

Hebahan yang melampaui batas ditakuti membuat ramai yang salah tafsir tujuan sebenar diadakan majlis. Bila sudah menjadi satu pesta dan sambutannya lebih dari hebahan, ditakuti akan mengundang perasaan riak dan ujub.

Lagipun, banyak hati yang perlu dijaga. Apabila kita membina kebahagiaan dari sebuah kehancuran ditakuti kesudahannya tidaklah elok dan manis.

Orang tua-tua pernah berpesan, sebelum kita melakukan sesuatu kita perlu berfikir 10 kali.Dan ada pepatah lama yang berbunyi, Mulut berkata, riba menanti -- Bila kita berkata atau melakukan sesuatu pada seseorang hari ini, mungkin besok hari kita pula. Lebih kurang begitulah maknanya.

Inilah ungkapan yang perlu diingat oleh semua orang agar tidak ambil mudah sesuatu yang berlaku. Seandainya kita melihat kemusnahan sebuah institusi perkahwinan atau perhubungan ambillah iktibar kerana ia mungkin berlaku kepada kita satu hari nanti.

Apabila kita menyakiti, satu hari kita mungkin disakiti. Bila kita menzalimi, satu hari kita akan dizalimi. Bila kita meninggalkan kekasih yang setia, mungkin kita pula akan ditinggalkan satu hari nanti.

Selamilah hati mereka yang 'dizalimi' - isteri yang diceraikan, mangsa pada saksi palsu, mereka yang difitnah dan banyak lagi kesalahan sesama manusia yang kita lakukan saban hari.

Tidak mustahil, pelapis baru seperti Fasha dan Erra juga yang sedang mengecapi zaman kegemilangan akan merasai zaman kesuraman.

Pernahkah terfikir bagaimana pilunya hati sang primadona atau diva yang pernah mengecapi zaman kegemilangannya dan kini sedang meniti zaman kesuraman? Tidak mustahil perkara begini akan dirasai oleh pelapis baru seperti Siti, Erra, Fasha, Fazura atau Jac sekalipun.

Berapa ramai di antara kita yang di dalam keadaan sedar merelakan dan meredhakan segala perkara ini berlaku tanpa mengambil pengajaran.

Mungkin di saat ini, Datin Natasha Hudson sudah merasakan kepedihan bagaimana rasa terasing bila tidak dipedulikan oleh pihak media. Nasib yang ibarat putaran roda meletakkan dirinya ditempat yang pernah dirasakan oleh si pemberita.

Pertelingkahan atau perselisihan yang berlaku wajar diselesai secara baik dengan melantik orang tengah agar ianya tidak berpanjangan kerana kita semua bersaudara sesama Islam.

Industri kita yang kecil dengan karyawan yang tidak seramai mana membuatkan sesuatu kes atau isu yang berlaku akan kesampaian juga ke pengetahuan kita.

Jadi yang bermasam muka dan berkonfrontasi tu ambillah inisiatif untuk berdamai. Ingatlah, tidak seorangpun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Jangan ingat yang bertudung litup lebih mulia dari yang tidak bertudung kerana yang penting adalah amalan bukan apa yang dipamer di khalayak ramai. Darjat atau kemuliaan kita bukan ditentukan oleh mata pena.

Namun, apabila sesuatu perselisihan itu menemui jalan buntu dan tiada jalan keluar, kembalikan persoalan itu kepadaNya kerana itulah yang terbaik.

Kebenaran manusia itu amat relatif sedangkan kebenaran hakiki datangnya hanya dari Allah. Dan kita akan terkesan juga satu hari nanti. Menurut kita benar menurut orang lain belum tentu. Hari ini benar, besok belum tentu. Hari ni popular besok belum tahu.

Bila didatangi sesuatu masalah renungilah dulu kelemahan diri. Jangan cepat membuat keputusan atau mengeluarkan statement membela diri. Seandainya langkah kita melanggar kebenaran agama, mohon maaflah dengan ikhlas. Jika sikap ini diambil, insya Allah setiap langkah akan menjadi ibadah.

KAKAK TUA: Bila kita anggap mudah segala kesalahan, itu tanda hati sudah mati!

Tuesday, April 29, 2008

Natasha ibarat 'Patung Cendana',,..

(11-09-2007 01:11:30 PM)
TIDAK ada yang lebih bermakna dari membaca berita hiburan yang ada banyak 'subteks.'

Apabila Natasha Hudson 'diboikot' oleh semua wartawan di sebuah sidang akhbar baru-baru ini, Kakak Tua membuat andaian dan membaca perlakuan ini secara 'literal' sebagai satu tindak balas dari perbuatan Natasha yang 'sombong dan angkuh' baru-baru ini.

'Kesalahan' Natasha yang tidak mengundang wartawan dan juga tidak 'menghormati' wartawan di majlis perkahwinannya di tempat semewah Carcosa Seri Negara tempoh hari meninggalkan kesan yang begitu mendalam.

Kiranya, ramai jugalah hati wartawan yang terguris termasuk Kakak Tua sendiri.
Cuma Kakak Tua disebabkan sudah tua, melahirkan kemarahan stail orang tua-tua, marah nyamuk kelambu dibakar.

Aksi menarik Natasha dalam filem terbarunya Tipu Kanan Tipu KiriDisebabkan terluka dan tersentuh kerana adik kesayangan Nor Akmar Samudin diperlakukan sebegitu, Kakak Tua terpanggil menulis dengan panjang lebar.

Ramai yang salah tafsir artikel yang ditulis. Bukan sekadar menegur tapi hati berbekas dan tercalar kerana adik tersayang yang bukan calang-calang pemberita seperti terkapai-kapai, tiada pembela.

Mungkin kasar bunyi teguran itu sehingga mengundang perdebatan yang berpanjangan sehingga kini tapi itulah naluri ikhlas seorang kakak. Yang telus itulah yang menyebabkan kepedihan di hati.

Bukan hendak mengulas perbuatan 'memboikot' Natasha atau cara pemboikotan itu dilakukan.

Cuma teruja dan ingin berkongsi maksud yang tersirat atau 'subteks'nya yang antara lain membawa makna...."Natasha Hudson TIDAK penting" dan "Tiada Maaf Bagimu!"

Ini cuma dua subteks yang dapat Kakak Tua kongsi bersama. Selebihnya takut dituduh jadi batu api dan api dalam sekam pula.

Secara tidak langsung, ianya membuktikan bahawa wartawan hiburan kita boleh bersatu untuk satu-satu tujuan. Dalam hal ini mereka sanggup gang up untuk mempamerkan ketidakpuasan hati terhadap perlakuan Natasha.

Difahamkan, Natasha bagaikan terkedu dan terkebil-kebil bila tiada yang menghiraukannya. Kehadirannya umpama Patung Cendana, sekadar hiasan atau back Natasha bak 'patung cendana' di majlis yang diboikot wartawandrop sahaja di majlis itu.

Bukan tidak kasihan tapi itulah padahnya apabila kita sendiri tidak menghormati dan menghiraukan perasaan orang lain tempoh hari. Kini bila senarionya terbalik, mungkin Natasha akan lebih perihatin selepas ini.

Rasanya tentu Natasha rasa malu dan terhiris perasaannya kerana tidak diumpamakan oleh wartawan. Situasinya tak ubah seperti pepatah Inggeris...What goes around comes around!

Itu semua hukum karma.Wajar atau tidak, boikot itu dilakukan bukannya satu isu kerana sekurang-kurangnya wartawan hiburan kita menunjukkan kuasa sebenar adalah di mata pena.

Konfrantasi secara diam beginilah yang menunjukkan 'anjakan paradigma' para wartawan. Lain kali, artis-artis yang teringin mengikut jejak langkah Natasha akan fikir 10 kali. Setidak-tidaknya terbela juga adinda Nor Akmar...

Pakatan ini secara tidak langsung mengingatkan Kakak Tua kegemilangan sewaktu menjadi 'rookie reporter' di awal tahun 80an ketika membuat liputan sidang akhbar penyanyi Indonesia Hetty Koes Endang di sebuah hotel di ibu negara.

Kebetulan dua hari sebelum itu, penyanyi kesayangan ramai Malaysia, Sheila Majid telah diberi layanan kelas dua oleh wartawan di Indonesia.

Di sebabkan 'terlalu marah' dan 'ingin membalas dendam', kumpulan wartawan hiburan diketuai oleh sifu-sifu seperti Fauziah Samad, Saodah Ismail, Muzlina Abu Bakar dan beberapa nama lagi telah melancarkan satu pakatan boikot ke atas Hetty.

Sudahlah Hetty 'diserang' dengan soalan-soalan yang langsung tidak ada kena mengena dengan sidang akhbar, Hetty menjadi 'punching bag' disebabkan kesalahan media Indonesia.

Selepas bertanya selama 10 minit bertalu-talu tanpa mempedulikan jawapan dari Hetty, Fauziah atau Jee telah menyeru semua wartawan meninggalkan majlis.

Dalam sekelip mata sahaja, semua wartawan yang jumlahnya tidak kurang dari 20 orang telah mengosongkan tempat duduk masing-masing. Sambil meninggalkan majlis ada satu dua wartawan yang membuat hingar dan bersorak, menyuruh Hetty 'balik Indon.'

Kakak Tua pula yang baru setahun menjadi wartawan ketika itu, turut disergah kerana asyik menikmati hidangan, supaya meninggalkan majlis serta merta.

Begitu hebat sekali uniti dan gabungan kesemua wartawan hiburan ketika itu. Tidak ada istilah akhbar perdana atau picisan mahupun majalah, yang penting semangat setiakawan dan bersatu itu yang penting.

Ingatkan dah habis majlis, masing-masing akan bawa haluan sendiri pulang ke tempat kerja masing-masing. Rupanya tiba di perkarangan lobi, semua wartawan diberi briefing untuk highlight story 'boikot' Hetty agar berita itu yang akan sampai ke pihak media di Indonesia.

Seperti yang dijangka, selang beberapa hari selepas itu, kami diberitahu yang pihak sana 'ingin berdamai'. Tekanan yang diberikan oleh pihak wartawan waktu itu cukup menginsafkan dan meninggalkan kesan yang bukan sedikit sehingga kini.

Peranan wartawan hiburan bukan setakat menceritakan kebenaran, mencari kebenaran tetapi membetulkan apa-apa yang tidak benar. Dari soalan yang ditanya dan homework yang dibuat boleh memberi gambaran sebenar subjek yang ditulis dan ke arah mana sesuatu penulisan itu.

Wartawan hiburan dulu lebih gungho, berani dan sanggup mempertahankan maruah sesuatu artikel meskipun diumpat keji, disaman atau dimaki sekalipun. Wartawan kini lebih 'berhemah.'

Terlalu banyak persoalan yang timbul, terlalu banyak misteri diundang apabila sesuatu penulisan itu tidak telus.

Jangan fikir kita menulis sesuatu kebenaran untuk mengaibkan artis atau personaliti tetapi atas dasar keperincian sesuatu fakta dan detail, semua ini perlu diterangkan.

Seperti 'percanggahan fakta' tentang usia perkenalan Erra-Emran yang kononnya baru mengenali hati budi masing-masing tiba-tiba terus bertunang, status perkahwinan sesetengah artis mahupun kenapa sesuatu konsert itu dibatalkan.
Tidak ramai wartawan kini yang cenderung kepada 'investigative reporting.'

Cerita sebenar banyak diselindung, ditapis dan disaring. Bila sampai ke pembaca yang bijak budiman, ianya akan mengundang lebih banyak persoalan.

Dan lebih banyak ditulis mengenai subjek sedemikian, akan bertambah komplekslah jadinya.

Tapi jangan pula soalan 'filler' atau remeh-temeh jadi topik utama macam di Melodi minggu lepas. Soalan peribadi yang diaju kepada aktor terkenal Eman Manan samada dia sudah bertunang memanglah akan mengundang reaksi angin satu badan.

KAKAK TUA: Boikot adalah alternatif terakhir untuk membetulkan sesuatu keadaan!

Cinta EE-EF bagai empedu lekat di hati!

((03-09-2007 10:59:39 AM)
CINCIN emas takkan tampan bermata kaca, justeru pasangan romantis Engku Emran dan Erra Fazira cukup sesuai, secocok dan sepadan bila dijodohkan.

Ikan di darat, asam di laut - di SuriaFM bertemu jua. Kalau sudah jodoh, tak kan ke mana? Cakaplah apa saja, sudah begitu kehendakNya. Itulah yang dikatakan takdir yang tersurat dan hikmah tersirat di sebalik peristiwa pahit yang melanda.

Sebelum lautan tenang seperti sekarang, ketika cinta dua merpati ini di awang-awangan di saat lautan penuh gelora dan petir datang menyabung, yang mendapat tempiasnya adalah wartawan yang 'tidak berpihak' kepada EE-EF.

Si penulis yang cuba memberi rasional dan fakta dari pefahaman dan sumber yang sahih dituduh hilang pertimbangan, berat sebelah dan tidak adil. Dan Kakak Tualah antara penulis yang dikecam itu.

Namun, Kakak Tua tenang saja mendengar segala hukuman yang dilemparkan. Meskipun datangnya dari ibu saudara Engku Emran sendiri, penulis lirik tersohor Habsah Hassan yang bagaikan tidak restu, separuh 'murka', menjeruk hati dengan tulisan Kakak Tua.
Kini saat-saat bahagia Erra-Emran yang akan meneruskan fasa cinta baru hingga ke jinjang pelamin.

Sedikit pun tidak berbekas di hati kerana hemah fakta yang wajib dipelihara dulu.

Niat utama BUKAN untuk mensensasikan atau manipulasikan isu atau 'skandal'. Pembelaan orang yang 'teraniaya' dan Expose satu 'pendustaan' fokus utama penulisan.

Selebihnya, renung-renungkanlah sendiri. Lagi banyak mencari jawapan lagi banyak fakta yang ditemui. Justeru itulah yang dinamakan investigative reporting bukan ala Terjah.

Kini, jelas terbukti kesahihan berita. Bukan siapa salah atau benar yang perlu dicari tapi apa yang salah dan apa yang benar itu memberi tamparan hebat kepada mereka yang berkenaan.

Peristiwa 'putus cinta' Hans-Erra sudahpun berlalu. Hebahan pemberian jam Rolex yang harga SEBENARNYA adalah RM22K (itupun selepas discount) dan segala hadiah mewah 'cinta' lain sudah lama dipadamkan dalam data memori Erra mahupun Hans.

Kini saat-saat bahagia Erra-Emran yang akan meneruskan fasa cinta baru hingga ke jinjang pelamin. Khabarnya pasangan yang sama cantik dan sama padan, duduk sama rendah berdiri sama tinggi ini, akan diraikan dalam sebuah majlis pertunangan tidak lama lagi.

Sudah semestinya berita gembira itu disambut dengan riang oleh peminat dan keluarga Erra mahupun Emran. Apa tidaknya, pasangan EE-EF cukup sekufu sekali.

Bak kata orang diuji sama merah, ditahil sama berat - bagai cincin dengan permata, seperti tutup dengan cembul, lepat dengan daun, inai dengan kuku, lesung dengan antan.

Bertuah sungguh wanita secantik Erra disayangi dua jejaka tampan seperti balam dua sesangkar.

Walaupun Engku Emran cinta barunya, namun penangan 'penyakit cinta' mereka bisa merubah imej 'bersih' Erra selama ini dan tidak lama lagi akan dimeterai dengan ikatan perkahwinan sebagai ubat penawarnya.

Tiada lagi umpat keji, caci mencaci kerana pasangan ideal ini sudah ketemu jodoh mereka.

Dilema Hans tidak ubah macam layang-layang terputus talinya. Walau mengukir senyuman, manisnya tidak sampai ke hati.

Anggap saja mereka sudah kembali ke 'pangkal jalan'. Seharusnya kita 'memaafkan' keterlanjuran mereka menyembunyikan kisah cinta mereka atau apa saja salah laku yang pernah dibongkar oleh media selama ini.

Cinta EE-EF cukup romantis sekali bagai empedu lekat di hati. Sungguh simbolik perjalanan cinta dua sejoli ini. Mungkin juga cinta pandang pertama. Yang pasti dalam sekelip mata saja, dua hati sudah bertaut dan jodohpun semakin kuat. Tambahan berkasih sesama bangsa dan mendengar kata ibu tercinta.

Namun di sebalik keghairahan meniti hari bahagia berdua, masih teringatkah dengan kekasih lama Hans Isaac, hero idaman ramai wanita, yang bagai kehilangan cincin permata di lautan sepi? 'Rajuk'nya dibawa hingga sanggup meredah dan membawa diri, scuba diving nun di Sipadan, Sabah sana.

Dilema Hans tidak ubah macam layang-layang terputus talinya. Walau mengukir senyuman, manisnya tidak sampai ke hati. Walau terjun ke dasar lautan, karam hatinya tiada siapa yang tahu.

Jadi, janganlah pandai-pandai menjadi Pah Bedah, memadukkan Hans dengan pucuk muda seperti Fasha Sandha kerana janggal bunyinya. Lagipun memang tidak sepadan seperti tanduk bersendikan gading.

Tanyalah Hans, bukan senang hendak melupakan cinta yang terselit 'pendustaan' berkias pula dengan persengketaan, tuduhan juga salah faham.

Mungkin inilah yang dikatakan, cinta tidak selalu bersama jodoh TAPI jodoh selalu bersama cinta. Hans perlu sematkan ini dan berdoa didekatkan dengan jodoh yang sekufu. Mudah-mudahan.....

Pesan Kakak Tua, Hans kena percaya pada jodoh yang sekufu di mana lelaki budiman untuk wanita budiman dan begitulah sebaiknya....

Dan semua orang dijadikan berpasang-pasangan. Terfikirkah kita kenapa setiap anggota kita berpasangan.

Dianugerahkan dua kaki untuk berjalan, dua mata untuk melihat, dua telinga untuk mendengar, dua tangan untuk memegang dan banyak lagi anggota lain yang berpasangan kecuali sekeping hati? Dan sekeping lagi hati pada seseorang dan kita perlu mencarinya.

Jadi Hans tunggu sajalah 'sekeping hati' itu. Jangan dicari, ianya akan datang sendiri, percayalah.
Tengok saja macam Erra dan Engku Emran. Cinta mereka bagai 'empedu lekat di hati!'

KAKAK TUA: Terasa semakin dekat dengan cinta hati...

Golongan artis paling 'patriotik'

(31-08-2007 09:49:24 PM)
Dalam banyak-banyak utusan peringatan Merdeka yang diterima, yang paling meninggalkan kesan ialah amanat dari Mufti Perlis, Dr Mohd Asri. Ringkas saja bunyi utusan tapi padat dengan unsur nasihat, yang dikirim lewat subuh tadi.

"Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dari pengabdian sesama makhluk kepada keluhuran akidah hanya kepada Allah."

Begitulah selalunya yang dilakukan oleh Mufti muda ini yang langsung tidak gentar memberi peringatan, melontarkan hujjah bernasnya untuk mengajak orang Islam menghayati Islam dengan cara yang sewajarnya, bukan secara ikut-ikutan, emosi atau budaya.

Keberanian Dr Asri selalu ditafsir sebagai 'kontroversi' dan seolah mencipta 'isu' baru. Hakikatnya, beliau cuma terpanggil membetulkan apa yang dilihat tidak wajar.

Lantas ditinggalkan pesanan, peringatan dan dikeluarkan fatwa agar umat Islam tidak terus-terusan keliru mengenai adat dan agama.

Ramai juga minda golongan tua dan muda yang agak terbuka mendengar tegurannya seperti isu mengenai 'selipar Nabi' dan 'songkok orang Melayu' yang sering dilihat sebagai simbol agama.

Kekeliruan begini sudah terlalu banyak berlaku dan diperkatakan tetapi jarang dihalusi secara rasional sehinggalah Dr Asri menyentuhnya dengan caranya yang sinis dan praktikal.

Mungkin ramai yang tidak setuju dengan pandangan Kakak Tua tentang semangat patriotik yang harus ditunjukkan pada hari mengingati 50 tahun kemerdekaan negara kita.

Tetapi pandangan 'menongkah arus' ini seharusnya dilihat sebagai satu pandangan peribadi sahaja. Lain orang lain caranya.

Kakak Tua tidak pernah teruja untuk berlumba-lumba, menzahirkan semangat patriotik dengan apa cara sekalipun. Mahupun dengan mengibar bendera, mengikuti pembarisan mahupun tercatuk di depan TV untuk menyaksikan pembarisan di Dataran Merdeka.

Begitu juga menonton konsert atau berbagai rancangan TV yang menghiasi hari bersejarah ini untuk mengembalikan nostalgia tentang perjuangan kemerdekaan.

Rasanya, cukup sudah penghayatan yang terpahat dalam memori ini tentang Merdeka. Tidak perlu mengenggam tangan dan melontarkan suara dengan pekikan Merdeka! kerana penghayatan dan pengertiannya sudah lebih dari itu.

Lain pula dengan golongan artis. Mereka adalah golongan yang paling 'patriotik' kerana jarang ketinggalan menyambut hari bersejarah di mana sekalipun acara ini diadakan.

Bukan sahaja patriotik, golongan artis terutama penyanyi merupakan orang yang paling 'bertuah' ketika sambutan Merdeka ini.

Beberapa bulan sebelum Merdeka, nama-nama artis mengikut gred telah siap di booking, dilamar dengan 'sebut harga' yang cukup tinggi nilai komersialnya bagi memeriahkan acara-acara kemerdekaan di seluruh negara.

Bukan sedikit mahar atau 'mas kahwin' yang diletakkan sehingga mencecah harga sebuah apartment mewah kalau namanya segah Mawi, Siti Nurhaliza mahupun Zainal Abidin Headwind.

Tidak kurang tawaran yang diterima oleh pengacara-pengacara hebat tanah air mahupun pelawak-pelawak. Kos bagi mengadakan acara Merdeka pula memakan belanja mencecah jutaan ringgit.

Dan golongan korporatlah yang akan menjadi 'mangsa' menaja acara bersejarah ini. Inilah yang dikatakan social obligation badan korporat yang 'terpaksa' memberi balik apa saja laba yang telah dikaut selama setahun.

Dan begitulah seterusnya vicious cycle ini berterusan. Dan inilah juga senario 'pengabdian' golongan artis menyambut hari merdeka saban tahun. Layanan VIP yang diterima bukan saja setakat tawaran lumayan sahaja tapi dari segi sambutan , penginapan dan apa jua yang didemand akan diberi.

Bertuah sungguh golongan artis, sama bertuahnya umat manusia yang menetap di negara bertuah ini.

Tidak keterlaluan jika 'pengabdian' jenis ini diihat dari konteks yang cuba disampaikan oleh Dr Asri tadi yakni "kemerdekaan jiwa dari pengabdian sesama makhluk kepada keluhuran akidah hanya kepada Allah."

Maka tidak salah kalau Kakak Tua membuat rumusan bahawa ramai di antara kita termasuk golongan artis dan wartawan hiburan sekalipun masih tidak mampu dan jauh dari kemerdekaan jiwa jenis ini.

Pengisian dan renungan inilah yang seharusnya kita hayati bersama bukannya cuba mengumpul sebanyak duit di hari bersejarah ini seperti golongan artis.

Kakak Tua sendiri pernah meminta quotation untuk menyanyikan sebuah lagu di hari Merdeka pada manager seorang penyanyi senior yang pernah menjadi vokalis utama kumpulan popular tahun 80an. Dan dengan selambanya dia berkata,"Satu lagu RM50K. Itu rate hari Merdeka."

Perasaan tidak bersalah, malah bangga inilah, yang diteruskan secara tradisi setiap hari Merdeka. Dan artis-artis beginilah yang begitu 'teruja' menyambut Merdeka dengan laungan dan pekikan serta gema 'Merdeka.'

Kegembiraan yang mereka rasakan mungkin berpunca dari kehebatan mendapat satu deal yang cukup lumayan sehingga melayakkan mereka terpekik, terlolong menyahut Merdeka.

Inilah pengisian Merdeka sebilangan besar artis-artis kita dan pengabdian komersial beginilah yang sangat-sangat 'dibanggakan' oleh artis kita.

Teringat Kakak Tua sepotong SMS yang diterima dari kekanda Herman Tino lewat petang semalam ketika lagu 'Dingin Tapi Kehausan' ke udara.

Spontan jawab Herman....Bila dapat SMSmu baru abang perasan abang penyanyi....Tapi abang mesti menyanyi bukan perasan menjadi penyanyi...Itulah yang elokkan? Menjadi penyanyi, beban jugak lah?

Dan Herman sudah lama mengisytihar dirinya bebas dari segala kepura-puraan dunia seni. Pendek kata, kontraktor berketurunan Jawa ini sudah lama 'Merdeka' jiwanya. Maka sebab itu dia selalu rasa seperti 'tersisih' dan 'terpinggir'.....

Jiwa yang Merdeka tidak akan tunduk pada tuntutan komersial, umpat keji mahupun ugutan. Yang dicari seharusnya satu pengabdian yang hakiki kepada yang satu tanpa sebarang condisi.

Selagi pengabdian jenis ini tidak dapat digapai dan dihayati, kosonglah laungan Merdeka setiap tahun. Yang kita dapat hanya serak suara, penat dan kemegahan menjadi hamba Merdeka?

KAKAK TUA: Tidak suka mengajuk-ajuk laungan Merdeka kerana yang penting adalah penghayatan dan kesedaran bukan lontaran suara atau pekikan.

Petua menjadi 'sahabat' artis

(29-08-2007 11:48:42 AM)
BUKAN tak bangga bila mendapat undangan untuk meraikan ulang tahun pertama perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya minggu lepas.

Namun, kebanggan itu seperti selalu, akan lenyap begitu saja, apabila fikiran rasional datang menguasai diri.

Bila fikirkan balik, apalah yang hendak dibanggakan sangat walaupun undangan itu kononnya untuk 'kelompok ekslusif dan tertentu' saja tapi bila sampai ke majlis, hanya kekecewaan yang bersarang di hati. Ini kerana tetamu yang datang adalah di luar jangkauan kita.

Disebabkan sering 'tertipu' dengan janji dan 'terjerat' dengan situasi dan andaian sedemikian, maka Kakak Tua jarang melayan undangan begini.

Alhamdulillah, minda dan kaki Kakak Tua sudah lama merdeka dan tidak pernah membiarkan acara artis ini menghimpit dan menipu perasaan untuk menganggap kita ini 'istimewa' dan penting pada mereka.

Mungkin sebab sikap beginilah, Kakak Tua jarang turun padang, 'mencemar duli' untuk memeriahkan apa jua acara, melainkan terpaksa. Kalau sudah sahih dan yakin tiada yang 'tersinggung' dengan kehadiran wartawan tua macam Kakak Tua, barulah sanggup tunjuk muka.

Maklumlah, namapun orang tua bila datang majlis ada saja hendak ditegur dan dilapor.....
Tapi yang paling ditakuti, bila kehadiran dan pemberian diungkit. Berapa kali wartawan sendiri terpaksa tebal muka melaporkan insiden artis mengadu domba, mengungkit makan minum yang telah diberi.

Semua yang terhidang disebut satu persatu walaupun peristiwa itu sudah lama berlaku dan apa yang dimakan sudahpun menjadi darah daging.

Lebih malu apabila nama kita dijejes seolah-olah kita tidak ada maruah diri, hanya kerana sesuap nasi atau menonton wayang percuma misalnya. Harga diri wartawan lebih dari itu....
Sikap berhati-hati ini sudah lama menjadi perisai diri tambahan pula kalau ada artis yang ingin menghulurkan salam persahabatan.

Mungkin ramai yang teruja untuk berkawan dengan artis. Percayalah, dari pengalaman ada banyak buruk pada baiknya. Kawan baik Kakak Tua, Xaurus dari Pulau Pinang masih tidak dapat melupakan 'mimpi ngeri' berkawan dengan artis walaupun peristiwa itu sudah dimamah memori sepi.

Setelah beberapa kali terkeliru dan terkhilaf membuat perhitungan dan hampir hilang pertimbangan, akhirnya hati akan sakit dan kecewa.

Kalau adapun yang 'berjaya' menawan hati, itupun setelah melalui beberapa 'ujian 'seperti penyanyi kacukan Arab-Indonesia Betty Banafe, Deja Moss, Ibnor Riza, Syanie, Zaibo, Nash, Syazliana dan penerbit Ruhani Rahman yang selalu membuat diri rasa dihargai sebagai sahabat, kakak mahupun teman untuk meluahkan perasaan.

Ramai lagi yang cuba menghulurkan salam persahabatan tetapi kesudian mereka selalunya tidak lama, sama macam embun pagi. Tekanan populariti dan juga desakan kerja membuat pilihan berkawan dengan artis sebagai pilihan terakhir dan BUKAN satu kemestian.

Tekanannya lebih berpihak pada wartawan dari artis itu sendiri kerana tangan terikat, mulut TERPAKSA dikunci dan minda PERLU ditutup bila melihat kawan artis kita membuat salah laku.....itulah dugaan pahit yang terpaksa ditelan kerana begitulah sepatutnya adat berkawan.

Tidak boleh mengkhianati sebuah persahabatan (Ini perlu dibaca dalam konteks profesionalisma).

Disebabkan kepercayaan ini juga ramai wartawan terdorong melunaskan kerja menurut perspektif yang tidak begitu profesional.

Tetapi sejauh mana ketelusan sesebuah persahabatan itu?

Adakah harganya dinilai dari buah tangan, cenderamata atau panjangnya artikel yang dibuat atau berlandaskan silaturrahim yang benar-benar ikhlas?

Kelompok yang disebut di atas merupakan artis 'normal' di mana kayu ukurannya adalah sikap semulajadi, keperibadian dan ketulusan mereka bila berkawan tanpa ada syarat dan condition.

Rasanya, kelompok di atas hampir pupus kerana kesudian berkawan benar-benar datang dari naluri ingin berkawan dan bukan untuk mendapat liputan. Kejujuran inilah yang jarang dimiliki oleh artis lain yang mendambakan special treatment apabila sudah menjalin sebuah persahabatan dengan wartawan.

Sebenarnya, bersahabat dengan golongan artis ibarat kilauan pelangi yang tidak begitu 'real' dan disebabkan kita 'orang biasa' perasaan kita akan cepat terasa dan terusik apabila ada badai yang melanda.

Pengalaman berpuluh tahun membuat Kakak Tua tawar hati, mengambil sikap berpijak pada bumi nyata dan selalu cermin muka dan muhasabah diri. Bak kata orang, selalu fikir kita duduk tak sama rendah, berdiri tak sama tinggi. Itu belum diukur dari cara hidup kita yang sememangnya 'macam langit dengan bumi'.

Siapalah diri kita kalau hendak dibandingkan dengan mereka yang senantiasa diselubungi dengan kilauan dan percikan glamor? Jauh sekali untuk bersama-sama mengharungi apa saja populariti dan keistimewaan yang mereka dapat. Bak kata orang tua-tua, enggang dengan pipit manakan sama - tidak layak terbang bersama.

Janganlah sesekali kita terperasan yang kita ini penting pada mereka. Realitinya walaupun kita saling memerlukan kerana kerjaya masing-masing, nilai dan kepentingan sesuatu persahabatan itu tidak mungkin sama.

Indah khabar dari rupa, begitulah persahabatan yang terjalin kerana tidak selalunya semanis yang diimpikan dan kenyataannya adalah jauh panggang dari api.

Jangan terpana dengan perhatian yang diberi kerana dunia kita jauh berbeza.

Sebagai orang lama, Kakak Tua ingin turunkan beberapa petua, adab dan PROTOKOL agar mereka yang meneruskan tradisi bidang wartawan tidak membuat kesilapan yang sama dan tidak kecewa dengan persahabatan 'jujur' dan setia yang dihulurkan:

1) Wartawan BUKAN artis, jadi jangan perasan kalau kita juga diberi perhatian yang sama apabila berada dalam kelompok mereka.

2) Jangan TAKSUB bila bersama dengan artis kerana ianya akan memakan diri bila kita melihat sikap sebenar mereka di sebalik tabir dan kilauan populariti.

3) Masih boleh menulis dengan BEBAS dan membedakan antara yang benar dan salah walaupun mereka kawan kita.

4) Jangan anggap diri kita ISTIMEWA atau ada hak istimewa seperti artis kerana mereka hanya perlukan kita selagi 'berguna'.

5) Tidak perlu TUKAR cara hidup atau meniru life style artis kerana yang susah dan 'sakit' nanti adalah kita juga.

Cukuplah sekadar lima petua saja kerana yang selebihnya kita sendiri dapat merasakannya apabila melalui proses mengenali hati budi masing-masing. Dan prosesnya pula tidak sama di antara satu sama lain.

Mungkin juga Kakak Tua yang paling malang dan bodoh kerana tidak berjaya membaca riak dan hati budi ramai artis sehingga selalu terjebak di dalam kancah dan kemelut yang melibatkan artis.

Atas pilihan sendiri juga, Kakak Tua rela meminggir diri dari menghadirkan diri di acara glamor dan popular agar pandangan yang diberi lebih praktikal dan mata pena 'lebih tajam.'

KAKAK TUA: Kasihan melihat sebilangan wartawan yang masih belum Merdeka dan duduk di bawah telunjuk artis!

'Eksploitasi' dua penyanyi cilik MyStarz, LG

(22-08-2007 09:27:22 AM)
BANYAK perkara yang menarik perhatian Kakak Tua ketika menyaksikan konsert MyStarz, LG minggu lepas.

Antaranya ketika pengacara Naz tersasul menyebut 'Datuk Sili' apabila memperkenalkan Datuk Siti Nurhaliza, tangisan penyanyi cilik Emeer ketika ditegur oleh komposer Azmeer dan 'kerakusan' kritikan Azmeer.

Banyak-banyak perkataan, Naz boleh tersasul nama Siti. Isu tersasul ini perlu ditekankan mengenangkan betapa 'serius' ketersasulan yang telah dibuat itu. Kalau perkataan biasa tak apa lah juga. Ini tersebut 'Sili' yang bunyinya seakan 'Silly' yang membawa maksud 'bodoh.'

Betul lah kata pepatah Inggeris, "A slip of the tongue is no fault of the mind." Agaknya itulah yang berlaku ketika Naz begitu teruja memperkenalkan Siti. Walaupun Naz cepat cover-up dengan berkata dia terpaku melihat kecantikan Siti namun kita tahu ucapan itu hanya sekadar menyedapkan hati.

Naz sepatutnya tidak ambil mudah kesilapan ini. Nasib baiklah Siti jenis yang tidak ambil hati, kalau artis lain tak tahulah....

Kedua episod 'menyayat hati' dan tangisan hiba seorang kanak-kanak cilik bernama Emeer.

Sampai bengkak mata Emeer menangis sejurus Azmeer memberi kritikan yang TIDAK MEMBINA itu. Budak comel yang mempunyai bakat cemerlang dan diakui oleh banyak pihak termasuk pihak Istana Pahang tiba-tiba dikritik kerana mempunyai 'suara kenak-anakan?'

Perasaan Emeer bergolak sebegitu rupa kerana kelancangan mulut Azmeer yang memberi komen syok sendirinya. Azmeer yang bersikap 'Mat Over' sepanjang konsert berlangsung menampakkan dirinya 'begitu hebat' sebagai komposer berpengalaman. Seolah-olah apa yang dicakapkan itu semuanya bernas dan boleh masuk akal....

Kata-kata "Kau tak boleh lawan abang Ijam atau suara budak yang azan kat surau rumah abang pun sama keanak-anakkan.... betul-betul out of context." Seharusnya Pengetua dan tenaga pengajarlah yang patut diberitahu kerana mereka lebih arif ke mana hendak dibawa bakat Emeer itu.

Terkilan sungguh sikap Azmeer sebagai juri yang diundang untuk kali keduanya bagi menunjukkan ilmu penjuriannya. Komennya bukan saja bias tapi kasar dan tidak molek ditujukan kepada seorang budak sehingga Emeer menangis teresak-esak di belakang pentas.

Tapi yang bagusnya pula, pandangan one-track minded Azmeer terhadap bakat Emeer memberi implikasi negatif kepada Azmeer sendiri.

Komen Azmeer juga turut membuat juri seterusnya Siti terbantut untuk memberikan pendapatnya.

Bak kata Patrick Teoh sepatah, kenapa tidak eksploit dua perkara yang Emeer ada iaitu "Stage presence dan energy." Memang tepat kata Patrick, pemilihan lagu Emeer SALAH. Bagi Kakak Tua pula, ianya tidak sesuai, tangkap muat, cuai atau ada strategi tertentu?

Pemilihan lagu yang tidak bijak dan teramatlah tidak kena dengan vocal range Emeer seperti Dealova adalah seperti memasang jerangkap samar. Kebetulan pula Emeer kurang sihat pada hari itu maka persembahan Emeer 'below par.'

Komen Azmeer yang tidak kena gaya dan tempatnya memberi tekanan yang bukan sedikit kepada budak berusia 12 tahun itu. Kesihatan yang tidak memuaskan ditambah dengan pilihan lagu yang salah membuat persembahan Emeer sungguh tidak bertenaga sekali. Tidak seperti persembahannya di konsert yang lepas-lepas.

Tidak salah kalau membuat rumusan yang semua ini seolah-olah dirancang. Kenapa perlu bagi lagu sedemikian sedangkan sudah tahu kemampuan Emeer?

Bukan saja frust melihat 'kekalahan' Emeer, ramai yang kecewa mendengar kejutan yang kedua penyanyi cilik - Emeer dan Racel tersingkir hari itu. Bayangkan dengan sekelip mata saja, dua penyeri program MyStarz, LG terkeluar.

Bukan satu andaian tetapi realiti di mana ramai yang menonton program ini semata-mata untuk melihat Emeer dan Rachel beraksi. Juga untuk menyaksikan kehebatan bakat mereka dan melihat ketrampilan imej mereka pada setiap episod.
Tapi itulah 'mimpi ngeri' yang dijanjikan oleh MyStarz, LG untuk dua kanak-kanak berbakat ini. Harapan untuk melihat dua permata ini digilap akan tinggal harapan sahaja kerana kelemahan sistem penjurian ilham pemikir baru program ini.

Penyanyi cilik Sabah, Rachel pula disuruh menyanyikan lagu Material Girl dalam bahasa Melayu. Sudahlah bunyinya janggal, kelincahan Rachel pula bagai dibuat-buat kerana rasa tidak selesa dengan lagu ini.

Sesiapa saja yang mendengar Rachel sebelum ini dan membandingkan nyanyiannya dalam episod kali ini sudah dapat mengagak yang pemilihan lagu ini juga satu kesilapan besar. Apa sebenarnya tujuan memberi lagu 'bodoh' (senikata Melayu pula) pada gadis cilik yang berbakat besar seperti Rachel?

Di awal kemunculannya Rachel telah membuat ramai terpegun dengan lagu Kris Dayanti yang dibawanya sehingga dua penerbit album dari syarikat antarabangsa melamarnya.

Yang Emeer pula pernah membuat persembahan di bawah Orkestra Indonesia bersama-sama penyanyi Kris Dayanti dan Datuk Siti Nurhaliza di atas undangan Istana Pahang dan membuat puluhan ribu terpegun dengan persembahannya.

Kalau ukuran kehebatan Rachel dan Emeer ini masih tidak dapat meyakinkan para juri, maka makin terserlah lah kepincangan seluruh perjalanan sistem pembelajaran di MyStarz, LG.

Kesilapan-kesilapan beginilah yang 'menguntungkan' pesaing terdekat Emeer dan Rachel sehingga kesemua mereka berada di dalam keadaan selamat, iaitu pusingan final. Adakah 'kesilapan' pemilihan lagu ini dirancang?

Namun, hakikat yang perlu diterima oleh semua Emeer dan Rachel adalah permata yang perlu digilap dan tarikan utama MyStarz, LG. Nak harapkan yang lain belum tentu program suam-suam kuku ini akan maintain prestasinya seperti sekarang.

Yang sedihnya, setelah berhempas pulas setiap minggu tiba-tiba saja undian kedua mereka merosot dan tersingkir. Agak terkejut juga kenapa pilihan SMS begitu mendadak menjunam?

Seakan satu eksploitasi membiarkan kedua penyanyi kecil ini berada di dalam MyStraz, LG sekian lama. Bila sudah sampai penghujung, mereka 'diketepikan' dan 'tersingkir'?

Hari Ahad ini, Rachel dan Emeer akan berentap dengan tujuh orang pelajar lain dalam pusingan 'wild card' pula.

Harapan melihat kedua mereka mara ke final agak tipis. Ini kerana firasat Kakak Tua mengatakan yang Emeer dan Rachel sekadar memenuhi kuota untuk pusingan 'wild card' sahaja kerana yang akan dipilih bukan mereka.

Mungkin sudah ada calon favourite yang akan diketengahkan. Teori kedua Kakak Tua pula, kemungkinan besar juga sebagai 'menebus dosa' pada Emeer dan Rachel, hanya seorang saja antara kedua ini yang akan dipilih.

Kakak Tua tidak mahu membuat rumusan seperti tekaan pengacara Azwan Ali yang tanpa segan silu dan bangganya membahasakan dirinya 'Mak Esah' membuat andaian nujum Pak Belalang kononnya Badri atau Ijam akan terkeluar minggu lalu.

Confident sungguh 'Mak Esah' sampaikan Kakak Tua dengar jadi malu. Akhirnya apa yang dijangka tidak terjadi. Tapi mustahil 'Mak Esah' akan rasa malu kerana ramalan merapunya itu....

Ketika program Reflex di ntv7 pula sejurus setelah MyStarz, LG berakhir, bapa Emeer, Bakri tidak bersetuju Emeer tersingkir kerana pemilihan lagu yang silap seperti kata Patrick.
Bakri cuba menjaga hati dan berlapik cakap dengan berkata sebagai penyanyi, Emeer kena bersedia menyanyikan apa jenis lagu sekalipun. Rasanya itu semua cakap hendak ambil hati.

Hakikatnya berapa ramai penyanyi yang akan menyanyi lagu yang mereka suka? Dan Emeer walaupun kanak-kanak tidak terkecuali. Ramai yang terlupa bahawa tujuan asal MyStarz, LG bukan untuk mencungkil penyanyi versatile.

Masalah paling ketara program ini ialah formatnya yang bermacam ragam tak ubah seperti caca marba. Lagu-lagu yang diberi kepada sesetengah pelajar pula seperti sudah dirancang.

Hanya Emeer, Rachel dan beberapa pelajar sahaja tidak dibenarkan memilih lagu. Ini saja sudah cukup untuk membuat rumusan ada konspirasi untuk memilih pelajar favourit yang sudah dijamin tempatnya di pusingan akhir. Maka sebab itulah ada beberapa pelajar dengan mudah mendapat lagu-lagu yang memang makanan mereka.

Contohnya penyanyi kesukaan ramai Badri yang sudah tiga minggu mendapat gelaran "persembahan terbaik". Bak kata juri tetap Patrick Teoh sepatah, "since the rest are so bad this week, you are the best among the worst..."

Dengan komen yang langsung tidak memberangsangkan itu, Badri masih layak mendapat persembahan terbaik minggu ini.

Bila sebut pasal Patrick Teoh, Kakak Tua paling suka cara juri tetap ini memberi komennya - paling konsisten, tidak bias, telus, adil dan ikhlas. Belum pernah lagi komen Patrick tidak tepat dan tidak dapat diterima kerana mungkin apa yang dikatakan datang dari hati dan tanpa ada kepentingan.

Patrick sendiri mengaku yang dia mempunyai 'favourites' namun itu tidak mengaburi matanya apabila memberi komen. Berlainan sekali dengan Siti yang cuba menjaga hati setiap pelajar dan memberi komen feel good.

Untuk pertama kalinya juga di saat-saat program MyStarz, LG akan menemui penghujungnya, pembuka konsert minggu lepas begitu bertenaga dan menghiburkan sekali.

Kesemua pelajar dilihat memberi persembahan yang begitu bertenaga dengan bermain alat-alat muzik sebagai pembuka tirai. Itulah klimaks yang ditunggu-tunggu oleh Kakak Tua selama ini.

Setelah teraba-raba selama berminggu-minggu akhirnya dapat juga mereka hit the right note. Itulah hasil kerja keras pengarah muzik Aubrey Suwito dan kesemua pemuzik yang bekerja keras memastikan konsert berjaya.

MyStarz, LG juga cuba menonjolkan kelainan di mana lagu tema Gemuruh yang dinyanyikan oleh Faizal One In A Million tiba-tiba kedengaran dalam bahasa Inggeris? Mungkinkah penukaran ini bertujuan untuk memberi acuan baru kepada program yang pernah diasaskan oleh penerbit asal, Jafni Abu Bakar atau Mat Jepp?

Walau apapun pembaruan atau kejutan yang akan diambil oleh MyStarz, LG selepas ini, program ini tidak mampu dan sudah jauh ketinggalan dengan program realiti lain.

Kakak Tua kasihan melihat kedua belas pelajar yang cukup besar bakat mereka ini seperti berada di dalam program yang salah.....right people in the wrong crowd.

Namun, di sebalik kekalutan dan kepincangan program ini, Aubrey masih gagah memberi corak dan hala tuju kepada kesemua pelajar walaupun dalam keadaan terdesak dan kesuntukan masa....

KAKAK TUA: Sudahlah 'Tiang Seri' dirobohkan, 'Penyeri' program Emeer dan Rachel pula dikeluarkan, apakah agaknya kesudahan MyStarz, LG ni?